Friday, July 31, 2009

Sihir Jin Kucing Bertanduk...



Satu kejadian sekitar tahun lepas, saya dikejutkan oleh sahabat adik saya yang saya namakan sebagai L, dia mengadu kepada adik saya malam tadi dia bermimpi ayahnya ditimpa musibah. Akibat dari mimpi tersebut ia berasa amat takut dan tertekan.

Sedang bercakap-cakap tiba-tiba ia menjerit dan menangis, tangisannya pula amat menyeramkan. Kebetulan ketika itu saya ada dirumah, saya memintanya duduk dihadapan saya. Sekejap ia diam dan sekejap ia menangis, entah mengapa nada tangisannya menaikkan bulu roma saya.

Saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan L, saya meletakkan tapak tangan saya diubun-ubun kepalanya dan saya membaca ruqyah, tiba-tiba jin didalam badan L memberikan reaksi. Jin itu mengilai tertawa sambil tersedu-sedu. Rupa-rupanya ia adalah jin sihir. Jin ini amat licik dan pandai menipu, macam-macam cara jin ini membuat helah untuk tidak keluar.

Puas saya memujuknya dengan cara baik tetapi jin ini hanya berterusan membuat helah.

Saya mengajaknya untuk masuk Islam, dia memberi alasan dia takutkan tuannya. Dia juga membongkar rahsia bahawa perawat-perawat dulu banyak yang tertipu dengannya kerana dia selalu berjanji untuk keluar tetapi dia akhirnya dia kembali menganggu L. Menurut L dia juga nampak jin tersebut berupa kucing hitam yang bertanduk.

Satu perkara aneh mengenai jin ini, sepanjang rawatan saya keatas L, bulu roma saya sentiasa tegak keseraman. Saya pun tidak faham apa yang saya seram sangat berhadapan dengan jin tersebut. Di kemudian hari apabila saya ceritakan pada sahabat-sahabat saya mengenai kes rawatan ini, tak semena-mena bulu roma mereka juga tiba-tiba tegak dan mereka merasakan satu perasaan seram.

Setelah puas berbincang, dan jin itu tidak mahu mengalah saya mengambil keputusan untuk memancung jin tersebut dengan izin Allah. Namun apa yang berlaku, tiba-tiba jin tersebut melarikan diri sebelum saya sempat memancungnya. Kemudian L pun tersedar. L menghubungi suaminya yang sedang bekerja agar segera pulang. L dapat merasakan bahawa jin kucing bertanduk itu pasti akan datang lagi jika ia keseorangan. Sementara suami L pulang, saya mencadangkan L berehat dulu di rumah saya. Saya bekalkan L dengan air rawatan untuk minum dan mandi. Setelah suami L sampai, mereka pun pulang ke rumah.

Dua jam kemudian saya dihubungi oleh suami L, dia memberitahu bahawa L mengalami gangguan lagi. Saya bergegas ke rumah L yang memang tidak berjauhan dari rumah saya. Sampai disana kelihatan L memalingkan mukanya dari saya. Dia masuk kebilik dan tidak mahu berjumpa dengan saya. Suami L memaksanya keluar. Dan saya terus menyergah jin tersebut dan mengancam untuk memancungnya. Jin itu tidak memperdulikan saya, ia hanya terus membebel menceritakan tentang persengketaannya dengan keluarga L.

Jin itu juga mengaku dulu tuannya pernah menyihir ibu L, dan kini L pula yang menjadi mangsa yang seterusnya. Saya tidak membuang masa lagi terus bertindak untuk memancung jin tersebut, tapi sekali lagi jin itu seolah-olah seperti seekor kucing yang amat licik melompat keluar dari tubuh L, jin itu berjaya meloloskan diri dan L kembali sedar.

Dengan nada yang memaksa L bertanyakan kepada saya mengapa jin tersebut masih mengganggunya lagi. Saya katakan pada L bahawa ini adalah permainan sihir dan L perlu bersabar dan berserah kepada Allah kerana saya sedang berikhtiar untuk menyelesaikan masalah ini. L yang tidak berpuas hati menghubungi ibunya di kampung dan mengadu bahawa masalah ini masih belum selesai.

Untuk pengetahuan pembaca L amat meyakini kaedah rawatan yang berunsurkan bomoh-bomoh tradisional yang menggunakan tangkal. Tidak hairanlah L kurang yakin dengan kaedah rawatan Islam yang hanya menggunakan bacaan ayat al-quran dan air penawar. Sewaktu saya merawat L juga saya ada ternampak L memakai tangkal berwarna hitam dilehernya. Saya cukup tidak suka pada mereka yang terlalu mempercayai tangkal-tangkal dan azimat. Ini adalah kerana dikhuatiri boleh menyebabkan kita mensyirikkan Allah swt.

Dan kebiasaannya tangkal atau azimat yang dipakai oleh pesakit ada mempunyai jin pendamping yang kononnya bertugas untuk melindungi pesakit, ini akan menyukarkan lagi proses rawatan. Dan kadangkala pesakit terpaksa membuat perisytiharan memutuskan hubungan dengan golongan jin pendamping terlebih dahulu, barulah proses rawatan menjadi mudah.

Rawatan pada hari tersebut saya tamatkan dengan memberi L air rawatan untuk minum dan mandi. Namun apa yang menariknya, sejak dari itu L memang takut untuk berjumpa dengan saya.

Lebih kurang dua minggu kemudian saya dapat tahu melalui isteri saya bahawa L pergi berjumpa seorang bomoh di Melaka, dan kononnya bomoh itu telah berjaya mengubati L dari gangguan sihir. Saya hanya mengucapkan Alhamdulillah, yang pentingnya L sihat, saya tidak peduli jika keluarga L mengatakan bahawa saya tidak berjaya mengubati L, kerana bagi saya, kita hanya mampu berikhtiar dan yang menyembuhkannya hanyalah Allah swt. Namun pada firasat saya, jin itu sebenarnya tidak keluar sepenuhnya, saya rasa dia masih bersembunyi di sebalik L. Tak mengapalah yang penting L tidak meracau-racau lagi, fikir saya...

Namun, ada satu perkara yang memusykilkan saya mengenai L, adik saya memberitahu, L menceritakan ketika ia di kampung tempoh hari, tiba-tiba arwah bapa mertuanya yang baru meninggal dunia merasuk kedalam dirinya untuk menyampaikan wasiat-wasiat tertentu kepada anak-anak mereka. Saya cukup kecewa dengan kenyataan L yang menunjukkan dia begitu berbangga dengan apa yang dialaminya. Dia merasakan dia adalah insan yang terpilih dan apa yang berlaku itu adalah satu kelebihan pada dirinya. Padahal itu semua adalah tipu daya dari golongan jin dan syaitan.

Apa yang saya amati, sebenarnya L juga ada mempunyai masalah SAKA, dia juga selalu bercerita dengan adik saya bahawa adik dan ibunya dianugerahkan Allah dapat melihat benda-benda ghaib seperti alam jin. Puas sudah adik saya cuba menasihati L bahawa apa yang berlaku sebenarnya adalah tipu daya puak-puak jin, namun L seolah-olah tidak mengambil berat nasihat kami.

Selang tiga hari kemudian, suami L datang berjumpa saya dan mengadu bahawa L mengalami gangguan lagi. Suami L meminta saya agar datang kerumahnya. Sampai di rumah L saya lihat ada kayu lebih kurang sejengkal panjangnya diletakkan pada setiap belakang pintu di rumahnya. Rupa-rupanya kayu tersebut adalah pemberian bomoh Melaka yang mereka jumpa pada minggu lepas.

Saya rasa serba salah untuk merawat L, saya amat berpegang kepada prinsip bahawa saya tidak boleh berkrompomi dalam perkara-perkara yang boleh merosakkan aqidah didalam Islam seperti percaya kepada tangkal dan azimat. Tetapi didalam masa yang sama L amat cenderung kepada perkara-perkara seperti bomoh, tangkal dan azimat, sehingga dia seolah-olah memandang rendah kepada rawatan Islam.

Kalau ikutkan hati saya tidak mahu merawat L, namun mengenangkan wasiat dari guru saya, supaya menolong mereka yang didalam kesusahan dan memerlukan pertolongan maka saya pujuk hati saya agar menolong L dengan seikhlasnya.

Sewaktu saya tiba, L bersembunyi di dalam bilik, kebetulan ibu dan bapa L juga ada di rumah L, mereka memaksa L keluar, setelah puas memujuk barulah L keluar dari bilik. Apabila L ternampak saja wajah saya L terus menangis ketakutan. Keluarganya menjadi pelik, mengapa L ketakutan apabila melihat wajah saya. Jika saya tidak bertindak bijak sudah tentu jin tersebut akan membuatkan keluarganya memandang serong terhadap saya.

Saya jelaskan kepada keluarga L bahawa yang berhadapan dengan saya sekarang ini bukanlah L yang sebenar, dialah jin kucing bertanduk yang menganggu L sebelum ini. Dan kenyataan L bahawa bomoh di Melaka telah berjaya mengeluarkan jin tersebut adalah tidak tepat, selama ini jin tersebut menipu mereka dengan bersembunyi disebalik gangguan mental dan emosional L tanpa L sedari bahawa itu adalah gangguan dari jin.

Tanpa banyak bicara saya mengarahkan L duduk dan saya melakukan proses memancung. Alhamdulillah L sedar sepenuhnya. Saya menasihati L dan keluarganya bahawa mereka perlu menguatkan amalan dan lebih mendekatkan diri kepada Allah swt. Melihat pada keadaan L, tidak mustahil dia akan diserang lagi. Saya juga menyarankan kepada keluarga L agar pergi mendapatkan nasihat ustaz-ustaz yang sudah terkenal dengan rawatan Islam dan yang lebih mereka yakini, seperti Tuan Guru Ustaz Haron Din atau Ustaz Ismail Kamus untuk menambah keyakinan mereka terhadap apa yang saya katakan. Maklumlah, siapa nak percaya kata-kata orang biasa macam saya... Mereka hanya mengangguk.

Saya sudah menolong dan menasihati mereka apa yang patut, selebihnya terserah kepada mereka untuk memilih jalan yang mereka inginkan... Wallahua'lam




Tuesday, July 28, 2009

Kursus Urut Tradisional & Pulih Tenaga Batin


Untuk makluman : Kursus Urut Tradisional dan Pulih Tenaga Batin akan diadakan mengikut permintaan. Terhad kepada tiga orang peserta pada setiap kursus. Sila hubungi saya untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai.

