Saturday, June 27, 2009

Tersalah Sihir...


Satu ketika dulu jiran ibu saya di kampung mengadu anak lelakinya batuk berdarah, puas pergi berubat di hospital tetapi masih tidak sembuh, kerana mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan anaknya, maka ia mengambil keputusan untuk merawat anaknya dengan kaedah rawatan Islam.
Yang peliknya setiap hari dia akan batuk mengeluarkan darah sekali sahaja. Sukatan darah yang keluar itu pula sama setiap hari iaitu lebih kurang satu sudu besar. Saya berjanji untuk merawat anaknya pada sebelah malam.

Malam itu saya bertolak ke rumahnya yang terletak di kampung Api-Api, Kuala Selangor. Saya membawa bersama adik lelaki saya sebagai teman.

Satu perkara yang agak pelik yang menjadi tanda tanya saya, jika saya keluar merawat, jika memang benar ada gangguan jin pada pesakit, didalam perjalanan lagi perangai saya tiba-tiba berubah.... jika pada awalnya dirumah saya banyak bercakap... tiba-tiba di tengah perjalanan saya menjadi pendiam, hati menjadi hening dan tenang, satu perasaan yang tidak dapat saya gambarkan dengan perkataan.

Saya hanya berzikir dan terus berzikir didalam kereta tanpa mengendahkan sesiapa, hinggalah tiba di rumah pesakit. Dan perasaan yang saya lalui ini pula bukan sekali dua, malahan boleh dikatakan setiap kali memang ada masalah spiritual, maka setiap kali itulah juga saya merasakan perasaan yang sama sewaktu didalam perjalanan. Mungkin inilah yang dikatakan sebagai gerak atau petanda yang diperolehi oleh seorang perawat ketika keluar merawat.

Ada beberapa ayat dan kaedah rawatan Islam yang digunakan untuk memohon petunjuk Allah swt sebelum keluar merawat, diantaranya seperti ayat Laqod jaa akum.., Bismillahillazi laya dhurru.... bacaan ayat Qursi tujuh wakaf, surah Al Fatihah dan banyak lagi... kaedahnya ialah dengan cara membacanya beberapa kali sebelum kita keluar merawat. Sekiranya ada halangan ketika kita membacanya kemungkinan anda akan menghadapi halangan didalam perjalanan ataupun semasa rawatan.

Sampai di rumah pesakit kelihatan mereka sudah menunggu kami. Setelah duduk seketika saya membuat sessi interview dengan pesakit. Menurut pesakit selain dari penyakitnya tidak dapat dikesan oleh doktor dia juga mengalami masalah sukar untuk tidur malam. Doktor di hospital juga tidak konsisten memberi kenyataan tentang penyakit yang dihadapinya. Ada ketikanya doktor memberitahu, pesakit menghidap penyakit Tibi dan kemudian hari doktor mengesahkan pula tiada kesan-kesan penyakit Tibi.

Setelah memberi pesakit segelas air yang telah diruqyah saya memulakan rawatan. Lebih kurang tiga minit saya meruqyah tiba-tiba pesakit mengerang dan seolah-olah ingin berkata sesuatu. Tetapi percakapan pesakit itu tidak jelas. Saya meruqyah lagi sambil menekan jari kaki pesakit. Dia mengerang dengan lebih kuat lagi. Tiba-tiba dia bercakap "sakit...sakit...". Saya tanyakan dia dari mana dan mengapa menganggu pesakit. Namun dia tidak menjawab, hanya mengerang dan terus mengerang. Kali ini saya bertindak lebih agresif, saya meninggikan suara dengan menengkingnya. Jin itu mengerang sambil mengeluarkan air mata...

Kemudian jin itu mula memberikan kerjasama, dia mula berkata-kata tetapi dengan suara yang amat perlahan dan seolah-olah didalam kesukaran untuk bercakap. Jin tersebut memberitahu kononnya ada seorang perempuan (namanya saya dah tak ingat), cuba menyihir ibu kepada kawan pesakit. Kebetulan, ketika itu pesakit tinggal sementara dengan kawannya untuk menjalani latihan praktikal didalam pelajarannya. Sihir yang dihantar ialah berupa santau, dan entah bagaimana sihir itu tidak mengenainya, tetapi terkena kepada pesakit ini.

Dengan izin Allah swt, saya memerintahkan jin tersebut keluar dengan cara baik. Pada mulanya jin tersebut seolah-olah sukar untuk keluar. Kemudian saya mendapat ilham untuk mendakwahkan jin itu masuk Islam. Alhamdulillah jin itu bersetuju, dan melafazkan dua kalimah syahadah. Kemudian saya perintahkan jin tersebut mengeluarkan semua bisa-bisa santau didalam badan pesakit. Jin tersebut membuat isyarat menyapu dada pesakit dan tiba-tiba pesakit muntah. Secara zahirnya tiada apa yang saya nampak pada muntah pesakit. Ianya hanyalah muntah air biasa, cuma ianya banyak buih.

Setelah itu jin tersebut memohon maaf kepada pesakit dan keluarganya diatas perbuatannya menyusahkan pesakit, kemudian jin itu pun keluar dari badan pesakit.

Saya pun memanggil nama pesakit berulang-ulang kali dan menyuruhnya mengucap, tetapi pesakit itu hanya mendiamkan diri. Saya fikir ini mesti ada jin yang tinggal dilapisan yang lain ditubuh pesakit. Saya menanyakan siapa dan dari manakah dia. Jin itu berinteraksi dengan saya, ia mengatakan dia adalah jin yang menumpang tubuh pesakit. Mereka berasal dari rumah sewa pesakit di utara tanahair. Menurut jin itu dia adalah berkumpulan, dan mereka berjumlah sepuluh jin.

Dengan izin Allah swt, saya memerintahkan mereka kembali ke tempat asal mereka iaitu di rumah sewa tersebut. Setelah bersumpah untuk tidak menganggu pesakit lagi maka jin-jin itu pun keluar. Saya membekalkan pesakit dengan air rawatan untuk minum dan mandi. Alhamdulillahirobbil 'alamin.

Tiga hari kemudian ibu pesakit menalipon saya mengucapkan terima kasih dan memberitahu saya bahawa anaknya tidak lagi batuk berdarah. Ibu pesakit juga menyatakan betapa kini dia amat yakin dengan kaedah rawatan Islam.