Monday, July 6, 2009

Berlapang Dadakah kita...?


Solat merupakan ibadah khusus yang paling besar dalam Islam. Ia merupakan rukun Islam yang kedua. Cara mengerjakan solat pula tentu sahaja di ajar oleh Rasulullah saw menerusi perlakuan dan perkataan baginda. Justeru itu baginda menyatakan: “solatlah kamu sebagaimana kamu melihat saya mengerjakan solat..” Kedudukan solat ini menjadikan para sahabat dan para ulama berusaha untuk memahami cara solat sebagaimana yang diajar dan dilakukan oleh baginda. Sumbernya tentulah daripada hadis-hadis baginda saw samada hadis perbuatan atau hadis perkataan.

Namun, apabila diteliti, hadis-hadis tentang perlakuan solat baginda dan ucapan baginda membuka ruang untuk pentafsiran yang pelbagai. Ini kerana dalam menjelaskan tentang perlakuan solat ada beberapa hadis yang menjelaskan sifat yang berlainan. Justeru itu berlaku perbezaan pendapat dalam menjelaskan hakikat solat baginda yang sebenar.

Perbezaan pendapat ini pula selalunya diklasifikasikan menerusi perbahasan empat mazhab yang besar iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali. Ini kerana ke empat-empat mazhab inilah yang direkod dan disebar secara meluas oleh pendukung-pendukungnya. Keadaan ini tidak menafikan kewujudan pandangan-pandangan lain yang dipelopori oleh tokoh-tokoh sezaman dengan tokoh empat mazhab.

Namun, selalunya pandangan mereka tidak lari dari pandangan-pandangan tokoh-tokoh dan pendokong-pendokong mazhab ini.

Malah, jika datang tokoh-tokoh ulama terkemudian membahaskan perlakuan solat baginda, huraian mereka tidak akan lari dari apa yang telah dibicarakan oleh tokoh-tokoh ulama terdahulu dalam pelbagai mazhab. Yang tinggal hanyalah mempertimbangkan antara dalil-dalil yang telah dikemukakan oleh tokoh ulama terdahulu, seterusnya mentarjihkan (memperkuatkan) tafsiran yang dirasakan lebih kuat.

Namun hakikat yang perlu diterima dalam perbahasan hukum-hakam fiqh ialah; sesuatu yang dirasakan lebih rajih dan kuat oleh seorang tokoh ulama mungkin dianggap lemah oleh tokoh ulama yang lain. Ini kerana akal dan kefahaman manusia berbeza. Sesuatu yang dirasakan kuat berdasar penelitian dan kajian seseorang yang berilmu mungkin dianggap lemah oleh penelitian dan kajian seorang ilmuwan yang lain.

Menyedari hakikat inilah maka para tokoh ulama sepanjang zaman sejak awal islam hingga ke hari ini sentiasa berlapang dada dengan tafsiran berbeza oleh tokoh ulama yang lain. Mereka menyatakan; pandangan saya benar tetapi mempunyai kebarangkalian salah. Pandangan anda salah tetapi mengandungi kebarangkalian benar.

Sikap berlapang dada ini menjadikan tokoh-tokoh ulama sentiasa merendah diri dan tidak angkuh dengan pandangan dan tafsiran peribadi. Mereka tidak taksub dan menyerang tafsiran yang berbeza oleh tokoh yang lain dengan gelaran sesat. Ini kerana hakikatnya masing-masing berijtihad untuk memahami hakikat solat Rasulullah.

Sekiranya tafsiran mereka tepat, mereka akan diberikan dua pahala. Sebaliknya sekiranya kurang tepat atau tersilap mereka akan tetap diberikan satu pahala. Ini berdasarkan sabda baginda: sesiapa yang berijtihad lalu menepati ijtihadnya, maka baginya dua pahala. Sesiapa yang berijtihad lalu tersilap. Maka baginya satu pahala.Apatah lagi, tokoh-tokoh ulama Islam sepanjang zaman menyedari bahawa setiap tafsiran fiqh yang telah diusahakan oleh tokoh-tokoh yang awal yang akhirnya membentuk mazhab iaitu Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafie dan Imam Hanbali, merupakan tafsiran yang telah disokong oleh jutaan ulama terkemudian.

