Saturday, July 25, 2009

KUASA MINDA DIDALAM RAWATAN ISLAM – PART 1


Kali ini saya ingin membicarakan tentang kuasa minda dan kaedah penggunaannya didalam rawatan Islam. Kemungkinan penulisan ini agak panjang, maka saya akan menceritakannya dalam beberapa bahagian.

Didalam perbicaraan ini saya hanya ingin fokus kepada kehebatan minda separa sedar.

Apakah minda sedar dan apakah pula yang dimaksudkan dengan minda separa sedar atau subconcious mind itu.

Perbezaan Minda Sedar Dan Minda Separa Sedar

Sebenarnya minda sedar tidak terpisah dengan minda separa sedar anda. Ia hanyalah dua tahap minda yang berlainan. Minda sedar adalah minda yang memberikan anda pertimbangan dalam membuat keputusan. Minda sedar berfungsi melalui pengawalan lima pancaindera yang berkaitan dengan dunia nyata iaitu penglihatan, pendengaran, bau, rasa dan sentuhan. Misalnya anda menggunakan minda sedar anda untuk membeli kereta, memilih warna kereta itu, membuat sesuatu keputusan dalam pekerjaan atau dalam urusan-urusan lain. Minda sedar dibatasi oleh ruang dan masa. Ini adalah kerana minda sedar hanya berhubung dengan alam nyata.

Manakala minda separa sedar pula mengawal peredaran darah, pernafasan dan fungsi-fungsi lain dalam anggota tubuh yang tidak mungkin anda putuskan secara sedar. Ianya juga amat berkait dengan perasaan atau emosi seseorang. Minda separa sedar bertugas secara terlatih, contohnya memandu kereta, memakai baju, mengayuh basikal dan lain-lain lagi.

Dalam erti kata yang lain, minda separa sedar ini melakukan perkara-perkara yang berulang kali tanpa perlu kita memikirkan semula berulang kali. Contohnya seperti memandu kereta. Hanya pada mula-mula sahaja anda menggunakan minda sedar untuk berfikir semasa belajar memandu kereta. Setelah ianya tersimpan didalam minda separa sedar, anda memandu / mengendalikan kereta tanpa perlu berfikir sebagaimana waktu mula-mula anda belajar memandu.

Minda separa sedar dapat mencetuskan idea-idea baru dan merealisasikan pemikiran yang diyakini oleh minda sedar. Minda sedar juga berupaya merekod pengalaman kita seumur hidup. Ia merekod setiap peristiwa yang berlaku seperti emosi, tabiat, hubungan dengan orang lain, kewangan, kesihatan dan lain-lain.

Minda separa sedar tidak akan menghiraukan apa juga keputusan yang diambil oleh minda sedar anda sama ada keputusan itu baik ataupun buruk, benar atau salah dan sebagainya. Ini kerana minda separa sedar akan sentiasa menerima keputusan yang dibuat oleh minda sedar sebagai benar dan menimbulkan hasil dalam dunia realiti yang sahih disebabkan kesedaran anda menganggap kebenarannya. Kesimpulannya apa yang kita catat dan fikir dengan penuh perasaan/emosi akan akan diterima bulat-bulat oleh minda separa sedar.

Contohnya jika setiap hari anda meyakini anda seorang yang kacak atau cantik dan anda benar-benar yakin pada diri sendiri. Maka itulah yang akan terzahir pada personaliti anda dan orang lain akan mengaguminya, walaupun pada asalnya anda bukanlah seorang yang benar-benar kacak atau cantik.
Ini adalah kerana keyakinan yang ditanam oleh minda sedar ke minda separa sedar anda akan menyebabkan minda separa sedar anda berusaha untuk merealisasikannya.
Sebagaimana yang kita katakan tadi, kemampuan minda separa sedar adalah tidak terbatas. Minda separa sedar dapat berhubung dengan setiap orang yang anda inginkan samada jauh atau dekat samada anda seseorang itu menyedarinya atau tidak.

Sebenarnya dalam kehidupan seharian kita ini banyak yang dapat dilakukan sekiranya kita tahu mengawal minda separa sedar ini. Seseorang itu boleh menjadi kaya dan hidup dalam kemewahan, atau memiliki kesihatan yang baik serta memperolehi kegembiraan dan kebahagiaan. Minda separa sedar ini boleh memberikan manfaat kepada empat aspek utama dalam kehidupan iaitu, aspek material, aspek fizikal manusia itu sendiri, aspek psikologi dan aspek spiritual.

Setiap manusia yang mempunyai akal fikiran sudah secara semula jadi memiliki minda separa sedar. Apa yang perlu dilakukan ialah mempelajari cara menggunakannya kerana menerusi minda separa sedar ini terdapat segala kebijaksanaan, daya dan persediaan yang tidak terbatas bagi memenuhi hampir kesemua keperluan seseorang individu sebagai manusia.

Seseorang yang telah menguasai minda separa sedarnya boleh menggunakan ilmu ataupun kelebihan ini di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa pun serta dalam apa jua situasi.
Menerusi kekuatan minda separa sedar ini misalnya, anda dapat mencari pasangan hidup yang ideal untuk dijadikan teman seumur hidup atau juga rakan kongsi niaga yang serasi dengan anda, malah dalam memilih bidang perniagaan yang sesuai dan bermacam-macam lagi. Ia juga membantu dalam memenuhi keperluan kewangan anda.

Pengalaman telah membuktikan betapa daya minda separa sedar ini telah menyebabkan orang cacat dipulihkan seperti sediakala serta memperolehi tahap tenaga yang normal seolah-olah ia tidak pernah mengalami kecacatan sebelumnya. Dalam pada itu berbagai-bagai penyakit, malah penyakit yang agak pelik dan sukar dirawat melalui perubatan Barat yang konvensional sifatnya pun sudah disembuhkan hanya menerusi daya kekuatan minda separa sedar.

