Thursday, July 23, 2009

Sambungan Kisah Gangguan Jin Bukit - PART 3

March 2005, Ahad, jam 8.30 pagi, saya ke rumah pakcik R untuk meneruskan rawatan keatas N. Sampai di rumah Pakcik R, ibu N mengejutkan N yang masih belum bangun dari tidur. N bangun, dan pergi ke bilik air sambil menghempaskan pintu biliknya. Kami tergamam melihat perlakuan N sedemikian. Adakah itu N yang sebenar ataupun Jin yang masih berselindung disebalik N.

Selesai urusannya di bilik air, N duduk dihadapan saya hanya dengan berbaju T-shirt dan bertuala mandi. Saya jadi serba-salah, mana mungkin saya melakukan rawatan dengan pesakit yang hanya bertuala mandi, takut-takut nanti akan menimbulkan masalah lain jika terlucut tuala yang dipakainya. Tambahan pula ini menyalahi adab Rawatan Islam. Saya meminta ibu N memakaikannya dengan pakaian yang lebih sempurna.

Setelah itu N kembali duduk dihadapan saya dengan pandangan yang tidak senang. Saya hanya meminta N menutup mata dan bertenang. Sebaik sahaja N menutup mata, dia rebah, dia menghembus-hembuskan nafas melalui mulutnya seperti meniup belon. Saya membaca ruqyah sambil mengarahkan jin tersebut keluar. Setelah Jin keluar N pengsan. Untuk mengesahkan tiada lagi gangguan saya melakukan scaning dengan menghalakan tangan saya ke arah N.

Sebaik saja saya menghalakan tangan ke arah N, dia mula mengerang dan mulutnya berkumat-kamit sambil menghembus-hembuskan nafas melalui mulut. Sekali lagi saya arahkan jin tersebut keluar, N menggerak-gerakkan tangannya seperti tarian hindu kemudian pengsan lagi.Begitulah perlakuan N berkali-kali, dan tanpa saya sedari jam sudah menunjukkan pukul 11.30, bermakna lebih kurang 3 jam telah berlalu.

Saya cuba mengarahkan jin-jin itu kesemuanya agar keluar dengan serentak, namun jin itu tetap keluar dengan cara satu persatu. Saya memberhentikan rawatan dan meminta agar ibu N memandikan N dengan air rawatan yang dicampur garam kasar. N menggeleng tanda tidak mahu dimandikan. Namun ibunya memujuk dan akhirnya N mengalah juga.

Menurut ibu N, setelah N dimandikan dengan air rawatan, sebelum keluar dari bilik air, tiba-tiba N dengan pantas mencapai segayung air biasa dan menyiram tubuhnya, ini menunjukkan jin di dalam badan N amat terkesan dengan air rawatan sehinggakan N ingin membilasnya dengan air biasa.

Sampai di biliknya N menghempaskan pula pintu almari, kami bergegas ke bilik N, dengan nada suara yang agak tinggi saya bertanya kepada N, “mengapa hempas pintu almari…?”.. N hanya masam tidak menjawab… tiba-tiba N rebah, saya membacakan ruqyah ke arah kepala N, dan sekali lagi N menari dengan tarian hindu dan pengsan.

Kami menyapu air rawatan ke muka N, perlahan-lahan ia membuka mata dan N terus memeluk ibunya sambil menangis teresak-esak. Kali ini N benar-benar sedar… bisik hati saya.

Didalam keadaan sedar itu N menceritakan bahawa dia nampak segerombolan jin beratur panjang kearahnya, masing-masing ingin keluar dari situ tetapi mereka hanya boleh keluar dengan cara satu persatu. Ketika itu N amat takut kerana N tidak nampak kami di sekelilingnya, ini bermakna rohani N telah dibawa masuk ke alam jin dan pandangan N terhadap kami telah dihijab.

Tidak sampai 20 minit N sedar, tiba-tiba N menjerit sambil menangis, kali ini dia nampak jin-jin tersebut berkeliaran di sekeliling rumahnya sambil mentertawakan saya. Saya meminta lelaki-lelaki yang ada di rumah tersebut untuk azan di setiap penjuru rumah, manakala saya mengikhtiarkan untuk memagar sekeliling rumah tersebut dengan air ruqyah. Menurut N setiap kali saya menyembur air ruqyah, maka dengan pantasnya jin-jin tersebut menghilangkan diri, dan kemudian timbul di penjuru yang lain pula. Jin-jin tersebut amat marah dengan laungan azan yang dilaungkan.

Didalam kekecohan itu, saya terpandang wajah pakcik R yang agak kelainan seperti orang yang kerasukan, dengan pantas saya menuju kearah pakcik R yang sudah menggeletar tubuh badannya dan menarik jin keluar dari pinggang hingga ke kepala pakcik R. Suasana menjadi amat kelam-kabut, mana tidaknya, sudahlah N terjerit-jerit melihat jin tersebut mengacah-acahnya, pakcik R pula hampir-hampir kerasukan. Ketika itu saya seorang sahaja yang merawat, didalam hati saya janganlah berlaku sesuatu yang tidak diingini, saya terfikir kalaulah tiba-tiba semua ahli rumah itu kerasukan serentak, pening kepala saya dibuatnya.

