Wednesday, October 7, 2009

Kasih Kepada Allah...


"Wahai orang-orang yang beriman!, Sesiapa diantara kamu berpaling tadah dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan pula suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasih kepada-Nya, kaum yang bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas terhadap orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka pula tidak takut dengan celaan orang yang mencela....." (al-Maidah :54)

Kata-kata imam al-Syafi'e, "Kamu melakukan maksiat, sedangkan kamu cintakanNya. Bagiku ini memang perkara aneh. Sekiranya kamu benar-benar menyintaiNya, nescaya kamu taatkanNya, ini kerana orang yang bercinta akan menurut sahaja kehendak kekasihnya."

Petikan dari kitab Da'irah al-ma'arif al-Islamiah; "Orang yang mendakwa dengan dakwaan al-Hulul dan al-Ittihad adalah tidak diperakui oleh ulama' yang muhaqqiq dikalangan para sufi. Sepertimana fuqaha' juga tidak bersetuju dalam soal itu".

Tidak ada diantara Allah dengan hambanya sebarang hubungan kecuali semata-mata sifat 'ubudiyyah daripada hamba dan sifat uluhiyyah daripada Allah.

Dan tidak ada pada hamba satu pun daripada sifat uluhiyyah dan tidak ada pada Allah satu pun daripada sifat 'ubudiyyah.

Hulul - diambil daripada asal perkataannya iaitu memasukkan sesuatu kedalam sesuatu yang lain dan yang dimaksudkannya disini, Allah itu masuk ke dalam badan (jisim) manusia. Tidak boleh beranggapan begitu kerana Allah Maha Tinggi dan Maha Agung.

Ittihad - dimaksudkan dengan Allah itu bersatu dengan hambanya. i'tiqad sebegini boleh membatalkan aqidah. Ittihad hanya boleh berlaku pada sesuatu yang sama taraf, tidak boleh berlaku diantara Qadim (Sedia ada) dengan Hadis (sifat baru). Setinggi manapun seseorang manusia itu telah sampai ke kemuncak ketinggian, kerohanian dan kesucian hati, namun mereka tidak akan dapat menghapuskan sama sekali unsur-unsur kemanusian yang dimilikinya.

Abu Yazid al-Bustami berkata "Allahuakbar itu bermaksud, Allah itu Maha Besar untuk di qiaskan dengan manusia atau Maha Besar untuk diqiaskan dengan yang lain dan Maha Besar untuk difahami oleh pancaindera."