Friday, July 31, 2009

Sihir Jin Kucing Bertanduk...



Satu kejadian sekitar tahun lepas, saya dikejutkan oleh sahabat adik saya yang saya namakan sebagai L, dia mengadu kepada adik saya malam tadi dia bermimpi ayahnya ditimpa musibah. Akibat dari mimpi tersebut ia berasa amat takut dan tertekan.

Sedang bercakap-cakap tiba-tiba ia menjerit dan menangis, tangisannya pula amat menyeramkan. Kebetulan ketika itu saya ada dirumah, saya memintanya duduk dihadapan saya. Sekejap ia diam dan sekejap ia menangis, entah mengapa nada tangisannya menaikkan bulu roma saya.

Saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan L, saya meletakkan tapak tangan saya diubun-ubun kepalanya dan saya membaca ruqyah, tiba-tiba jin didalam badan L memberikan reaksi. Jin itu mengilai tertawa sambil tersedu-sedu. Rupa-rupanya ia adalah jin sihir. Jin ini amat licik dan pandai menipu, macam-macam cara jin ini membuat helah untuk tidak keluar.

Puas saya memujuknya dengan cara baik tetapi jin ini hanya berterusan membuat helah.

Saya mengajaknya untuk masuk Islam, dia memberi alasan dia takutkan tuannya. Dia juga membongkar rahsia bahawa perawat-perawat dulu banyak yang tertipu dengannya kerana dia selalu berjanji untuk keluar tetapi dia akhirnya dia kembali menganggu L. Menurut L dia juga nampak jin tersebut berupa kucing hitam yang bertanduk.

Satu perkara aneh mengenai jin ini, sepanjang rawatan saya keatas L, bulu roma saya sentiasa tegak keseraman. Saya pun tidak faham apa yang saya seram sangat berhadapan dengan jin tersebut. Di kemudian hari apabila saya ceritakan pada sahabat-sahabat saya mengenai kes rawatan ini, tak semena-mena bulu roma mereka juga tiba-tiba tegak dan mereka merasakan satu perasaan seram.

Setelah puas berbincang, dan jin itu tidak mahu mengalah saya mengambil keputusan untuk memancung jin tersebut dengan izin Allah. Namun apa yang berlaku, tiba-tiba jin tersebut melarikan diri sebelum saya sempat memancungnya. Kemudian L pun tersedar. L menghubungi suaminya yang sedang bekerja agar segera pulang. L dapat merasakan bahawa jin kucing bertanduk itu pasti akan datang lagi jika ia keseorangan. Sementara suami L pulang, saya mencadangkan L berehat dulu di rumah saya. Saya bekalkan L dengan air rawatan untuk minum dan mandi. Setelah suami L sampai, mereka pun pulang ke rumah.

Dua jam kemudian saya dihubungi oleh suami L, dia memberitahu bahawa L mengalami gangguan lagi. Saya bergegas ke rumah L yang memang tidak berjauhan dari rumah saya. Sampai disana kelihatan L memalingkan mukanya dari saya. Dia masuk kebilik dan tidak mahu berjumpa dengan saya. Suami L memaksanya keluar. Dan saya terus menyergah jin tersebut dan mengancam untuk memancungnya. Jin itu tidak memperdulikan saya, ia hanya terus membebel menceritakan tentang persengketaannya dengan keluarga L.

Jin itu juga mengaku dulu tuannya pernah menyihir ibu L, dan kini L pula yang menjadi mangsa yang seterusnya. Saya tidak membuang masa lagi terus bertindak untuk memancung jin tersebut, tapi sekali lagi jin itu seolah-olah seperti seekor kucing yang amat licik melompat keluar dari tubuh L, jin itu berjaya meloloskan diri dan L kembali sedar.

Dengan nada yang memaksa L bertanyakan kepada saya mengapa jin tersebut masih mengganggunya lagi. Saya katakan pada L bahawa ini adalah permainan sihir dan L perlu bersabar dan berserah kepada Allah kerana saya sedang berikhtiar untuk menyelesaikan masalah ini. L yang tidak berpuas hati menghubungi ibunya di kampung dan mengadu bahawa masalah ini masih belum selesai.

Untuk pengetahuan pembaca L amat meyakini kaedah rawatan yang berunsurkan bomoh-bomoh tradisional yang menggunakan tangkal. Tidak hairanlah L kurang yakin dengan kaedah rawatan Islam yang hanya menggunakan bacaan ayat al-quran dan air penawar. Sewaktu saya merawat L juga saya ada ternampak L memakai tangkal berwarna hitam dilehernya. Saya cukup tidak suka pada mereka yang terlalu mempercayai tangkal-tangkal dan azimat. Ini adalah kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kita mensyirikkan Allah swt.

Dan kebiasaannya tangkal atau azimat yang dipakai oleh pesakit ada mempunyai jin pendamping yang kononnya bertugas untuk melindungi pesakit, ini akan menyukarkan lagi proses rawatan. Dan kadangkala pesakit terpaksa membuat perisytiharan memutuskan hubungan dengan golongan jin pendamping terlebih dahulu, barulah proses rawatan menjadi mudah.

