Monday, September 28, 2009

(Ayat 33) Ayat Perlindungan Diri - 2









Assalamu'alaikum, para pembaca yang dihormati sekelian, disini saya paparkan set AYAT 33, ayat ini adalah gabungan ayat-ayat al-quran dari surah-surah tertentu, biasanya saya berikan kepada pesakit sebagai amalan untuk pendinding diri. Saya mencadangkan agar ayat ini diamalkan selepas subuh dan selepas maghrib, sekiranya tidak mampu, amalkanlah ianya sekali diwaktu siang dan sekali diwaktu malam pada bila-bila masa, jika masih tidak mampu bacalah sekurang-kurangnya sekali sehari.

Ada diantara pesakit-pesakit yang mengalami kesukaran untuk mengamalkan ayat ini, kadangkala halangan-halangan yang biasa di tempuh oleh mereka-mereka yang mengalami gangguan spiritual ialah rasa mengantuk yang amat sangat dan tidak dapat habis membacanya. Sekiranya ada banyak halangan untuk mengamalkan ayat ini, kuatkanlah semangat dan paksa diri anda untuk mengamalkannya. Sila klik pada imej tersebut untuk paparan yang lebih jelas. Semoga ianya memberi manfaat kepada kita semua.

Thursday, September 24, 2009

Ayat-Ayat Syifa' (Penyembuhan)

FAEDAH AYAT SYIFA’

Ayat ini dibaca untuk kesihatan dan sembuh dari penyakit. Ianya elok dijadikan wirid (amalan) harian dengan membacanya sekali selepas solat subuh dan sekali selepas solat maghrib.

Saya pernah terbaca bahawa ayat ini sebenarnya diperolehi dari Syeikh Abu al Qasim al Qusyairi.

Diceritakan bahawa pada suatu hari, anaknya ditimpa sakit kuat. Ketika tidur, dia bermimpi bertemu dengan Rasulullah saw. Lalu dia berkata kepada Baginda Rasulullah saw, “ Wahai Rasulullah, lihatlah keadaan anakku”. Maka baginda saw bersabda. “ Dimanakah kamu dengan Ayat Syifa ?”. Dia menjawab, “Aku tidak mengetahuinya”.

Selepas itu dia membaca Al-Quran sehingga khatam dan setiap kali dia menemui ayat yang menyebut di dalamnya tentang Syifa’ (penyembuhan), dia mengumpulkannya.

Kemudian dia menulisnya dan menjirus tulisan tersebut didalam sebuah bekas, lalu dia memberi anaknya minum air tersebut. Maka selepas itu dengan izin Allah swt, anaknya kembali sihat dan sembuh.

Ayat ini juga kebiasaannya saya beri kepada pesakit untuk mengamalkannya.


Wednesday, September 23, 2009

Selamat Hari Raya 'Idulfitri

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan kepada semua pengunjung blog dan kepada semua yang mengenali saya, Selamat Hari Raya 'Idulfitri.

Saya sekeluarga memohon maaf sekiranya ada diantara perbuatan, kelakuan dan kata-kata kami yang menyinggung perasaan.

Untuk makluman, Pusat Rawatan Islam & Urut Tradisional sudah kembali beroperasi seperti biasa sejak semalam (23/09/09).


Wednesday, September 16, 2009

Ayat Perlindungan Diri - 1


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

… Allah lah Tuhan kami dan Tuhan kamu, bagi kami amalan-amalan kami dan bagi kamu amalan-amalan kamu. Tidak ada pertengkaran antara kami dan kamu. Allah menghimpunkan antara kita dan kepadaNya lah kita kembali. (Asy-Syura : 15)




Ayat ini dikenali sebagai AYAT SATU. Ianya adalah cantuman dari Surah Asy-Syura ayat 15. Menurut keterangan ulama’ yang mu’tabar, diantara manfaat ayat ini ialah :

- Untuk menghindarkan dari gangguan atau kejahatan musuh. Dibaca tiap-tiap selepas solat fardhu seraya membayangkan musuh kita itu dan ma’rifatkan Allah sebagai pelindung antara kita dengan musuh atau dalam perbicaraan sidang pengadilan (mahkamah)

- Apabila berhadapan dengan musuh, orang yang zalim atau orang yang ditakuti mahupun binatang buas, maka bacakanlah ayat ini satu kali sahaja, InsyaAllah akan lepas dari aniaya dan kejahatan mereka.

