Friday, August 28, 2009

Jin Saka Bergaduh, Suami Isteri Jadi Mangsa...


Suatu hari saya didatangi oleh seorang pemuda (K) yang ingin mendapatkan rawatan. Dia mengadu tentang masalah isterinya yang panas baran dan mudah naik angin sehingga menyebabkan mereka kerap bergaduh.

Selama ini dia banyak bersabar dengan sikap isterinya yang selalu berkasar dan tidak memenuhi keinginannya sebagai seorang suami. Kadangkala dia terpaksa tidur berasingan kerana isterinya tidak suka mereka tidur bersama. K terpaksa menurut kemahuan isterinya kerana isterinya selalu mengugut untuk membunuh diri.

Sebenarnya saya pernah bertemu dengan K dan isterinya satu ketika dulu. Ketika itu K dan isterinya berjumpa dengan sahabat saya dikampung untuk mendapatkan rawatan berkenaan dengan masalah saka isterinya. Disebabkan K datang untuk mendapatkan rawatan dengan sahabat saya, maka saya hanya duduk di tepi dan tidak mencampuri urusan mereka.

Namun, di kemudian hari saya mendapat tahu bahawa K terpaksa bertemu dengan perawat lain kerana masalah saka isterinya masih tidak selesai. Satu perkara yang tidak berapa menyenangkan saya tentang K ialah, dia terlalu terburu-buru didalam mencari kesembuhan atau penyelesaian masalah. Dia terlalu berharap kepada perawat sehingga ada diantara perawat-perawat yang ditemuinya telah membekalkannya dengan tangkal-tangkal.

Saya menasihatkan K agar sentiasa memilih Rawatan Islam sebagai kaedah rawatan pilihan, dan tidak lagi bertemu dengan bomoh-bomoh yang merawat dengan tangkal atau perkara-perkara yang boleh merosakkan aqidah.

Saya beritahu K bahawa saya perlu membuat pemeriksaan keatasnya, tetapi K tidak bersetuju dan menyangkal, kerana menurutnya perawat-perawat sebelum ini mengatakan bahawa dia tidak bermasalah. Saya meminta K mengisi borang pesakit, di borang tersebut saya sudah menyediakan contoh tanda-tanda gangguan ketika jaga dan ketika tidur untuk ditanda oleh pesakit sekiranya mereka mengalaminya. Saya lihat K menandakan beberapa tanda-tanda gangguan di borang tersebut, ini menguatkan lagi andaian saya bahawa K juga turut mengalami masalah gangguan.

Semasa sessi rawatan, jari-jemari di tangan kanan K bergerak dengan pergerakan yang agak kuat. Setelah saya selidik rupa-rupanya ia adalah jin saka kepunyaan K. Saya cuba mendapatkan beberapa maklumat mengenai isteri K, namun jin saka memberi isyarat bahawa dia tidak tahu. Tiba-tiba saya mendapat ilham untuk berinteraksi dengan jin saka kepunyaan isteri K dari jarak jauh. Setelah saya mengugut untuk menyakitkan ia dari jauh, jin saka isteri K hadir dan berhadapan dengan saya melalui isyarat pergerakan tangan kiri K.

Kelihatan tangan kiri K menunjuk-nunjuk ke arah tangan kanan, dan tangan kanan K pula menunjuk-nunjuk ke arah tangan kiri, seolah-olah menunjukkan isyarat tidak puas hati. Setelah saya menanyakan beberapa perkara kepada kedua-dua pihak jin tersebut, akhirnya jin-jin saka itu mengaku bahawa mereka memang tidak menyukai antara satu sama lain dan sering bergaduh. Jin saka kepunyaan K dan jin saka kepunyaan isteri K saling bermusuhan.

Patutlah selama ini K dan isteri kerap bergaduh kerana, jin saka kepunyaan K dan jin saka kepunyaan isterinya tidak sehaluan dan berperang sesama mereka. Secara tidak langsung jin-jin tersebut mempengaruhi mental dan emosional K serta isteri agar turut sama bergaduh.

Saya menasihatkan jin-jin tersebut bahawa perbuatan mereka ini menimbulkan masalah dan menyusahkan K serta isterinya. Saya juga meminta agar jin-jin tersebut keluar dan tidak lagi menganggu. Kelihatan jin-jin saka itu bersetuju untuk keluar buat selama-lamanya.

Sehingga kisah ini ditulis K tidak pernah lagi menghubungi saya, moga-moga masalah K dan isterinya telah selesai.

