Monday, June 29, 2009

Urut Tradisional

Mengurut seorang pesakit bukanlah semudah yang disangkakan, tetapi ia ada cara dan seni tersendiri yang harus dipatuhi oleh tukang urut.

Ada tukang urut mewarisi dan mempelajari cara mengurut dari ibu, ayah, datuk atau nenek mereka, ada juga yang mempelajarinya secara khusus untuk mendapatkan ilmu tersebut.

Pada dasarnya mengurut adalah bertujuan untuk melancarkan perjalanan darah. Peredaran darah yang mengalir melalui jaringan dan pembuluh darah ibarat sungai-sungai yang dialiri air, iaitu pembuluh dan susunan saraf pada tubuh manusia. Jika perjalanan darah tidak lancar maka timbullah pelbagai penyakit yang mengganggu kesihatan seseorang itu.

Aliran darah yang mengalir keseluruh tubuh melalui pembuluh dan saraf-saraf, adalah seperti sungai, jika sungai, itu ada sampah atau kotoran-kotoran yang menghalang, maka aliran air sungai itu tidak akan lancar, begitu juga dengan pembuluh yang dilalui oleh darah tersumbat atau tidak normal, membuatkan aliran darah tidak lancar.

Oleh itu otot-otot dan jaringan tubuh akan kekurangan bahan makanan dan mineral, kerana darah yang mengirimnya terlambat atau tidak mencukupi keperluan. Akibatnya timbullah rasa sakit, nyeri atau lelah.

Jika aliran darah terlambat bererti saraf yang dipakai lalu lintasnya terganggu, perkara ini tidak boleh dibiarkan berlarut-larutan, akibatnya ada organ tubuh yang terganggu dan tidak normal atau sakit. Misalnya pembuluh darah atau saraf yang berada di daerah pinggang atau peha terganggu maka otot-otot, atau sel-sel didaerah itu mengalami kekurangan bahan sari makanan atau oksigen, jika dibiarkan timbullah rasa nyeri di keliling pinggang atau letih lesu. Oleh itu daerah saraf atau pembuluh darah perlu dilakukan urutan agar tidak lagi terganggu.

Teknik Mengurut Yang betul

• Dengan ibu jari dan jari tangan.
• Dengan bantuan benda seperti duit syiling dan biji salak.

Bila Waktu Pesakit Boleh Di Urut

Jika anda hendak mengurut hendaklah difikirkan waktu
yang sesuai bagi pesakit untuk di urut.

Yang harus anda fikirkan adalah seperti berikut:

• Lima minit sesudah atau sebelum makan.

• Urut ketika seseorang itu sihat (Tidak demam).

• Lakukan pada waktu pagi atau petang.

• Jika seseorang itu demam panas atau mengalami penyakit kronik, jangan dilakukan urutan.

Bagaimana Dapat Kita Mengetahui Ciri-ciri Tukang Urut Yang Mahir?

• Pelanggan akan dapat menilai kemahiran tukang urut dengan hasil urutan yang mereka terima. Anda dapat rnerasai kemahiran tukang urut sekiranya sebelum diurut badan anda terlalu letih tetapi selepas diurut badan anda terasa segar dan bertenaga serta ringan di seluruh badan.

Selain itu tidak ada -tanda-tanda lebam, merah terluka kerana terkena kuku dan tempat yang sakit tidak semakin teruk sakitnya.

Tukang urut yang tidak mahir dapat dikesan melalui:

1. Kuku jari tukang urut panjang.

2. Cara kedudukan tukang urut yang sering berubah-ubah tempat dalam masa yang singkat ketika mengurut.

3. Sering jadi urutan yang menyebabkan pelanggan mengeluh kesakitan.

4. Pelanggan lebih-merasa letih, penat dan sakit sesudah diurut.

5. Terdapat tanda calar, lebam, luka di badan pelanggan kerana urutan yang kuat terkena jari atau kuku.

6. Suka membongkok, memusing atau mematahkan sendi melebihi tahap pergerakan satu-satu anggota.

7. Bila mengurut pelanggan yang terseliuh beserta bengkak yang besar berwarna kebiruan, ia terus mengurut di tempat bengkak dan bukannya mencari punca-punca urat yang ada hubung kaitnya dengan tempat yang bermasalah.

