Wednesday, October 21, 2009

Sihir Jin Tengkorak Tiga Beranak...


Pernah satu ketika dulu saya dihubungi oleh seorang pakcik yang mengadu sudah seminggu mengalami masalah tidak boleh tidur. Dia meminta saya merawat beliau di rumahnya di sekitar Kuala Lumpur.

Pakcik H adalah seorang peniaga ikan di Kuala Lumpur. Beliau mempunyai jadual tidur yang tersendiri. Kalau tak silap saya, beliau akan ke pasar borong seawal pukul tiga atau empat pagi untuk mendapatkan bekalan ikan. Dia benar-benar terganggu dan tertekan dengan gangguan atau masalah tidak boleh tidur ini, kerana ianya menyebabkan badannya teramat letih, fikiran terlalu kusut dan hati yang tidak tenteram.

Sebenarnya kediaman Pakcik H berhampiran dengan sebuah pusat rawatan alternatif. Kebetulan, perawat pusat rawatan tersebut ialah sahabat saya. Setahu saya kaedah rawatannya adalah berasaskan kaedah Rawatan Islam yang juga menggunakan bacaan ayat-ayat al-quran. Tetapi pakcik H tidak berminat untuk mendapatkan rawatan disitu, dengan alasan bacaan-bacaan ruqyah perawat tersebut dibaca dengan amat perlahan seperti berbisik dan kadangkala perawat itu seperti tidak membaca apa-apa pun. Saya agak, mungkin pakcik H terpengaruh dengan kata-kata mereka yang tidak suka dengan perawat tersebut.

Pada saya, tiada masalah samada kita hendak membaca ruqyah dengan bacaan yang kuat, perlahan, berbisik atau sekalipun kita membacanya didalam hati. Saya sendiri jika sudah terlalu ramai pesakit dan letih meruqyah, maka saya akan membacanya secara perlahan saja. Kadangkala saya juga hanya membaca ruqyah didalam hati, dan ada waktu-waktu tertentu saya hanya menggunakan isyarat tangan saja untuk merawat. Yang penting perawat tahu apa yang mereka lakukan.

Bagi saya jika kita ragu-ragu dengan kaedah-kaedah rawatan perawat-perawat tertentu, kita perlu bertanya terus kepada perawat tersebut dengan cara yang hikmah dan bijaksana. Tidak adil bagi kita untuk memberi komen dan menghukum tentang sesuatu yang kita tiada ilmu mengenainya. Dan tambah tidak adil lagi apabila kita menyebarkan komen-komen yang tidak berasas itu kepada orang lain, buat tambah saham dosa je.

Sememangnya pesakit mempunyai hak untuk bertanya, kerana pesakit yang bijak akan memastikan kaedah rawatan yang dilakukan tidak sekali-kali menyalahi hukum syara’. Perawat juga harus telus dan memberi serba sedikit penerangan kepada pesakit tentang kaedah-kaedah rawatan mereka. Ini adalah untuk mengelakkan fitnah dan prasangka yang bukan-bukan terhadap perawat. Komunikasi amat penting didalam rawatan. Bagi saya ianya amat membantu merawat pesakit dari sudut mental dan emosional.

Tiga hari sebelum dia menghubungi saya, pakcik H berjumpa dengan seorang bomoh untuk mendapatkan rawatan. Menurut bomoh tersebut, pakcik H terkena gangguan sihir dari seorang lelaki hindu yang baru mempelajari sihir. Menurut bomoh itu lagi, lelaki hindu itu tidak berniat untuk mengenakan pakcik H, tetapi entah bagaimana lelaki hindu itu mungkin tersilap hantar dan terkena pada pakcik H.

Jin sihir tersebut berupa tiga tengkorak anak beranak. Satu tengkorak besar merupakan ibu jin dan dua lagi tengkorak yang lebih kecil merupakan anak-anak jin tersebut. Pakcik H tidak bercerita dengan lebih lanjut bagaimana bomoh tersebut melakukan rawatan, dia cuma mengatakan rawatan tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah tidur yang dihadapinya.

Setelah sampai dirumahnya, saya diminta agar merawat pakcik H didalam bilik beliau. Saya mulakan rawatan dengan bacaan al-fatihah dan beberapa bacaan ayat-ayat quran yang lain. Tidak sampai lima minit saya lihat pakcik H sudah mula merapu. Saya menggunakan kaedah “dialog perangkap” untuk memastikan itu adalah jin yang menganggu pakcik H. Ternyata benar, ada tiga jin tengkorak yang agak kuat dan liat. Jin tersebut juga cuba mengelirukan saya dengan berlakun seolah-olah yang berkata-kata itu adalah pakcik H.

Jin-jin tersebut mengaku bahawa tuan mereka baru mempelajari ilmu sihir dan tersalah menghantar sihir lalu terkena pakcik H. Tetapi dalam masa yang sama juga jin-jin itu agak keberatan untuk keluar dan meninggalkan pakcik H. Sambil membebel jin-jin itu cuba bertindak ganas dan melakukan isyarat seperti hendak bersilat dengan saya.

Di luar bilik, isteri pakcik H agak risau kerana mendengar keadaan di dalam bilik rawatan riuh seperti orang yang bergaduh. Dia menjenguk ke dalam bilik, saya beri isyarat padanya keadaan adalah terkawal dan meminta ia supaya bertenang.

Saya menggunakan kaedah pasung dan jurus untuk menentang jin-jin tersebut. Tiba-tiba mereka terdiam tidak berkata apa-apa. Saya tanya kepada mereka, mengapa terdiam. Jin itu menjawab, “macamana aku tak diam, abis tu dah kena jurus…”.

Saya hairan, bagaimana jin tersebut tahu saya menggunakan kaedah jurus padahal saya melakukannya dengan diam-diam. Ini bermakna dia sudah cedera, patutlah dia dah berhenti membebel. Kalau tidak mulutnya tak berhenti-henti nak bercerita dan merapu. Akhirnya jin tersebut menyerah kalah dan ingin keluar, cuma mereka tidak tahu ke mana arah yang hendak dituju selepas ini.

Saya mencadangkan jin-jin tersebut pergi ke kawasan hutan dan tinggal bersama monyet-monyet di hutan. Mereka bersetuju, dan perkara ini kemudiannya disahkan oleh pakcik H, menurutnya sewaktu saya mengarahkan jin-jin tersebut keluar, pakcik H ternampak banyak monyet-monyet berkeliaran di satu kawasan hutan.

Saya merawat pakcik H dalam tiga sessi rawatan, dan Alhamdulillah ketiga-tiga jin tengkorak anak beranak itu bersetuju keluar dengan izin Allah. Selepas itu pakcik H sudah boleh tidur seperti biasa.