Friday, August 21, 2009

Rawatan Islam Dan Pengorbanan Perawat





Cuaca panas dan berjerebu pada minggu lalu mengundang berbagai penyakit dan masalah kepada masyarakat. Saya lihat di klinik-klinik orang begitu ramai menunggu giliran bertemu dengan doktor untuk mendapatkan rawatan. Ditambah pula dengan gejala H1N1, masing-masing begitu risau dan berhati-hati, tidak hairanlah mereka-mereka yang mengalami demam selsema dan sakit tekak, bergegas ke klinik untuk membuat pemeriksaan lanjut.


Saya juga tidak terkecuali mengalami sakit tekak dan batuk-batuk yang agak teruk, bermula pada hari khamis yang lepas saya sudah mula hilang suara. Banyak temu janji dengan pesakit terpaksa saya batalkan, Cuma ada kes-kes yang agak emergency, saya gagahkan juga diri ini untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan.


Jika diimbas kembali, pernah satu ketika, ada satu kes dimana seorang lelaki tua datang berjumpa saya untuk mendapatkan rawatan, pakcik tersebut mengadu dia mengalami bisa-bisa badan yang amat sangat dan tidak boleh tidur malam. Setelah membuat pemeriksaan, saya dapati pakcik tersebut mempunyai masalah saka. Walau-bagaimanapun ia hanya menafikan dan berpura-pura seolah-olah tidak tahu menahu langsung mengenai masalah saka tersebut. Saya hanya berdiam diri dan berbaik sangka dengan membuat kesimpulan mungkin saya yang tersilap membuat andaian.


Beberapa bulan kemudian, saya mendapat berita pakcik tersebut mengalami kemalangan yang menyebabkan kakinya patah. Dia yang tidak mahu kakinya disimen, pergi berjumpa dengan bomoh patah untuk mendapatkan rawatan. Selepas dari itulah dia membocorkan rahsia dirinya yang sebenar dengan mengaku bahawa dia memang bersaka dan ingin mewariskan saka tersebut kepada salah seorang dari anaknya. Saya mendengar pengakuan tersebut dengan perasaan yang kecewa kerana sebelum ini saya pernah menasihatinya untuk memutuskan segala perjanjian dengan jin-jin saka sekiranya ada, namun dia cuma berdiam diri dan berlakun seolah-olah dia tidak mengetahui apa-apa.


Sejak ditimpa kemalangan tersebut, bisa-bisa badannya makin bertambah, boleh dikatakan setiap hari dia mengerang kesakitan. Dia meminta anaknya memanggil saya untuk mendapatkan rawatan. Oleh kerana sikapnya yang masih mahu menyimpan jin-jin saka tersebut, saya mengambil sikap tidak mengendahkan permintaannya untuk mendapatkan rawatan. Ianya berterusan lebih kurang dua minggu, sehinggalah pada suatu hari saya bertemu dengan guru perubatan saya yang terawal. Saya mengadu padanya tentang kisah itu, dan bertegas tidak mahu merawat pakcik tersebut.


Guru saya menasihatkan, didalam Rawatan Islam, masalah peribadi perlu ditolak ketepi, apabila ada seorang hamba Allah yang memerlukan pertolongan adalah wajib kita menolongnya apa yang termampu. Mendengar nasihat tersebut, saya seperti terjaga dari lamunan, baru saya sedar yang saya telah melakukan kesilapan, saya tidak sepatutnya menghampakan permintaan pesakit untuk mendapatkan rawatan.


Sejak dari itu tidak pernah saya menolak permintaan untuk rawatan kecuali jika saya benar-benar tidak mampu untuk memenuhinya.


Sejak saya menceburkan diri didalam bidang rawatan, tidak pernah saya menghadapi sakit tekak dan batuk-batuk yang teruk begini,. Nak baca ruqyah pun payah, apatah lagi nak berdialog dengan jin.


Khamis malam jumaat yang lalu ada seorang wanita yang sangat-sangat berharap untuk mendapatkan rawatan, caranya yang bersungguh-sungguh membuatkan saya tidak sampai hati untuk menolak hajatnya.


Tujuan dia datang adalah untuk menceritakan masalah cucunya yang kerap menangis, dan tangisannya pula luar biasa seperti takutkan sesuatu. Puas sudah dia berubat di merata tempat, namun cucunya masih belum menunjukkan tanda kesembuhan. Namun, pada malam itu dia tidak membawa cucunya kerana dia memberi alasan anak menantunya sangat-sangat tidak mempercayai rawatan alternatif termasuklah kaedah rawatan Islam.