Menurut pakcik R sewaktu saya menarik jin tersebut keluar, dia merasakan seperti ada belon yang terkeluar dari ubun-ubun kepalanya. Menurut pakcik R lagi, yang sebenarnya dia rasa tertekan melihat anaknya masih belum pulih, dan didalam diam dia mencabar jin tersebut untuk masuk ke dalam badannya.

Saya menasihati pakcik R agar bersabar dan tidak berbuat seperti itu lagi, ini adalah kerana makhluk-makhluk sebegitu akan masuk dengan mudah ke badan manusia sekiranya dipelawa sedemikian. Dan ini akan menambahkan kesulitan lagi didalam rawatan saya. Ketika ini, saya masih belum mempelajari kaedah-kaedah untuk berinteraksi dengan ketua jin, memancung jin, atau mengejarnya dengan bebola api dan lain-lain kaedah yang lebih advance untuk bertempur.

Saya lihat N terbaring dengan mata yang tertutup, dia kelihatan amat letih dan tidak bermaya. Inilah diantara kesilapan saya, awal-awalnya saya berniat untuk bertembung semula dengan jin-jin ini untuk membalas dendam kerana mentertawakan saya didalam telefon. Seharusnya saya hanya berdoa agar dipermudahkan segala urusan dan diselesaikan masalah dengan mudah. Mungkin secara tidak langsung niat awal itu menunjukkan saya merasakan diri ini mempunyai kekuatan untuk menentang perkara-perkara sebegini, padahal didalam asas rawatan, perkara yang paling penting sekali ialah “PENYERAHAN DIRI” kepada Allah swt. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuasaan Allah swt.

Kesilapan kedua yang saya lakukan ialah melakukan rawatan dengan terus menerus sehingga hampir 8 jam. Ini amat memenatkan dan memudharatkan pesakit. Seharusnya saya boleh menangguhkan rawatan, dan menyambungnya di kemudian hari.

Saya juga tidak berupaya menegur rakan N yang hadir untuk menziarahi N ketika itu kerana berpakaian yang tidak berapa sesuai, maklumlah rumah orang, serba salah saya dibuatnya.

Tak mengapalah... ketika itu saya baru belajar dan saya juga belajar dari kesilapan.

Saya berhenti sebentar menunaikan solat zuhur dan melakukan solat hajat, agar Allah swt membantu saya menyelesaikan masalah ini. Selesai solat, tiba-tiba saya mendapat ilham untuk menggunakan paku sebagai alat didalam rawatan. Pernah sewaktu saya menjalani latihan praktikal dulu, ada diantara golongan jin yang memang takutkan besi tajam atau paku.

Saya lihat N masih terbaring di ruang tamu, saya menghampiri N dan meletakkan paku yang telah saya bacakan ayat ruqyah diatas kepala N, tiba-tiba N menjerit kesakitan, padahal saya tidak menikam atau mencucuk paku tersebut dikepalanya. N menari tarian hindu lagi, jin keluar dan N pengsan, saya letak lagi paku tersebut di kepala N, dia mengerang dan menari lagi, kali ini dengan tarian yang agak berlainan coraknya, ini mungkin jin yang lain, setelah jin tersebut keluar N pengsan lagi...

Saya bertafakur sebentar... didalam tafakur saya merasakan seolah-olah ada mata-mata ghaib yang sedang memerhatikan saya untuk melihat apakah ikhtiar saya lagi selepas ini. Saya terus mengambil tasbih yang biasa saya gunakan untuk berzikir dan saya kalungkan di leher N, saya ambil kitab ahzab (kitab hizib thoreqat Ahmadiyah Idrissiyyah) yang sentiasa saya bawa dan saya letakkan pula di kepala N, dia menggelupur kepanasan. N ingin menanggalkan tasbih tersebut dan cuba menepis kitab ahzab yang saya letakkan dikepalanya. Pakcik R membantu saya agar N tidak menanggalkan tasbih tersebut dari lehernya. N terus menggelupur kepanasan, makin lama makin perlahan... semakin lama makin perlahan sehingga N kembali pengsan.

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 5 petang, kelihatan N seolah-olah sudah pulih berbanding dengan keadaannya pada pagi tadi, cuma ia kelihatan amat lemah. Saya beritahu pakcik R, lebih baik saya tamatkan dulu rawatan memandangkan hari sudah petang. Dan saya akan datang lagi esok untuk membawa beberapa benda yang berkaitan untuk rawatan termasuk cd ruqyah untuk sentiasa diperdengarkan kepada N.

Apabila saya turun saja ditangga rumah pakcik R, kedengaran N menangis di dalam rumah, saya bergegas naik semula... N memberitahu saya bahawa dia nampak ada 3 jin sedang mentertawakan saya dan bersorak seolah-olah mereka telah menang pertarungan pada hari itu. Saya beritahu N dia perlu kuatkan semangat dan saya akan datang kembali esok untuk membantunya lagi.

Saya pulang dengan perasaan kecewa, seolah-olah tewas dimedan perjuangan. Dan masalah masih belum dapat diselesaikan. Sebenarnya sebagai perawat, tugas kita hanyalah berikhtiar sedaya upaya, samada pesakit sembuh atau tidak itu bukan kerja kita. (Maklumlah... ketika itu saya hanyalah perawat amatur...) Saya berazam insyaALLAH, saya akan kembali semula dengan strategi yang lebih kemas dan teratur.. didalam hati saya berdoa, semoga ALLAH permudahkan segala urusan saya.