Diantara kandungan kursus ialah :

- Teori tentang Urut Tradisional
- Teknik mudah memahami kaedah Urut Tradisional
- Teknik Urut Perubatan
- Praktikal Urut Tradisional
- Teori tentang Urut Pulih Tenaga Batin
- Praktikal Urut Pulih Tenaga Batin
- Tips, petua dan amalan

Bagi sesiapa yang berminat sila sms atau emailkan nama, no kad pengenalan dan alamat. Harga Yuran ialah sebanyak RM280. Bertempat di Taman Keramat, Kuala Lumpur.



Sunday, July 26, 2009

Kursus Rawatan Islam


Untuk makluman : Kursus Perawat Intensif Untuk Diri Dan Keluarga akan diadakan mengikut permintaan. Terhad kepada empat orang peserta pada setiap kursus. Sila hubungi saya untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai.

Bagi sesiapa yang cenderung dengan kaedah rawatan Islam, kursus ini seharusnya menjadi pilihan anda. Jika anda berminat sila sms atau emailkan nama, no kad pengenalan dan alamat. Harga Yuran ialah sebanyak RM280. Bertempat di Taman Keramat, Kuala Lumpur.

Saturday, July 25, 2009

KUASA MINDA DIDALAM RAWATAN ISLAM – PART 1


Kali ini saya ingin membicarakan tentang kuasa minda dan kaedah penggunaannya didalam rawatan Islam. Kemungkinan penulisan ini agak panjang, maka saya akan menceritakannya dalam beberapa bahagian.

Didalam perbicaraan ini saya hanya ingin fokus kepada kehebatan minda separa sedar.

Apakah minda sedar dan apakah pula yang dimaksudkan dengan minda separa sedar atau subconcious mind itu.

Perbezaan Minda Sedar Dan Minda Separa Sedar

Sebenarnya minda sedar tidak terpisah dengan minda separa sedar anda. Ia hanyalah dua tahap minda yang berlainan. Minda sedar adalah minda yang memberikan anda pertimbangan dalam membuat keputusan. Minda sedar berfungsi melalui pengawalan lima pancaindera yang berkaitan dengan dunia nyata iaitu penglihatan, pendengaran, bau, rasa dan sentuhan. Misalnya anda menggunakan minda sedar anda untuk membeli kereta, memilih warna kereta itu, membuat sesuatu keputusan dalam pekerjaan atau dalam urusan-urusan lain. Minda sedar dibatasi oleh ruang dan masa. Ini adalah kerana minda sedar hanya berhubung dengan alam nyata.

Manakala minda separa sedar pula mengawal peredaran darah, pernafasan dan fungsi-fungsi lain dalam anggota tubuh yang tidak mungkin anda putuskan secara sedar. Ianya juga amat berkait dengan perasaan atau emosi seseorang. Minda separa sedar bertugas secara terlatih, contohnya memandu kereta, memakai baju, mengayuh basikal dan lain-lain lagi.

Dalam erti kata yang lain, minda separa sedar ini melakukan perkara-perkara yang berulang kali tanpa perlu kita memikirkan semula berulang kali. Contohnya seperti memandu kereta. Hanya pada mula-mula sahaja anda menggunakan minda sedar untuk berfikir semasa belajar memandu kereta. Setelah ianya tersimpan didalam minda separa sedar, anda memandu / mengendalikan kereta tanpa perlu berfikir sebagaimana waktu mula-mula anda belajar memandu.

Minda separa sedar dapat mencetuskan idea-idea baru dan merealisasikan pemikiran yang diyakini oleh minda sedar. Minda sedar juga berupaya merekod pengalaman kita seumur hidup. Ia merekod setiap peristiwa yang berlaku seperti emosi, tabiat, hubungan dengan orang lain, kewangan, kesihatan dan lain-lain.

Minda separa sedar tidak akan menghiraukan apa juga keputusan yang diambil oleh minda sedar anda sama ada keputusan itu baik ataupun buruk, benar atau salah dan sebagainya. Ini kerana minda separa sedar akan sentiasa menerima keputusan yang dibuat oleh minda sedar sebagai benar dan menimbulkan hasil dalam dunia realiti yang sahih disebabkan kesedaran anda menganggap kebenarannya. Kesimpulannya apa yang kita catat dan fikir dengan penuh perasaan/emosi akan akan diterima bulat-bulat oleh minda separa sedar.

Contohnya jika setiap hari anda meyakini anda seorang yang kacak atau cantik dan anda benar-benar yakin pada diri sendiri. Maka itulah yang akan terzahir pada personaliti anda dan orang lain akan mengaguminya, walaupun pada asalnya anda bukanlah seorang yang benar-benar kacak atau cantik.
Ini adalah kerana keyakinan yang ditanam oleh minda sedar ke minda separa sedar anda akan menyebabkan minda separa sedar anda berusaha untuk merealisasikannya.
Sebagaimana yang kita katakan tadi, kemampuan minda separa sedar adalah tidak terbatas. Minda separa sedar dapat berhubung dengan setiap orang yang anda inginkan samada jauh atau dekat samada anda seseorang itu menyedarinya atau tidak.

Sebenarnya dalam kehidupan seharian kita ini banyak yang dapat dilakukan sekiranya kita tahu mengawal minda separa sedar ini. Seseorang itu boleh menjadi kaya dan hidup dalam kemewahan, atau memiliki kesihatan yang baik serta memperolehi kegembiraan dan kebahagiaan. Minda separa sedar ini boleh memberikan manfaat kepada empat aspek utama dalam kehidupan iaitu, aspek material, aspek fizikal manusia itu sendiri, aspek psikologi dan aspek spiritual.

Setiap manusia yang mempunyai akal fikiran sudah secara semula jadi memiliki minda separa sedar. Apa yang perlu dilakukan ialah mempelajari cara menggunakannya kerana menerusi minda separa sedar ini terdapat segala kebijaksanaan, daya dan persediaan yang tidak terbatas bagi memenuhi hampir kesemua keperluan seseorang individu sebagai manusia.

Seseorang yang telah menguasai minda separa sedarnya boleh menggunakan ilmu ataupun kelebihan ini di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa pun serta dalam apa jua situasi.
Menerusi kekuatan minda separa sedar ini misalnya, anda dapat mencari pasangan hidup yang ideal untuk dijadikan teman seumur hidup atau juga rakan kongsi niaga yang serasi dengan anda, malah dalam memilih bidang perniagaan yang sesuai dan bermacam-macam lagi. Ia juga membantu dalam memenuhi keperluan kewangan anda.

Pengalaman telah membuktikan betapa daya minda separa sedar ini telah menyebabkan orang cacat dipulihkan seperti sediakala serta memperolehi tahap tenaga yang normal seolah-olah ia tidak pernah mengalami kecacatan sebelumnya. Dalam pada itu berbagai-bagai penyakit, malah penyakit yang agak pelik dan sukar dirawat melalui perubatan Barat yang konvensional sifatnya pun sudah disembuhkan hanya menerusi daya kekuatan minda separa sedar.

Secara prinsipnya, apa jua yang ditanam didalam minda separa sedar, insyaALLAH akan menjadi kenyataan.

PENYEMBUHAN & PENGUBATAN MENERUSI MINDA SEPARA SEDAR

Di bawah ini adalah diantara contoh-contoh yang dapat kita lihat bahawa betapa kuatnya kemampuan minda separa sedar itu.

Contoh 1

Seorang insan telah menanamkan keyakinan di minda separa sedarnya selama setahun bahawa dia sanggup kehilangan lengan kanannya asalkan anak perempuannya sembuh dari penyakit arthtitis yang melumpuhkan serta penyakit kulit yang nampaknya tidak ada harapan akan pulih.
Akhirnya insan itu menemui kecelakaan jalan raya dan kehilangan lengannya. Dalam waktu yang sama anak perempuannya sembuh dari arthritis dan penyakit kulit yang dihidapinya selama ini.
Contoh di atas ini adalah merupakan apa yang dikenali sebagai autosuggestion atau 'cadangan terhadap diri sendiri'. Kaedah ini amat berguna bagi menghindarkan rasa takut dan sikap-sikap negatif yang lain.

Contoh 2

Seorang wanita tua dalam usia pertengahan 50 tahun menyedari betapa ingatannya sudah mula pudar. Dia lupa kepada sesuatu walaupun ia baru sahaja berlaku kurang dari satu minit. Tetapi dia juga mengetahui akan kaedah autosuggestion ini dan menanamkan kata-kata bahawa setiap hari ingatannya akan kembali kuat dan baik dalam semua hal. Tiga minggu kemudian, ingatan wanita tua ini pulih seperti sediakala.

Contoh-contoh di atas menunjukkan apakah yang boleh dilakukan oleh minda separa sedar anda menerusi proses autosuggestion iaitu dengan menanamkan sesuatu keyakinan kepada diri anda sendiri ataupun percaya bahawa sesuatu itu akan berlaku ke atas diri anda tanpa anda dipengaruhi oleh sesiapapun.

Segala-galanya yang difikirkan dan dipercayai serta dianjur dan dicadangkan didalam minda anda adalah berpunca dari diri anda sendiri. Anda percaya sesuatu itu, sama ada baik atau buruk akan berlaku kepada diri anda, maka anda membiarkan minda separa sedar anda mempercayainya.

Maka akhirnya apa yang anda difikirkan itu benar-benar berlaku.


Contoh 3

Seseorang telah pergi berjumpa dengan doktor pakar kerana sakit di dalam ususnya kian menjadi teruk dan sukar untuk ditahan lagi. Sebelum itu sudah bermacam-macam doktor yang telah cuba merawatnya. Begitu juga dengan perubatan tradisional secara herbal dan sebagainya. Tetapi penyakit itu tidak juga mahu sembuh.

Setelah melakukan x-ray dan membuat dianogsis yang terperinci, doktor pakar tersebut mengesahkan bahawa orang berkenaan mengidap barah usus peringkat lanjutan. Malah doktor itu juga mengatakan bahawa barah tersebut sudah semakin tiba dipenghujungnya. Doktor meramalkan bahawa paling lama, sipesakit yang malang itu akan dapat hidup tidak lebih daripada enam bulan.

Sedih dan cemas dengan berita tersebut, dia memberitahu keluarga dan kawan-kawannya. Lima bulan kemudian keadaannya menjadi semakin teruk dan kesakitan yang ditanggungnya bukan kepalang.

Memang benarlah kata doktor tersebut bahawa keadaannya sudah sampai di peringkat terminal ataupun penghujung. Tetapi, pada bulan keenam yakni bulan yang terakhir, seorang yang tahu tentang daya minda bawah sedar telah datang menemuinya dan menjelaskannya hakikat keyakinan diri menerusi autosuggestion. Walaupun tidak begitu mempercayai dia mula menanamkan cadangan di dalam mindanya bahawa setiap hari dia akan beransur pulih dan akhirnya pulih seperti sediakala.