Mendengar ceritanya, saya menjangka masalah ini bukan berpunca dari bayi tersebut, tetapi ianya mungkin bermula pada ibu atau neneknya. Saya bercadang untuk melakukan pemeriksaan keatasnya, namun belum sempat saya menyuruhnya duduk di kerusi pesakit, tiba-tiba wanita tersebut berdiri dan menengking, sambil menuding jarinya kepada saya dia berkata “aku tak suka perempuan ni jumpa engkau, aku memang nak musnahkan hidup seluruh keluarganya..”, kini yang bercakap di depan saya sekarang ini bukannya wanita itu lagi tetapi jin yang mengganggunya. Saya bertanya kepadanya, “engkau ni siapa..? dengan nada angkuh dia menjawab, “aku adalah jin yang paling kuat sekali, tiada siapapun yang boleh mengalahkan aku, tiada siapapun yang mampu untuk mengubati perempuan ini”


Saya bertanya lagi kepadanya, “ habis tu bayi tu menangis pasal apa..?” wanita itu makin meninggikan suaranya dan sudah mula hendak bertindak agresif, sambil menjerit dia berkata lagi, “bayi tu aku lah yang kacau dia, aku nak diaorang semuanya mati”… dia cuba mara kehadapan seolah-olah hendak menyerang. Saya terus menengkingnya mengarahkan agar dia duduk.


Saya pun hairan, padahal saya sakit tekak, suara pun payah nak keluar, bila saya tengking jin, boleh pula keluar suara… wallahua’lam, inilah yang dikatakan bantuan Allah.


Setelah saya menengking jin tersebut, barulah kelihatan dia memperlahankan suaranya, nampak seperti dia ketakutan. Saya menggunakan kesempatan ini untuk menakutkan lagi jin tersebut, dengan meninggikan suara saya mengancam akan membunuhnya dengan izin Allah sekiranya dia tidak mahu keluar. Kelihatan jin tersebut menangis ketakutan, dia merayu supaya tidak mengapa-apakannya dan berjanji akan keluar. Alhamdulillah dengan izin Allah dia keluar, dan wanita itu sedar kembali.


Jumaat malam Sabtu pula saya diminta oleh seorang pesakit yang memang sudah lama ingin bertemu dengan saya untuk mendapatkan rawatan, sekali lagi saya tidak sampai hati untuk menolaknya. Malam itu sessi rawatan berlangsung lebih kurang sejam setengah termasuklah rawatan keatas adik lelakinya. Saya menjangkakan masalah sakit tekak saya tidak serius, dengan itu tanpa memikirkan kemudharatannya saya berinteraksi dengan jin-jin pesakit seperti biasa, meminta mereka semua keluar. Sekali sekala saya meninggikan suara, walaupun tekak terasa amat perit, demi semangat ingin membantu pesakit saya lupakan semua kesakitan yang saya alami.


Esoknya hari Sabtu saya sudah mula tiada suara, tekak saya semakin sakit dan terasa seperti membengkak. Hari itu saya rasa tidak lagi mampu untuk menerima pesakit dan terpaksa menolak beberapa permintaan untuk temujanji rawatan.


Namun ditakdirkan Allah swt, Sabtu malam Ahad itu saya menerima satu panggilan kecemasan dari seorang sahabat saya yang memberitahu ada seorang wanita sedang mengamuk kerana kerasukan. Pada mulanya saya katakan yang saya kurang sihat, namun kerana tidak sampai hati saya pergi juga ke rumah pesakit tersebut. Sampai di sana saya lihat orang ramai berkumpul di luar rumah menunggu ketibaan saya. Tanpa berlengah saya masuk ke dalam rumah dan kelihatan beberapa orang sedang memegang pesakit tersebut dan menghalangnya dari mencekik lehernya sendiri.


Oleh kerana tekak saya teramat sakit, saya terpaksa berdialog dengan nada yang amat perlahan dan lemah lembut, tidak pernah saya berinteraksi dengan jin didalam keadaan yang begitu lemah-lembut. Allah Maha Berkuasa, diizinkan Allah swt jin-jin tersebut mendengar cakap, mula bersikap lembut dan tidak berkasar lagi. Cuma ada diantara mereka yang tidak mahu keluar walaupun telah dipujuk berkali-kali dan saya terpaksa menamatkan riwayat mereka dengan izin Allah.


