Friday, July 10, 2009

Gangguan Jin Bukit - PART 2


Pada kisah yang lalu saya menceritakan bagaimana seorang gadis (N) diganggu sekumpulan jin bukit me****ti, dan jin tersebut mentertawakan saya apabila saya membaca ayatul Qursi didalam keadaan panik.
Walaupun akhirnya jin tersebut keluar, saya berharap agar dapat bertemu semula dengan jin yang mentertawakan saya itu supaya saya dapat mengajarnya cukup-cukup secara berdepan.

Untuk makluman pembaca, mungkin ada diantara kisah-kisah yang saya paparkan terselit perkara-perkara yang berunsur jenaka. Saya tidak bermaksud untuk membuat lawak, tetapi sebaliknya, apa yang ingin saya sampaikan ialah, banyak perkara yang saya belajar dari peristiwa-peristiwa lucu tersebut.

Suka duka sepanjang saya menceburkan diri didalam bidang rawatan Islam, banyak mengajar dan mendewasakan saya dari sudut pengalaman. Selalunya, kebuntuan didalam menyelesaikan kes-kes tertentu mendatangkan ilham untuk teknik-teknik dan ilmu yang baru. Semoga kisah-kisah saya ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para pembaca.

Kita sambung kembali kisah tentang N. Menurut Pakcik R, sejak dari kejadian pada malam khamis yang lalu, nampaknya N sudah pulih dan tidak kerasukan lagi. Walaubagaimanapun Pakcik R tetap meminta saya agar membuat pemeriksaan lanjut keatas N.

Seperti yang telah saya janjikan pada Pakcik R, saya datang ke rumahnya pada sabtu malam.

Apabila saya sampai di rumah Pakcik R, saya lihat N duduk di sofa. Kelihatan riak wajah N seperti biasa, tiada pula tanda-tanda gangguan jin keatas dirinya.

Setelah berborak-borak sebentar saya pun meminta supaya N duduk dihadapan saya untuk pemeriksaan. Tetapi… belum sempat saya membaca surah Al-Fatihah tiba-tiba N tumbang. N seolah-olah didalam keadaan separuh sedar. Saya tahu itu bukannya N, itulah jin yang menganggu N. Saya meninggikan suara menyuruh jin itu keluar. Ia hanya berkata sakit… sakit…, dan mengangguk tanda setuju untuk keluar. Tetapi pakcik R tidak mengerti, pakcik R sangkakan bahawa saya menengking anaknya. Riak wajah pakcik R berubah sambil merangkul anaknya.

Saya terangkan pada pakcik R bahawa yang mengerang kesakitan itu bukan anaknya, tetapi ianya adalah jin yang berada didalam tubuh N.

Kemudian jin tersebut membuat isyarat seperti tarian hindu, sambil menghembus-hembuskan nafas panjang dan akhirnya N pengsan. Lebih kurang dua minit kemudian saya cuba mengulangi untuk membaca ruqyah, tiba-tiba N bangun dan dan membuat tarian yang lebih kurang sama dan pengsan lagi.

Saya menjangkakan jin yang menganggu N ini adalah dalam jumlah yang banyak, dan mungkin mereka ini berkumpulan. Sepanjang sejam rawatan, itulah proses yang saya ulangi, bacaan ruqyah, arahkan jin keluar dan N pengsan... adakalanya tiba-tiba N seperti tidak mengerti apa-apa, hanya bangun, termangu-mangu dan memerhatikan sekeliling. Saya mula kebuntuan.

Ketika mula-mula membuat rawatan dahulu. Saya tidak mengenal erti tangguh. Selagi jin tak keluar, selagi kes tak selesai, selagi itulah saya akan teruskan merawat. Dan kaedah begini adalah memenatkan perawat dan memenatkan pesakit.

Waktu sudah hampir dua jam berlalu, dan saya masih merawat N, ketika itu N hanya duduk dihadapan saya memandang sekeliling tanpa berkata apa-apa sepatah pun. Saya naik gelisah kerana sudah berbagai-bagai cara saya ikhtiarkan, namun N masih belum pulih. Saya diam seketika dan berdoa agar Allah memudahkan segala urusan saya pada malam itu.

Ketika inilah saya mendapat ilham untuk menentang jin tersebut dengan kaedah scan dan rawat dengan serentak.

Merawat dengan kaedah ini, bukan sahaja tertumpu kepada masalah spiritual, tetapi juga fizikal, mental dan emosional. Pernah juga didalam keadaan terdesak, saya menggunakan kaedah ini untuk merawat masalah angin pasang. Walaubagaimanapun kita jangan lupa, bahawa semuanya itu adalah dengan izin Allah swt.

Tidak sampai dua minit saya merawat dengan kaedah tersebut, tiba-tiba N bersuara dan mengatakan bahawa dia sudah sedar. Saya menarik nafas lega dan mengucapkan syukur kehadrat Allah swt.

Saya beritahu Pakcik R saya perlu membuat pemeriksaan semula keatas N pada esok pagi. Pakcik R hanya mengangguk dan mengharapkan agar N sembuh sepenuhnya.
Rawatan ke atas N pada keesokan harinya benar-benar mencabar keupayaan saya sebagai perawat, satu rekod bagi saya, apabila saya merawat N selama 8 jam tanpa henti. Ini adalah kesilapan saya dan saya belajar dari kesilapan... InsyaAllah kisah ini akan saya paparkan pada minggu hadapan.