- Ayat ini juga boleh diamalkan untuk perlindungan dari gangguan jin dan sihir dibaca 33 kali diwaktu pagi dan malam dengan mema’rifatkan Allah swt sebagai pelindung atau benteng diantara diri kita dan kejahatan-kejahatan tersebut.

Monday, September 14, 2009

Kisah Lucu Semasa Merawat...


Sepanjang pengalaman saya didalam Rawatan Islam ada juga peristiwa-peristiwa lucu yang menggelikan hati semasa merawat. Kisah ini berlaku kira-kira tiga tahun yang lalu.

Suatu hari saya didatangi oleh seorang wanita bersama anaknya. Ia mengadu anaknya tidak mendengar kata dan selalu melawan. Apabila saya bertanya dengan lebih lanjut, wanita itu juga menceritakan ada beberapa perkara aneh yang berlaku terhadap dirinya.

Pernah satu ketika dulu dia memasak air di dapur, sedangkan dia berada di tingkat atas rumah, tiba-tiba dia mendengar satu suara yang berbisik halus " Api !!!, Api !!!, Api !!! ", sedangkan ketika itu dia hanya berseorangan di rumah. Apabila dia turun, dia melihat api sudah marak dibahagian dapur.

Dia juga pernah bermimpi bahawa dia didatangi oleh seorang lelaki berjubah yang mengaku sebagai Syeikh Abdul Qadir Jailani. Lelaki tersebut mengaku sebagai pendamping dirinya yang menjaga dirinya dan keluarga. Saya tidak mahu memberi apa-apa komen tentang peristiwa tersebut. Tambahan pula, selepas ini saya ada temujanji lain, maka saya hanya boleh memeriksa anak wanita tersebut. Oleh itu pemeriksaan rawatan keatas wanita tersebut di tangguhkan pada hari lain.

Saya meminta budak perempuan tersebut duduk dihadapan saya sambil memejamkan mata. Budak tersebut berumur lebih kurang sepuluh tahun. Saya memulakan bacaan ruqyah dan mengarahkan kejahatan jin yang menganggu budak tersebut supaya keluar. Saya berkata dengan nada yang tegas, " Keluar !!!, Keluar !!!, Keluar !!! "…..

Saya lihat budak perempuan tersebut seperti didalam keadaan yang tidak selesa. Tiba-tiba budak perempuan itu bersuara " Pakcik.., pakcik…, macamana saya nak keluar pakcik…". Rupa-rupanya budak perempuan tersebut keliru, dia ingatkan saya berkata-kata dengan dirinya, jadi dia terfikir-fikir bagaimana cara untuk dia keluar.

Saya yang sudah gelihati dan tertawa, memberitahunya " Pakcik tak cakap dengan kamu lah…, pakcik cakap dengan benda yang kacau kamu ni….". Semua yang hadir ketika itu juga turut tertawa…

Kemudian saya menyambung kembali bacaan ruqyah dan memerintahkan jin gangguan tersebut keluar. Kali ini setiap kali saya menyebut perkataan " Keluar !!! ", setiap kali itu juga tubuh badan budak perempuan tersebut seolah-olah terangkat keatas.

Saya ulang lagi " Keluar !!!, Keluar !!!, Keluar !!! ", saya lihat seolah-olah budak perempuan itu melompat-lompat. Setengah jam kemudian saya akhiri sessi rawatan dan bertanya kepada budak perempuan itu, mengapa dia terlompat-lompat.

Menurutnya sewaktu saya berkata " Keluar !!!", dia merasakan dirinya seperti terangkat dan terlambung ke atas. Ini bermakna, apa yang berlaku adalah diluar kawalan dirinya. Saya membekalkan wanita tersebut dengan air rawatan untuk minum dan mandi.

