Wednesday, July 15, 2009

Fitnah Air Ruqyah...


Satu masa dulu, saya pernah menjual air ruqyah kepada sesiapa yang berhajat. Kandungannya ialah sebotol air mineral 1.5 liter yang telah saya bacakan ruqyah syar’iyyah dan zikir-zikir tertentu. Harganya RM5 sebotol.

Ada seorang hamba Allah datang membeli air tersebut. Dia mengadu dia dan anaknya kerap mengalami sakit kepala. Dia juga berhajat semoga air tersebut menjadi air penerang hati untuk anaknya.

Ada juga yang datang mengadu anaknya selalu sakit perut dan berhajat membeli air tersebut untuk anaknya.

Setelah seminggu berlalu, saya mendapat khabar melalui jiran saya bahawa hamba Allah yang mengadu dia dan anaknya sakit kepala itu mengalami gatal-gatal kepala selepas minum air ruqyah yang mereka beli dari saya.

Begitu juga hamba Allah yang mengadu anaknya sakit perut itu juga, memberitahu kepada jiran saya perut anaknya keluar gatal-gatal selepas minum air ruqyah tersebut.

Isu ini menjadi besar yang kemudiannya menyebabkan perselisihan faham diantara isteri saya dan jiran.

Menurut pendapat salah seorang dari guru saya, kadangkala tanda-tanda gatal yang timbul selepas minum atau mandi air rawatan yang telah diruqyah menandakan ada jin-jin yang bertapak didalam tubuh pesakit itu mati.

Selepas kejadian tersebut, saya tidak lagi memberi air ruqyah kepada orang awam yang tidak menjalani rawatan dengan saya, kerana dikhuatiri kesan-kesan akibat minum atau mandi air ruqyah akan menimbulkan fitnah lagi. Kecuali mereka yang benar-benar saya kenali itupun selepas saya nasihatkan untuk menjalani rawatan lanjut sekiranya ada tanda-tanda aneh selepas minum atau mandi air ruqyah.

Didalam menceburkan diri di bidang rawatan, banyak perkara-perkara yang perlu diambil kira untuk mengelakkan fitnah. Perawat perlu berhati-hati pada setiap gerak langkah, tutur kata, dan selalu memohon perlindungan Allah swt dari fitnah dan kejahatan jin dan manusia.
Ini adalah kerana, ada diantara jin-jin atau tukang-tukang sihir yang bertindak balas atau berdendam dengan perawat.
Mereka sentiasa mencari jalan bagaimana untuk melemahkan perawat. Jika perawat-perawat mempunyai perisai yang tebal dan tidak dapat ditembusi oleh ahli sihir atau jin, mungkin mereka akan cuba untuk menghasut orang-orang disekeliling perawat, seperti anak isteri, sanak saudara, sahabat handai, jiran-jiran kadangkala pesakit itu sendiri juga di-provok oleh jin-jin tersebut agar membenci perawat.

Didalam perkara ini perawat perlu banyak bersabar, banyak meng-islah atau menghitung diri, sentiasa memerhatikan kelemahan diri dan cuba untuk memperbaikinya. Pergantungan diri hanya dengan Allah swt, kepadaNya kita berserah, kepadaNya kita berharap.

Pernah satu ketika dulu saya difitnah oleh jin didalam tubuh pesakit, dihadapan ramai orang jin tersebut memberitahu bahawa dia dihantar oleh saya. Ketika itu pula memang ada diantara mereka-mereka itu yang tidak senang dengan saya, lantas cuba menangguk di air keruh.

Jika ada mana-mana perawat yang menghadapi keadaan sebegini, anda jangan panik, jangan malu, yakin pada diri sendiri, berserah pada Allah. Sekiranya memang jin itu dihantar oleh seseorang, maka jin tersebut sedikit sebanyak memang tahu peribadi tuannya.

Maka salah satu cara untuk membuat pengesahan maka tanyakanlah pada jin tersebut hal-hal peribadi anda, tanyakan pada jin tersebut sekiranya benar aku yang menghantar engkau, siapa nama ibu aku, atau siapa nama ibu isteriku atau apa-apa sahaja soalan yang berkaitan dengan peribadi anda.

Ataupun anda boleh uji jin tersebut, anda berdoa dihadapan jin tersebut dengan lafaz yang jelas boleh didengar oleh semua orang. Anda nyatakan pada jin tersebut bahawa anda akan membaca ayatul Qursi, dan sekiranya anda yang menghantar jin tersebut, maka bacaan ayatul Qursi itu tidak akan membakarnya, tetapi sekiranya jin itu membuat fitnah, maka ia akan terbakar hingga hangus.

Kemudian anda lafazkan doa tersebut dengan lafaz yang boleh didengari oleh semua hadirin ketika itu. “Ya Allah, dengan kebesaranMu aku pohon dipertunjukkan, sekiranya
ini adalah fitnah semata-mata maka dengan berkat ayatul Qursi ini aku pohon agar jin ini terbakar sampai hangus, tetapi sekiranya jin ini bercakap benar maka bacaan ayatul Qursi itu tidak akan memberi kesan kepada jin tersebut”

Kemudian anda letakkan tapak tangan kanan di kepala pesakit dan anda bacakan ayatul Qursi dengan niat membakar jin tersebut kerana dia membuat fitnah dan kebohongan.

Ataupun yang terakhir sekali, sekiranya tidak ada jalan lain, jika api fitnah semakin besar, yang pertama, anda perlu memohon keampunan dari Allah swt, kerana dikhuatiri ini adalah kifarah dari dosa-dosa yang tidak kita ketahui. Kemudian mohonlah petunjuk Allah swt melalui solat istikharah atau solat hajat.

Sedangkan Tuan Guru Harun Din pun difitnah inikan pula kita yang kerdil.

Wallahua’lam.