Tuesday, June 23, 2009

PENGALAMAN RAWATAN PERTAMA


Sebenarnya saya ni bukannya berani sangat dengan benda-benda yang dipanggil hantu atau jin ni…. Sewaktu di sekolah menengah dulu, di asrama lelaki dan perempuan kerap berlaku perkara-perkara aneh.. saya sendiri pun pernah diganggu dengan hilaian ketawa “Kak Pon”(Pontianak)… waktu tu pukul tiga pagi… tiba-tiba saya terjaga.. time tu pulak Kak Pon sibuk nak menyakat… macam nak pitam dibuatnya… Kak Pon punya mengilai, bergema satu asrama, macam pakai microphone… Kurang asam punya Kak Pon… kalau lah time tu saya dah ada ilmu tentang rawatan ni… insyaAllah nahas la Kak Pon tu…

Jadi… sifat semulajadi seram-seram sejuk ni saya terbawa-bawa sampai ke besar… sehinggalah saya menjadi perawat…

Saya sudah mula merawat sewaktu saya masih baru belajar diperingkat pertengahan (intermediate). Sepatutnya diperingkat ini, saya perlu dipantau dan dipimpin oleh mereka yang senior jika hendak melakukan rawatan. Tetapi, oleh kerana semangat yang tinggi dan perasaan ingin mencuba saya memberanikan diri untuk merawat seorang diri.

Rawatan pertama saya di Kuala Selangor, Makcik T ialah seorang surirumah sepenuh masa, dia mengadu kepada saya yang dia mengalami sakit kepala yang amat sangat, pernah satu ketika tiba-tiba dia seolah-olah tidak sedarkan diri dan mengaku dirinya sebagai Tun Tijah (…Tun Teja la tu..). Pernah juga dia berubat dengan bomoh kampung, tetapi tiada tanda-tanda sakit beliau akan sembuh. Kali ini beliau ingin berubat dengan kaedah rawatan Islam.

Di pendekkan cerita sewaktu saya merawat makcik T, tiba-tiba badannya senget sebelah, cenderung untuk rebah kesebelah kiri. Tiada kerasukan berlaku, dan saya menamatkan rawatan sepuluh minit selepas itu, saya cuma berikannya air rawatan untuk minum dan mandi.

Selepas merawat makcik T, saya merawat suaminya pula. Seminggu yang lalu Pakcik J, mengadu kepada saya, dahulu dia ada mengamalkan ilmu silat harimau, tetapi sekarang dia ingin bertaubat dan ingin membuang segala ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat itu. Pakcik J selalu panas baran, dan yang menjadi bahayanya apabila dia terlalu marah, dia seolah-olah kerasukan dan melakukan gaya-gaya seperti harimau, mengaum, merangkak dan bersedia untuk menyerang mangsa atau musuhnya.

Pakcik J juga memberitahu, malam tadi dia bermimpi, dia dipukul dengan teruk oleh seorang lelaki, dia terpekik dan terlolong sewaktu tidur. Didalam mimpi itu lelaki tersebut marah padanya kerana Pakcik J meminta pertolongan dari saya. Sewaktu berhadapan dengan saya juga Pakcik J beritahu dia merasa seolah-olah kepanasan.

Dengan tidak berlengah lagi saya memulakan sessi rawatan. Setelah membaca beberapa ayat ruqyah, saya sebut perkataan keluar.. keluar.. dengan niat memerintahkan makhluk Allah itu keluar dari tubuh Pakcik J, dengan tidak semena-mena Pakcik J menangis dan mengaum seperti harimau, tetapi tidak ganas, Cuma air matanya sahaja yang terus mengalir.

Sebagaimana yang telah saya beritahu awal-awal tadi saya baru belajar diperingkat pertengahan (intermediate). Tambahan pula saya memang seram dengan benda-benda macam ni, apatah lagi pengalaman di sakat Kak Pon sewaktu di asrama masih terbayang diingatan.

Jadi untuk menghilangkan perasaan seram itu saya meninggikan suara memerintahkan makhluk Allah itu keluar. Dengan tangan yang sedikit ketar, saya jerit macam orang bergaduh, suruh jin tersebut keluar, orang tengok macam saya marah jin, tapi sebenarnya disamping itu saya juga nak menghilangkan rasa seram saya.

Hanya perkataan itulah yang saya ulang-ulang, keluar.. keluar.. keluar.. namun Pakcik J hanya terus menangis dan mengaum. Sememangnya fikiran saya dah buntu dan tidak tahu hendak buat apa lagi. Maklumlah belum habis belajar.. akhirnya saya mengambil keputusan untuk menamatkan rawatan.

Saya cuba menyedarkan Pakcik J, saya panggil namanya berkali-kali, namun Pakcik J masih tidak sedarkan diri. Saya sapukan air rawatan kemukanya dan beri dia minum. Tetapi Pakcik J masih tidak sedarkan diri, dia hanya mengaum dan mengerang seperti harimau cuma tidak ganas.

Sekali lagi saya panik dan buntu, saya hanya mampu berdoa semoga Allah swt menyedarkan Pakcik J. Akhirnya saya mendapat ilham untuk mencampurkan garam kasar dengan air rawatan dan saya beri Pakcik J minum. Mungkin agaknya jin harimau tu tak tahan masin sangat air rawatan tersebut, maka tiba-tiba Pakcik J sedar dan beristighfar. Cuma dia terlalu lemah dan terbaring di bawah. Saya hanya mampu mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah swt kerana terlepas dari ujian ini.

Jadi... peringatan untuk mereka-mereka yang nak jadi perawat… belajarlah sampai habis dulu, biar lambat asal selamat…

Selesai rawatan saya bekalkan Pakcik J dengan air rawatan untuk minum dan mandi. Dan saya berpesan kepadanya bahawa saya perlu membuat rawatan ulangan. Secara kebetulan, dua minggu dari masa ini saya akan melanjutkan pelajaran rawatan ke peringkat Advance. Jadi saya membuat temujanji untuk rawatan ulangan selepas saya selesai belajar peringkat yang seterusnya.

Seminggu selepas itu Makcik T menghubungi saya dan memberitahu bahawa sakit kepalanya telah sembuh. Segala puji bagi Allah swt Pemilik Kesembuhan.

InsyaAllah bila tiba waktunya saya akan kerjakan pula jin harimau pada Pakcik J. tunggulah waktu dan ketikanya... bisik hati saya.