Sebelum-sebelum ini saya yakin salah satu dari kelebihan saya didalam rawatan adalah pada suara, dengan suara saya dapat menggerunkan jin-jin yang menganggu, dengan suara saya dapat meyakinkan jin untuk keluar, namun dengan peristiwa ini saya bertambah yakin bahawa kekuatan sebenar hanyalah pada Allah dan bukannya pada kekuatan fizikal perawat. Merujuk kepada posting Ustaz Majid (AKRINE) tentang “Kisah Malang Seorang Pesakit”, saya tidak dapat membayangkan jika perawat-perawat yang menggunakan kaedah meng-azankan pesakit ditelinganya dengan sekuat-kuat hati itu mengalami sakit tekak seperti saya.


Hari ini sakit tekak saya telah pulih sepenuhnya, ada diantara mereka yang mengambil kursus rawatan dapat menyambung kembali kelas rawatan. Saya juga dapat menjawab telefon dan melakukan rawatan seperti biasa. Baru beberapa hari nikmat suara diambil, banyak kerja-kerja saya yang tertangguh. Alangkah besarnya nikmat suara yang Allah kurniakan pada manusia. Alhamdulillah syukur Ya Allah, Engkau telah mengembalikan suara ku ini.


Semoga semua perawat-perawat Islam berada di dalam keadaan sihat wal’afiat dan dipermudahkan Allah segala urusan didalam rawatan. Akhir kata, Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak dan selamat berpuasa.



Friday, August 14, 2009

Tulisan Agung Didalam Rawatan Islam

Untuk makluman pembaca, inilah ayat yang saya ceritakan pada kisah “Gangguan Jin Bukit – episod terakhir”. Saya paparkan ayat ini berserta dengan maksudnya.


MAKSUD AYAT TERSEBUT :

Inilah perutusan dari Muhammad Rasul sekian alam. Kepada mereka yang datang mengerjakan umrah dan berziarah. Amma ba’du. Sesungguhnya kebenaran itu adalah perlindungan bagi kita. Jika engkau terlalu baik, jahat, pemimpin yang sebenar ataupun yang bathil.

Inilah kitab Allah yang membicarakan dengan sebenar-benarnya kepada kita, sesungguhnya Kami mencatatkan apa yang kamu lakukan dan malaikat Kami menulis segala apa yang engkau sembunyikan. Tinggalkanlah pembawa utusan ini dan pergilah kepada penyembah berhala dan mereka yang menyangka bahawa ada tuhan selain Allah.

Katakanlah tiada tuhan melainkan Dia. Segala sesuatu akan hancur melainkan Dia. BagiNyalah segala ketentuan dan kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan.

Haa Miiim, mereka tidak akan diberi pertolongan, Haa Miiim Ain Siiin Qaaf. Berpecah belahlah musuh-musuh Allah. Hujah Allah itu amat jelas,Tiada kekuasaan melainkan kekuasaan Allah.

Allah memberikan kecukupan kepadamu, Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Maha Benarlah Allah yang Maha Besar.

____________________________________________________________________


Kebiasaanya ayat ini saya berikan kepada pesakit yang mempunyai masalah gangguan di rumah atau di tempat kerja. Ayat ini biasanya ditampal di setiap penjuru atau ditampal di dinding rumah atau pada pintu.

Sesiapa yang berminat boleh lah mencetak ayat tersebut dengan syarat ini hanyalah ikhtiar semata-mata, yang berkuasa hanyalah Allah swt.

Jika kaedah ini dapat ditembusi, maka pesakit perlu kepada kaedah-kaedah tambahan yang lain.

Wallahua’lam.

Tuesday, August 11, 2009

Gangguan Jin Bukit - episod terakhir..


Masih ingatkah kisah N yang diganggu Jin Bukit yang saya ceritakan sebelum ini… kisah tersebut sudah sampai ke penghujungnya… teruskanlah membaca episod terakhir kisah Diganggu Jin Bukit Me****ti….

Sepatutnya keesokan hari adalah hari berkerja, namun kerana risaukan keadaan N, saya mengambil cuti separuh hari dan berharap saya dapat menyelesaikan kes ini. Saya tiba di rumah N kira-kira jam 10.30 pagi. Ketika itu N baru bangun dari tidur, melihat ketibaan saya N terus menghempas pintu biliknya. Pakcik L yang terkejut melihat N sedemikian, mengarahkan agar N keluar dari bilik dan duduk di ruang tamu.


