Saturday, June 27, 2009

Pesanan untuk student-student ku....

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh...

Kehadapan student-student yang pernah belajar atau mengambil kursus dengan saya, semoga ketika ini dan selamanya anda semua dirahmati dan diberkati Allah swt. Saya mengambil kesempatan ini untuk berpesan kepada diri saya dan anda semua semoga sentiasa didalam istiqomah untuk memperbaiki dan menghitung diri.

Semoga hari ini lebih baik dari semalam dan semoga hari esok lebih baik dari hari ini. Sebagai seorang perawat atau pelajar yang mengetahui selok-belok tentang kaedah rawatan Islam didalam merawat masalah spiritual atau menentang kezaliman jin dan manusia, saya dan anda semua terdedah kepada bermacam-macam ujian dan dugaan. Oleh itu anda semua harus sentiasa taat kepada Allah dan Rasul, tunduk dan pasrah serta berserah diri kepada Allah swt. Kukuhkan pergantungan kita semua hanya kepada Allah swt.

Ilmu rawatan Islam yang kalian pelajari ini hanyalah ikhtiar untuk kita merawat diri, keluarga dan membantu mereka-mereka yang memerlukan pertolongan. Diluar sana musuh-musuh yang anda tidak nampak sentiasa menyusun strategi bagaimana untuk melemahkan anda semua samada fizikal, mental, emosional dan spiritual.

Tidak ada jalan lain untuk anda mempertahankan diri, melainkan dengan memantapkan hubungan anda dengan Allah swt. Sentiasalah basahi lidah anda dengan zikirullah, sentiasalah hidupkan hati anda dengan zikirullah, dan sentiasalah sinarkan setiap zarah didalam tubuh anda rohani dan jasmani dengan zikirullah. Hampirilah para ulama', para guru-guru yang murobbi lagi mursyid. Dengarkanlah nasihat-nasihat mereka, agar jiwa anda semua dihujani dengan air hikmah yang dapat membangunkan kekuatan diri anda sebenar.

Selagi nyawa dikandung badan, kita akan terus belajar dan belajar. Ilmu Allah swt teramat luas bagai laut tidak bertepi. Selama mana anda merasa diri masih bodoh dan anda terus belajar maka anda sebenarnya menempuh jalan orang-orang yang bijak.

Tetapi jika anda merasakan diri sudah pandai, dan tidak mahu belajar atau mengambil pelajaran, maka ketahuilah bahawa itu adalah tanda-tanda kebodohan. Maka sentiasalah berlapang dada didalam perbezaan pendapat, mungkin anda tahu apa yang orang lain tidak tahu, dan mungkin juga orang lain tahu apa yang anda tidak tahu.

Semoga kita semua sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah Allah swt dan semoga kita semua terpelihara dari tipu daya yang memesongkan kita dari redha Allah swt.

Wabillahi taufiq wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.