Beberapa hari selepas itu, wanita tersebut menghubungi isteri saya memberitahu ada perubahan pada anaknya, kini anak perempuannya itu sudah mendengar kata dan kurang melawan.


Monday, September 7, 2009

Terkena Badi Mayat...?


Suatu hari saya dikunjungi oleh pasangan suami isteri yang datang untuk mendapatkan rawatan. Ketika mereka datang si suami memapah isterinya dalam keadaan yang amat payah kerana isterinya tidak dapat berjalan. Kelihatan kaki dan tangan isterinya bengkak dan mengeluarkan bahang seperti orang yang kena demam panas. Isterinya tidak mampu untuk mengeluarkan kata-kata kerana menahan kesakitan yang amat sangat. Kedengaran dia hanya mengerang kesakitan.

Menurut si suami, isterinya terkena badi mayat, dan semenjak empat hari yang lalu dia mengadu arwah adiknya yang baru meninggal dunia seminggu yang lepas kerap datang menemuinya meminta tolong. Konon adiknya tersiksa di alam barzakh dan meminta isterinya mengadakan kenduri arwah untuknya.

Kebetulan ketika itu pelajar-pelajar yang baru mengikuti kursus Rawatan Islam anjuran saya datang ke rumah untuk bertukar-tukar pendapat. Jadi pada hari itu dapatlah kami ramai-ramai melakukan rawatan keatas wanita tersebut.

Saya bertanyakan dengan lebih lanjut, bagaimana punca isterinya boleh sakit sebegini. Menurut si suami lagi, ketika arwah adik isterinya meninggal dunia, mayatnya disimpan di bilik mayat hospital. Kemudian mereka diminta datang untuk pengesahan waris, ketika sampai di bilik mayat, isterinya membuka kain penutup mayat untuk melihat wajah si mati, kebetulan apabila terbuka sahaja kain penutup mayat, tiba-tiba telefon bimbit beliau berdering menyebabkan beliau terlalu terkejut dan jatuh terkulai. Seluruh anggota badan isterinya menjadi lemah dan sejak kejadian itu isterinya mulai jatuh sakit.

Setelah mendapat penjelasan, kami pun memulakan sessi rawatan. Kami beramai-ramai membaca ruqyah. Kelihatan wanita tersebut amat tidak selesa dan mula mengerang dengan agak kuat. Saya menyedari bahawa jin yang menganggu wanita tersebut sudah menzahirkan dirinya. Saya mula berinteraksi dengan bertanyakan jin tersebut siapakah dia. Pada mulanya dia mengaku bahawa dia adalah arwah adik wanita tersebut yang baru meninggal akibat kemalangan jalan raya. Dia memberitahu mukanya sudah pecah dan sudah tidak seperti muka manusia lagi. Dia meminta belas kasihan supaya membantunya.

Menyedari bahawa ini adalah tipu daya jin, saya meminta ia keluar dan mengugut untuk menyiksanya dengan siksaan yang berat, kerana dia menganggu wanita ini dan membuat tipu daya untuk memesongkan aqidah manusia. Setelah saya mengenakan beberapa siksaan barulah jin tersebut mengaku bahawa dia sebenarnya adalah jin dari bilik mayat hospital. Dia mengambil kesempatan untuk masuk kedalam tubuh wanita tersebut ketika wanita itu didalam keadaan terperanjat sewaktu di bilik mayat hospital tempohari.

Perlu kita ambil perhatian, diantara waktu dan ketika-ketika jin suka menganggu dan masuk ke tubuh manusia ialah ketika manusia terlalu suka, terlalu sedih, terlalu marah, terlalu bernafsu dan terlalu takut atau terlalu terperanjat. Kerana itulah Islam menganjurkan kita agar sentiasa berada didalam keadaan tenang dan jangan bersifat keterlaluan didalam satu-satu perkara kerana dikhuatiri syaitan akan mencampuri urusan kita ketika itu.