Rawatan pada hari tersebut saya tamatkan dengan memberi L air rawatan untuk minum dan mandi. Namun apa yang menariknya, sejak dari itu L memang takut untuk berjumpa dengan saya.

Lebih kurang dua minggu kemudian saya dapat tahu melalui isteri saya bahawa L pergi berjumpa seorang bomoh di Melaka, dan kononnya bomoh itu telah berjaya mengubati L dari gangguan sihir. Saya hanya mengucapkan Alhamdulillah, yang pentingnya L sihat, saya tidak peduli jika keluarga L mengatakan bahawa saya tidak berjaya mengubati L, kerana bagi saya, kita hanya mampu berikhtiar dan yang menyembuhkannya hanyalah Allah swt. Namun pada firasat saya, jin itu sebenarnya tidak keluar sepenuhnya, saya rasa dia masih bersembunyi di sebalik L. Tak mengapalah yang penting L tidak meracau-racau lagi, fikir saya...

Namun, ada satu perkara yang memusykilkan saya mengenai L, adik saya memberitahu, L menceritakan ketika ia di kampung tempoh hari, tiba-tiba arwah bapa mertuanya yang baru meninggal dunia merasuk kedalam dirinya untuk menyampaikan wasiat-wasiat tertentu kepada anak-anak mereka. Saya cukup kecewa dengan kenyataan L yang menunjukkan dia begitu berbangga dengan apa yang dialaminya. Dia merasakan dia adalah insan yang terpilih dan apa yang berlaku itu adalah satu kelebihan pada dirinya. Padahal itu semua adalah tipu daya dari golongan jin dan syaitan.

Apa yang saya amati, sebenarnya L juga ada mempunyai masalah SAKA, dia juga selalu bercerita dengan adik saya bahawa adik dan ibunya dianugerahkan Allah dapat melihat benda-benda ghaib seperti alam jin. Puas sudah adik saya cuba menasihati L bahawa apa yang berlaku sebenarnya adalah tipu daya puak-puak jin, namun L seolah-olah tidak mengambil berat nasihat kami.

Selang tiga hari kemudian, suami L datang berjumpa saya dan mengadu bahawa L mengalami gangguan lagi. Suami L meminta saya agar datang kerumahnya. Sampai di rumah L saya lihat ada kayu lebih kurang sejengkal panjangnya diletakkan pada setiap belakang pintu di rumahnya. Rupa-rupanya kayu tersebut adalah pemberian bomoh Melaka yang mereka jumpa pada minggu lepas.

Saya rasa serba salah untuk merawat L, saya amat berpegang kepada prinsip bahawa saya tidak boleh berkrompomi dalam perkara-perkara yang boleh merosakkan aqidah didalam Islam seperti percaya kepada tangkal dan azimat. Tetapi didalam masa yang sama L amat cenderung kepada perkara-perkara seperti bomoh, tangkal dan azimat, sehingga dia seolah-olah memandang rendah kepada rawatan Islam.

Kalau ikutkan hati saya tidak mahu merawat L, namun mengenangkan wasiat dari guru saya, supaya menolong mereka yang didalam kesusahan dan memerlukan pertolongan maka saya pujuk hati saya agar menolong L dengan seikhlasnya.

Sewaktu saya tiba, L bersembunyi di dalam bilik, kebetulan ibu dan bapa L juga ada di rumah L, mereka memaksa L keluar, setelah puas memujuk barulah L keluar dari bilik. Apabila L ternampak saja wajah saya L terus menangis ketakutan. Keluarganya menjadi pelik, mengapa L ketakutan apabila melihat wajah saya. Jika saya tidak bertindak bijak sudah tentu jin tersebut akan membuatkan keluarganya memandang serong terhadap saya.

Saya jelaskan kepada keluarga L bahawa yang berhadapan dengan saya sekarang ini bukanlah L yang sebenar, dialah jin kucing bertanduk yang menganggu L sebelum ini. Dan kenyataan L bahawa bomoh di Melaka telah berjaya mengeluarkan jin tersebut adalah tidak tepat, selama ini jin tersebut menipu mereka dengan bersembunyi disebalik gangguan mental dan emosional L tanpa L sedari bahawa itu adalah gangguan dari jin.

Tanpa banyak bicara saya mengarahkan L duduk dan saya melakukan proses memancung. Alhamdulillah L sedar sepenuhnya. Saya menasihati L dan keluarganya bahawa mereka perlu menguatkan amalan dan lebih mendekatkan diri kepada Allah swt. Melihat pada keadaan L, tidak mustahil dia akan diserang lagi. Saya juga menyarankan kepada keluarga L agar pergi mendapatkan nasihat ustaz-ustaz yang sudah terkenal dengan rawatan Islam dan yang lebih mereka yakini, seperti Tuan Guru Ustaz Haron Din atau Ustaz Ismail Kamus untuk menambah keyakinan mereka terhadap apa yang saya katakan. Maklumlah, siapa nak percaya kata-kata orang biasa macam saya... Mereka hanya mengangguk.

Saya sudah menolong dan menasihati mereka apa yang patut, selebihnya terserah kepada mereka untuk memilih jalan yang mereka inginkan... Wallahua'lam