Secara prinsipnya, apa jua yang ditanam didalam minda separa sedar, insyaALLAH akan menjadi kenyataan.

PENYEMBUHAN & PENGUBATAN MENERUSI MINDA SEPARA SEDAR

Di bawah ini adalah diantara contoh-contoh yang dapat kita lihat bahawa betapa kuatnya kemampuan minda separa sedar itu.

Contoh 1

Seorang insan telah menanamkan keyakinan di minda separa sedarnya selama setahun bahawa dia sanggup kehilangan lengan kanannya asalkan anak perempuannya sembuh dari penyakit arthtitis yang melumpuhkan serta penyakit kulit yang nampaknya tidak ada harapan akan pulih.
Akhirnya insan itu menemui kecelakaan jalan raya dan kehilangan lengannya. Dalam waktu yang sama anak perempuannya sembuh dari arthritis dan penyakit kulit yang dihidapinya selama ini.
Contoh di atas ini adalah merupakan apa yang dikenali sebagai autosuggestion atau 'cadangan terhadap diri sendiri'. Kaedah ini amat berguna bagi menghindarkan rasa takut dan sikap-sikap negatif yang lain.

Contoh 2

Seorang wanita tua dalam usia pertengahan 50 tahun menyedari betapa ingatannya sudah mula pudar. Dia lupa kepada sesuatu walaupun ia baru sahaja berlaku kurang dari satu minit. Tetapi dia juga mengetahui akan kaedah autosuggestion ini dan menanamkan kata-kata bahawa setiap hari ingatannya akan kembali kuat dan baik dalam semua hal. Tiga minggu kemudian, ingatan wanita tua ini pulih seperti sediakala.

Contoh-contoh di atas menunjukkan apakah yang boleh dilakukan oleh minda separa sedar anda menerusi proses autosuggestion iaitu dengan menanamkan sesuatu keyakinan kepada diri anda sendiri ataupun percaya bahawa sesuatu itu akan berlaku ke atas diri anda tanpa anda dipengaruhi oleh sesiapapun.

Segala-galanya yang difikirkan dan dipercayai serta dianjur dan dicadangkan didalam minda anda adalah berpunca dari diri anda sendiri. Anda percaya sesuatu itu, sama ada baik atau buruk akan berlaku kepada diri anda, maka anda membiarkan minda separa sedar anda mempercayainya.

Maka akhirnya apa yang anda difikirkan itu benar-benar berlaku.


Contoh 3

Seseorang telah pergi berjumpa dengan doktor pakar kerana sakit di dalam ususnya kian menjadi teruk dan sukar untuk ditahan lagi. Sebelum itu sudah bermacam-macam doktor yang telah cuba merawatnya. Begitu juga dengan perubatan tradisional secara herbal dan sebagainya. Tetapi penyakit itu tidak juga mahu sembuh.

Setelah melakukan x-ray dan membuat dianogsis yang terperinci, doktor pakar tersebut mengesahkan bahawa orang berkenaan mengidap barah usus peringkat lanjutan. Malah doktor itu juga mengatakan bahawa barah tersebut sudah semakin tiba dipenghujungnya. Doktor meramalkan bahawa paling lama, sipesakit yang malang itu akan dapat hidup tidak lebih daripada enam bulan.

Sedih dan cemas dengan berita tersebut, dia memberitahu keluarga dan kawan-kawannya. Lima bulan kemudian keadaannya menjadi semakin teruk dan kesakitan yang ditanggungnya bukan kepalang.

Memang benarlah kata doktor tersebut bahawa keadaannya sudah sampai di peringkat terminal ataupun penghujung. Tetapi, pada bulan keenam yakni bulan yang terakhir, seorang yang tahu tentang daya minda bawah sedar telah datang menemuinya dan menjelaskannya hakikat keyakinan diri menerusi autosuggestion. Walaupun tidak begitu mempercayai dia mula menanamkan cadangan di dalam mindanya bahawa setiap hari dia akan beransur pulih dan akhirnya pulih seperti sediakala.

Orang berkenaan hidup melepasi jangkaan masa doktor pakar, malah apabila diperiksa semula, nyata barah usus yang dikatakan itu tidak ada di dalam tubuhnya.

Contoh di atas sebenarnya menunjukkan kepada kita dua aspek minda bawah sedar. Pertama aspek autosuggestion. Sipesakit tiba-tiba menjadi semakin pulih apabila ia menanamkan cadangan bahawa setiap hari dia akan semakin pulih dan aspek kedua ialah heterosuggestion, iaitu pemeriksaan doktor yang mengesahkan dia akan mati dalam tempoh enam bulan.
Dengan contoh ini, jelaslah juga bahawa heterosuggestion adalah bertentangan dengan autosuggestion. Sementara autosuggestion dianjurkan oleh diri anda sendiri, heterosuggestion adalah arahan terhadap minda bawah sedar yang dianjurkan oleh orang lain.

Dengan contoh-contoh yang saya katakan ini tentulah mudah bagi anda memahami bagaimana minda bawah sedar sebenarnya beroperasi menerusi autosuggestion dan juga heterosuggestion.

Kesimpulannya minda separa sedar amat berperanan dalam kehidupan seharian kita. Ramai orang yang tidak tahu perkara sebegini, maka kesannya banyak saranan-saranan negatif yang ditanam didalam minda separa sedar pada setiap hari. Minda separa sedar sentiasa menerima dan bersetuju dengan apa saja saranan serta kepercayaan minda sedar tanpa menapis samada ianya baik atau buruk.

BERSAMBUNG…