Akhirnya jin tersebut bersetuju keluar dan berjanji tidak akan mengganggu wanita itu lagi. Setelah ia sedar, saya beri dia minum segelas air rawatan dan minta ia sapukan sedikit kemukanya. Apa yang saya tidak sangka, selepas lima minit wanita tersebut sedar, dia sudah mula boleh bercakap dan tubuh badannya yang bengkak dan amat panas tadi, telah kembali normal seperti biasa. Sewaktu mereka pulang juga wanita tersebut sudah boleh berjalan sendiri, dan tidak dipapah lagi oleh suaminya.

Keesokan harinya saya mendapat panggilan telefon dari suami wanita tersebut, mengucapkan terima kasih dan memberitahu isterinya sudah sihat sepenuhnya.

Maha Suci Allah, Dialah Pemilik Kesembuhan, Dialah yang menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebathilan.

Friday, September 4, 2009

Suatu Ketika Dulu...


Baru-baru ini sewaktu saya mengemaskan almari buku-buku tentang rawatan Islam di rumah, saya terjumpa artikel-artikel lama saya. Satu ketika dulu saya rajin menulis artikel, buku dan puisi. Ada juga diantara artikel-artikel yang saya hantarkan ke "Suara Masjid Negara". Pada ketika itu setiap hari Jumaat Masjid Negara akan menerbitkan artikel keagamaan untuk para hadirin yang menunaikan solat Jumaat.

Sudah lama saya tak solat di Masjid Negara, saya tak pasti samada Suara Masjid Negara masih diterbitkan lagi atau tidak. Di sini saya paparkan dua buah puisi tulisan saya untuk kita kongsi bersama, semoga para pembaca dapat menghayati puisi yang tidak seberapa ini...


ANALLAHUROBBUL`ALAMIN

Di pohon perasaan... bayang dirimu menangis luka
Terpandang, terlihat, merenung dan memikirkan ...
Betapa diair yang tenang itu..... jelas lagi nyata
Bayangan silam mengaburi pandangan jiwa
Penuh dengan duri-duri kelalaian
Sarat dengan onak-onak kejahilan
Mengheret kejam sifat-sifat kemanusiaan
Menghambur ganas.... mengunyah....
..... memamah benteng-benteng kesucian.....

Di hujung rimba keikhlasan... ada benih-benih kejujuran
Sebagai tali menyambung cinta yang satu
Sebagai baja meniti ujian yang padu
Lilitkan tali itu pada hakikat tujuanmu
Taburkan baja itu pada ma'rifah akalmu
Agar dirimu setia ditambat rindu
Agar cinta itu subur diperbatasan jiwamu
Menusuk kalbu.... pilu...
.....syahdu gelora cita dan cinta ....

Usah kau risaukan... pada putik-putik dugaan
Atau pada bunga-bunga kehuru-haraan
Kerana keagungan cinta itu meliputi segalanya
Kerana keindahan rindu itu mengasihi segalanya
Biarkan yang empunya cinta itu berbuat sesuka hatiNya
Dirimu itu bagaikan sutera suci yang tercemar....
Tercemar oleh debu-debu nafsu yang liar.....
Relakanlah ia dicuci oleh badai-badai ujian
Dan... taburkanlah buih-buih keredhaan...
.... agar ketulusan cinta itu menjadi milikmu yang abadi...
Pastikan jeritan itu berkekalan....berterusan
Membisikkan kalimah asli... " Innani anallahula ilaha illa ana "...



