Monday, October 5, 2009

Mengapa Jin Gangguan Kebal Dengan Bacaan Ruqyah..?


Tentu ramai yang tertanya-tanya mengapa ada diantara jin-jin tidak terkesan dengan cd ruqyah atau bacaan ruqyah. Walhal ada diantara pesakit yang mendengar cd ruqyah setiap hari dari pagi hingga ke petang.

Diharap jangan pula ada yang nakal selepas ini mengambil kesimpulan, perawat yang menggunakan kaedah ruqyah syar’iyyah didampingi jin.

Sesiapa yang mengamalkan mendengar cd ruqyah syar'iyyah sebagai terapi, boleh teruskan mendengarnya, cuma apa yang penting kita tidak boleh bergantung kepada cd semata-mata, berjumpalah dengan perawat untuk rawatan susulan.

Dan apabila saya katakan, kebiasaannya jin-jin gangguan berada selari dengan frekuensi minda separa sedar pesakit, jangan pula ada yang mengambil kesimpulan dengan mengatakan belajar tentang minda separa sedar itu mendedahkan diri pada serangan jin.

Bila kita mempelajari ilmu minda kita akan dapat tahu minda itu terbahagi kepada beberapa bahagian, kerana itulah "minda sedar" amat penting bagi kita untuk menapis perkara-perkara yang baik dan buruk.

Ada sesetengah orang tidak menggunakan "minda sedar"nya dengan sebaik mungkin, selalu melakukan satu-satu perkara dengan membuta tuli, samada dari segi perbuatan mahupun kata-kata, kesudahannya dia meletakkan kesalahan itu pada takdir Allah, ada yang keliru mengatakan itulah af'al Allah jadi tidak ada penyesalan padanya apabila perbuatannya itu menyusahkan atau menyakiti orang lain atau menceroboh hak-hak orang lain. Padahal dia tidak menggunakan akal yang dikurniakan Allah kepadanya dengan sebaik mungkin. Orang yang sebegini minda separa sedarnya telah dikelirukan oleh syaitan.

Saya rasa semua orang tahu bahawa perkara yang paling asas didalam kehidupan kita ialah pergantungan yang sebenar-benarnya hanya kepada Allah swt.

Jadi… apakah kita hanya cukup dengan berserah…? Sudah tentu tidak… pergantungan kepada Allah ada banyak peringkat. Diantaranya pergantungan peringkat orang awam, orang yang khusus, dan orang yang khusus diantara yang khusus… Kita perlu tahu dan kenal kepada siapa kita bergantung. Adakah pergantungan kita hanya sampai kepada asma’Nya (namaNya) atau hanya pada KalamNya… …? Kerana itulah selain dari beramal, kita perlu belajar dan mendalami ilmu agar kita tahu apa yang kita lakukan.

Walaubagaimanapun, tidak kira samada orang awam atau orang khusus, selagi kita beriman kepada Allah, insyaALLAH bantuan Allah pasti bersama kita. Cuma apa yang ingin saya sarankan ialah kita semua perlu mendalami ilmu agama supaya kita lebih mengenal diri dan hidup ini.

Saya berpendapat semua perawat yang beragama Islam, samada perawat-perawat yang melabelkan kaedah Rawatan mereka sebagai Kaedah Rawatan Islam mahupun yang tidak, semuanya faham tentang asas rawatan.

Dan pada pandangan saya, semua perawat-perawat faham bahawa Rawatan Islam bermaksud rawatan yang dijalankan oleh seorang hamba Allah yang beragama Islam yang menjadikan Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw sebagai pegangan dan syi’ar.

Selain dari itu ia juga menggunakan kaedah, teknik dan petua yang tidak bercanggah dengan Agama Islam, yang mentauhidkan Allah swt dan tidak menggunakan jin sebagai khadam suruhan. Dalam erti kata yang lain Rawatan Islam tidak tertakluk semata-mata kepada set-set bacaan ruqyah syar’iyyah yang disusun oleh pusat-pusat rawatan tertentu.

Atas dasar pemahaman inilah maka saya amat berlapang dada dengan apa jua kaedah rawatan selagi ianya jelas tidak mensyirikkan Allah swt. Dan saya sentiasa merasakan diri saya serba kekurangan dan terlalu banyak lagi yang saya perlu pelajari. Atas dasar pemahaman ini jugalah saya tidak dapat berkompromi dengan mereka-mereka yang berfikiran sempit dan jumud didalam mentafsir kaedah, teknik dan petua didalam rawatan serta suka menghina ilmu orang lain.