Orang berkenaan hidup melepasi jangkaan masa doktor pakar, malah apabila diperiksa semula, nyata barah usus yang dikatakan itu tidak ada di dalam tubuhnya.

Contoh di atas sebenarnya menunjukkan kepada kita dua aspek minda bawah sedar. Pertama aspek autosuggestion. Sipesakit tiba-tiba menjadi semakin pulih apabila ia menanamkan cadangan bahawa setiap hari dia akan semakin pulih dan aspek kedua ialah heterosuggestion, iaitu pemeriksaan doktor yang mengesahkan dia akan mati dalam tempoh enam bulan.
Dengan contoh ini, jelaslah juga bahawa heterosuggestion adalah bertentangan dengan autosuggestion. Sementara autosuggestion dianjurkan oleh diri anda sendiri, heterosuggestion adalah arahan terhadap minda bawah sedar yang dianjurkan oleh orang lain.

Dengan contoh-contoh yang saya katakan ini tentulah mudah bagi anda memahami bagaimana minda bawah sedar sebenarnya beroperasi menerusi autosuggestion dan juga heterosuggestion.

Kesimpulannya minda separa sedar amat berperanan dalam kehidupan seharian kita. Ramai orang yang tidak tahu perkara sebegini, maka kesannya banyak saranan-saranan negatif yang ditanam didalam minda separa sedar pada setiap hari. Minda separa sedar sentiasa menerima dan bersetuju dengan apa saja saranan serta kepercayaan minda sedar tanpa menapis samada ianya baik atau buruk.

BERSAMBUNG…

Thursday, July 23, 2009

Sambungan Kisah Gangguan Jin Bukit - PART 3

video

March 2005, Ahad, jam 8.30 pagi, saya ke rumah pakcik R untuk meneruskan rawatan keatas N. Sampai di rumah Pakcik R, ibu N mengejutkan N yang masih belum bangun dari tidur. N bangun, dan pergi ke bilik air sambil menghempaskan pintu biliknya. Kami tergamam melihat perlakuan N sedemikian. Adakah itu N yang sebenar ataupun Jin yang masih berselindung disebalik N.

Selesai urusannya di bilik air, N duduk dihadapan saya hanya dengan berbaju T-shirt dan bertuala mandi. Saya jadi serba-salah, mana mungkin saya melakukan rawatan dengan pesakit yang hanya bertuala mandi, takut-takut nanti akan menimbulkan masalah lain jika terlucut tuala yang dipakainya. Tambahan pula ini menyalahi adab Rawatan Islam. Saya meminta ibu N memakaikannya dengan pakaian yang lebih sempurna.

Setelah itu N kembali duduk dihadapan saya dengan pandangan yang tidak senang. Saya hanya meminta N menutup mata dan bertenang. Sebaik sahaja N menutup mata, dia rebah, dia menghembus-hembuskan nafas melalui mulutnya seperti meniup belon. Saya membaca ruqyah sambil mengarahkan jin tersebut keluar. Setelah Jin keluar N pengsan. Untuk mengesahkan tiada lagi gangguan saya melakukan scaning dengan menghalakan tangan saya ke arah N.

Sebaik saja saya menghalakan tangan ke arah N, dia mula mengerang dan mulutnya berkumat-kamit sambil menghembus-hembuskan nafas melalui mulut. Sekali lagi saya arahkan jin tersebut keluar, N menggerak-gerakkan tangannya seperti tarian hindu kemudian pengsan lagi.Begitulah perlakuan N berkali-kali, dan tanpa saya sedari jam sudah menunjukkan pukul 11.30, bermakna lebih kurang 3 jam telah berlalu.

Saya cuba mengarahkan jin-jin itu kesemuanya agar keluar dengan serentak, namun jin itu tetap keluar dengan cara satu persatu. Saya memberhentikan rawatan dan meminta agar ibu N memandikan N dengan air rawatan yang dicampur garam kasar. N menggeleng tanda tidak mahu dimandikan. Namun ibunya memujuk dan akhirnya N mengalah juga.

Menurut ibu N, setelah N dimandikan dengan air rawatan, sebelum keluar dari bilik air, tiba-tiba N dengan pantas mencapai segayung air biasa dan menyiram tubuhnya, ini menunjukkan jin di dalam badan N amat terkesan dengan air rawatan sehinggakan N ingin membilasnya dengan air biasa.

Sampai di biliknya N menghempaskan pula pintu almari, kami bergegas ke bilik N, dengan nada suara yang agak tinggi saya bertanya kepada N, “mengapa hempas pintu almari…?”.. N hanya masam tidak menjawab… tiba-tiba N rebah, saya membacakan ruqyah ke arah kepala N, dan sekali lagi N menari dengan tarian hindu dan pengsan.

Kami menyapu air rawatan ke muka N, perlahan-lahan ia membuka mata dan N terus memeluk ibunya sambil menangis teresak-esak. Kali ini N benar-benar sedar… bisik hati saya.

Didalam keadaan sedar itu N menceritakan bahawa dia nampak segerombolan jin beratur panjang kearahnya, masing-masing ingin keluar dari situ tetapi mereka hanya boleh keluar dengan cara satu persatu. Ketika itu N amat takut kerana N tidak nampak kami di sekelilingnya, ini bermakna rohani N telah dibawa masuk ke alam jin dan pandangan N terhadap kami telah dihijab.

Tidak sampai 20 minit N sedar, tiba-tiba N menjerit sambil menangis, kali ini dia nampak jin-jin tersebut berkeliaran di sekeliling rumahnya sambil mentertawakan saya. Saya meminta lelaki-lelaki yang ada di rumah tersebut untuk azan di setiap penjuru rumah, manakala saya mengikhtiarkan untuk memagar sekeliling rumah tersebut dengan air ruqyah. Menurut N setiap kali saya menyembur air ruqyah, maka dengan pantasnya jin-jin tersebut menghilangkan diri, dan kemudian timbul di penjuru yang lain pula. Jin-jin tersebut amat marah dengan laungan azan yang dilaungkan.

Didalam kekecohan itu, saya terpandang wajah pakcik R yang agak kelainan seperti orang yang kerasukan, dengan pantas saya menuju kearah pakcik R yang sudah menggeletar tubuh badannya dan menarik jin keluar dari pinggang hingga ke kepala pakcik R. Suasana menjadi amat kelam-kabut, mana tidaknya, sudahlah N terjerit-jerit melihat jin tersebut mengacah-acahnya, pakcik R pula hampir-hampir kerasukan. Ketika itu saya seorang sahaja yang merawat, didalam hati saya janganlah berlaku sesuatu yang tidak diingini, saya terfikir kalaulah tiba-tiba semua ahli rumah itu kerasukan serentak, pening kepala saya dibuatnya.

Menurut pakcik R sewaktu saya menarik jin tersebut keluar, dia merasakan seperti ada belon yang terkeluar dari ubun-ubun kepalanya. Menurut pakcik R lagi, yang sebenarnya dia rasa tertekan melihat anaknya masih belum pulih, dan didalam diam dia mencabar jin tersebut untuk masuk ke dalam badannya.

Saya menasihati pakcik R agar bersabar dan tidak berbuat seperti itu lagi, ini adalah kerana makhluk-makhluk sebegitu akan masuk dengan mudah ke badan manusia sekiranya dipelawa sedemikian. Dan ini akan menambahkan kesulitan lagi didalam rawatan saya. Ketika ini, saya masih belum mempelajari kaedah-kaedah untuk berinteraksi dengan ketua jin, memancung jin, atau mengejarnya dengan bebola api dan lain-lain kaedah yang lebih advance untuk bertempur.

Saya lihat N terbaring dengan mata yang tertutup, dia kelihatan amat letih dan tidak bermaya. Inilah diantara kesilapan saya, awal-awalnya saya berniat untuk bertembung semula dengan jin-jin ini untuk membalas dendam kerana mentertawakan saya didalam telefon. Seharusnya saya hanya berdoa agar dipermudahkan segala urusan dan diselesaikan masalah dengan mudah. Mungkin secara tidak langsung niat awal itu menunjukkan saya merasakan diri ini mempunyai kekuatan untuk menentang perkara-perkara sebegini, padahal didalam asas rawatan, perkara yang paling penting sekali ialah “PENYERAHAN DIRI” kepada Allah swt. Tiada daya dan upaya melainkan dengan kekuasaan Allah swt.

Kesilapan kedua yang saya lakukan ialah melakukan rawatan dengan terus menerus sehingga hampir 8 jam. Ini amat memenatkan dan memudharatkan pesakit. Seharusnya saya boleh menangguhkan rawatan, dan menyambungnya di kemudian hari.

Saya juga tidak berupaya menegur rakan N yang hadir untuk menziarahi N ketika itu kerana berpakaian yang tidak berapa sesuai, maklumlah rumah orang, serba salah saya dibuatnya.

Tak mengapalah... ketika itu saya baru belajar dan saya juga belajar dari kesilapan.

Saya berhenti sebentar menunaikan solat zuhur dan melakukan solat hajat, agar Allah swt membantu saya menyelesaikan masalah ini. Selesai solat, tiba-tiba saya mendapat ilham untuk menggunakan paku sebagai alat didalam rawatan. Pernah sewaktu saya menjalani latihan praktikal dulu, ada diantara golongan jin yang memang takutkan besi tajam atau paku.

Saya lihat N masih terbaring di ruang tamu, saya menghampiri N dan meletakkan paku yang telah saya bacakan ayat ruqyah diatas kepala N, tiba-tiba N menjerit kesakitan, padahal saya tidak menikam atau mencucuk paku tersebut dikepalanya. N menari tarian hindu lagi, jin keluar dan N pengsan, saya letak lagi paku tersebut di kepala N, dia mengerang dan menari lagi, kali ini dengan tarian yang agak berlainan coraknya, ini mungkin jin yang lain, setelah jin tersebut keluar N pengsan lagi...

Saya bertafakur sebentar... didalam tafakur saya merasakan seolah-olah ada mata-mata ghaib yang sedang memerhatikan saya untuk melihat apakah ikhtiar saya lagi selepas ini. Saya terus mengambil tasbih yang biasa saya gunakan untuk berzikir dan saya kalungkan di leher N, saya ambil kitab ahzab (kitab hizib thoreqat Ahmadiyah Idrissiyyah) yang sentiasa saya bawa dan saya letakkan pula di kepala N, dia menggelupur kepanasan. N ingin menanggalkan tasbih tersebut dan cuba menepis kitab ahzab yang saya letakkan dikepalanya. Pakcik R membantu saya agar N tidak menanggalkan tasbih tersebut dari lehernya. N terus menggelupur kepanasan, makin lama makin perlahan... semakin lama makin perlahan sehingga N kembali pengsan.

