Friday, August 21, 2009

Rawatan Islam Dan Pengorbanan Perawat





Cuaca panas dan berjerebu pada minggu lalu mengundang berbagai penyakit dan masalah kepada masyarakat. Saya lihat di klinik-klinik orang begitu ramai menunggu giliran bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Ditambah pula dengan gejala H1N1, masing-masing begitu risau dan berhati-hati, tidak hairanlah mereka-mereka yang mengalami demam selsema dan sakit tekak, bergegas ke klinik untuk membuat pemeriksaan lanjut.


Saya juga tidak terkecuali mengalami sakit tekak dan batuk-batuk yang agak teruk, bermula pada hari khamis yang lepas saya sudah mula hilang suara. Banyak temu janji dengan pesakit terpaksa saya batalkan, Cuma ada kes-kes yang agak emergency, saya gagahkan juga diri ini untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan.


Jika diimbas kembali, pernah satu ketika, ada satu kes dimana seorang lelaki tua datang berjumpa saya untuk mendapatkan rawatan, pakcik tersebut mengadu dia mengalami bisa-bisa badan yang amat sangat dan tidak boleh tidur malam. Setelah membuat pemeriksaan, saya dapati pakcik tersebut mempunyai masalah saka. Walau-bagaimanapun ia hanya menafikan dan berpura-pura seolah-olah tidak tahu menahu langsung mengenai masalah saka tersebut. Saya hanya berdiam diri dan berbaik sangka dengan membuat kesimpulan mungkin saya yang tersilap membuat andaian.


Beberapa bulan kemudian, saya mendapat berita pakcik tersebut mengalami kemalangan yang menyebabkan kakinya patah. Dia yang tidak mahu kakinya disimen, pergi berjumpa dengan bomoh patah untuk mendapatkan rawatan. Selepas dari itulah dia membocorkan rahsia dirinya yang sebenar dengan mengaku bahawa dia memang bersaka dan ingin mewariskan saka tersebut kepada salah seorang dari anaknya. Saya mendengar pengakuan tersebut dengan perasaan yang kecewa kerana sebelum ini saya pernah menasihatinya untuk memutuskan segala perjanjian dengan jin-jin saka sekiranya ada, namun dia cuma berdiam diri dan berlakun seolah-olah dia tidak mengetahui apa-apa.


Sejak ditimpa kemalangan tersebut, bisa-bisa badannya makin bertambah, boleh dikatakan setiap hari dia mengerang kesakitan. Dia meminta anaknya memanggil saya untuk mendapatkan rawatan. Oleh kerana sikapnya yang masih mahu menyimpan jin-jin saka tersebut, saya mengambil sikap tidak mengendahkan permintaannya untuk mendapatkan rawatan. Ianya berterusan lebih kurang dua minggu, sehinggalah pada suatu hari saya bertemu dengan guru perubatan saya yang terawal. Saya mengadu padanya tentang kisah itu, dan bertegas tidak mahu merawat pakcik tersebut.


Guru saya menasihatkan, didalam Rawatan Islam, masalah peribadi perlu ditolak ketepi, apabila ada seorang hamba Allah yang memerlukan pertolongan adalah wajib kita menolongnya apa yang termampu. Mendengar nasihat tersebut, saya seperti terjaga dari lamunan, baru saya sedar yang saya telah melakukan kesilapan, saya tidak sepatutnya menghampakan permintaan pesakit untuk mendapatkan rawatan.


Sejak dari itu tidak pernah saya menolak permintaan untuk rawatan kecuali jika saya benar-benar tidak mampu untuk memenuhinya.


Sejak saya menceburkan diri didalam bidang rawatan, tidak pernah saya menghadapi sakit tekak dan batuk-batuk yang teruk begini,. Nak baca ruqyah pun payah, apatah lagi nak berdialog dengan jin.


Khamis malam jumaat yang lalu ada seorang wanita yang sangat-sangat berharap untuk mendapatkan rawatan, caranya yang bersungguh-sungguh membuatkan saya tidak sampai hati untuk menolak hajatnya.


Tujuan dia datang adalah untuk menceritakan masalah cucunya yang kerap menangis, dan tangisannya pula luar biasa seperti takutkan sesuatu. Puas sudah dia berubat di merata tempat, namun cucunya masih belum menunjukkan tanda kesembuhan. Namun, pada malam itu dia tidak membawa cucunya kerana dia memberi alasan anak menantunya sangat-sangat tidak mempercayai rawatan alternatif termasuklah kaedah rawatan Islam.


