Monday, November 9, 2009

Tragedi Perpisahan Jin Asyik...




Untuk makluman pembaca, saya telah mendapatkan kebenaran “tuan punya diri” untuk memaparkan video rawatannya ini. Beliau juga membenarkan namanya disiarkan supaya kisah ini lebih dramatik dan paparan video rawatan tersebut lebih difahami oleh pembaca. Saya masih cuba untuk mempertingkatkan kualiti video ini, sekiranya kualiti yang lebih elok sudah siap saya akan paparkannya supaya ianya lebih jelas. Semoga kisah ini memberi pengajaran dan i’tibar untuk kita bersama.

“Jin asyik” dikategorikan sebagai jin yang menyukai, menyintai dan menjadikan manusia-manusia tertentu sebagai idola atau pujaan atau kekasih mereka. Ada diantara kes-kes yang serius sehingga jin-jin itu bersetubuh atau berkahwin dengan manusia sehingga melahirkan anak-anak jin.

Mangsa-mangsa terdiri dari pelbagai latarbelakang, ada diantara mangsa ialah mereka-mereka yang terkenal seperti artis-artis pujaan, wanita-wanita yang suka bersolek berlebih-lebihan dan yang suka mendedahkan aurat, ada mangsa dikalangan orang biasa yang mempunyai sejarah bersaka, ada juga dikalangan orang-orang yang rajin beramal ibadat tanpa berguru.

Jangan terperanjat jika saya katakan ahli-ahli thoreqat juga perlu berhati-hati, kerana ada diantara jin-jin asyik meminati mereka yang kuat berzikir, apatah lagi mereka yang mengaku sebagai ahli hakikat atau ahli ma'rifat, kita perlu banyak meng-islah diri dan berwaspada, kerana itulah apa jua pengalaman rohani dan kedapatan didalam zikir perlu dirujuk kepada guru yang mursyid, dikhuatiri jin-jin yang suka “menolong” ini mengelirukan anda dialam ghaib dan alam rasa, apatah lagi alam rahsia.

Perawat-perawat juga tidak ketinggalan berkemungkinan menjadi idola kepada puak-puak jin yang kagum dengan kejantanan anda bertarung dengan jin-jin gangguan, apatah lagi jika anda suka bersifat ria’ dan ‘ujub. Kesimpulannya sesiapa sahaja boleh terdedah kepada masalah ini.

Kebiasaannya tahap-tahap gangguan yang dihadapi adalah bergantung kepada individu-individu itu sendiri. Kekuatan diri seseorang tidak sama diantara satu sama lain, ada yang lemah dan ada yang kuat. Kekuatan rohani yang lemah, menyebabkan jin-jin yang samseng ini membuli individu-individu tersebut, sehingga ketahap menodai mangsa. Mereka boleh tinggal dan mempengaruhi diri mangsa didalam kehidupan seharian sehingga kadar tujuh puluh peratus malahan boleh mencapai hingga sembilan puluh peratus.

Jika kekuatan diri bertahap sederhana, kemungkinan jin-jin asyik ini dapat mempengaruhi mental dan emosional. Ini boleh menyebabkan kehidupan seharian kadangkala terganggu, apabila fizikal anda lemah emosi menjadi tidak stabil, fikiran kusut dan tidak dapat fokus. Kadangkala jin-jin ini berjaya juga bermastautin didalam tubuh badan mangsa, seperti di kepala, dada, perut, belikat dan lain-lain tempat yang berkemungkinan.

Jika kekuatan diri atau rohani seseorang itu tinggi, berkemungkinan jin-jin asyik yang meminati mereka adalah dikalangan jin-jin yang beretika dan memahami hak-hak asasi manusia, oleh itu jin-jin ini hanya memerhati dari jauh atau mengekori sahaja tanpa mengganggu kehidupan mangsa.

Kebanyakan kes-kes gangguan jin asyik tidak disedari oleh pesakit sehinggalah mereka datang untuk mendapatkan rawatan pemeriksaan. Dan kebiasaannya ini disedari setelah pesakit sudah mula merasakan bahang-bahang masalah dan gangguan yang menimpa mereka.

Diantara sintom-sintom gangguan jin asyik yang biasa ialah, berat jodoh, sentiasa ada halangan didalam perhubungan cinta, pertunangan dan perkahwinan, kerap sakit kepala, kerap mimpi bersama (bersetubuh), kerap mimpi berkahwin, kerap letih lesu dan malas, kerap memarahi dan membenci pasangan, kerap mimpi kanak-kanak atau bayi, bagi yang perempuan kerap mimpi melahirkan anak, ada juga sampai ketahap mangsa dirogol dan dinodai jin, kebiasaannya yang menjadi mangsa adalah kaum wanita.