Jam sudah menunjukkan hampir pukul 5 petang, kelihatan N seolah-olah sudah pulih berbanding dengan keadaannya pada pagi tadi, cuma ia kelihatan amat lemah. Saya beritahu pakcik R, lebih baik saya tamatkan dulu rawatan memandangkan hari sudah petang. Dan saya akan datang lagi esok untuk membawa beberapa benda yang berkaitan untuk rawatan termasuk cd ruqyah untuk sentiasa diperdengarkan kepada N.

Apabila saya turun saja ditangga rumah pakcik R, kedengaran N menangis di dalam rumah, saya bergegas naik semula... N memberitahu saya bahawa dia nampak ada 3 jin sedang mentertawakan saya dan bersorak seolah-olah mereka telah menang pertarungan pada hari itu. Saya beritahu N dia perlu kuatkan semangat dan saya akan datang kembali esok untuk membantunya lagi.

Saya pulang dengan perasaan kecewa, seolah-olah tewas dimedan perjuangan. Dan masalah masih belum dapat diselesaikan. Sebenarnya sebagai perawat, tugas kita hanyalah berikhtiar sedaya upaya, samada pesakit sembuh atau tidak itu bukan kerja kita. (Maklumlah... ketika itu saya hanyalah perawat amatur...) Saya berazam insyaALLAH, saya akan kembali semula dengan strategi yang lebih kemas dan teratur.. didalam hati saya berdoa, semoga ALLAH permudahkan segala urusan saya.

Tuesday, July 21, 2009

Mari Menangis Sebentar...


Hafs, sahabat yang hampir dengan Saidina ‘Umar al Khattab r.a semasa memegang jawatan khalifah, selalu menolak makan bersama Saidina ‘Umar r.a. Ia mengkritik makanan khalifah yang terlalu sederhana.
Ia mengatakan bahawa makanan keluarganya lebih baik dari makanan Saidina ‘Umar r.a.
Saidina ‘Umar r.a berkata, " Kalau aku mahu, aku boleh menikmati makanan yang terbaik dan pakaian yang terindah. Tetapi aku sisakan kesenanganku untuk hari akhir.

Saidina ‘Umar al Khattab r.a bercerita, "Aku pernah minta izin menemui Rasulullah saw. Aku mendapatkan Baginda saw sedang berbaring di atas tikar yang sangat kasar. Sebahagian tubuh baginda berada di atas tanah. Baginda hanya berbantal pelepah kurma yang keras, Aku ucapkan salam kepada baginda dan duduk di sisi baginda. Aku tidak dapat sanggup menahan tangisku.

"Mengapa engkau menangis hai putera Khattab?" Rasulullah saw bertanya. Aku berkata, "Bagaimana aku tidak menangis. Tikar ini telah menimbulkan bekas pada tubuh Mu. Engkau ini Nabi Allah, kekasihNya. KekayaanMu hanya yang aku lihat sekarang ini. Padahal di tempat sana, Kisra dan Kaisar duduk di atas katil emas, berbantalkan sutera."

Nabi yang mulia bersabda, "Mereka telah menyegerakan kesenangannya sekarang juga; kesenangan yang akan cepat berakhir. Kita adalah kaum yang menangguhkan kesenangan kita untuk hari akhir kita. Perumpamaanku dengan dunia seperti seseorang yang berpergian pada musim panas. Ia berlindung sejenak di bawah pohon, kemudian berangkat dan meninggalkannya."

_______________________________________________
Sekadar Renungan...

…Orang-orang beriman hidupnya tidak untuk hidup..
Tapi hidupnya untuk Maha Hidup…
Hidupnya bukan untuk mati…
Tapi justru mati itulah untuk hidup…
dia tidak takut mati… dia tidak cari mati dan dia tidak lupakan mati
tapi dia rindukan mati...
Mengapa….?
Kerana mati bukanlah wafat, kerana mati bukanlah akhir didalam kehidupan ini…
Tetapi ia adalah awal kehidupan yang sebenarnya…
Kerana mati adalah pintu untuk berjumpa dengan-NYA
Kebahagiaan sebenar bagi orang-orang yang beriman ialah saat-saat pertemuan dengan Kekasihnya itulah Robbul ‘alamin…

Alhamdulillah... Selesai Kursus Perawat Untuk Diri Dan Keluarga...


Kursus Perawat Intensif Untuk Diri Dan Keluarga telah selesai diadakan pada 19/07/2009 hari Ahad yang lalu. Kursus bermula lebih kurang jam 9.00 pagi sehingga 4.30 petang.

Dari kanan En Mohd Hadi, Saya selaku penyampai kursus, En Sumairi dan En Zulkurnain.
Tahniah dan Terima Kasih saya ucapkan kepada peserta yang hadir, semoga kita semua mendapat banyak manfaat dari kursus tersebut.

Saya menghadkan jumlah peserta dengan tujuan supaya dapat memberi lebih tumpuan dan penerangan yang lebih khusus dan terperinci. Dengan bermatlamatkan "Sebuah Keluarga Seorang Perawat", semoga dimasa yang akan datang lebih ramai lagi yang berminat untuk mengikuti kursus-kursus yang sebegini.

Saya mendapat panggilan telefon pada tengahari tadi bertanyakan tentang kursus ini. Oleh kerana adanya permintaan, InsyaAllah Kursus Perawat Intensif Untuk Diri Dan keluarga akan diadakan lagi pada 01/08/2009 jam 9.00 pagi. Sesiapa yang berminat, sila hubungi saya melalui telefon atau email. Terhad kepada empat orang peserta.

Friday, July 17, 2009

Sihir Jin Orang Asli...


Satu ketika saya didatangi oleh seorang pemuda yang mengadu kerap mengalami lemah-lemah badan, tiada selera makan dan akhir-akhir ini berasa amat malas untuk bekerja. Pemuda ini bekerja sambilan, mengambil upah menjahit pakaian di rumah beliau.


Perniagaan sambilannya agak memberansangkan sehingga waktu-waktu tertentu beliau terpaksa menolak permintaan pelanggan kerana tempahan terlalu banyak.


Pemuda itu mengatakan yang beliau perasan tentang perubahan pada dirinya setelah beliau balik dari mengunjungi ibunya di kampung. Kononnya beliau ada berselisih faham dengan kakak iparnya. Menurut pemuda itu lagi kakak iparnya itu kerap berjumpa bomoh jika dia mempunyai masalah atau perselisihan dengan seseorang.


Ibu pemuda itu juga satu ketika dulu tidak terlepas dari perbuatan keji kakak iparnya. Macam-macam penyakit ganjil menimpa ibu pemuda tersebut, menurutnya lagi keadaan rumah ibunya di kampung adalah suram seolah-olah tidak ceria dan tidak bercahaya macam rumah-rumah orang lain.


Untuk pengetahuan pembaca, jangan biasakan rumah atau bilik anda terlalu gelap atau suram kecuali apabila anda masuk tidur, bukakan tingkap atau langsir sedikit supaya cahaya matahari dapat masuk kedalam bilik atau rumah anda. Sekiranya tiada tingkap yang membolehkan cahaya matahari masuk, biarlah bilik atau rumah itu diterangi lampu elektrik sekali sekala. Atau sekiranya anda mahu menjimatkan elektrik anda boleh kurangkan penggunaan lampu tetapi, kemaskanlah bilik anda, jangan biarkan bilik anda bersepah seperti rumah tinggal, dan ini selalunya berlaku pada bilik stor.


Bilik atau rumah yang suram, bersepah dan kotor mengundang kehadiran makhluk-makhluk yang tidak diingini, mungkin lipas, mungkin lipan atau mungkin jin. Kebiasaannya, apabila saya melakukan rawatan dirumah pesakit yang memang mempunyai masalah gangguan makhluk halus, samada rumahnya atau ada diantara biliknya yang amat suram dan gelap. Dan apabila saya melakukan scanning, biasanya makhluk-makhluk halus tersebut “menyewa” ditempat-tempat yang suram atau gelap tersebut tanpa disedari oleh pemilik rumah.


Berbalik kepada kisah pemuda tadi. Saya mulakan rawatan dengan memberinya minum secawan air yang telah diruqyah. Lima minit kemudian saya memulakan bacaan ruqyah terhadapnya. Jin pada badan pemuda itu telah mula menampakkan kewujudannya. Namun jin tersebut bercakap dalam bahasa yang tidak dapat saya fahami. Apabila saya teruskan membaca ruqyah, pemuda tersebut mengalami kesakitan yang amat sangat dan muntah air.


Dihadapan saya sekarang ini ada dua dalam satu, saya berkomunikasi dengan jin dalam bahasa yang tidak saya fahami, cuma isyarat kepala dan memek muka memberi saya sedikit petanda, bahawa jin ini didalam kesakitan. Dan dalam masa yang sama pemuda tersebut pula menjerit-jerit minta rawatan dihentikan kerana badannya merasa amat sakit, padahal saya hanya membaca ruqyah dan tidak menggunakan kaedah tekan atau pukul dengan serban.


Satu ketika saya membaca ayatul Qursi dan pemuda itu mengikut bacaan saya, lagi kuat saya membacanya, lagi kuat pemuda itu mengikut saya membaca. Ketika ini apa yang saya lakukan ialah membiarkan pemuda tersebut membaca ayatul Qursi berulang-ulang kali, saya hanya memindahkan energy bacaan ayatul Qursi tersebut kepada tubuh badan pemuda itu. Apa yang berlaku ialah pemuda tersebut seperti terkena renjatan elektrik.


Kemudian saya memujuk jin tersebut agar memeluk agama islam, saya melafazkan dua kalimah syahadah dan jin tersebut turut mengucap tetapi dengan bahasa yang tidak saya fahami, Cuma nada ucapannya saja seolah-olah seperti nada orang mengucap dua kalimah syahadah. Kemudian, dengan izin Allah swt jin tersebut keluar.


Selesai rawatan saya nasihatkan pemuda itu agar tidak terlalu memikirkan tentang kakak iparnya, ini adalah kerana dikhuatiri ianya hanyalah tipu daya syaitan yang ingin memecah belahkan ahli keluarganya. Yang penting beliau sembuh. Saya membekalkan-nya dengan air rawatan untuk minum dan mandi dan meminta agar ia datang semula selepas seminggu untuk pemeriksaan lanjutan.




Wednesday, July 15, 2009

Fitnah Air Ruqyah...


Satu masa dulu, saya pernah menjual air ruqyah kepada sesiapa yang berhajat. Kandungannya ialah sebotol air mineral 1.5 liter yang telah saya bacakan ruqyah syar’iyyah dan zikir-zikir tertentu. Harganya RM5 sebotol.

