Friday, June 26, 2009

Jin Pokok Pisang...

Suatu petang saya dikejutkan oleh deringan talipon. Ibu saya memberitahu adik lelaki saya yang bongsu tidak sihat. Dia seolah-olah demam dan tangannya bengkak. Semuanya bermula apabila adik saya menebang pokok pisang di belakang rumah tengahari semalam. Pokok pisang yang ditebang tidak tumbang, malahan parang ditangan pula bengkok. Pelik sungguh kerana parang panjang yang bengkok tersebut amat berkualiti. Kalau setakat menebang pokok pisang mustahil boleh bengkok. Saya berjanji dengan ibu akan pulang ke kampung secepat mungkin.

Esoknya, awal-awal pagi saya sampai di kampung. Saya lihat wajah adik saya pucat dan tangannya bengkak. Tanpa melengahkan masa, saya memulakan rawatan. Tidak sampai dua minit membaca ruqyah badan adik saya senget dan berpaling, wajahnya nampak ketakutan.

Jika diimbas kembali sewaktu mula-mula dahulu saya merawat dengan kaedah rawatan Islam, saya bersikap sangat garang dan kasar dengan jin. Biasanya saya akan membelasah jin-jin didalam badan pesakit terlebih dahulu sebelum memulakan dialog dan perbincangan.

Tanpa bertanyakan apa-apa saya terus mencucuk jin tersebut melalui kaki adik saya. Jin tersebut mengerang kesakitan. Saya tanyakan jin itu, "Siapakah engkau dan dari mana engkau datang?", jin tersebut tidak menjawab, dia hanya mengerang kesakitan. "Engkaukah yang menyebabkan tangan adikku bengkak dan parang kami bengkok?", tanya saya lagi.... jin itu hanya mengangguk.

Saya memberitahu jin tersebut bahawa tempat dia mengganggu adik saya itu adalah termasuk didalam kawasan tanah kami, dan dia tidak berhak berbuat begitu. Saya memberi amaran kepada jin tersebut agar tidak masuk dan mengganggu di kawasan kami. Jin tersebut bersumpah tidak akan menganggu lagi dan akan membuang bisa ditangan adik saya yang bengkak. Setelah itu jin pokok pisang itu pun keluar, dan adik saya terpinga-pinga antara sedar dan tidak.

Saya beri dia air rawatan untuk minum dan mandi. Lima belas minit kemudian tangannya yang bengkak juga beransur-ansur surut.

Petang itu tangan adik saya sudah kembali normal. Alhamdulillah, segalanya hanya dengan izin dan qudratNya.