Monday, September 14, 2009

Kisah Lucu Semasa Merawat...


Sepanjang pengalaman saya didalam Rawatan Islam ada juga peristiwa-peristiwa lucu yang menggelikan hati semasa merawat. Kisah ini berlaku kira-kira tiga tahun yang lalu.

Suatu hari saya didatangi oleh seorang wanita bersama anaknya. Ia mengadu anaknya tidak mendengar kata dan selalu melawan. Apabila saya bertanya dengan lebih lanjut, wanita itu juga menceritakan ada beberapa perkara aneh yang berlaku terhadap dirinya.

Pernah satu ketika dulu dia memasak air di dapur, sedangkan dia berada di tingkat atas rumah, tiba-tiba dia mendengar satu suara yang berbisik halus " Api !!!, Api !!!, Api !!! ", sedangkan ketika itu dia hanya berseorangan di rumah. Apabila dia turun, dia melihat api sudah marak dibahagian dapur.

Dia juga pernah bermimpi bahawa dia didatangi oleh seorang lelaki berjubah yang mengaku sebagai Syeikh Abdul Qadir Jailani. Lelaki tersebut mengaku sebagai pendamping dirinya yang menjaga dirinya dan keluarga. Saya tidak mahu memberi apa-apa komen tentang peristiwa tersebut. Tambahan pula, selepas ini saya ada temujanji lain, maka saya hanya boleh memeriksa anak wanita tersebut. Oleh itu pemeriksaan rawatan keatas wanita tersebut di tangguhkan pada hari lain.

Saya meminta budak perempuan tersebut duduk dihadapan saya sambil memejamkan mata. Budak tersebut berumur lebih kurang sepuluh tahun. Saya memulakan bacaan ruqyah dan mengarahkan kejahatan jin yang menganggu budak tersebut supaya keluar. Saya berkata dengan nada yang tegas, " Keluar !!!, Keluar !!!, Keluar !!! "…..

Saya lihat budak perempuan tersebut seperti didalam keadaan yang tidak selesa. Tiba-tiba budak perempuan itu bersuara " Pakcik.., pakcik…, macamana saya nak keluar pakcik…". Rupa-rupanya budak perempuan tersebut keliru, dia ingatkan saya berkata-kata dengan dirinya, jadi dia terfikir-fikir bagaimana cara untuk dia keluar.

Saya yang sudah gelihati dan tertawa, memberitahunya " Pakcik tak cakap dengan kamu lah…, pakcik cakap dengan benda yang kacau kamu ni….". Semua yang hadir ketika itu juga turut tertawa…

Kemudian saya menyambung kembali bacaan ruqyah dan memerintahkan jin gangguan tersebut keluar. Kali ini setiap kali saya menyebut perkataan " Keluar !!! ", setiap kali itu juga tubuh badan budak perempuan tersebut seolah-olah terangkat keatas.

Saya ulang lagi " Keluar !!!, Keluar !!!, Keluar !!! ", saya lihat seolah-olah budak perempuan itu melompat-lompat. Setengah jam kemudian saya akhiri sessi rawatan dan bertanya kepada budak perempuan itu, mengapa dia terlompat-lompat.

Menurutnya sewaktu saya berkata " Keluar !!!", dia merasakan dirinya seperti terangkat dan terlambung ke atas. Ini bermakna, apa yang berlaku adalah diluar kawalan dirinya. Saya membekalkan wanita tersebut dengan air rawatan untuk minum dan mandi.

Beberapa hari selepas itu, wanita tersebut menghubungi isteri saya memberitahu ada perubahan pada anaknya, kini anak perempuannya itu sudah mendengar kata dan kurang melawan.