Ada seorang hamba Allah datang membeli air tersebut. Dia mengadu dia dan anaknya kerap mengalami sakit kepala. Dia juga berhajat semoga air tersebut menjadi air penerang hati untuk anaknya.

Ada juga yang datang mengadu anaknya selalu sakit perut dan berhajat membeli air tersebut untuk anaknya.

Setelah seminggu berlalu, saya mendapat khabar melalui jiran saya bahawa hamba Allah yang mengadu dia dan anaknya sakit kepala itu mengalami gatal-gatal kepala selepas minum air ruqyah yang mereka beli dari saya.

Begitu juga hamba Allah yang mengadu anaknya sakit perut itu juga, memberitahu kepada jiran saya perut anaknya keluar gatal-gatal selepas minum air ruqyah tersebut.

Isu ini menjadi besar yang kemudiannya menyebabkan perselisihan faham diantara isteri saya dan jiran.

Menurut pendapat salah seorang dari guru saya, kadangkala tanda-tanda gatal yang timbul selepas minum atau mandi air rawatan yang telah diruqyah menandakan ada jin-jin yang bertapak didalam tubuh pesakit itu mati.

Selepas kejadian tersebut, saya tidak lagi memberi air ruqyah kepada orang awam yang tidak menjalani rawatan dengan saya, kerana dikhuatiri kesan-kesan akibat minum atau mandi air ruqyah akan menimbulkan fitnah lagi. Kecuali mereka yang benar-benar saya kenali itupun selepas saya nasihatkan untuk menjalani rawatan lanjut sekiranya ada tanda-tanda aneh selepas minum atau mandi air ruqyah.

Didalam menceburkan diri di bidang rawatan, banyak perkara-perkara yang perlu diambil kira untuk mengelakkan fitnah. Perawat perlu berhati-hati pada setiap gerak langkah, tutur kata, dan selalu memohon perlindungan Allah swt dari fitnah dan kejahatan jin dan manusia.
Ini adalah kerana, ada diantara jin-jin atau tukang-tukang sihir yang bertindak balas atau berdendam dengan perawat.
Mereka sentiasa mencari jalan bagaimana untuk melemahkan perawat. Jika perawat-perawat mempunyai perisai yang tebal dan tidak dapat ditembusi oleh ahli sihir atau jin, mungkin mereka akan cuba untuk menghasut orang-orang disekeliling perawat, seperti anak isteri, sanak saudara, sahabat handai, jiran-jiran kadangkala pesakit itu sendiri juga di-provok oleh jin-jin tersebut agar membenci perawat.

Didalam perkara ini perawat perlu banyak bersabar, banyak meng-islah atau menghitung diri, sentiasa memerhatikan kelemahan diri dan cuba untuk memperbaikinya. Pergantungan diri hanya dengan Allah swt, kepadaNya kita berserah, kepadaNya kita berharap.

Pernah satu ketika dulu saya difitnah oleh jin didalam tubuh pesakit, dihadapan ramai orang jin tersebut memberitahu bahawa dia dihantar oleh saya. Ketika itu pula memang ada diantara mereka-mereka itu yang tidak senang dengan saya, lantas cuba menangguk di air keruh.

Jika ada mana-mana perawat yang menghadapi keadaan sebegini, anda jangan panik, jangan malu, yakin pada diri sendiri, berserah pada Allah. Sekiranya memang jin itu dihantar oleh seseorang, maka jin tersebut sedikit sebanyak memang tahu peribadi tuannya.

Maka salah satu cara untuk membuat pengesahan maka tanyakanlah pada jin tersebut hal-hal peribadi anda, tanyakan pada jin tersebut sekiranya benar aku yang menghantar engkau, siapa nama ibu aku, atau siapa nama ibu isteriku atau apa-apa sahaja soalan yang berkaitan dengan peribadi anda.

Ataupun anda boleh uji jin tersebut, anda berdoa dihadapan jin tersebut dengan lafaz yang jelas boleh didengar oleh semua orang. Anda nyatakan pada jin tersebut bahawa anda akan membaca ayatul Qursi, dan sekiranya anda yang menghantar jin tersebut, maka bacaan ayatul Qursi itu tidak akan membakarnya, tetapi sekiranya jin itu membuat fitnah, maka ia akan terbakar hingga hangus.

Kemudian anda lafazkan doa tersebut dengan lafaz yang boleh didengari oleh semua hadirin ketika itu. “Ya Allah, dengan kebesaranMu aku pohon dipertunjukkan, sekiranya
ini adalah fitnah semata-mata maka dengan berkat ayatul Qursi ini aku pohon agar jin ini terbakar sampai hangus, tetapi sekiranya jin ini bercakap benar maka bacaan ayatul Qursi itu tidak akan memberi kesan kepada jin tersebut”

Kemudian anda letakkan tapak tangan kanan di kepala pesakit dan anda bacakan ayatul Qursi dengan niat membakar jin tersebut kerana dia membuat fitnah dan kebohongan.

Ataupun yang terakhir sekali, sekiranya tidak ada jalan lain, jika api fitnah semakin besar, yang pertama, anda perlu memohon keampunan dari Allah swt, kerana dikhuatiri ini adalah kifarah dari dosa-dosa yang tidak kita ketahui. Kemudian mohonlah petunjuk Allah swt melalui solat istikharah atau solat hajat.

Sedangkan Tuan Guru Harun Din pun difitnah inikan pula kita yang kerdil.

Wallahua’lam.

Monday, July 13, 2009

Nasihat Hasan al Bashri...


Hasan al Bashri berkata, "Wahai manusia, agamamu! agamamu! tetaplah dan peliharalah!. Sungguh ia adalah daging dan darahmu. Jika agamamu selamat, maka selamat pula daging dan darahmu.
Tapi jika tidak, maka kita memohon perlindungan kepada Allah sungguh ia akan menjadi api yang tidak akan pernah padam, luka yang tak pernah sembuh, siksa yang takkan pernah habis, sedangkan jiwa pula tidak pernah mati"

Hasan al Bashri berkata, "Kita tertawa, padahal kita tidak tahu bahwa Allah mendapati sebagian amal kita dan Dia berkata, 'Aku tidak menerima sesuatu pun dari kalian.' Celakalah engkau wahai manusia, apakah engkau memiliki kekuatan untuk memerangi Allah? Sungguh, orang yang maksiat kepada Allah bererti ia telah memerangi-Nya.

"Demi Allah, aku telah menyaksikan 70 pahlawan Badar. Seandainya kalian melihat mereka, kalian akan memandangnya sebagai orang-orang gila. Dan seandainya mereka melihat kalian sekalipun yang paling baik mereka akan berkata, 'Apa yang membuat mereka menyimpang.' Dan jika melihat keburukan-keburukan kalian, tentu mereka akan berkata, 'Mereka tidak percaya akan hari perhitungan.'

"Bagi mereka, dunia lebih hina daripada tanah yang mereka injak. Sungguh aku telah melihat salah seorang di antara mereka berpergian, dan ia hanya mendapati makanan yang sekadar bisa menutupi keperluan asas. Lalu mereka berkata, `Aku hanya akan memasukkan sebagiannya saja ke dalam perutku, dan sebagiannya lagi kupersembahkan untuk Allah ‘Azza wa Jalla.' Maka, ia pun menyedekahkan sebagian makanannya itu, meskipun sebetulnya ia lebih memerlukannya daripada orang yang ia beri"

Hasan al Bashri berkata lagi, "Sungguh aku telah menjumpai sekelompok orang yang paling suka menyuruh orang lain berbuat baik setelah dirinya sendiri lebih dulu melakukannya. Mereka paling mencegah kemungkaran setelah dirinya sendiri lebih dulu meninggalkannya. Tapi sekarang tinggallah kita di tengah-tengah orang yang paling menyuruh kebaikan, tapi dirinya sendiri paling jauh dari kebaikan itu, dan mereka paling melarang kemungkaran, tapi dirinya sendiri paling banyak melakukan kemungkaran itu. Lalu, bagaimana kita bisa hidup bersama mereka?!"

Aban bin Mahbar berkata, "Saat kematian menemui Hasan al Bashri, beberapa orang sahabatnya masuk. Mereka berkata kepadanya, 'Wahai Abu Said, bekalilah kami beberapa patah kata yang bermanfaat bagi kami! 'Al-Hasan berkata, `Aku akan membekali kalian dengan tiga kalimat, setelah itu, tinggalkan aku!: Perkara yang engkau larang, jadilah kalian sebagai orang yang paling pertama meninggalkannya, dan kebaikan yang kalian perintahkan, jadilah kalian orang yang paling pertama mengamalkannya.
Ketahuliah bahwa langkah kalian itu ada dua, langkah yang akan membahagiakan kalian dan langkah yang akan mencelakakan kalian. Maka perhatikanlah dimana kalian mulai dan dimana kalian berakhir.

Saturday, July 11, 2009

Kursus Urut Tradisional & Pulih Tenaga Batin - 02/08/2009


Untuk makluman : Kursus Urut Tradisional dan Pulih Tenaga Batin akan diadakan pada 02/08/2009 jam 8.30 malam . Terhad kepada tiga orang peserta.

Diantara kandungan kursus ialah :
- Teori tentang Urut Tradisional
- Teknik mudah memahami kaedah Urut Tradisional
- Teknik Urut Perubatan
- Praktikal Urut Tradisional
- Teori tentang Urut Pulih Tenaga Batin
- Praktikal Urut Pulih Tenaga Batin
- Tips, petua dan amalan

Bagi sesiapa yang berminat sila sms atau emailkan nama, no kad pengenalan dan alamat. Harga Yuran ialah sebanyak RM250. Bertempat di Taman Keramat, Kuala Lumpur.


Friday, July 10, 2009

Selesai... Kursus Urut Tradisional 08/07/2009



Pada 08/07/2009, dua peserta dari Kuching, Sarawak dan Puchong, iaitu En Awangku Mohamad Nizam dan En Ismail menghadiri kursus Intensif Urut Tradisional dan Pulih Tenaga Batin.

Biasanya saya menghadkan bilangan peserta-peserta didalam kursus-kursus yang saya anjurkan, ini adalah untuk memudahkan saya memberi tumpuan yang lebih khusus ketika mengajar.

Semoga kursus ini memberi banyak manfaat kepada peserta yang hadir.

Gangguan Jin Bukit - PART 2


Pada kisah yang lalu saya menceritakan bagaimana seorang gadis (N) diganggu sekumpulan jin bukit me****ti, dan jin tersebut mentertawakan saya apabila saya membaca ayatul Qursi didalam keadaan panik.
Walaupun akhirnya jin tersebut keluar, saya berharap agar dapat bertemu semula dengan jin yang mentertawakan saya itu supaya saya dapat mengajarnya cukup-cukup secara berdepan.

