Friday, December 25, 2009

Renungan Mata Jin Itu Membuat Aku Kaget...


Satu hari saya didatangi oleh pesakit wanita dari kepulauan borneo dengan ditemani oleh beberapa orang rakan-rakannya. Pesakit itu tidak berkata sepatah pun hanya menundukkan kepalanya kebawah.

Menurut rakannya, sejak kebelakangan ini pesakit sering mengurung dirinya di dalam bilik. Pesakit hanya mengadu beliau sakit dibahagian kaki. Tetapi apabila rakan-rakannya cuba membantu, beliau bertindak ganas. Pernah sekali rakannya dicekik pesakit kerana membacakan ayat-ayat ruqyah untuk membantu pesakit.

Semasa saya minta pesakit minum air yang telah diruqyah, beliau menggenggam gelas tersebut dengan kuat, seolah-olah ingin memecahkannya. Mujur saya cepat merampas gelas itu darinya, jika tidak mungkin gelas itu pecah dan mencederakan tangan pesakit. Ketika itu saya tahu bahawa saya bukan lagi berdepan dengan manusia, tetapi saya sedang berhadapan dengan jin yang begitu marah dan angkuh. Kali ini saya berdepan dengan tujuh jin sihir.

Saya cuba menggunakan teknik diplomasi, dengan harapan supaya jin-jin tersebut melepaskan pesakit. Namun setelah beberapa minit saya memujuk, jin-jin tersebut tidak mahu mengalah. Walaupun ia mengaku kesiankan pesakit, tetapi oleh kerana patuh pada tuannya, jin-jin itu tidak mahu menyerah diri. Saya ancam jin-jin itu dengan hukuman sembelih, tiba-tiba pesakit yang dari tadi tunduk, mengangkat wajahnya dan merenung saya. Mata pesakit yang begitu tajam itu boleh membuatkan sesiapa yang berdepan dengan situasi ini menjadi “kaget” (…pinjam bahasa Indonesia).

Saya bangun dan cuba untuk melakukan penyembelihan, pesakit mula bertindak ganas, mujurlah rakan-rakannya membantu saya memegang pesakit. Itu pun saya mengalami kesukaran mendapatkan lehernya untuk disembelih kerana pesakit meronta-ronta dengan begitu kuat. Selesai disembelih, pesakit tumbang seketika, kemudian ia bangun lagi. Ini adalah jin yang seterusnya.

Pesakit ini adalah pesakit wanita, tetapi kekuatannya seolah-olah menyamai kekuatan tiga orang lelaki yang gagah. Kali ini jin itu mula menunjukkan belangnya, dia menjerit dengan berkata, “jangan engkau campuri urusanku, aku nak dia mati, aku akan ganggu dia sampai dia mati”. Suaranya mirip Hulk Hogan ahli gusti lagenda yang terkenal tu. Dalam hati saya tertanya-tanya, “tak sakit ke tekak dia buat suara macam tu..?”.

Selepas diberi amaran, jin ini juga tidak mahu mengalah. Akhirnya, dengan izin Allah saya tikam jin ini sampai mati. Termasuklah jin yang ketiga dan yang keempat, juga saya tikam sampai mati. Ada tiga lagi jin yang masih tinggal dan berdegil tidak mahu keluar.

Kali ini saya ubah taktik, saya beritahu jin tersebut yang saya tak benarkan dia keluar, saya kunci dan saya pasung jin-jin yang ada didalam tubuh pesakit itu. Kemudian saya siksa dia dengan siksaan ala-ala tentera perang dunia kedua. Ketika itulah jin-jin tersebut merayu, dengan suara yang garau dan parau (kalau dalam alam jin itu standard lemah-lembut la tu), “bagi aku keluar.. bagi aku keluar.. bagi aku keluar…”.

Tadi, bila saya suruh keluar tak mahu keluar, sekarang ni saya tak bagi keluar, sibuk-sibuk nak keluar pulak…

Bila saya tanya mengapa dia menganggu pesakit, jin itu memberitahu dia terpaksa mengikut arahan tuannya yang mahukan pesakit mati, kerana iri hati pesakit telah dinaikkan pangkat di tempat kerja.

Akhirnya saya lepaskan jin tersebut, dan mereka bertiga keluar, insyaAllah pergi tak kembali…

Alhamdulillah pesakit sedar kembali, cuma beliau terpinga-pinga kehairanan, kerana sewaktu datang kemari beliau didalam keadaan tidak sedar sama sekali.