Kisah kali ini adalah mengenai kisah seorang sahabat saya dari selatan Thailand, Z yang datang berjumpa saya untuk mempelajari kaedah-kaedah rawatan islam. Beliau begitu berminat mengenai hal-hal rawatan, sanggup datang dari jauh untuk bertemu dengan saya. Ketika itu saya baru berpindah ke Kuala Lumpur, barang-barang di dalam rumah pun belum habis dikemas lagi. Namun, tetamu dari jauh itu tetap saya sambut dengan hati yang gembira.

Segalanya terbongkar apabila sessi praktikal bermula. Z yang memang sudah lama inginkan bantuan saya untuk memeriksa keadaannya tidak melepaskan peluang untuk menjalani sessi praktikal sekaligus mendapatkan rawatan dari saya. Beliau mengadu kerap mengalami sakit kepala, sukar tidur malam dan sentiasa resah gelisah tanpa sebab.

Sewaktu pemeriksaan dijalankan, kepala beliau tiba-tiba berpusing-pusing, kemudian Z jatuh dari kerusi dan berguling-guling diatas lantai. Pada mulanya jin-jin gangguan tersebut tidak mahu memberi kerjasama, tetapi setelah dibakar dengan kalimah “Kaaf Ha Ya ‘Ain Sod” barulah jin-jin tersebut mendengar kata. Lapisan pertama dihuni oleh tujuh jin asyik yang mengaku islam.

Jin-jin tersebut mengaku amat sayangkan Z. Hinggakan mereka melutut dihadapan saya meminta supaya saya tidak pisahkan mereka dengan Z. Jika diperhatikan pada paparan video, jin-jin itu juga menangis teresak-esak sambil memegang-megang tubuh Z, ada ketikanya jin-jin tersebut menarik-narik baju Z sambil memanggil-manggil nama Z seolah-olah tidak sanggup berpisah dengannya.

Ramai sahabat-sahabat saya yang tidak sampai hati melihat tangisan jin-jin yang cukup mengharukan itu, namun pada saya kita perlu tegas didalam hal ini, jika tidak “mereka” akan mengawal situasi.

Kaedah yang saya gunakan didalam rawatan ini ialah kaedah pujuk dan dakwah. Didalam rawatan tidak semestinya kita menggunakan kaedah yang kasar dan ganas apabila berhadapan dengan jin, kecuali apabila keadaan memaksa atau perlu. Di awal-awal menceburkan diri dibidang rawatan dahulu, saya tidak mengerti mengapa Syeikh Abdul Wahid Salam Al Bali mengatakan didalam buku karangan beliau “Al Sorimul Battar Fi Al Tasadda Li Sahartil Asyrar” bahawa perlu berinteraksi dengan jin dengan sebaik mungkin.

Tanpa mengendahkan nasihat Syeikh Abdul Wahid maka di awal-awal dahulu saya bersikap garang dan ganas terhadap jin. Sehingga ramai jin-jin yang komplen saya terlalu garang. Walaupun ada bagusnya kita bersikap tegas, garang dan ganas terhadap jin-jin gangguan, namun sikap toleransi dan berbincang dengan cara yang baik juga mempunyai banyak kesan yang positif didalam rawatan. Ada diantara jin-jin yang memang tak makan saman dan siksaan apatah lagi sembelihan, maka cara psikologi dan berbincang dengan cara yang bijaksana dapat menyelesaikan masalah.

Jadi terserahlah kepada perawat-perawat untuk memilih cara yang sesuai untuk berhadapan dengan makhluk-makhluk ini. Tidak semestinya anda perlu sentiasa garang dan tidak semestinya anda perlu sentiasa berlembut ketika bertugas.

Pembongkaran gangguan pada Z tidak habis disitu saja, ada lagi penghuni-penghuni asing pada lapisan-lapisan lain, termasuklah tiga jin islam yang menjaga Z dan beberapa jin kafir yang akhirnya mati disembelih dan dipancung kerana berkeras tidak mahu keluar.

InsyaAllah kisah penghuni jin lapisan seterusnya pada Z, akan saya sambung tidak lama lagi.

Bagi mereka yang merasakan diri mereka sukar dan terhalang mendapat pasangan yang sesuai, selalu rasa diri tidak sekacak atau secantik orang lain, mengalami masalah mental dan emosional yang tidak terkawal atau merasakan tanda-tanda pada kisah kali ini ada pada diri anda maka anda perlu bertanya pada diri sendiri… Apakah anda diminati oleh makhluk yang anda tidak nampak…? Fikir-fikirkan…