Saya beritahu pakcik L, hari ini saya tidak akan berdepan dengan N seperti rawatan sebelumnya. Tetapi saya akan membekalkan N dan pakcik L beberapa perkara, diantaranya ialah CD ruqyah, ayat membakar jin yang perlu ditampal di dinding rumahnya, dan Kitab Ahzab (kitab amalan Thoreqat Ahmadiyyah Idrissiyyah).


Pada pertemuan saya dan keluarga pakcik L pagi itu, saya juga mengambil kesempatan untuk memberi sedikit tazkirah kepada pakcik L dan keluarga, tentang kepentingan Tauhid dan amalan agama didalam kehidupan seharian. Saya mengingatkan mereka, bahawa kita adalah manusia yang dilantik Allah sebagai khalifah di muka bumi. Ini adalah supaya mereka mempunyai keyakinan dan kekuatan dalaman yang mantap didalam menghadapi gangguan terhadap N.


Saya berkeyakinan, didalam kita menangani masalah spiritual, gangguan-gangguan jin dan ahli sihir, selain dari kita merungkai gangguan-gangguan tersebut, pesakit juga perlu ditarbiah dan diberi motivasi supaya mereka tidak berputus asa. Nasihat-nasihat yang berguna dari perawat sangat-sangat diperlukan oleh pesakit. Oleh itu, pada pandangan saya, selain dari mempelajari teknik-teknik untuk menangani masalah gangguan jin dan sihir, perawat-perawat Islam juga perlu banyak membaca atau mempelajari kaedah-kaedah untuk berkomunikasi dengan pesakit.


Didalam Rawatan Islam tugas perawat-perawat tidak hanya tertumpu kepada menangani masalah gangguan jin, tetapi skopnya lebih luas dari itu, perawat Islam juga adalah pendakwah, pendamai keluarga, penasihat dan secara amnya, pesakit sangat-sangat menaruh kepercayaan kepada perawat, kerana itu perawat perlu jujur dan ikhlas serta tidak mengambil kesempatan diatas kepercayaan pesakit terhadap dirinya.


Perawat perlu menyediakan diri mereka dengan ilmu agama yang mantap dan tidak mengeluarkan kenyataan atau pendapat dengan sesuka hati tanpa berlandaskan ilmu. Jika perawat tidak dapat memberikan kesimpulan atau jawapan kepada permasalahan pesakit, adalah lebih murni jika perawat itu dengan jujurnya mengatakan dia tidak tahu, atau belum tahu. Elakkan dari memberi jawapan dengan andaian-andaian atau berlandaskan sangkaan-sangkaan, kerana ini akan menimbulkan fitnah dan boleh merosakkan imej perawat Islam.


Berbalik kepada kisah N, saya meminta agar pakcik L memasang cd ruqyah yang saya bekalkan itu secara berterusan selama seminggu, Kitab Ahzab pula diletakkan berhampiran kepala N ketika N tidur. Manakala ayat membakar jin perlu ditampal di tempat-tempat tertentu di dalam rumah. InsyaAllah saya akan paparkan ayat tersebut di posting yang akan datang. Saya juga membekalkan N dengan air rawatan untuk minum dan mandi.


Setelah itu saya pun pulang ke Kuala Lumpur, dan hanya melakukan doa dan rawatan dari jauh. Di hari esoknya, pakcik L menelefon saya dan memberitahu, dia telah memasang cd ruyah tersebut secara berterusan, apa yang berlaku N kelihatan sangat gelisah dan mengadu kepanasan. Namun pakcik L serta isterinya sentiasa memantau keadaan N, Kitab Ahzab juga diletakkan berhampiran N, walaupun N menolak kerana dia merasakan Kitab Ahzab tersebut mengeluarkan bahang yang amat panas. Ditambah pula dengan ayat membakar jin yang ditampal di dinding rumah membuatkan N bertambah tidak tentu arah dan tidak keruan.


Namun keadaan itu hanya berterusan selama lebih kurang setengah jam, kemudian sedikit demi sedikit N bertambah tenang. Sewaktu mandi air rawatan juga, N terdengar seperti ada suara orang ramai berbisik di belakangnya, seolah-olah mereka ketakutan sambil memerhatikan N mandi.


Segala puji bagi Allah, sehari kemudian N sudah pulih sepenuhnya dan dia boleh ke sekolah. Kes ini adalah diantara kes terawal saya dan ianya benar-benar memberikan pengajaran yang bermakna buat saya didalam Rawatan Islam.