ESA

Diantara cermin dan yang mencerminkan
Tersimpan seribu rahsia cinta
Berselindung disebalik wujud keduaan
Yang menyembunyikan wujud keEsaan

Adamku pada hawamu
Zahirku pada batinmu
Rasaku pada hatimu
Hayatku pada jiwamu

Diantara tajalli dan yang mentajallikan
Tersemai sifat-sifat yang pelbagai
Membentuk asma'-asma' yang berlainan
Namun ketetapannya hanyalah wujud yang Esa

WajahNya pada ayumu
KasihNya pada sayangmu
QalamNya pada suaramu
WujudNya pada wujudmu

Kita yang sering berlari-lari
Dalam arus kehidupan
Dalam arus pencarian
Merintih padaNya
Mengapa aku didosakan
Dan mengapa dosa diakukan

Lakunan demi lakunan
Memadamkan wujud diri sendiri
Dan mewujudkan diri yang terpadam
Oleh noda dosa dan kelalaian
Oleh kebutaan dan ketulian
Demi cita dan cinta
Wujudkanlah yang sebenarnya
Dan musnahkanlah bayang-bayangan...

AZRIN ABDUL KARIM - 24/03/1995




Macam-Macam Karenah Jin... Part 2


Oleh kerana saya merasakan artikel ni macam panjang sangat, saya bahagikannya kepada part 1 dan part 2... ikutilah sambungannya...

Pernah juga saya berhadapan dengan jin yang bertindak agresif dengan memaki saya dengan kata-kata kesat. Mereka cuba menakut-nakutkan saya dengan mengancam untuk mengganggu saya dan keluarga dan ada juga yang mengatakan kononnya ketika ini tuannya sedang memantau dari jauh dan sedang cuba untuk berlawan dengan saya. Jin seperti ini adalah diantara jin yang berpengalaman didalam menganggu manusia, dia memberi berbagai-bagai helah kerana tidak mahu keluar.

Kadangkala saya bertindak dengan menengking dan mengarahkan jin tersebut agar bersopan dan memberi kerjasama. Mengapa kadangkala kita perlu merendah-rendahkan atau mengejak-ngejek jin tersebut...? Pada pandangan saya, ini adalah salah satu kaedah untuk menghilangkan ego dan sikap takabbur jin tersebut, apabila jin tersebut merendahkan dirinya dihadapan perawat maka ketika itu perawat yang menguasai situasi, dan insyaALLAH jin tersebut akan memberi kerjasama.

Ada pula jenis jin-jin yang mengambil maklumat dari otak pesakit dan memanipulasikan maklumat-maklumat tersebut. Oleh itu kita perlu berjaga-jaga dari tipu daya dan fitnah yang direka-reka oleh jin-jin tersebut yang mahu memecah belahkan sesama manusia.

Ada juga jin-jin yang mencabar saya untuk membunuhnya tetapi kebanyakan dari mereka hanya ingin melihat sejauh mana kemampuan perawat yang berhadapan dengan mereka. Apabila jin tersebut merasakan bahawa mereka boleh menjalankan tipu daya kepada perawat maka selalunya mereka akan mereka-reka cerita untuk menabur fitnah sesama manusia. Tetapi setelah mereka melihat salah seorang rakan mereka terkorban, ketika itulah mereka akan ketakutan.

Kadangkala ketika memujuk jin supaya keluar, perawat mengajaknya agar masuk Islam supaya proses perbincangan menjadi lebih mudah serta tidak menggunakan kekerasan, ada diantara jin-jin gangguan tersebut memang benar-benar ingin masuk Islam kerana mereka sendiri diperangkap dan dianiaya serta dipaksa oleh tukang sihir, ada diantara jin-jin yang memang tidak mahu masuk Islam dan mereka akan berterus terang dengan mengatakan mereka hanya mahu keluar dan tidak mahu masuk Islam, namun ada juga diantara jin-jin yang cuba menipu perawat, pernah juga saya alami, jin yang saya pujuk itu hanya berpura-pura mengucapkan kalimah syahadah, kemudian kembali mengamuk apabila saya membaca ayat al-quran.

Kerana itulah kita tidak boleh menerima bulat-bulat apa yang diperkatakan oleh jin. Ini adalah kerana sifat jin-jin gangguan ini kebiasaannya adalah suka menipu dan menambah-nambah cerita. Bagi perawat yang biasa berdialog dengan jin, insyaALLAH mereka boleh mengesan samada jin tersebut berkata benar atau menipu, itupun kebiasaannya para perawat hanya mengambil kata-kata tersebut sebagai panduan untuk langkah berjaga-jaga sahaja.

