Friday, August 28, 2009

Jin Saka Bergaduh, Suami Isteri Jadi Mangsa...


Suatu hari saya didatangi oleh seorang pemuda (K) yang ingin mendapatkan rawatan. Dia mengadu tentang masalah isterinya yang panas baran dan mudah naik angin sehingga menyebabkan mereka kerap bergaduh.

Selama ini dia banyak bersabar dengan sikap isterinya yang selalu berkasar dan tidak memenuhi keinginannya sebagai seorang suami. Kadangkala dia terpaksa tidur berasingan kerana isterinya tidak suka mereka tidur bersama. K terpaksa menurut kemahuan isterinya kerana isterinya selalu mengugut untuk membunuh diri.

Sebenarnya saya pernah bertemu dengan K dan isterinya satu ketika dulu. Ketika itu K dan isterinya berjumpa dengan sahabat saya dikampung untuk mendapatkan rawatan berkenaan dengan masalah saka isterinya. Disebabkan K datang untuk mendapatkan rawatan dengan sahabat saya, maka saya hanya duduk di tepi dan tidak mencampuri urusan mereka.

Namun, di kemudian hari saya mendapat tahu bahawa K terpaksa bertemu dengan perawat lain kerana masalah saka isterinya masih tidak selesai. Satu perkara yang tidak berapa menyenangkan saya tentang K ialah, dia terlalu terburu-buru didalam mencari kesembuhan atau penyelesaian masalah. Dia terlalu berharap kepada perawat sehingga ada diantara perawat-perawat yang ditemuinya telah membekalkannya dengan tangkal-tangkal.

Saya menasihatkan K agar sentiasa memilih Rawatan Islam sebagai kaedah rawatan pilihan, dan tidak lagi bertemu dengan bomoh-bomoh yang merawat dengan tangkal atau perkara-perkara yang boleh merosakkan aqidah.

Saya beritahu K bahawa saya perlu membuat pemeriksaan keatasnya, tetapi K tidak bersetuju dan menyangkal, kerana menurutnya perawat-perawat sebelum ini mengatakan bahawa dia tidak bermasalah. Saya meminta K mengisi borang pesakit, di borang tersebut saya sudah menyediakan contoh tanda-tanda gangguan ketika jaga dan ketika tidur untuk ditanda oleh pesakit sekiranya mereka mengalaminya. Saya lihat K menandakan beberapa tanda-tanda gangguan di borang tersebut, ini menguatkan lagi andaian saya bahawa K juga turut mengalami masalah gangguan.

Semasa sessi rawatan, jari-jemari di tangan kanan K bergerak dengan pergerakan yang agak kuat. Setelah saya selidik rupa-rupanya ia adalah jin saka kepunyaan K. Saya cuba mendapatkan beberapa maklumat mengenai isteri K, namun jin saka memberi isyarat bahawa dia tidak tahu. Tiba-tiba saya mendapat ilham untuk berinteraksi dengan jin saka kepunyaan isteri K dari jarak jauh. Setelah saya mengugut untuk menyakitkan ia dari jauh, jin saka isteri K hadir dan berhadapan dengan saya melalui isyarat pergerakan tangan kiri K.

Kelihatan tangan kiri K menunjuk-nunjuk ke arah tangan kanan, dan tangan kanan K pula menunjuk-nunjuk ke arah tangan kiri, seolah-olah menunjukkan isyarat tidak puas hati. Setelah saya menanyakan beberapa perkara kepada kedua-dua pihak jin tersebut, akhirnya jin-jin saka itu mengaku bahawa mereka memang tidak menyukai antara satu sama lain dan sering bergaduh. Jin saka kepunyaan K dan jin saka kepunyaan isteri K saling bermusuhan.

Patutlah selama ini K dan isteri kerap bergaduh kerana, jin saka kepunyaan K dan jin saka kepunyaan isterinya tidak sehaluan dan berperang sesama mereka. Secara tidak langsung jin-jin tersebut mempengaruhi mental dan emosional K serta isteri agar turut sama bergaduh.

Saya menasihatkan jin-jin tersebut bahawa perbuatan mereka ini menimbulkan masalah dan menyusahkan K serta isterinya. Saya juga meminta agar jin-jin tersebut keluar dan tidak lagi menganggu. Kelihatan jin-jin saka itu bersetuju untuk keluar buat selama-lamanya.

Sehingga kisah ini ditulis K tidak pernah lagi menghubungi saya, moga-moga masalah K dan isterinya telah selesai.