Terdapat tiga bahagian dalam kaedah mengurut seluruh badan iaitu meniarap, terlentang dan duduk. Bahagian yang perlu diurut ketika meniarap ialah:

1. Urut tapak kaki
2. Urut betis/ labu betis
3. Urut belakang peha
4. Urut pinggang/ isi punggung dan pinggang
5. Urut belakang
6. Urut urat belikat
7. Urut belakang lengan bahagian kedua diurut semasa terlentang:
1. Urut betis tepi tulang kering
2. Peha luar dan dalam
3. Urut perut
4. Urut sudu Kati dan rusuk
5. Urut lengan dan ketiak
6. Urut buah dada
7. Urut muka/ mata/ pipi

Bahagian yang diurut ketika duduk

1. Urut bahu dan leher
2. Urut belakang leher dan kepala
3. Urut tangan dan tapak tangan/jari

Mengenal Pasti Keadaan Urat Saraf

Perkara ini penting kepada sesiapa sahaja yang akan muncul sebagai tukang urut. Ini kerana, seorang tukang urut perlu mempunyai pengetahuan tentang urat saraf yang ada hubung kaitnya dengan anggota lain. Misalnya datang seorang yang mengadu mempunyai masalah salah bantal (keadaan dimana seseorang itu tidak boleh memusingkan kepala atau berpaling ke kanan atau ke kiri selepas bangun dari tidur). Langkah pertama yang perlu diambil ialah kenal pasti terlebih dahulu urat saraf yang berhubung kait dengan masalah tadi. Urat yang membawa masalah kepada leher biasanya, terletak di sekitar urat belikat. Oleh itu, urutlah lebih dahulu di sekitar urat belikat dan anda akan menemui urat yang keras dan menegang, urutlah perlahan sehingga ianya menjadi kendur, perlahan-lahan urutkan pula ke arah leher dan bahu.

Mengetahui Beza Antara Tulang Dan Urat

Jika seseorang tukang urut tidak dapat membezakan antara tulang dan urat, matlamat pelanggan untuk mencari keselesaan melalui kaedah urutan tidak akan tercapai, malah mungkin berlaku kemalangan yang lebih teruk sekiranya tukang urut tersalah urat pada tulang pelanggannya.

Memang satu kerja yang agak rumit untuk membezakan antara tulang dan urat kerana kadangkala anda bertemu dengan tulang-tulang yang terlalu lembut khususnya di sekitar belikat dan bahu yang dirasai seakan-akan urat bengkak.

Jenis-jenis Urat

Urat biasanya tergolong dalam tiga kategori. Mengikut pengalaman tukang-tukang urut, urat dalam tubuh manusia merangkumi urat pada tubuh yang sihat. Urat orang yang sakit dan urat orang yang mati sebelah badan atau paralysis.

Urat-urat ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, sebaliknya hanya dapat dirasa oleh tukang-tukang urut yang mahir melalui sentuhan jari. Urat yang tegang dan bengkak pula terbahagi kepada dua bahagian, pertama urat yang telah lama bengkak dan kedua urat yang baru bengkak.

Urat yang sudah lama bengkak dan tegang akan terasa keras sedikit sementara yang baru bengkak ianya agak lembut dan senang dikendurkan. Sama ada yang baru atau lama bengkak, ianya akan menjadi penyebab terjadinya rasa lenguh-lenguh apabila banyak berjalan, mudah tersentak atau terjadinya simpul biawak, mudah terasa kebas-kebas mudah di serang sakit bahu dan belakang.

7 comments:

  1. assalamualaikum. mohon copy ye untuk penyelidikan. terima kasih =)

    ReplyDelete
  2. assalamualaikum ustaz.. sy kerap sakit bahu smpaikan mata pun terasa kabur..
    masalahnya bila sy p mengurut masalah sakit sy tetap tidak selesai. seksa nya hanya Allah swt Maha Mengetahui... =(

    ReplyDelete
  3. Assalamulaikum ustaz..anak salah mengalami urat bengkak kat leher..ataupn salah urat.. boleh ka ustaz merawat ank sy.. tolonglah bantu ustaz.. :(

    ReplyDelete
  4. Assalammualaikum...mohon izin share maklumat ini

    ReplyDelete
  5. assalammualaikum buku lali saya bengkak booleh tolong cerita macam mana cara nak urut?

    ReplyDelete
  6. Assalam. Tulang siku saya lari kedudukan. Boleh dibetulkan dengan urut tak?

    ReplyDelete

Madad... Madad.. Ya Rasulullah...