Wednesday, June 17, 2009

PERJALANAN HIDUP.......


Saya ialah seorang Pengamal Perubatan Islam dan Komplementari. Pada asalnya saya hanya berkerja di sebuah syarikat swasta. Masa berlalu begitu pantas, diam tak diam… sudah bertahun-tahun saya habiskan masa dan usia saya dengan kerjaya sebegitu. Hinggalah satu ketika sewaktu saya menunaikan ibadah umrah, ketika itu saya berdoa kepada Allah swt di hadapan kaabah sekiranya ada kerjaya yang lebih baik dan lebih sesuai dari ini, saya pohon agar Allah swt lorongkan dan mudahkan saya.

Sekembalinya saya dari mengerjakan ibadah umrah, entah mengapa saya merasakan hilang minat dan semangat untuk berkerja di syarikat swasta tersebut, hati saya begitu meluap-luap ingin mencari satu perkerjaan yang lain. Sehinggalah saya bertemu dengan Dr Jamaluddin Pengasas Akademi AuraMetafizik.

Sebenarnya saya telah mengenali Dr Jamaluddin lebih kurang dua tahun. Kami sama-sama belajar di Pondok Rasah, Negeri Sembilan dibawah bimbingan Tuan Syeikh Faiz. Saya tahu
Dr Jamaluddin mempunyai klinik sendiri untuk rawatan alternatif, dan kami selalu berborak tentang hal-hal rawatan beliau. Sebelum ini juga Dr Jamaluddin ada mempelawa saya untuk mengikuti kursus yang beliau jalankan, namun ketika itu hati saya belum terbuka lagi.

Di Akademi AuraMetafizik saya bermula dengan mempelajari asas-asas rawatan, rawatan Islam, ketahanan Fizikal, Mental, Emosional dan Spiritual dengan cara yang lebih khusus untuk menjadi seorang perawat. Saya diantara murid beliau yang kerap menjalani latihan praktikal di klinik Aura Metafizik. Masih saya ingat kali pertama saya berdepan dengan kes sihir yang agak berat, pesakit disihir melalui gambarnya yang dicucuk dengan buluh dibahagian jantung, sehingga jin sihir itu pun tidak mampu melepaskan diri. Dengan izin Allah swt, Dr Jamaluddin mencabut buluh tersebut dari jarak jauh, Alhamdulillah akhirnya terlepas ikatan sihir tersebut.

Patutlah pesakit merasakan seolah-olah dia seperti mengalami sakit jantung, peliknya apabila pergi ke hospital doktor tidak dapat mengesan penyakit tersebut.

Dikhabarkan, pesakit tersebut mengenali OKS (orang kena syak), dan pesakit juga mendapat tahu OKS kerap berjumpa tukang sihir yang mengamalkan pemujaan untuk mendapatkan pelaris perniagaannya, malahan OKS juga pernah membawa anak-anaknya yang masih bersekolah berjumpa tukang sihir tersebut untuk menyihir kawan-kawan sepersekolahan mereka. Ini kes tak puas hati la ni… MasyaAllah….

Di Akademi AuraMetafizik juga saya menamatkan pembelajaran saya sehingga peringkat yang terakhir, dengan praktikalnya di Tanjung Pinang, Indonesia.

Jika diimbas kembali zaman saya kecil-kecil dahulu, kecenderungan saya pada perkara-perkara keagamaan dan spiritual sudah terzahir. Saya cukup suka apabila almarhum bapa saya bercerita tentang kisah datuk, nenek dan moyang saya merawat pesakit. Di kampung Api-Api, Kuala Selangor kalau tak silap saya sekitar tahun 1950, rumah almarhum datuk saya sentiasa menjadi tumpuan samada pesakit-pesakit yang ingin mendapatkan kaedah rawatan Islam mahupun orang-orang kampung yang memerlukan pertolongan.

Dikhabarkan, kalau zaman tu, rumah almarhum datuk saya tu kira macam rumah orang kaya yang berpengaruh la…

Yang menjadi terkilannya, segala ilmu-ilmu perubatan hilang begitu saja tanpa diwarisi oleh anak cucu, contohnya seperti ilmu rawatan patah tulang, kanser, asma (lelah) dan banyak lagi.

Mungkin pakcik-makcik saya tidak berminat dengan perkara-perkara sedemikian. Kalau adapun saya pernah lihat catitan almarhum bapa saya tentang beberapa amalan dan petua-petua yang diambil dari almarhum datuk dan nenek saya, itupun mengikut ceritanya, terlalu banyak lagi ilmu-ilmu perubatan yang tidak dipelajari atau diwarisi.

Sebelum saya menceburi bidang perubatan alternatif secara serius, saya sememangnya cenderung kepada pengajian agama Islam dan bidang kerohanian. Setelah tamat tingkatan lima, saya berkerja sambil belajar. Namun takdir Allah swt melorongkan saya bertemu dengan guru-guru yang banyak mengajar saya tentang Iman dan Islam, tauhid dan ma’rifah. Dengan mereka lah saya mendalami ilmu agama dan ilmu perubatan secara amnya.

Sehingga kini, kesimpulan yang saya dapat bahawa ilmu itu milik Allah swt. Jika pada awalnya saya merasakan ilmu perubatan almarhum datuk, nenek dan moyang saya telah pupus begitu sahaja. Rupa-rupanya Allah swt yang Maha Kaya lagi Maha Memelihara telah menganugerahkan bakat-bakat bidang perubatan itu kepada saya. Cuma apa yang saya perlu lakukan ialah belajar dan terus belajar.

Guru-guru yang mengajar adalah asbab atau sebagai perantara untuk ilmu milik Allah swt itu sampai kepada saya. Mungkin ilmu yang saya dapat tidak sama dengan ilmu perubatan almarhum datuk, nenek dan moyang saya. Serupa tapi tidak sama atau sama tapi tidak serupa. Yang penting ilmu yang saya pelajari ini bukanlah ilmu yang saya dapat melalui SAKA, na’uzubillahiminzalik…

Setahu saya, generasi sesudah almarhum datuk dan nenek saya iaitu pakcik-makcik saya hingga ke anak-cucu mereka yakni sepupu-sepupu dan anak-anak buah saya, hanya saya seorang yang menceburi bidang rawatan alternatif. Wallahua'lam.

2 comments:

kayer said...

Good & honest story...Al-Fatihah to Almarhum Abah..Our beloved father.....Hope dpt tgk live movie perubatan(tapi kaburkan la kay)..:)

anna_azliana said...

Nice blog..Al-fatihah untuk arwah abah..
bro..letakkan sijil2..

Post a Comment