Friday, July 17, 2009

Sihir Jin Orang Asli...


Satu ketika saya didatangi oleh seorang pemuda yang mengadu kerap mengalami lemah-lemah badan, tiada selera makan dan akhir-akhir ini berasa amat malas untuk bekerja. Pemuda ini bekerja sambilan, mengambil upah menjahit pakaian di rumah beliau.


Perniagaan sambilannya agak memberansangkan sehingga waktu-waktu tertentu beliau terpaksa menolak permintaan pelanggan kerana tempahan terlalu banyak.


Pemuda itu mengatakan yang beliau perasan tentang perubahan pada dirinya setelah beliau balik dari mengunjungi ibunya di kampung. Kononnya beliau ada berselisih faham dengan kakak iparnya. Menurut pemuda itu lagi kakak iparnya itu kerap berjumpa bomoh jika dia mempunyai masalah atau perselisihan dengan seseorang.


Ibu pemuda itu juga satu ketika dulu tidak terlepas dari perbuatan keji kakak iparnya. Macam-macam penyakit ganjil menimpa ibu pemuda tersebut, menurutnya lagi keadaan rumah ibunya di kampung adalah suram seolah-olah tidak ceria dan tidak bercahaya macam rumah-rumah orang lain.


Untuk pengetahuan pembaca, jangan biasakan rumah atau bilik anda terlalu gelap atau suram kecuali apabila anda masuk tidur, bukakan tingkap atau langsir sedikit supaya cahaya matahari dapat masuk kedalam bilik atau rumah anda. Sekiranya tiada tingkap yang membolehkan cahaya matahari masuk, biarlah bilik atau rumah itu diterangi lampu elektrik sekali sekala. Atau sekiranya anda mahu menjimatkan elektrik anda boleh kurangkan penggunaan lampu tetapi, kemaskanlah bilik anda, jangan biarkan bilik anda bersepah seperti rumah tinggal, dan ini selalunya berlaku pada bilik stor.


Bilik atau rumah yang suram, bersepah dan kotor mengundang kehadiran makhluk-makhluk yang tidak diingini, mungkin lipas, mungkin lipan atau mungkin jin. Kebiasaannya, apabila saya melakukan rawatan dirumah pesakit yang memang mempunyai masalah gangguan makhluk halus, samada rumahnya atau ada diantara biliknya yang amat suram dan gelap. Dan apabila saya melakukan scanning, biasanya makhluk-makhluk halus tersebut “menyewa” ditempat-tempat yang suram atau gelap tersebut tanpa disedari oleh pemilik rumah.


Berbalik kepada kisah pemuda tadi. Saya mulakan rawatan dengan memberinya minum secawan air yang telah diruqyah. Lima minit kemudian saya memulakan bacaan ruqyah terhadapnya. Jin pada badan pemuda itu telah mula menampakkan kewujudannya. Namun jin tersebut bercakap dalam bahasa yang tidak dapat saya fahami. Apabila saya teruskan membaca ruqyah, pemuda tersebut mengalami kesakitan yang amat sangat dan muntah air.


Dihadapan saya sekarang ini ada dua dalam satu, saya berkomunikasi dengan jin dalam bahasa yang tidak saya fahami, cuma isyarat kepala dan memek muka memberi saya sedikit petanda, bahawa jin ini didalam kesakitan. Dan dalam masa yang sama pemuda tersebut pula menjerit-jerit minta rawatan dihentikan kerana badannya merasa amat sakit, padahal saya hanya membaca ruqyah dan tidak menggunakan kaedah tekan atau pukul dengan serban.


Satu ketika saya membaca ayatul Qursi dan pemuda itu mengikut bacaan saya, lagi kuat saya membacanya, lagi kuat pemuda itu mengikut saya membaca. Ketika ini apa yang saya lakukan ialah membiarkan pemuda tersebut membaca ayatul Qursi berulang-ulang kali, saya hanya memindahkan energy bacaan ayatul Qursi tersebut kepada tubuh badan pemuda itu. Apa yang berlaku ialah pemuda tersebut seperti terkena renjatan elektrik.


Kemudian saya memujuk jin tersebut agar memeluk agama islam, saya melafazkan dua kalimah syahadah dan jin tersebut turut mengucap tetapi dengan bahasa yang tidak saya fahami, Cuma nada ucapannya saja seolah-olah seperti nada orang mengucap dua kalimah syahadah. Kemudian, dengan izin Allah swt jin tersebut keluar.


Selesai rawatan saya nasihatkan pemuda itu agar tidak terlalu memikirkan tentang kakak iparnya, ini adalah kerana dikhuatiri ianya hanyalah tipu daya syaitan yang ingin memecah belahkan ahli keluarganya. Yang penting beliau sembuh. Saya membekalkan-nya dengan air rawatan untuk minum dan mandi dan meminta agar ia datang semula selepas seminggu untuk pemeriksaan lanjutan.