Untuk makluman pembaca, mungkin ada diantara kisah-kisah yang saya paparkan terselit perkara-perkara yang berunsur jenaka. Saya tidak bermaksud untuk membuat lawak, tetapi sebaliknya, apa yang ingin saya sampaikan ialah, banyak perkara yang saya belajar dari peristiwa-peristiwa lucu tersebut.

Suka duka sepanjang saya menceburkan diri didalam bidang rawatan Islam, banyak mengajar dan mendewasakan saya dari sudut pengalaman. Selalunya, kebuntuan didalam menyelesaikan kes-kes tertentu mendatangkan ilham untuk teknik-teknik dan ilmu yang baru. Semoga kisah-kisah saya ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para pembaca.

Kita sambung kembali kisah tentang N. Menurut Pakcik R, sejak dari kejadian pada malam khamis yang lalu, nampaknya N sudah pulih dan tidak kerasukan lagi. Walaubagaimanapun Pakcik R tetap meminta saya agar membuat pemeriksaan lanjut keatas N.

Seperti yang telah saya janjikan pada Pakcik R, saya datang ke rumahnya pada sabtu malam.

Apabila saya sampai di rumah Pakcik R, saya lihat N duduk di sofa. Kelihatan riak wajah N seperti biasa, tiada pula tanda-tanda gangguan jin keatas dirinya.

Setelah berborak-borak sebentar saya pun meminta supaya N duduk dihadapan saya untuk pemeriksaan. Tetapi… belum sempat saya membaca surah Al-Fatihah tiba-tiba N tumbang. N seolah-olah didalam keadaan separuh sedar. Saya tahu itu bukannya N, itulah jin yang menganggu N. Saya meninggikan suara menyuruh jin itu keluar. Ia hanya berkata sakit… sakit…, dan mengangguk tanda setuju untuk keluar. Tetapi pakcik R tidak mengerti, pakcik R sangkakan bahawa saya menengking anaknya. Riak wajah pakcik R berubah sambil merangkul anaknya.

Saya terangkan pada pakcik R bahawa yang mengerang kesakitan itu bukan anaknya, tetapi ianya adalah jin yang berada didalam tubuh N.

Kemudian jin tersebut membuat isyarat seperti tarian hindu, sambil menghembus-hembuskan nafas panjang dan akhirnya N pengsan. Lebih kurang dua minit kemudian saya cuba mengulangi untuk membaca ruqyah, tiba-tiba N bangun dan dan membuat tarian yang lebih kurang sama dan pengsan lagi.

Saya menjangkakan jin yang menganggu N ini adalah dalam jumlah yang banyak, dan mungkin mereka ini berkumpulan. Sepanjang sejam rawatan, itulah proses yang saya ulangi, bacaan ruqyah, arahkan jin keluar dan N pengsan... adakalanya tiba-tiba N seperti tidak mengerti apa-apa, hanya bangun, termangu-mangu dan memerhatikan sekeliling. Saya mula kebuntuan.

Ketika mula-mula membuat rawatan dahulu. Saya tidak mengenal erti tangguh. Selagi jin tak keluar, selagi kes tak selesai, selagi itulah saya akan teruskan merawat. Dan kaedah begini adalah memenatkan perawat dan memenatkan pesakit.

Waktu sudah hampir dua jam berlalu, dan saya masih merawat N, ketika itu N hanya duduk dihadapan saya memandang sekeliling tanpa berkata apa-apa sepatah pun. Saya naik gelisah kerana sudah berbagai-bagai cara saya ikhtiarkan, namun N masih belum pulih. Saya diam seketika dan berdoa agar Allah memudahkan segala urusan saya pada malam itu.

Ketika inilah saya mendapat ilham untuk menentang jin tersebut dengan kaedah scan dan rawat dengan serentak.

Merawat dengan kaedah ini, bukan sahaja tertumpu kepada masalah spiritual, tetapi juga fizikal, mental dan emosional. Pernah juga didalam keadaan terdesak, saya menggunakan kaedah ini untuk merawat masalah angin pasang. Walaubagaimanapun kita jangan lupa, bahawa semuanya itu adalah dengan izin Allah swt.

Tidak sampai dua minit saya merawat dengan kaedah tersebut, tiba-tiba N bersuara dan mengatakan bahawa dia sudah sedar. Saya menarik nafas lega dan mengucapkan syukur kehadrat Allah swt.

Saya beritahu Pakcik R saya perlu membuat pemeriksaan semula keatas N pada esok pagi. Pakcik R hanya mengangguk dan mengharapkan agar N sembuh sepenuhnya.
Rawatan ke atas N pada keesokan harinya benar-benar mencabar keupayaan saya sebagai perawat, satu rekod bagi saya, apabila saya merawat N selama 8 jam tanpa henti. Ini adalah kesilapan saya dan saya belajar dari kesilapan... InsyaAllah kisah ini akan saya paparkan pada minggu hadapan.

Tuesday, July 7, 2009

Kisah Umar Bin Abdul Aziz Menguburkan Jin Islam


Al-Baihaqi mentakhrij dari Abu Ma'nin Al-Anshan, dia berkata, "Ketika Umar bin Abdul Aziz melewati sebuah padang dalam perjalanannya ke Mekah, tiba-tiba dia melihat bangkai ular. Dia berkata, "Tolong ambilkan alat penggali tanah."

"Biar kami saja yang melakukannya," kata orang. "Tidak," kata Umar bin Abdul Aziz.

Kemudian dia menggali tanah, membungkus bangkai ular itu dengan selembar kain dan menguburkannya.

Tiba-tiba ada suara perlahan, tanpa diketahui siapa yang mengucapkannya, "Semoga Allah merahmatimu wahai Suraq.

"Aku bersaksi, bahawa aku benar-benar mendengar Rasulullah (s.a.w.) bersabda, `Engkau akan mati di tengah padang wahai Suraq kemudian umatku yang paling baik akan menguburmu'."

Umar bertanya kepada asal suara itu, "Semoga Allah merahmatimu, siapa engkau?"

Terdengar jawapan, "Aku salah seorang dari jin, dan ular yang sudah mati ini bernama Suraq. Tidak ada yang menyisa dari para jin yang pernah berbaiat kepada Rasulullah (s.a.w.) kecuali aku dan dia.

Aku bersaksi bahawa aku benar-benar pernah mendengar Rasulullah (s.a.w.) bersabda, `Engkau akan mati wahai Suraq di tengah padang kemudian umatku yang paling baik akan menguburmu'.

Monday, July 6, 2009

Sihir Dan Gangguan Jin...

Menurut ulama, sihir adalah perkara yang dihasilkan dengan cara mendampingi syaitan. Ianya juga dikatakan perbuatan yang mengelirukan pancaindera.

Melalui sihir, pengamalnya dapat mengubah sesuatu perkara menjadi seperti mukjizat dan karamah pada zahirnya seperti boleh terbang, melalui perjalanan jauh pada satu malam saja dan mengubah sesuatu menjadi emas atau sebaliknya. Bentuk sihir ini pada hakikatnya boleh berlaku menerusi penggunaan jin.

Ada juga diantara ahli sihir yang menggunakan azimat-azimat dan nama bintang. Ianya disusun merangkumi ungkapan yang bercampur aduk diantara ucapan kufur dan rajah-rajah tertentu.

Sihir boleh memberi kesan pada hati, iaitu menimbulkan rasa cinta dan benci, mengumpul dan memisahkan serta mendekat dan menjauhkan.

Ada juga sihir yang berbentuk simpulan, jampi dan ungkapan yang diucap atau ditulis ataupun diamalkan. Ia memberi kesan pada tubuh orang yang disihir atau hati ataupun akalnya.

Sihir adalah realiti. Menurut Imam as-Syafie ia boleh membunuh, menyebabkan penyakit, menghalang suami menyetubuhi isterinya, memisahkan suami dan isteri serta menimbulkan rasa benci dan rasa kasih sayang salah seorang daripada mereka.

Sesetengah ulama mengatakan harus mempelajari ilmu sihir kerana malaikat mengajarnya kepada manusia seperti disebut al-Quran. Pendapat ini dipegang al-Fakhrurazzi daripada kalangan ulama ahli sunnah.

Sesetengah pengikut Abu Hanifah pula mengatakan tidak kufur jika mempelajari ilmu sihir untuk mengelak daripadanya.

Imam Malik, Abu Hanifah dan Ahmad mengatakan semua cara sihir diatas menyebabkan kafir.

DIANTARA TANDA-TANDA GANGGUAN JIN ATAU SIHIR

Kebiasaannya tanda-tanda dibawah ini adalah tanda-tanda mereka yang mempunyai masalah gangguan jin saka atau keturunan, walaubagaimanapun ini hanyalah panduan semata-mata, untuk mendapatkan kepastian lanjut sila buat pemeriksaan dengan perawat-perawat yang berpengalaman merawat dengan kaedah rawatan Islam.

- Penyakit yang sama menimpa kebanyakan kaum keluarga, seperti adik-beradik, ibu atau bapa, datuk atau nenek, pakcik atau makcik, dan sepupu-sepupu, seperti gatal-gatal, penyakit kulit, asma dan kanser.

- Mandul (bukan sebab beradat seperti kemalangan yang teruk, jatuh yang kuat akibat bersukan)

- Sentiasa berlaku keguguran anak dalam kandungan.

- Anak hilang dalam kandungan bila sampai umur enam bulan keatas.

- Melahirkan anak yang cacat anggota atau fikiran atau kedua-duanya sekali.

- Ada yang menjelma masuk kedalam dirinya mengaku wali, nabi atau malaikat dengan menzahirkan beberapa perkara yang mencarik adat sebagai bukti kebenarannya.

- Boleh menghadirkan perkara biasa melalui jalan yang luar biasa seperti batu, cincin, duit emas, keris dan sebagainya.

LAGI TANDA-TANDA GANGGUAN JIN ATAU SIHIR.