Kesimpulannya, adakah ini bermakna kaedah rawatan saya terhadap N sebelum ini adalah tidak betul, atau adakah sepatutnya saya menggunakan kaedah yang terakhir ini di awal-awal rawatan lagi…? Bagi saya rawatan kali ini adalah sebagai sentuhan terakhir saya didalam rawatan terhadap N, setelah berperang secara berdepan, dengan kekuatan dan masa yang terhad, kaedah yang terakhir ini seumpama serangan yang berterusan tanpa henti. Dan hasilnya Allah mengizinkan, Alhamdulillah.

Tuesday, August 4, 2009

Jin Saka Menewaskan Rawatan Islam...?


Hari khamis yang lepas 30/07/09, saya merawat seorang pesakit yang mengadu bahunya terasa amat berat dan sakit setelah berurut dengan seorang tukang urut lebih kurang dua minggu yang lalu. Badannya juga terasa bisa-bisa menyucuk hingga ke tulang.

Semasa saya melakukan rawatan, jin itu berinteraksi hanya dengan gerakan jari dan tangan. Walaubagaimanapun jin-jin tersebut bersetuju untuk keluar dari tubuh pesakit itu. Sedang saya melakukan rawatan, saya menerima panggilan telefon dari anak sahabat saya, dia mengadu ibunya kerasukan diganggu oleh jin-jin saka keturunan datuknya. Saya mengenali sahabat saya ini kira-kira dua tahun yang lalu. Kadangkala dia meminta saya membantu merawat rakan-rakannya yang menghadapi masalah gangguan jin

Satu ketika dulu, kalau tak silap saya sekitar tahun 2005, ibunya pernah jatuh sakit sehingga doktor terpaksa membuang rahimnya (tempat peranakan wanita), ibunya juga mengalami sakit pinggang yang serius, sehingga doktor memasukkan besi di kawasan tulang pinggangnya. Sebelum kejadian ini berlaku, mereka suami isteri sebenarnya adalah bomoh yang melakukan rawatan dengan kaedah menurun. Mereka juga mengaku yang mereka boleh nampak makhluk halus yakni jin.

Hinggalah sampai satu ketika apabila berlakunya serangan jin-jin terhadap keluarga mereka, jin-jin tersebut cuba melakukan “RAMPASAN KUASA”… dengan cuba menakluk rumah kediaman mereka.

Menurut cerita mereka lagi, hampir setiap hari isterinya kerasukan, berbagai-bagai usaha dan bermacam-macam perawat cuba merawat isterinya, namun menemui jalan buntu. Sehinggalah pada suatu hari, seorang hamba Allah yang mengaku sebagai anak murid Dato’ Ismail Kamus cuba merawatnya, lebih kurang 62 jin telah berjaya dikeluarkan dan masih ada beratus-ratus lagi yang belum keluar. Akhirnya perawat tersebut mengeluarkan kenyataan dia tidak mampu lagi untuk meneruskan rawatan , dan mencadangkan agar mereka berikhtiar untuk mencari perawat yang melakukan rawatan dengan kaedah kebatinan.

Ditakdirkan Allah swt, mereka bertemu dengan perawat yang mengamalkan kaedah rawatan Kebatinan. Setelah berhempas pulas berperang dengan jin-jin tersebut, diizinkan Allah maka sembuhlah isterinya.

Setelah sembuh mereka sekeluarga berhenti menjadi bomoh dan mempelajari kaedah rawatan Kebatinan itu pula.

Berbalik kepada kisah awal yang saya ceritakan tadi, sewaktu anaknya menelefon saya memberitahu ibunya kerasukan, saya sedang melakukan rawatan kepada pesakit. Saya beritahu padanya untuk berbincang dengan jin tersebut sebaik mungkin dan minta agar jin tersebut keluar. Saya berjanji akan ke rumahnya setelah rawatan keatas pesakit saya selesai.

Lebih kurang sejam selepas itu, setelah selesai merawat pesakit saya menelefon sahabat saya itu, pada mulanya dia mengatakan isterinya sudah sedar, tetapi tiba-tiba jin itu bersuara semula. Dia meminta saya datang untuk membantunya.

Untuk makluman pembaca, ketika itu jam sudah menunjukkan pukul 4.50 petang, sedangkan saya mempunyai satu lagi temujanji dengan sahabat saya yang lain untuk ke majlis zikir di Astana Raja, Negeri Sembilan. Kami berjanji untuk bertemu dan bertolak bersama dari Kuala Lumpur jam 6.00 petang. Saya menjadi serba salah, masa begitu suntuk dan saya fikir tidak banyak yang boleh saya lakukan untuk merawat isteri sahabat saya itu.

