Friday, July 3, 2009

Diganggu Jin Bukit Me****ti


Kisah kali ini banyak memberi pengajaran kepada saya didalam bidang rawatan. Ianya berlaku lebih kurang beberapa tahun yang lalu.

Pada suatu malam Jumaat saya menghadiri majlis zikir di Pondok Rasah, Seremban. Entah bagaimana di majlis malam itu telefon bimbit saya boleh tertinggal di dalam kereta.

Selesai majlis, saya bergegas ke kereta untuk menghantar barang-barang saya dan saya lihat di telefon bimbit ada 53 miss call, ianya adalah panggilan dari ibu saya di kampung dan ada juga dari nombor yang tidak saya kenali. Saya terus menelefon ibu saya, rupa-rupanya ibu saya memberitahu ada orang kampung (Pakcik R) mencari saya kerana anaknya meracau-racau dirasuk oleh jin.

Saya telefon pula Pakcik R, dan melalui telefon saya mendengar suara gadis sedang menjerit-jerit. Menurut Pakcik R, anaknya bersama rakan-rakan pergi ke pekan waktu hampir maghrib tadi, sesudah itu mereka menaiki kereta ke Bukit Me****ti untuk bersiar-siar. Jiran Pakcik R menasihatkan agar Pakcik R membawa anaknya berjumpa bomoh di kampung yang berdekatan. Tetapi Pakcik R menyatakan bahawa dia hanya yakin untuk merawat anaknya itu dengan kaedah rawatan Islam.


Untuk Makluman pembaca, Bukit Me****ti adalah sebuah tempat bersejarah, di situ ada batu hamparan tempat tentera jepun memancung kepala mangsanya, berbagai kisah-kisah yang pelik dan aneh berlaku di kawasan tersebut. Sesiapa yang ingin bersiar-siar atau beriadah, mereka boleh menaiki kereta atau ada keretapi khas untuk membawa pelancong ke atas bukit.


Pada mulanya rakan-rakan gadis (saya namakan N) tersebut telah menasihati N agar membatalkan saja niat untuk naik ke bukit itu, tambahan pula sudah masuk waktu maghrib. Tetapi N berkeras ingin naik ke bukit untuk bersiar-siar sebentar.

Sewaktu kenderaan mereka melalui batu hamparan tempat tentera jepun memancung kepala, tiba-tiba N menjerit seperti kerasukan, N melihat begitu ramai makhluk berbadan kenit bergayut dibelakang kereta mereka, seolah-olah mahu menangkap N. Dalam keadaan panik, rakan-rakan N bergegas memandu N pulang ke rumah, sedangkan N masih terus menjerit dan menangis.


Melalui telefon, Pakcik R merayu kepada saya untuk membantu anaknya N. Saya serba salah, ketika itu saya di Seremban, untuk kerumah Pakcik R sekurang-kurangnya mengambil masa 2 ½ jam. Kalau ikutkan hati mahu saya ke rumah Pakcik R malam itu juga. Salah satu kelemahan saya didalam rawatan ialah, saya mudah kasihan kepada pesakit, isteri saya selalu bising kononnya, apabila ada pesakit meminta tolong, jika saya sedang makan nasi pun saya boleh tinggalkan.


Saya beritahu Pakcik R kaedah rawatan Islam amat fleksible dan saya akan cuba rawat dari jauh dahulu. Saya minta Pakcik R meletakkan telefon ditelinga N, disana ada lima orang sedang memegang N yang tidak henti-henti menjerit dan meronta-meronta.

Melalui telefon, saya menengking jin tersebut mengarahkannya supaya keluar. Tetapi Jin itu menjawab sambil tertawa, “Kau tidak dapat berbuat apa-apa, di luar rumah ini ada ramai lagi kawan-kawan aku yang sedang menunggu untuk masuk”. Tanpa bertangguh, saya terus membacakan surah al-hasyr ayat 21-24, ayatul Qursi dan saya azan di telefon. Maka terjerit-jerit lah jin tersebut, “panas!!!panas!!!...”, tetapi jin itu masih tidak mahu keluar.


Hampir 5 minit saya meruqyah dan menengking jin tersebut agar ia keluar, tetapi dia hanya terpekik dan terlolong. Jin itu berkata lagi, “aku boleh keluar dari rumah ini tetapi aku nak bawa perempuan ini sekali”. Saya bertambah panik dan buntu, sudah lah pesakit berada jauh dari saya… jin pula tak mahu keluar.


Dalam keadaan panik itu saya membaca lagi ayatul Qursi, tetapi apa yang berlaku, jin itu hanya ketawakan saya… Marah pun ada, panik pun ada, buntu pun ada.


Dari peristiwa inilah saya belajar bahawa, didalam menghadapi gangguan jin atau makhluk halus, kita tidak boleh panik, ini adalah kerana apabila kita panik, aura disekeliling tubuh badan kita pecah, dan ini boleh menyebabkan kekuatan kita terganggu dan hilang fokus.


Setahu saya makhluk halus ini dapat melihat atau mengetahui samada seseorang itu didalam keadaan berani, ketakutan atau panik. Saya difahamkan ianya seumpama deria seekor anjing yang dapat menghidu niat atau hati seseorang samada berniat baik atau jahat. Ini adalah kerana niat seseorang itu mempunyai getaran, dan getaran itu menghasilkan gelombang. Dan ada diantara makhluk-makhluk Allah swt dimuka bumi ini yang berupaya untuk mengesan gelombang-gelombang yang sedemikian.


Akhirnya saya mendapat ilham untuk mengarahkan Pakcik R mencari sebatang kayu sebesar pen, dan cucukkannya di antara dua jari kaki N. Dengan izin Allah swt, tiba-tiba jin itu keluar dan N pun sedar. N menangis dan memeluk ibunya.


Sambil menarik nafas lega saya mengucapkan kesyukuran kepada Allah swt. Saya beritahu pada Pakcik R, InsyaAllah saya akan menziarahinya pada hujung minggu.

Sewaktu memandu pulang dari Seremban ke Kuala Lumpur saya asyik memikirkan tentang jin yang mentertawakan saya semasa saya membaca ayatul Qursi tadi. Saya berdoa dan berharap agar bertemu semula dengan jin tersebut dan insyaAllah saya akan mengerjakannya cukup-cukup.


Ternyata doa dan harapan saya untuk bertemu semula dan membelasah jin tersebut akhirnya mengundang padah… Mengapa…? Kita tunggu sambungan kisah ini di waktu yang akan datang… InsyaAllah…