TANDA-TANDA KETIKA JAGA :

• Bercakap seorang diri dan ketawa tanpa sebab.
• Suara berubah ketika marah.
• Mudah hilang akal, kurang memahami sesuatu dan lemah ingatan.
• Berjalan terhoyong-hayang.
• Cara makannya menjijikkan.
• Berpaling daripada membaca Al -Quran, tidak berzikir dan tidak bersolat. Apabila ia hendak membaca Al Quran, berzikir atau bersolat seolah-olah ada sesuatu yang menghalang untuk berbuat demikian.
• Benci kepada bau-bauan wangi terutamanya kasturi dan za' faran
• Pening yang tidak dapat diubati oteh ubat-ubatan (biasa)
• Bencikan rumahnya atau isteri atau suami atau ahli keluarganya.
• Sakit kepala atau selalu terlupa ketika solat.
• Tidak dapat memberi tumpuan kepada sesuatu. (tidak boleh fokus)
• Malas dan lemah badan (tanpa sebab).
• Denyutan jantung bertambah cepat tanpa sebab.
• Bercakap tidak keruan, tidak tersusun, bercakap yang bukan -bukan dan bertindak tidak tentu hala. Apabila syaitan berpaling daripadanya, anda dapati ia akan meminta maaf terhadap percakapannya atau tingkah lakunya.
• Sedih tanpa sebab atau kerana alasan yang remeh.
• Suka memisahkan diri daripada orang ramai kerana ia merasa seolah-olah semua orang memusuhinya dan anda dapati ia akan hilang kepercayaannya terhadap orang lain.
• Mengabaikan kerjanya, rumah, suami atau isteri dan sekolah atau pelajarannya
• Sakit tulang belakang ketika bangun dari tidur tanpa sebab-sebab kesihatan.
• Beberapa anggota badannya kebas tanpa sebab dan ia susah digerakkan kecuali dengan kepayahan yang amat sangat.
• Perjalanan haid wanita tidak teratur. Ada kalanya darah haid terhenti sama sekali sedangkan ia masih muda atau haidnya tidak teratur•

TANDA-TANDA DI WAKTU TIDUR.

• Mimpi yang menakutkan
• Bercakap-cakap ketika tidur atau keluar suara yang tertentu seperti suara yang tidak jelas misalnya yang sedang marah-marah atau suara mengeluh.
• Bermimpi berjalan di atas air atau darah.
• Mimpi yang berulang-ulang sehingga ia merasakan kesempitan jiwa atau seram atau takut atau ia kerap bermimpi dengan mimpi yang kemudiannya benar-benar berlaku.
• Susah hendak tidur malam kecuali setelah lama berbaring.
• Kerap terjaga tidur di waktu malam.
• Kerap mimpi berjumpa haiwan -haiwan seperti kucing, anjing, unta, ular, singa, serigala dan tikus.
• Berdiri dan berjalan ketika tidur tanpa sedar.
• Bermimpi seolah-olahnya ia jatuh dari tempat yang tinggi.
• Bermimpi ia berada di kawasan perkuburan atau kawasan sampah atau jalan yang sunyi ( lagi menakutkan).
• Mimpi melihat manusia yang bersifat pelik seperti terlalu tinggi atau tinggi atau terlalu rendah atau melihat manusia hitam

Antara penyebab-penyebab seseorang itu disihir ialah:

- Mungkin ada yang dengki dengan perniagaannya yang maju, atau kenaikan pangkat atau kejayaan.
- Memutuskan pertunangan, mengakibatkan pasangannya ingin membalas dendam kerana mendapat malu atau rasa tercabar.
- Rebutan harta pusaka.
- Irihati, cemburu, buruk sangka dan lain-lain yang seumpamanya.

ANTARA TEMPAT-TEMPAT KEDIAMAN JIN PADA TUBUH MANUSIA:

- Kadangkala mereka berkumpul di mata kanan dan kiri. Dengan itu mereka yang didampingi jin tersebut suka melihat perkara-perkara maksiat, dan benci melihat perkara-perkara kebaikan. Kadangkala mereka juga tidak dapat bertentang mata dengan orang-orang yang soleh atau perawat.

- Berada di telinga kanan dan kiri. Dengan itu, manusia yang telinganya telah diduduki Jin tidak suka mendengar nasihat dan teguran yang baik serta amat suka mendengar perkara-perkara maksiat seperti muzik yang melalaikan dan sebagainya.

- Berada di mulut manusia, dengan itu manusia yang sebegini amat suka bercakap benda-benda yang tidak berfaedah dan mendatangkan dosa seperti mengumpat, melaga-lagakan manusia lain dan sebagainya.

-Berada di dada, perut atau ari-ari, menyebabkan orang tersebut sentiasa mengalami sakit dalam dada, atau selalu mengalami was-was dan masalah emosional. Sentiasa sakit perut yang berangin-angin, bisa-bisa atau senak dan pelbagai penyakit yang tidak boleh di kesan oleh doktor.

-Berada di kepala, tengkuk, bahu, tulang belikat, tulang belakang, dubur di celah-celah pelipat peha, di kerongkong dan hidung.

-Berada di kemaluan manusia, menyebabkan manusia tersebut suka melakukan perkara-perkara maksiat.

WANITA MANDUL AKIBAT GANGGUAN JIN

Kemandulan itu terbahagi kepada dua iaitu kemandulan yang berlaku secara tabii yang boleh dirawat oleh para doktor, sebagaimana lazimnya dan kemandulan yang berlaku akibat gangguan jin yang boleh dirawat menggunakan ayat-ayat Al-Quran, doa-doa dan zikir.

Kemandulan yang disebabkan gangguan jin adalah kerana, jin tersebut tinggal di dalam rahim dan merosakkan benih, menyebabkan benih-benih itu rosak dan tidak subur ataupun ia dibiarkan subur dan sempurna tetapi diganggu selepas beberapa bulan hamil menyebabkan turun darah, lalu keguguran.

Keguguran yang berlaku berulangkali boleh terjadi akibat daripada gangguan seperti ini.

Perempuan yang menghadapi masaalah keluar darah akibat gangguan yang boleh menyebabkan mandul hendaklah dirawat menggunakan doa-doa berkaitan dengan sihir disamping berusaha mendapatkan nasihat daripada doktor pakar.

Perlu diingatkan ada diantara golongan jin yang tertarik kepada perempuan yang suka bersolek berlebih-lebihan, yang tidak menjaga sembahyangnya, tidak membaca Al-Quran tetapi gemar mendengar nyanyian ataupun muzik keterlaluan, suka membuka aurat, juga gemar duduk bersolek dihadapan cermin.

Mereka tidak menyedari bahawa perbuatan seperti ini menjadi tarikan jin-jin. Mereka masuk dalam bilik air, lalu menyanyi dan mandi dalam keadaan telanjang, padahal bilik air adalah di antara tempat kegemaran jin-jin jantan dan betina menyebabkan salah satu daripada makhluk-makhluk tadi tertarik pada jasadnya lalu ia mengganggunya.

KESIMPULANNYA

Manusia yang selamat dari gangguan jin, iblis dan syaitan adalah manusia yang sentiasa berada dalam Tauhid ( mengesakan ) Allah, melalui lidah, anggota dan hati, mereka juga berakhlak dengan akhlak Rasulullah s.a.w serta beramal dengan syariat Islam.

MUTIARA KATA :
" Hendaklah jadikan diri kamu bersama Allah, maka jika kamu tidak boleh jadikan diri kamu bersama Allah hendaklah kamu jadikan diri kamu bersama dengan mereka yang telah beserta dengan Allah, maka sesungguhnya yang demikian itu akan menyampaikan diri kamu kepada Allah "

Berlapang Dadakah kita...?


Solat merupakan ibadah khusus yang paling besar dalam Islam. Ia merupakan rukun Islam yang kedua. Cara mengerjakan solat pula tentu sahaja di ajar oleh Rasulullah saw menerusi perlakuan dan perkataan baginda. Justeru itu baginda menyatakan: “solatlah kamu sebagaimana kamu melihat saya mengerjakan solat..” Kedudukan solat ini menjadikan para sahabat dan para ulama berusaha untuk memahami cara solat sebagaimana yang diajar dan dilakukan oleh baginda. Sumbernya tentulah daripada hadis-hadis baginda saw samada hadis perbuatan atau hadis perkataan.

Namun, apabila diteliti, hadis-hadis tentang perlakuan solat baginda dan ucapan baginda membuka ruang untuk pentafsiran yang pelbagai. Ini kerana dalam menjelaskan tentang perlakuan solat ada beberapa hadis yang menjelaskan sifat yang berlainan. Justeru itu berlaku perbezaan pendapat dalam menjelaskan hakikat solat baginda yang sebenar.

Perbezaan pendapat ini pula selalunya diklasifikasikan menerusi perbahasan empat mazhab yang besar iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali. Ini kerana ke empat-empat mazhab inilah yang direkod dan disebar secara meluas oleh pendukung-pendukungnya. Keadaan ini tidak menafikan kewujudan pandangan-pandangan lain yang dipelopori oleh tokoh-tokoh sezaman dengan tokoh empat mazhab.

Namun, selalunya pandangan mereka tidak lari dari pandangan-pandangan tokoh-tokoh dan pendokong-pendokong mazhab ini.

Malah, jika datang tokoh-tokoh ulama terkemudian membahaskan perlakuan solat baginda, huraian mereka tidak akan lari dari apa yang telah dibicarakan oleh tokoh-tokoh ulama terdahulu dalam pelbagai mazhab. Yang tinggal hanyalah mempertimbangkan antara dalil-dalil yang telah dikemukakan oleh tokoh ulama terdahulu, seterusnya mentarjihkan (memperkuatkan) tafsiran yang dirasakan lebih kuat.

Namun hakikat yang perlu diterima dalam perbahasan hukum-hakam fiqh ialah; sesuatu yang dirasakan lebih rajih dan kuat oleh seorang tokoh ulama mungkin dianggap lemah oleh tokoh ulama yang lain. Ini kerana akal dan kefahaman manusia berbeza. Sesuatu yang dirasakan kuat berdasar penelitian dan kajian seseorang yang berilmu mungkin dianggap lemah oleh penelitian dan kajian seorang ilmuwan yang lain.

Menyedari hakikat inilah maka para tokoh ulama sepanjang zaman sejak awal islam hingga ke hari ini sentiasa berlapang dada dengan tafsiran berbeza oleh tokoh ulama yang lain. Mereka menyatakan; pandangan saya benar tetapi mempunyai kebarangkalian salah. Pandangan anda salah tetapi mengandungi kebarangkalian benar.

Sikap berlapang dada ini menjadikan tokoh-tokoh ulama sentiasa merendah diri dan tidak angkuh dengan pandangan dan tafsiran peribadi. Mereka tidak taksub dan menyerang tafsiran yang berbeza oleh tokoh yang lain dengan gelaran sesat. Ini kerana hakikatnya masing-masing berijtihad untuk memahami hakikat solat Rasulullah.