Namun niat saya didalam hati, sekurang-kurangnya saya menziarahi sahabat saya itu dan berharap supaya saya dapat melakukan rawatan dengan cara paling ringkas dan cepat keatas isterinya. Saya berdoa dan menyerahkan segala-galanya kepada Allah swt Pemilik ketentuan.

Saya sampai di rumahnya lebih kurang jam 5.10 petang, saya masuk dan saya lihat sahabat saya masih memujuk jin tersebut agar keluar dan tidak mengganggu isterinya. Menurut sahabat saya itu dia telah mencuba berbagai-bagai cara termasuklah kaedah kebatinan yang dipelajarinya itu, namun tiada apa-apa kesan keatas jin tersebut. Saya membuat kesimpulan jin ini bukanlah jin sebarangan, kemungkinan jin ini amat berpengalaman dan mempunyai status yang tinggi di alam jin.

Saya cuba berinteraksi dengan jin tersebut. Ia sangat sombong dan pandai bermain kata-kata, ia menunjukkan kononnya ia tahu tentang Islam dan tahu tentang rahsia-rahsia Al-Quran. Jin tersebut mengatakan hanya penghuni alam atas (langit) saja yang dapat mengalahkannya. Saya masih cuba untuk memujuknya, namun ia masih berdegil. Saya mengugut untuk menyembelihnya sekira ia berdegil, dia hanya ketawa kecil dan tiada tanda-tanda ia takut.

Tanpa berlengah lagi saya melaungkan azan dan menyembelih jin tersebut. Apa yang berlaku ialah jin tersebut mempermainkan saya, ia mengatakan bahawa lehernya telah disembelih dan darah memenuhi lantai rumah, sambil ia tertawa. Saya tahu penyembelihan tersebut tidak memberi kesan kepadanya, saya beralih ke kakinya dan cuba menyiksa jin tersebut, namun masih tiada kesan. Saya beralih pula point di belakang telinga, juga tiada kesan.

Segala bacaan yang saya baca tidak menampakkan kesan kepada jin tersebut, saya beralih pula ke sendi di kedua belah tangannya. Ketika itu barulah jin tersebut ada menunjukkan reaksi yang ia kesakitan, namun itu tidak cukup untuk membuat ia mengalah. Saya cuba lagi untuk menyerang jin tersebut dari bahagian belakang badan, jin tersebut hanya tegak mendiamkan diri, seolah-olah menahan sakit, tetapi ia masih tegap. Saya cuba menyuapkan pesakit dengan sesudu air ruqyah, namun air tersebut diludahkannya kembali.

Pada firasat saya, jika diizinkan Allah, kes ini memerlukan masa sekurang-kurangnya satu atau dua jam untuk menyelesaikannya. Jam sudah menunjukkan pukul 5.30 petang, masa semakin suntuk kerana saya ada temu janji yang penting pada pukul 6.00 petang nanti, sedangkan saya perlu balik ke rumah terlebih dahulu untuk mandi dan menyalin pakaian.

Akhirnya saya beritahu sahabat saya yang saya terpaksa menghentikan rawatan, kerana saya ada temujanji untuk ke Negeri Sembilan selepas ini. Saya katakan padanya bahawa saya telah mencuba kaedah yang sepatutnya, namun masih belum menunjukkan kesan. Saya akan cuba menghubungi sahabat-sahabat perawat saya di sekitar Kuala Lumpur untuk membantunya. Sahabat saya mengatakan yang ia berhasrat untuk meminta pertolongan dari sahabat-sahabat seperguruannya didalam bidang kebatinan. Dia mengucapkan terima kasih, dan saya pun beredar.

Mungkin ada diantara pembaca yang tertanya-tanya, apakah kaedah kebatinan yang mereka gunakan dan adakah ia boleh diterima disisi syara’. Untuk makluman pembaca, saya rasa adalah tidak adil bagi saya untuk memberi komen tentang perkara tersebut. Saya tidak mahu menyinggung perasaan mana-mana pihak. Jika ada sesiapa yang ingin tahu dengan lebih lanjut tentang perkara tersebut boleh lah anda tanyakan komen saya melalui e-mail.