Pernah satu ketika dulu saya berhadapan dengan jin yang agak sukar untuk keluar dan tidak mahu keluar, setelah puas menggunakan kekerasan terhadapnya barulah jin tersebut setuju untuk keluar, tetapi dia meminta agar pesakit dimandikan dengan air ruqyah terlebih dahulu sebelum dia keluar.

Jika mengikut pada pemahaman saya sekarang ini, permintaan sebegini tidak boleh dipenuhi kerana ini adalah termasuk syarat-syarat yang dikenakan oleh jin untuk keluar. Dan kadangkala syarat-syarat sebegini hanya membuatkan jin tersebut bertambah kuat, kerana kita tunduk pada kehendaknya.

Namun ada sesetengah pendapat, permintaan yang tidak mensyirikkan Allah dan tidak melampaui batas masih boleh dipenuhi, ini adalah kerana ianya mungkin ada kena mengena dengan cara-cara jin tersebut keluar dari tubuh badan pesakit.

Pernah seorang sahabat saya yang juga seorang perawat, berhadapan dengan jin jenis air, setelah puas menggunakan berbagai-bagai kaedah untuk memaksa jin tersebut keluar, jin itu akhirnya bersetuju untuk keluar tetapi meminta sahabat saya memasukkan kaki pesakit kedalam baldi yang berisi air. Diizinkan Allah swt jin tersebut keluar. Mungkin kerana sifat jin tersebut yang menetap dikawasan air maka dia ingin keluar melalui perantaraan air juga...

wallahua'lam

Wednesday, September 2, 2009

Macam-Macam Karenah Jin... Part 1


Mungkin ramai diantara perawat-perawat yang berhadapan dengan pesakit yang mudah kerasukan. Kadangkala baru masuk ke kawasan pusat rawatan, jin gangguan sudah menzahirkan dirinya, kadangkala setelah minum air ruqyah pesakit terus kerasukan.

Saya juga ada mengalami pengalaman yang sedemikian, adakalanya pesakit tidak nampak lokasi pusat rawatan saya padahal mereka sudah berulang kali lalu lalang di situ, adakalanya pesakit muntah tiba-tiba setelah meminum air ruqyah.

Pernah satu ketika seorang pesakit datang untuk mendapatkan rawatan, saya minta pesakit duduk dihadapan saya sambil memejamkan mata. Tidak sempat saya menghabiskan bacaan al-fatihah tiba-tiba pesakit meraung-raung menangis sambil menutup muka dengan kedua-dua tangannya.

Untuk makluman pembaca, perkara-perkara sebegini adalah diantara contoh serangan-serangan sihir yang agak berat dan serius. Ini adalah kerana jin didalam tubuh pesakit dengan mudah memberikan reaksi kerana tidak tahan dengan aura perawat ataupun bacaan ayat-ayat quran.

Ada diantara mereka yang tidak memahami keadaan ini menuduh saya memasukkan jin kedalam tubuh pesakit. Dan ada juga diantara mereka yang mengatakan saya membuka laluan didalam tubuh pesakit untuk kemasukan jin. Rentetan dari tuduhan-tuduhan ini maka ada yang mengatakan saya tahu buka laluan tetapi saya tidak tahu menutup kembali laluan tersebut, dan ianya mengakibatkan pesakit masih diganggu oleh serangan-serangan sihir atau jin.

Untuk makluman pembaca, tujuan saya menerangkan dan menjawab tuduhan-tuduhan tersebut didalam tulisan saya bukanlah bertujuan untuk membela diri, tetapi semoga dengan tulisan-tulisan saya ini kita semua mendapat gambaran sebenar tentang apa yang berlaku disebalik semua ini, supaya kita tidak mudah menuduh perkara yang kita tidak tahu itu dengan pelbagai tuduhan yang tidak benar.

