Wednesday, September 2, 2009

Macam-Macam Karenah Jin... Part 1


Mungkin ramai diantara perawat-perawat yang berhadapan dengan pesakit yang mudah kerasukan. Kadangkala baru masuk ke kawasan pusat rawatan, jin gangguan sudah menzahirkan dirinya, kadangkala setelah minum air ruqyah pesakit terus kerasukan.

Saya juga ada mengalami pengalaman yang sedemikian, adakalanya pesakit tidak nampak lokasi pusat rawatan saya padahal mereka sudah berulang kali lalu lalang di situ, adakalanya pesakit muntah tiba-tiba setelah meminum air ruqyah.

Pernah satu ketika seorang pesakit datang untuk mendapatkan rawatan, saya minta pesakit duduk dihadapan saya sambil memejamkan mata. Tidak sempat saya menghabiskan bacaan al-fatihah tiba-tiba pesakit meraung-raung menangis sambil menutup muka dengan kedua-dua tangannya.

Untuk makluman pembaca, perkara-perkara sebegini adalah diantara contoh serangan-serangan sihir yang agak berat dan serius. Ini adalah kerana jin didalam tubuh pesakit dengan mudah memberikan reaksi kerana tidak tahan dengan aura perawat ataupun bacaan ayat-ayat quran.

Ada diantara mereka yang tidak memahami keadaan ini menuduh saya memasukkan jin kedalam tubuh pesakit. Dan ada juga diantara mereka yang mengatakan saya membuka laluan didalam tubuh pesakit untuk kemasukan jin. Rentetan dari tuduhan-tuduhan ini maka ada yang mengatakan saya tahu buka laluan tetapi saya tidak tahu menutup kembali laluan tersebut, dan ianya mengakibatkan pesakit masih diganggu oleh serangan-serangan sihir atau jin.

Untuk makluman pembaca, tujuan saya menerangkan dan menjawab tuduhan-tuduhan tersebut didalam tulisan saya bukanlah bertujuan untuk membela diri, tetapi semoga dengan tulisan-tulisan saya ini kita semua mendapat gambaran sebenar tentang apa yang berlaku disebalik semua ini, supaya kita tidak mudah menuduh perkara yang kita tidak tahu itu dengan pelbagai tuduhan yang tidak benar.

Secara asasnya, jin-jin yang menganggu pesakit, samada mereka berada di luar atau berada didalam tubuh pesakit, adalah seumpama penjahat atau pencuri yang menceroboh kediaman seseorang. Dan pencerobohan ini seolah-olah meninggalkan cap jari. Dan akibat dari kesan cap jari inilah maka samada jin itu berada di luar atau didalam tubuh pesakit, ia akan merasakan kesan apabila menghampiri perawat atau mendengar bacaan ayat-ayat ruqyah.

Semakin kuat gangguan maka semakin tidak tahanlah ia dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan rawatan, samada berhadapan dengan perawat atau mendengar bacaan-bacaan ruqyah. Mereka yang mengalami gangguan serius juga akan menghadapi masalah apabila hendak minum atau mandi air yang telah di ruqyah. Kemungkinan mereka agak sukar untuk menelan air ruqyah atau berasa kepanasan apabila mandi air ruqyah.

Berkenaan dengan tuduhan mengenai laluan yang terbuka atau tertutup pada tubuh pesakit. Untuk makluman pembaca, saya tidak pernah membuka mana-mana laluan untuk kemasukan jin pada tubuh pesakit. Dan persoalannya, mengapa pula kita perlu membuka laluan untuk kemasukan jin semasa rawatan..? Dan sekiranya sekalipun saya tahu untuk membuka laluan itu, saya tidak akan sama sekali berbuat demikian kerana ianya tidak perlu dan ianya akan memudharatkan pesakit.

Tetapi kebiasaannya, jin-jin yang keluar dari tubuh pesakit, akan meninggalkan kesan-kesan laluannya yang tersendiri dan mengakibatkan kecederaan kepada tubuh pesakit. Kadangkala sehingga tubuh pesakit berlubang-lubang dan pecah-pecah. Namun kecederaan ini tidak boleh dilihat oleh pandangan biasa, melainkan mereka-mereka yang mempunyai kebolehan tertentu sahaja yang dapat melihatnya.

Oleh itu setiap kali selepas rawatan saya akan membacakan ayat menutup laluan-laluan jin, dan insyaALLAH dengan ayat-ayat tersebut juga kecederaan-kecederaan yang dialami pesakit akan sembuh atau bertaut kembali. Ini juga dibantu pula dengan air rawatan untuk minum dan mandi yang saya bekalkan kepada pesakit.

Jadi mengapa ada diantara pesakit yang masih diganggu dan serangan-serangan sihir masih berlaku kepada pesakit walaupun selepas rawatan…?

Untuk makluman pembaca, tugas perawat didalam merawat pesakit mungkin hanya lima puluh peratus, enam puluh peratus atau tujuh puluh peratus, namun yang selebihnya adalah tanggungjawab pesakit itu sendiri untuk beramal dengan amal-amal soleh yang dapat menghampirkan diri kepada Allah, seperti zikir, solat-solat sunat, membaca al-quran dan menjauhkan diri dari maksiat. Dan amalan-amalan ini perlu di amalkan dengan berterusan.

Pesakit juga amat digalakkan untuk solat dan zikir berjemaah atau membaca quran secara beramai-ramai. Ini adalah kerana aura berjemaah itu lebih kuat dari berseorangan. Kerana itulah kita namakan rawatan ini sebagai rawatan islam, kerana bukan sahaja kaedah rawatannya menggunakan bacaan ayat-ayat al-quran dan tertakluk kepada hukum syara’, malahan sesudah proses rawatan juga pesakit perlu mendekatkan diri kepada Allah dan kembali kepada Islam, kembali mengerjakan ketaatan kepada Allah dan meninggalkan segala larangan Allah swt zahir dan batin.

Kesimpulannya, serangan-serangan yang masih berlaku kepada pesakit bukanlah disebabkan semata-mata laluan jin yang masih terbuka didalam tubuh pesakit, tetapi samada belum diizinkan Allah untuk sembuh atau mungkin pendinding yang di ikhtiarkan oleh perawat tidak tebal dan berjaya ditembusi atau amalan pesakit belum cukup mantap untuk menangkis serangan-serangan baru.


Bersambung...