Sekiranya tafsiran mereka tepat, mereka akan diberikan dua pahala. Sebaliknya sekiranya kurang tepat atau tersilap mereka akan tetap diberikan satu pahala. Ini berdasarkan sabda baginda: sesiapa yang berijtihad lalu menepati ijtihadnya, maka baginya dua pahala. Sesiapa yang berijtihad lalu tersilap. Maka baginya satu pahala.Apatah lagi, tokoh-tokoh ulama Islam sepanjang zaman menyedari bahawa setiap tafsiran fiqh yang telah diusahakan oleh tokoh-tokoh yang awal yang akhirnya membentuk mazhab iaitu Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafie dan Imam Hanbali, merupakan tafsiran yang telah disokong oleh jutaan ulama terkemudian.

Ertinya jutaan akal pemikiran telah memberi kesaksian terhadap tafsiran yang mereka usahakan. Tafsiran mereka itu menepati tafsiran jutaan tokoh ulama terkemudian sepanjang 14 kurun. Tambahan lagi, kita mendapati, ulama-ulama 3 mazhab mungkin sependapat, tetapi dicanggah oleh tokoh ulama dalam satu lagi mazhab lain.

Dalam perbahasan lain pula, tokoh mazhab yang mempunyai pandangan berbeza tadi bersependapat pula dengan 2 mazhab, tetapi satu lagi mazhab yang berada dalam kelompok pertama mempunyai pandangan berbeza pula. Inilah perbezaan kefahaman dan tafsiran yang berlaku.

Menyedari hakikat ini, para tokoh ulama sentiasa berlapang dada dalam menghadapi perbezaan pendapat dalam membahaskan persoalan-persoalan hokum termasuklah hukum-hakam solat.Bagi masyarakat awam yang keinginan mereka hanyalah mahu beramal, secara mudahnya mereka tentu sahaja mempelajari tafsiran solat Rasulullah sebagaimana yang dihuraikan oleh tokoh mazhab setempat mereka.

Perlu diingat, pendapat yang kita rasakan kuat menurut ilmu yang ada pada kita MUNGKIN dirasakan lemah menurut ilmu orang lain. Justeru, mahu atau tidak kita perlu menerima perbezaan tafsiran ini dengan LAPANG DADA. Taksub dengan tarjihan peribadi (pandangan yang kita rasa kuat) bukanlah sikap orang yang berilmu. Ia hanya menggambarkan kecetekan ilmu dan kedangkalan kefahaman terhadap realiti khazanah fiqh Islam.

Apa yang mendukacitakan ialah kedapatan segelintir golongan yang merasakan HANYA mereka orang yang berilmu! Hanya mereka yang membuat kajian ilmiyah! Hanya mereka yang membuat penelitian yang tepat! Hanya pandangan mereka yang tepat! Hanya mereka yang menepati sunnah Nabi! Inilah bunga-bunga taksub.

Bunga-bunga taksub ini pula meresap masuk ke dalam jiwa masyarakat awam yang berguru dengan mereka. Maka jadilah golongan awam ini mangsa ketaksuban seorang guru. Mereka menjadi golongan yang lebih taksub. Ketaksuban menjadikan seseorang memejam mata daripada menerima pandangan berlainan. Mereka menjadi sombong, angkuh dan bongkak. Sifat merendah diri yang menjadi hiasan diri orang berilmu telah hilang. Syaitan telah membelit mereka. Mereka terpedaya dengan Iblis. Guru ini terpedaya dengan ilmu sendiri hingga merasakan merekalah orang paling berilmu.

Justeru, mereka mendabik dada dengan pandangan mereka sendiri. Hasilnya mereka menidakkan tafsiran yang lain meskipun dipelopori oleh tokoh-tokoh yang telah diperakui keilmuan mereka seperti Abu Hanifah, Maliki, Syafie dan Hanbali. Keilmuan mereka diperakui oleh jutaan ilmuwan terkemudian. Tafsiran mereka didokong oleh jutaan tokoh ulama sepanjang 14 kurun. Tetapi tafsiran yang diperakui oleh jutaan tokoh itu ditolak dan dipersendakan oleh beberapa ilmuwan kecil di akhir zaman yang ilmu bahasa dan kefahaman fiqhnya tidak seberapa.

Artikel ini ditulis oleh Ustaz Mohd Khairuddin Aman Razali. Artikel ini menarik minat saya tentang sifat ulama’-ulama’ mu’tabar yang sangat berlapang dada didalam perbezaan pendapat sesama mereka, semoga kita dapat manfaat darinya. Tajuk asal artikel ini ialah FIQH SOLAT RASULULLAH.

Friday, July 3, 2009

Diganggu Jin Bukit Me****ti


Kisah kali ini banyak memberi pengajaran kepada saya didalam bidang rawatan. Ianya berlaku lebih kurang beberapa tahun yang lalu.

Pada suatu malam Jumaat saya menghadiri majlis zikir di Pondok Rasah, Seremban. Entah bagaimana di majlis malam itu telefon bimbit saya boleh tertinggal di dalam kereta.

Selesai majlis, saya bergegas ke kereta untuk menghantar barang-barang saya dan saya lihat di telefon bimbit ada 53 miss call, ianya adalah panggilan dari ibu saya di kampung dan ada juga dari nombor yang tidak saya kenali. Saya terus menelefon ibu saya, rupa-rupanya ibu saya memberitahu ada orang kampung (Pakcik R) mencari saya kerana anaknya meracau-racau dirasuk oleh jin.

Saya telefon pula Pakcik R, dan melalui telefon saya mendengar suara gadis sedang menjerit-jerit. Menurut Pakcik R, anaknya bersama rakan-rakan pergi ke pekan waktu hampir maghrib tadi, sesudah itu mereka menaiki kereta ke Bukit Me****ti untuk bersiar-siar. Jiran Pakcik R menasihatkan agar Pakcik R membawa anaknya berjumpa bomoh di kampung yang berdekatan. Tetapi Pakcik R menyatakan bahawa dia hanya yakin untuk merawat anaknya itu dengan kaedah rawatan Islam.


Untuk Makluman pembaca, Bukit Me****ti adalah sebuah tempat bersejarah, di situ ada batu hamparan tempat tentera jepun memancung kepala mangsanya, berbagai kisah-kisah yang pelik dan aneh berlaku di kawasan tersebut. Sesiapa yang ingin bersiar-siar atau beriadah, mereka boleh menaiki kereta atau ada keretapi khas untuk membawa pelancong ke atas bukit.


Pada mulanya rakan-rakan gadis (saya namakan N) tersebut telah menasihati N agar membatalkan saja niat untuk naik ke bukit itu, tambahan pula sudah masuk waktu maghrib. Tetapi N berkeras ingin naik ke bukit untuk bersiar-siar sebentar.

Sewaktu kenderaan mereka melalui batu hamparan tempat tentera jepun memancung kepala, tiba-tiba N menjerit seperti kerasukan, N melihat begitu ramai makhluk berbadan kenit bergayut dibelakang kereta mereka, seolah-olah mahu menangkap N. Dalam keadaan panik, rakan-rakan N bergegas memandu N pulang ke rumah, sedangkan N masih terus menjerit dan menangis.


Melalui telefon, Pakcik R merayu kepada saya untuk membantu anaknya N. Saya serba salah, ketika itu saya di Seremban, untuk kerumah Pakcik R sekurang-kurangnya mengambil masa 2 ½ jam. Kalau ikutkan hati mahu saya ke rumah Pakcik R malam itu juga. Salah satu kelemahan saya didalam rawatan ialah, saya mudah kasihan kepada pesakit, isteri saya selalu bising kononnya, apabila ada pesakit meminta tolong, jika saya sedang makan nasi pun saya boleh tinggalkan.


Saya beritahu Pakcik R kaedah rawatan Islam amat fleksible dan saya akan cuba rawat dari jauh dahulu. Saya minta Pakcik R meletakkan telefon ditelinga N, disana ada lima orang sedang memegang N yang tidak henti-henti menjerit dan meronta-meronta.

Melalui telefon, saya menengking jin tersebut mengarahkannya supaya keluar. Tetapi Jin itu menjawab sambil tertawa, “Kau tidak dapat berbuat apa-apa, di luar rumah ini ada ramai lagi kawan-kawan aku yang sedang menunggu untuk masuk”. Tanpa bertangguh, saya terus membacakan surah al-hasyr ayat 21-24, ayatul Qursi dan saya azan di telefon. Maka terjerit-jerit lah jin tersebut, “panas!!!panas!!!...”, tetapi jin itu masih tidak mahu keluar.


Hampir 5 minit saya meruqyah dan menengking jin tersebut agar ia keluar, tetapi dia hanya terpekik dan terlolong. Jin itu berkata lagi, “aku boleh keluar dari rumah ini tetapi aku nak bawa perempuan ini sekali”. Saya bertambah panik dan buntu, sudah lah pesakit berada jauh dari saya… jin pula tak mahu keluar.


Dalam keadaan panik itu saya membaca lagi ayatul Qursi, tetapi apa yang berlaku, jin itu hanya ketawakan saya… Marah pun ada, panik pun ada, buntu pun ada.


Dari peristiwa inilah saya belajar bahawa, didalam menghadapi gangguan jin atau makhluk halus, kita tidak boleh panik, ini adalah kerana apabila kita panik, aura disekeliling tubuh badan kita pecah, dan ini boleh menyebabkan kekuatan kita terganggu dan hilang fokus.


Setahu saya makhluk halus ini dapat melihat atau mengetahui samada seseorang itu didalam keadaan berani, ketakutan atau panik. Saya difahamkan ianya seumpama deria seekor anjing yang dapat menghidu niat atau hati seseorang samada berniat baik atau jahat. Ini adalah kerana niat seseorang itu mempunyai getaran, dan getaran itu menghasilkan gelombang. Dan ada diantara makhluk-makhluk Allah swt dimuka bumi ini yang berupaya untuk mengesan gelombang-gelombang yang sedemikian.


Akhirnya saya mendapat ilham untuk mengarahkan Pakcik R mencari sebatang kayu sebesar pen, dan cucukkannya di antara dua jari kaki N. Dengan izin Allah swt, tiba-tiba jin itu keluar dan N pun sedar. N menangis dan memeluk ibunya.


Sambil menarik nafas lega saya mengucapkan kesyukuran kepada Allah swt. Saya beritahu pada Pakcik R, InsyaAllah saya akan menziarahinya pada hujung minggu.

Sewaktu memandu pulang dari Seremban ke Kuala Lumpur saya asyik memikirkan tentang jin yang mentertawakan saya semasa saya membaca ayatul Qursi tadi. Saya berdoa dan berharap agar bertemu semula dengan jin tersebut dan insyaAllah saya akan mengerjakannya cukup-cukup.


Ternyata doa dan harapan saya untuk bertemu semula dan membelasah jin tersebut akhirnya mengundang padah… Mengapa…? Kita tunggu sambungan kisah ini di waktu yang akan datang… InsyaAllah…

Madad... Madad.. Ya Rasulullah...