Secara asasnya, jin-jin yang menganggu pesakit, samada mereka berada di luar atau berada didalam tubuh pesakit, adalah seumpama penjahat atau pencuri yang menceroboh kediaman seseorang. Dan pencerobohan ini seolah-olah meninggalkan cap jari. Dan akibat dari kesan cap jari inilah maka samada jin itu berada di luar atau didalam tubuh pesakit, ia akan merasakan kesan apabila menghampiri perawat atau mendengar bacaan ayat-ayat ruqyah.

Semakin kuat gangguan maka semakin tidak tahanlah ia dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan rawatan, samada berhadapan dengan perawat atau mendengar bacaan-bacaan ruqyah. Mereka yang mengalami gangguan serius juga akan menghadapi masalah apabila hendak minum atau mandi air yang telah di ruqyah. Kemungkinan mereka agak sukar untuk menelan air ruqyah atau berasa kepanasan apabila mandi air ruqyah.

Berkenaan dengan tuduhan mengenai laluan yang terbuka atau tertutup pada tubuh pesakit. Untuk makluman pembaca, saya tidak pernah membuka mana-mana laluan untuk kemasukan jin pada tubuh pesakit. Dan persoalannya, mengapa pula kita perlu membuka laluan untuk kemasukan jin semasa rawatan..? Dan sekiranya sekalipun saya tahu untuk membuka laluan itu, saya tidak akan sama sekali berbuat demikian kerana ianya tidak perlu dan ianya akan memudharatkan pesakit.

Tetapi kebiasaannya, jin-jin yang keluar dari tubuh pesakit, akan meninggalkan kesan-kesan laluannya yang tersendiri dan mengakibatkan kecederaan kepada tubuh pesakit. Kadangkala sehingga tubuh pesakit berlubang-lubang dan pecah-pecah. Namun kecederaan ini tidak boleh dilihat oleh pandangan biasa, melainkan mereka-mereka yang mempunyai kebolehan tertentu sahaja yang dapat melihatnya.

Oleh itu setiap kali selepas rawatan saya akan membacakan ayat menutup laluan-laluan jin, dan insyaALLAH dengan ayat-ayat tersebut juga kecederaan-kecederaan yang dialami pesakit akan sembuh atau bertaut kembali. Ini juga dibantu pula dengan air rawatan untuk minum dan mandi yang saya bekalkan kepada pesakit.

Jadi mengapa ada diantara pesakit yang masih diganggu dan serangan-serangan sihir masih berlaku kepada pesakit walaupun selepas rawatan…?

Untuk makluman pembaca, tugas perawat didalam merawat pesakit mungkin hanya lima puluh peratus, enam puluh peratus atau tujuh puluh peratus, namun yang selebihnya adalah tanggungjawab pesakit itu sendiri untuk beramal dengan amal-amal soleh yang dapat menghampirkan diri kepada Allah, seperti zikir, solat-solat sunat, membaca al-quran dan menjauhkan diri dari maksiat. Dan amalan-amalan ini perlu di amalkan dengan berterusan.

Pesakit juga amat digalakkan untuk solat dan zikir berjemaah atau membaca quran secara beramai-ramai. Ini adalah kerana aura berjemaah itu lebih kuat dari berseorangan. Kerana itulah kita namakan rawatan ini sebagai rawatan islam, kerana bukan sahaja kaedah rawatannya menggunakan bacaan ayat-ayat al-quran dan tertakluk kepada hukum syara’, malahan sesudah proses rawatan juga pesakit perlu mendekatkan diri kepada Allah dan kembali kepada Islam, kembali mengerjakan ketaatan kepada Allah dan meninggalkan segala larangan Allah swt zahir dan batin.

Kesimpulannya, serangan-serangan yang masih berlaku kepada pesakit bukanlah disebabkan semata-mata laluan jin yang masih terbuka didalam tubuh pesakit, tetapi samada belum diizinkan Allah untuk sembuh atau mungkin pendinding yang di ikhtiarkan oleh perawat tidak tebal dan berjaya ditembusi atau amalan pesakit belum cukup mantap untuk menangkis serangan-serangan baru.


Bersambung...