Monday, December 7, 2009

Pontianak Terbang, Mengilai Dan Menyeramkan...


Paparan video diatas adalah diantara aksi-aksi dramatik yang sempat dirakam ketika rawatan. Sebenarnya pesakit ini datang dengan membawa suaminya yang disyaki terkena sihir. Sewaktu saya merawat suami beliau, ketika jin sihir dan jin saka keluar, tiba-tiba pesakit ini berkelakuan seperti terkena renjatan elektrik.

Setelah itu barulah pesakit ini menceritakan bahawa beliau sebenarnya mengalami masalah gangguan jin yang sudah agak lama. Dia sudah berikhtiar untuk berubat di banyak tempat, tetapi gangguan yang beliau hadapi masih tidak selesai. Video yang dipaparkan diatas telah saya edit dan hanya beberapa babak sahaja yang disiarkan.

Pada pandangan saya pesakit ini mengalami gangguan yang bercampur-campur diantara jin saka, jin sihir dan jin pendamping.

Babak yang pertama adalah jin sihir dari Medan, Indonesia. Jin tersebut memberitahu bahawa ahli sihir yang mengutusnya telah membuatkan beliau mati didalam tubuh pesakit, Saya tidak faham apakah maksud jin tersebut apabila ia mengatakan bahawa ia “mati” didalam tubuh pesakit.

Mungkin jin tersebut dikunci atau dilumpuhkan atau telah ditanam atau dikuburkan didalam badan pesakit, ini menyebabkan ada diantara perawat yang tidak dapat mengeluarkan jin tersebut. Dengan izin Allah swt, saya “menghidupkan” kembali jin tersebut, dan akhirnya ia keluar.


Babak yang kedua pada saya agak menyeramkan, hilaian tawa jin pontianak boleh menaikkan bulu hidung sesiapa yang berada disitu. Pada mulanya ia mengaku sebagai jin sihir yang dihantar oleh bapa tiri pesakit.

Jin tersebut bersetuju untuk keluar, tetapi ia mengancam untuk mengganggu anak perempuan pesakit. Hampir-hampir saya bercadang untuk membunuh jin tersebut dengan izin Allah, tetapi baru saja saya mengugut hendak membunuhnya, tiba-tiba jin pontianak itu terbang dan keluar. Aksi pesakit yang seolah-olah terbang sambil mengilai ketawa membuatkan saya tergamam sebentar.

Oleh kerana saya khuatir jin tersebut akan datang mengganggu pesakit lagi, maka saya menarik jin tersebut kembali untuk mendapatkan pengakuannya. Pontianak itu berjanji untuk kembali ke alamnya dan tidak mengganggu manusia lagi.

Pesakit ini, telah saya bekalkan dengan air rawatan untuk minum, mandi dan beberapa amalan khusus untuk merawat tenaga dalaman beliau.