Mendengar ceritanya, saya menjangka masalah ini bukan berpunca dari bayi tersebut, tetapi ianya mungkin bermula pada ibu atau neneknya. Saya bercadang untuk melakukan pemeriksaan keatasnya, namun belum sempat saya menyuruhnya duduk di kerusi pesakit, tiba-tiba wanita tersebut berdiri dan menengking, sambil menuding jarinya kepada saya dia berkata “aku tak suka perempuan ni jumpa engkau, aku memang nak musnahkan hidup seluruh keluarganya..”, kini yang bercakap di depan saya sekarang ini bukannya wanita itu lagi tetapi jin yang mengganggunya. Saya bertanya kepadanya, “engkau ni siapa..? dengan nada angkuh dia menjawab, “aku adalah jin yang paling kuat sekali, tiada siapapun yang boleh mengalahkan aku, tiada siapapun yang mampu untuk mengubati perempuan ini”


Saya bertanya lagi kepadanya, “ habis tu bayi tu menangis pasal apa..?” wanita itu makin meninggikan suaranya dan sudah mula hendak bertindak agresif, sambil menjerit dia berkata lagi, “bayi tu aku lah yang kacau dia, aku nak diaorang semuanya mati”… dia cuba mara kehadapan seolah-olah hendak menyerang. Saya terus menengkingnya mengarahkan agar dia duduk.


Saya pun hairan, padahal saya sakit tekak, suara pun payah nak keluar, bila saya tengking jin, boleh pula keluar suara… wallahua’lam, inilah yang dikatakan bantuan Allah.


Setelah saya menengking jin tersebut, barulah kelihatan dia memperlahankan suaranya, nampak seperti dia ketakutan. Saya menggunakan kesempatan ini untuk menakutkan lagi jin tersebut, dengan meninggikan suara saya mengancam akan membunuhnya dengan izin Allah sekiranya dia tidak mahu keluar. Kelihatan jin tersebut menangis ketakutan, dia merayu supaya tidak mengapa-apakannya dan berjanji akan keluar. Alhamdulillah dengan izin Allah dia keluar, dan wanita itu sedar kembali.


Jumaat malam Sabtu pula saya diminta oleh seorang pesakit yang memang sudah lama ingin bertemu dengan saya untuk mendapatkan rawatan, sekali lagi saya tidak sampai hati untuk menolaknya. Malam itu sessi rawatan berlangsung lebih kurang sejam setengah termasuklah rawatan keatas adik lelakinya. Saya menjangkakan masalah sakit tekak saya tidak serius, dengan itu tanpa memikirkan kemudharatannya saya berinteraksi dengan jin-jin pesakit seperti biasa, meminta mereka semua keluar. Sekali sekala saya meninggikan suara, walaupun tekak terasa amat perit, demi semangat ingin membantu pesakit saya lupakan semua kesakitan yang saya alami.


Esoknya hari Sabtu saya sudah mula tiada suara, tekak saya semakin sakit dan terasa seperti membengkak. Hari itu saya rasa tidak lagi mampu untuk menerima pesakit dan terpaksa menolak beberapa permintaan untuk temujanji rawatan.


Namun ditakdirkan Allah swt, Sabtu malam Ahad itu saya menerima satu panggilan kecemasan dari seorang sahabat saya yang memberitahu ada seorang wanita sedang mengamuk kerana kerasukan. Pada mulanya saya katakan yang saya kurang sihat, namun kerana tidak sampai hati saya pergi juga ke rumah pesakit tersebut. Sampai di sana saya lihat orang ramai berkumpul di luar rumah menunggu ketibaan saya. Tanpa berlengah saya masuk ke dalam rumah dan kelihatan beberapa orang sedang memegang pesakit tersebut dan menghalangnya dari mencekik lehernya sendiri.


Oleh kerana tekak saya teramat sakit, saya terpaksa berdialog dengan nada yang amat perlahan dan lemah lembut, tidak pernah saya berinteraksi dengan jin didalam keadaan yang begitu lemah-lembut. Allah Maha Berkuasa, diizinkan Allah swt jin-jin tersebut mendengar cakap, mula bersikap lembut dan tidak berkasar lagi. Cuma ada diantara mereka yang tidak mahu keluar walaupun telah dipujuk berkali-kali dan saya terpaksa menamatkan riwayat mereka dengan izin Allah.


Sebelum-sebelum ini saya yakin salah satu dari kelebihan saya didalam rawatan adalah pada suara, dengan suara saya dapat menggerunkan jin-jin yang menganggu, dengan suara saya dapat meyakinkan jin untuk keluar, namun dengan peristiwa ini saya bertambah yakin bahawa kekuatan sebenar hanyalah pada Allah dan bukannya pada kekuatan fizikal perawat. Merujuk kepada posting Ustaz Majid (AKRINE) tentang “Kisah Malang Seorang Pesakit”, saya tidak dapat membayangkan jika perawat-perawat yang menggunakan kaedah meng-azankan pesakit ditelinganya dengan sekuat-kuat hati itu mengalami sakit tekak seperti saya.


Hari ini sakit tekak saya telah pulih sepenuhnya, ada diantara mereka yang mengambil kursus rawatan dapat menyambung kembali kelas rawatan. Saya juga dapat menjawab telefon dan melakukan rawatan seperti biasa. Baru beberapa hari nikmat suara diambil, banyak kerja-kerja saya yang tertangguh. Alangkah besarnya nikmat suara yang Allah kurniakan pada manusia. Alhamdulillah syukur Ya Allah, Engkau telah mengembalikan suara ku ini.


Semoga semua perawat-perawat Islam berada di dalam keadaan sihat wal’afiat dan dipermudahkan Allah segala urusan didalam rawatan. Akhir kata, Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak dan selamat berpuasa.