Ertinya jutaan akal pemikiran telah memberi kesaksian terhadap tafsiran yang mereka usahakan. Tafsiran mereka itu menepati tafsiran jutaan tokoh ulama terkemudian sepanjang 14 kurun. Tambahan lagi, kita mendapati, ulama-ulama 3 mazhab mungkin sependapat, tetapi dicanggah oleh tokoh ulama dalam satu lagi mazhab lain.

Dalam perbahasan lain pula, tokoh mazhab yang mempunyai pandangan berbeza tadi bersependapat pula dengan 2 mazhab, tetapi satu lagi mazhab yang berada dalam kelompok pertama mempunyai pandangan berbeza pula. Inilah perbezaan kefahaman dan tafsiran yang berlaku.

Menyedari hakikat ini, para tokoh ulama sentiasa berlapang dada dalam menghadapi perbezaan pendapat dalam membahaskan persoalan-persoalan hokum termasuklah hukum-hakam solat.Bagi masyarakat awam yang keinginan mereka hanyalah mahu beramal, secara mudahnya mereka tentu sahaja mempelajari tafsiran solat Rasulullah sebagaimana yang dihuraikan oleh tokoh mazhab setempat mereka.

Perlu diingat, pendapat yang kita rasakan kuat menurut ilmu yang ada pada kita MUNGKIN dirasakan lemah menurut ilmu orang lain. Justeru, mahu atau tidak kita perlu menerima perbezaan tafsiran ini dengan LAPANG DADA. Taksub dengan tarjihan peribadi (pandangan yang kita rasa kuat) bukanlah sikap orang yang berilmu. Ia hanya menggambarkan kecetekan ilmu dan kedangkalan kefahaman terhadap realiti khazanah fiqh Islam.

Apa yang mendukacitakan ialah kedapatan segelintir golongan yang merasakan HANYA mereka orang yang berilmu! Hanya mereka yang membuat kajian ilmiyah! Hanya mereka yang membuat penelitian yang tepat! Hanya pandangan mereka yang tepat! Hanya mereka yang menepati sunnah Nabi! Inilah bunga-bunga taksub.

Bunga-bunga taksub ini pula meresap masuk ke dalam jiwa masyarakat awam yang berguru dengan mereka. Maka jadilah golongan awam ini mangsa ketaksuban seorang guru. Mereka menjadi golongan yang lebih taksub. Ketaksuban menjadikan seseorang memejam mata daripada menerima pandangan berlainan. Mereka menjadi sombong, angkuh dan bongkak. Sifat merendah diri yang menjadi hiasan diri orang berilmu telah hilang. Syaitan telah membelit mereka. Mereka terpedaya dengan Iblis. Guru ini terpedaya dengan ilmu sendiri hingga merasakan merekalah orang paling berilmu.

Justeru, mereka mendabik dada dengan pandangan mereka sendiri. Hasilnya mereka menidakkan tafsiran yang lain meskipun dipelopori oleh tokoh-tokoh yang telah diperakui keilmuan mereka seperti Abu Hanifah, Maliki, Syafie dan Hanbali. Keilmuan mereka diperakui oleh jutaan ilmuwan terkemudian. Tafsiran mereka didokong oleh jutaan tokoh ulama sepanjang 14 kurun. Tetapi tafsiran yang diperakui oleh jutaan tokoh itu ditolak dan dipersendakan oleh beberapa ilmuwan kecil di akhir zaman yang ilmu bahasa dan kefahaman fiqhnya tidak seberapa.

Artikel ini ditulis oleh Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali. Artikel ini menarik minat saya tentang sifat ulama’-ulama’ mu’tabar yang sangat berlapang dada didalam perbezaan pendapat sesama mereka, semoga kita dapat manfaat darinya. Tajuk asal artikel ini ialah FIQH SOLAT RASULULLAH.