Berbalik kepada cerita kita tadi… saya sampai dirumah lebih kurang pukul 5.50 petang, setelah mandi dan menyalin pakaian saya hanya berjaya bertemu sahabat saya dan bertolak ke Negeri Sembilan pada pukul 6.20 petang. Saya terlewat, tetapi Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya untuk turut serta pada majlis zikir malam itu.

Kisah yang saya ceritakan ini, tidak habis sampai disitu saja… sebenarnya disebalik kisah ini, ada perkara yang lebih penting yang ingin saya kongsi kepada pembaca untuk kita jadikan i’tibar bersama.

Pada hari berikutnya saya menghubungi sahabat saya semula untuk bertanya khabar tentang isterinya. Menurut sahabat saya, malam tadi rakan seperguruannya tiba pada jam 10.30. Mereka datang bertiga dan merawat isterinya sehingga jam 1.30 pagi. Alhamdulillah akhirnya jin itu tewas dan mengikut ceritanya lagi, jin tersebut berjumlah lebih dari satu.

Namun apa yang menariknya, semasa sessi rawatan tersebut, Jin itu bertanya, ”Siapa kawan engkau yang datang tadi tu…? Dia tu bodoh, ada ke dia nak sembelih aku, dah la tu dia cepat putus asa, sekejap je dia datang lepas tu dia balik”, begitulah kata-kata jin tersebut.

Apa yang menjadi isunya disini, bukannya tentang kenyataan jin tersebut yang mengatakan bahawa saya ini bodoh. Saya langsung tidak terkesan dengan kata-kata jin itu. Namun apa yang ingin saya ceritakan ialah, ada sahabat saya yang mengamalkan ilmu kebatinan mengetahui kisah ini dan mempertikaikan kaedah rawatan saya yang tidak memberi kesan kepada jin tersebut.
Dia memandang rendah kaedah rawatan Islam yang menggunakan bacaan ayat-ayat Al-Quran dengan mengatakan ayat-ayat tersebut tidak mampu untuk mengalahkan jin berbanding dengan kaedah kebatinan yang dia ada. MasyaAllah!!!, saya sangat terkejut dengan kata-kata yang sedemikian, kerana kata-kata sebegini boleh merosakkan aqidah seorang Islam.

Dia terlalu mengagung-agungkan kaedah rawatan kebatinan yang dia amalkan. Sedangkan jika kita semua benar-benar faham tentang hakikat bahawa Kesembuhan adalah milik ALLAH swt, nescaya kita semua pasti berlapang dada dengan apa jua kaedah rawatan selagi ianya tidak menyalahi hukum-hukum syara’.

Kita tidak akan terlalu berbangga dengan kaedah yang kita ada sehingga mempertikaikan atau merendah-rendahkan kaedah perawat-perawat yang lain. Bukankah kita semua hanya berikhtiar… Bukankah kita semua hanya berikhtiar… Bukankah kita semua hanya berikhtiar…!!!

Wahai sahabat-sahabat saya diluar sana, marilah kita memartabatkan kaedah rawatan Islam, marilah kita memperjuangkannya sehingga ketitisan nyawa yang terakhir. Lupakanlah segala sengketa, buangkanlah segala sifat hasad dengki sesama perawat, marilah kita semua berlapang dada dan berganding bahu menyokong antara satu sama lain. Janganlah disebabkan kaedah-kaedah rawatan kita yang berbeza menyebabkan kita sesama perawat Islam berpecah belah. Asas rawatan kita adalah satu, Al-Quranul Karim dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Kita hanya bermusuh dengan musuh kita yang sebenarnya, iaitu apa yang diperintahkan Allah agar kita memusuhinya. Kita berperang dan terus berperang, dan peperangan yang paling penting itu ialah peperangan dengan nafsu kita sendiri. Jangan pula kita sangka kita berjaya menewaskan kejahatan jin dan tukang sihir diluar sana, tetapi kita tewas dengan kejahatan nafsu kita sendiri yang bersifat samar, lebih samar dari seekor semut hitam yang yang merayap di atas batu hitam, dimalam yang gelap gelita.

Semoga kisah ini dapat memberi i’tibar kepada kita semua untuk kita merenung sejauh mana tipu daya syaitan dan usaha-usahanya untuk menyesatkan umat Muhammad s.a.w.
Dan saya mendoakan untuk diri saya, keluarga dan perawat-perawat Islam seluruhnya agar sentiasa didalam pemeliharaan Allah swt, dan semoga kita semua sentiasa mendapat petunjuk dan hidayahnya untuk mencapai kemenangan keatas diri, agama, dunia dan akhirat. Amin.