Tuesday, June 30, 2009

Sambungan Kisah Jin Harimau Pakcik J...

Ramai sahabat saya bertanyakan tentang kisah jin harimau Pakcik J .... apakah kesudahannya. Untuk makluman pembaca, gambar di sebelah ini ialah gambar tangan saya yang lebam kena tendangan Pakcik J pada rawatan yang kedua. Ikutilah kisah seterusnya.....


Sudah lebih tiga minggu berlalu selepas saya merawat Pakcik J bersama makcik T. Pernah juga saya cuba scan dari jarak jauh tentang kekuatan jin harimau pada tubuh Pakcik J untuk persediaan awal, ternyata jin harimau Pakcik J bukan calang-calang, walaupun dari jauh, saya dapat merasakan serangan yang cuba dilakukan oleh jin harimau Pakcik J terhadap saya. Saya hentikan scanning. Dan berdoa agar dipermudahkan segala urusan sewaktu melakukan rawatan nanti.


Setelah berjaya menamatkan kursus perubatan peringkat Advance di Bukit Fraser. Kini masa yang saya tunggu-tunggu telah tiba untuk saya membuat rawatan ulangan keatas Pakcik J. Sekembali dari kursus tersebut, saya bertambah yakin dan dapat merasakan kecerdasan fizikal, mental, emosional dan spiritual saya adalah pada tahap yang optima. Saya membuat temujanji dengan Pakcik J untuk rawatan seterusnya pada hujung minggu.


Hari yang dinanti telah tiba, sampai di rumah Pakcik J, saya dihidangkan dengan secawan teh sambil berborak-borak dengan Pakcik J. Menurutnya dia merasakan bahawa dia tidak menyukai saya, malahan sewaktu saya menghubunginya melalui talipon untuk temujanji, beliau berasa amat benci dengan saya, padahal saya dan Pakcik J tiada apa-apa perselisihan faham. Sewaktu kami berborak, dia juga merasakan bahang panas apabila berhadapan dengan saya.


Untuk makluman pembaca atau bakal-bakal perawat, bersedialah anda untuk tidak disukai. Jika rakan-rakan, sahabat handai, jiran-jiran dan sesiapa sahaja tidak menyukai anda, anggaplah itu provokasi dari musuh yang tidak nampak. Hitunglah diri anda sendiri, dan serahkan yang selebihnya kepada Allah swt. Anda perlu ingat jika makhluk itu tidak menyukai anda, dia akan menyerang anda dari berbagai sudut.

Jika anda kebal pada spiritual, makhluk itu akan cuba menyerang mental dan emosional anda. Jika dia berjaya membuatkan anda marah dengan tidak terkawal, kesukaan yang melampaui batas, kemurungan yang berlebihan, bermakna dia berjaya menganggu kestabilan anda. Dan apabila anda tidak stabil, ketika itulah serangan yang seterusnya akan berlaku. Ini hanyalah sebagai pedoman, saya tidak berniat untuk menakutkan sesiapa.


Berbalik kepada cerita Pakcik J, sebenarnya saya telah membuat persediaan dengan membawa adik lelaki saya bersama dan meminta anak lelaki Pakcik J untuk turut sama membantu dalam sessi rawatan. Saya sudah berpakat dengan mereka, bersedia untuk memegang Pakcik J, sekiranya dia mengganas.


Rawatan pun bermula, saya membaca ruqyah selama lebih kurang sepuluh minit, hairan… Pakcik J hanya diam dan tidak memberi apa-apa reaksi. Sambil meruqyah saya memerintahkan jin yang ada untuk keluar dari tubuh Pakcik J. Dia masih diam. Kemudian saya mengambil lada hitam dan memicitnya di jari Pakcik J, tetapi masih tiada reaksi. Didalam hati kecil, saya amat yakin, jin itu sebenarnya ada dan bersembunyi, tambahan pula rentetan dari rawatan yang lalu, saya mengandaikan jin tersebut sudah tahu untuk menepis pukulan ruqyah saya.

Sekali lagi saya mengambil lada hitam dan memicitkannya di jari Pakcik J, kali ini picitan saya agak kuat. Tiba-tiba Pakcik J cuba untuk menepis picitan lada hitam di jarinya. Pakcik J semakin agresif, dia cuba untuk bangun sambil mengaum dengan kuatnya. Adik lelaki saya dan anak Pakcik J yang memang sudah bersedia dari tadi, memegang Pakcik J dengan kuat, Pakcik J meronta, saya cuba mendapatkan jari kaki Pakcik J untuk menikam jin tersebut. Dan ketika inilah tendangan kaki Pakcik J terkena tangan saya. Itulah kesan lebam sebagaimana yang pembaca lihat digambar, diatas posting ini.


Setelah hampir satu minit berjuang, akhirnya saya dapat menikam jin dibahagian kaki Pakcik J. ketika itulah jin harimau tiba-tiba bercakap..” ok...ok...ok... aku keluar… aku keluar..”, inilah kali pertama saya mendengar suara jin harimau tersebut, dan saya tidak melepaskan peluang untuk berinteraksi dengan jin itu, “sebelum keluar, kau perlu bersumpah untuk tidak lagi menganggu Pakcik J”, kata saya dengan nada menengking… “sakit… sakit… sakit.. aku keluar, sumpah aku tak datang lagi…” kata jin harimau.


Banyak perkara yang ingin saya tanyakan kepada jin harimau itu, kerana saya difahamkan Pakcik J mengamalkan ilmu ini sejak beliau masih muda, dan sudah tentu banyak kerosakan yang telah jin harimau itu lakukan kepada Pakcik J dan keluarganya.


Namun saya tidak sempat untuk bertanya dengan lebih lanjut kerana sebaik sahaja jin harimau itu bersumpah dia terus keluar dari tubuh Pakcik J.


Pakcik J beristighfar lalu pengsan. Kami mengangkat Pakcik J dan membaringkannya di tilam. Lebih kurang 10 minit kemudian Pakcik J mula sedarkan diri, badannya berasa amat lemah. Saya membekalkan Pakcik J dengan air rawatan untuk mandi dan minum.


Kadangkala untuk kes-kes yang berat saya menggunakan sedikit tanah sungai untuk dibuat mandi, tetapi memandangkan sekarang ini sukar hendak mencari tanah yang sesuai, saya sudah jarang menggunakan kaedah ini.


Lebih kurang seminggu selepas itu saya menziarahi Pakcik J, menurutnya dia berasa amat tenang sekarang, tiada lagi panas baran, dia merasakan seolah-olah dadanya kosong. Kalau dulunya Pakcik J amat mudah melenting, sekarang ini Pakcik J banyak mendiamkan diri, berzikir dan bersabar. Segala puji bagi Allah yang telah menegakkan yang haq dan menghapuskan yang bathil.