Saya amat menyanjungi semua guru-guru yang bertanggungjawab mendidik saya samada guru-guru tadika, guru-guru sekolah rendah, guru-guru sekolah menengah, guru-guru kolej, apatah lagi guru-guru perubatan, guru-guru agama dan guru-guru serta Mursyid Thoreqat yang mendidik dan membimbing saya hingga menjadi seorang insan yang dapat memimpin diri saya sendiri dan keluarga serta dapat memberi sumbangan kepada masyarakat selagi saya terdaya.

Sejak dari bangku sekolah lagi saya berguru dari satu guru ke satu guru, sehinggalah saya bertemu dengan guru saya yang mursyid. Selagi hayat dikandung badan saya akan sentiasa merendah diri untuk mencari dan menadah ilmu dari satu guru ke satu guru yang lain. Saya tidak malu untuk belajar kepada siapa saja walaupun orang itu lebih muda dari saya.

Ada yang salah sangka dengan mengatakan saya meninggalkan guru yang lama dan pergi kepada guru yang baru, ini adalah tidak benar sama sekali. Tidak kira guru saya yang lama ataupun yang baru mereka tetap guru saya sampai bila-bila. Prinsip saya berguru biar beribu, mursyid hanya satu.

Saya kagum dengan guru-guru perubatan yang benar-benar ikhlas didalam mengajar dan berkongsi ilmu, mereka amat berlapang dada apabila ada perbezaan pendapat, mereka juga menggalakkan RND dan pencarian ilmu yang berterusan.

Baru-baru ini saya menziarahi blog seorang sahabat yang juga seorang perawat yang dikagumi ramai. Saya suka membaca kisah-kisah pengalamannya semasa merawat dan juga kupasan-kupasan ilmu beliau.

Tetapi saya agak terkilan kerana ada seorang hamba Allah yang mengenali saya dan saya juga amat mengenalinya, memberi komen yang berunsur fitnah pada salah satu posting di situ.

Komen yang diberinya itu seolah-olah ingin melaga-lagakan saya dengan perawat tersebut. Bukan itu saja, dia juga mengatakan hobi saya ialah "SUKA BUAT PESAKIT KERASUKAN". Sekiranya hamba Allah itu terbaca posting ini, nasihat saya untuk hamba Allah itu, hentikanlah kerja-kerja mengadu domba dan melaga-lagakan orang. Sekiranya anda tidak mampu untuk memberi manfaat kepada masyarakat, maka DIAM itu adalah sumbangan yang terbaik.

Saya rasa segala persoalannya telah saya jawab melalui email sehingga dia tidak menjawab lagi, tetapi kemudian dia cuba beralih topik dengan menyerang peribadi saya pula. Saya pun hairan, apa lagi yang orang-orang sebegini mahu dari saya.

Tidak saya nafikan ada segelintir hamba Allah yang mengaku diri mereka perawat samada perawat yang memakai imej bomoh, kiyai, ustaz, tok guru atau apa saja imej mengambil kesempatan di atas kesusahan pesakit. Tetapi janganlah disebabkan kenakalan mereka yang segelintir ini maka semua perawat-perawat alternatif dianggap sama. Tidak adil sekiranya kita merumuskan kesesatan atau kebenaran satu-satu perkara itu berdasarkan bacaan-bacaan di internet semata-mata.

Selagi kita hidup di muka bumi ini, tidak kira samada orang awam, orang khusus, wali Allah, perdana menteri, orang thoreqat, orang yang taat mahupun orang yang maksiat, orang islam mahupun orang yang kafir, bomoh, ustaz, kiyai atau sesiapa saja, semuanya akan di uji Allah swt.

Sebagaimana pesakit-pesakit diuji Allah dengan masalah, gangguan dan kesakitan begitu juga para perawat yang tidak terlepas dengan berbagai ujian ketika merawat. Ujian yang akan memberi kita satu ilmu dan pengalaman yang baru, ujian-ujian yang akan mematangkan diri.

Maka beruntunglah mereka yang sentiasa berfikir, mengambil i’tibar dan memperbaiki diri pada setiap zarah detik kehidupan.

wassalam