Monday, November 2, 2009

Di Culik Ke Istana Jin...


Satu hari saya dihubungi oleh seorang saudara jauh, meminta saya merawat bapanya yang tidak sedarkan diri dan meracau-racau. Pakcik M baru keluar dari hospital akibat kemalangan jalanraya.

Beliau adalah seorang yang agak berahsia orangnya. Sebenarnya dulu pakcik M pernah mendapatkan rawatan dengan saya kerana sakit bisa-bisa badan. Dan semasa rawatan, saya hairan melihat pergerakan aneh tangan Pakcik M, tangannya terangkat-angkat ke atas tanpa kawalan.

Pada pemerhatian saya, Pakcik M ada masalah saka, tetapi apabila saya tanyakan padanya, beliau tidak mengaku dan seolah-olah ingin merahsiakan sesuatu. Sehinggalah pada suatu hari Pakcik M menyatakan hasrat untuk menyerahkan “barang peliharaannya” kepada anaknya yang bongsu. Sejak itu anak-anak Pakcik M sentiasa kerisauan, bimbangkan gangguan saka dari Pakcik M.

Ketika Pakcik M tidak sedarkan diri, meracau-racau seperti orang nazak anak-anaknya menjadi keliru samada perlu mengumpulkan adik-beradik atau tidak. Mereka khuatir anak-anak yang lain tidak dapat menatap wajah Pakcik M buat kali terakhir.

Sebelum itu, anak-anak Pakcik M meminta seorang perawat berdekatan untuk membantu Pakcik M yang tidak sedarkan diri. Tetapi, setelah perawat tersebut berulang-ulang kali membaca ruqyah tetapi tiada tanda-tanda tindak balas, maka perawat tersebut mengandaikan bahawa kemungkinan Pakcik M nazak dan menasihati mereka mengumpulkan ahli keluarga Pakcik M dan bersedia dengan apa juga kemungkinan yang berlaku.

Setelah beberapa jam berlalu, tiba-tiba Pakcik M tersedar dan dia mengadu ada beberapa orang lelaki dan perempuan yang berpakaian bangsawan membawanya berjalan-jalan sehinggalah mereka sampai ke sebuah istana yang besar dan mengajak ia tinggal di situ. Namun, Pakcik M menolak kerana walaupun istana tersebut nampak cantik tetapi berbau busuk.

Selepas beberapa minggu, Pakcik M tidak sedarkan diri lagi dan meracau buat kali yang kedua. Saya yang kebetulan menghadiri seminar perbincangan rawatan islam di kawasan yang berhampiran, bergegas ke rumah Pakcik M.

Apabila sampai, saya dapati Pakcik M di dalam keadaan mata tertutup dan memalingkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Tanpa berlengah, dengan nada suara yang tinggi saya mengarahkan jin-jin yang menculik Pakcik M agar melepaskan beliau, saya mengancam akan menghapuskan mereka sekiranya Pakcik M tidak diserahkan kembali dalam tempoh satu minit.

Jin-jin tersebut terperanjat dan di dalam keadaan panik. Tetapi, masih tidak mahu menyerahkan Pakcik M. Setelah satu minit berlalu, saya pancung mereka satu persatu, dan jin-jin yang dipancung itu menggelepar dan mati. Saki baki jin yang ada bertempiaran lari dan mereka melepaskan Pakcik M dengan serta merta.

Pakcik M tersedar dan melafazkan dua kalimah syahadah. Menurutnya, jika dia lambat diselamatkan, kemungkinan dia tidak dapat kembali lagi, kerana jin-jin tersebut berkeras ingin membawanya ke istana mereka dan mahu Pakcik M tinggal di situ.

Selang beberapa minggu kemudian saya dihubungi oleh Pakcik M yang meminta saya untuk membuang saka miliknya. Akhirnya Pakcik M mengaku juga yang dia memiliki saka…