Friday, September 4, 2009

Macam-Macam Karenah Jin... Part 2


Oleh kerana saya merasakan artikel ni macam panjang sangat, saya bahagikannya kepada part 1 dan part 2... ikutilah sambungannya...

Pernah juga saya berhadapan dengan jin yang bertindak agresif dengan memaki saya dengan kata-kata kesat. Mereka cuba menakut-nakutkan saya dengan mengancam untuk mengganggu saya dan keluarga dan ada juga yang mengatakan kononnya ketika ini tuannya sedang memantau dari jauh dan sedang cuba untuk berlawan dengan saya. Jin seperti ini adalah diantara jin yang berpengalaman didalam menganggu manusia, dia memberi berbagai-bagai helah kerana tidak mahu keluar.

Kadangkala saya bertindak dengan menengking dan mengarahkan jin tersebut agar bersopan dan memberi kerjasama. Mengapa kadangkala kita perlu merendah-rendahkan atau mengejak-ngejek jin tersebut...? Pada pandangan saya, ini adalah salah satu kaedah untuk menghilangkan ego dan sikap takabbur jin tersebut, apabila jin tersebut merendahkan dirinya dihadapan perawat maka ketika itu perawat yang menguasai situasi, dan insyaALLAH jin tersebut akan memberi kerjasama.

Ada pula jenis jin-jin yang mengambil maklumat dari otak pesakit dan memanipulasikan maklumat-maklumat tersebut. Oleh itu kita perlu berjaga-jaga dari tipu daya dan fitnah yang direka-reka oleh jin-jin tersebut yang mahu memecah belahkan sesama manusia.

Ada juga jin-jin yang mencabar saya untuk membunuhnya tetapi kebanyakan dari mereka hanya ingin melihat sejauh mana kemampuan perawat yang berhadapan dengan mereka. Apabila jin tersebut merasakan bahawa mereka boleh menjalankan tipu daya kepada perawat maka selalunya mereka akan mereka-reka cerita untuk menabur fitnah sesama manusia. Tetapi setelah mereka melihat salah seorang rakan mereka terkorban, ketika itulah mereka akan ketakutan.

Kadangkala ketika memujuk jin supaya keluar, perawat mengajaknya agar masuk Islam supaya proses perbincangan menjadi lebih mudah serta tidak menggunakan kekerasan, ada diantara jin-jin gangguan tersebut memang benar-benar ingin masuk Islam kerana mereka sendiri diperangkap dan dianiaya serta dipaksa oleh tukang sihir, ada diantara jin-jin yang memang tidak mahu masuk Islam dan mereka akan berterus terang dengan mengatakan mereka hanya mahu keluar dan tidak mahu masuk Islam, namun ada juga diantara jin-jin yang cuba menipu perawat, pernah juga saya alami, jin yang saya pujuk itu hanya berpura-pura mengucapkan kalimah syahadah, kemudian kembali mengamuk apabila saya membaca ayat al-quran.

Kerana itulah kita tidak boleh menerima bulat-bulat apa yang diperkatakan oleh jin. Ini adalah kerana sifat jin-jin gangguan ini kebiasaannya adalah suka menipu dan menambah-nambah cerita. Bagi perawat yang biasa berdialog dengan jin, insyaALLAH mereka boleh mengesan samada jin tersebut berkata benar atau menipu, itupun kebiasaannya para perawat hanya mengambil kata-kata tersebut sebagai panduan untuk langkah berjaga-jaga sahaja.

Pernah satu ketika dulu saya berhadapan dengan jin yang agak sukar untuk keluar dan tidak mahu keluar, setelah puas menggunakan kekerasan terhadapnya barulah jin tersebut setuju untuk keluar, tetapi dia meminta agar pesakit dimandikan dengan air ruqyah terlebih dahulu sebelum dia keluar.

Jika mengikut pada pemahaman saya sekarang ini, permintaan sebegini tidak boleh dipenuhi kerana ini adalah termasuk syarat-syarat yang dikenakan oleh jin untuk keluar. Dan kadangkala syarat-syarat sebegini hanya membuatkan jin tersebut bertambah kuat, kerana kita tunduk pada kehendaknya.

Namun ada sesetengah pendapat, permintaan yang tidak mensyirikkan Allah dan tidak melampaui batas masih boleh dipenuhi, ini adalah kerana ianya mungkin ada kena mengena dengan cara-cara jin tersebut keluar dari tubuh badan pesakit.

Pernah seorang sahabat saya yang juga seorang perawat, berhadapan dengan jin jenis air, setelah puas menggunakan berbagai-bagai kaedah untuk memaksa jin tersebut keluar, jin itu akhirnya bersetuju untuk keluar tetapi meminta sahabat saya memasukkan kaki pesakit kedalam baldi yang berisi air. Diizinkan Allah swt jin tersebut keluar. Mungkin kerana sifat jin tersebut yang menetap dikawasan air maka dia ingin keluar melalui perantaraan air juga...

wallahua'lam