Friday, October 30, 2009

Kursus Urut Tradisional Dan Pulih Tenaga Batin - 21/11/2009


Untuk makluman : Kursus Urut Tradisional dan Pulih Tenaga Batin akan diadakan pada 21/11/2009, jam 10.30 pagi. Terhad kepada tiga orang peserta. Sila hubungi saya untuk pengesahan kehadiran.
Diantara kandungan kursus ialah :

- Teori tentang Urut Tradisional
- Teknik mudah memahami kaedah Urut Tradisional
- Teknik Urut Perubatan
- Praktikal Urut Tradisional
- Teori tentang Urut Pulih Tenaga Batin
- Praktikal Urut Pulih Tenaga Batin
- Tips, petua dan amalan

Bagi sesiapa yang berminat sila sms atau emailkan nama, no kad pengenalan dan alamat. Harga Yuran ialah sebanyak RM280. Bertempat di Taman Keramat, Kuala Lumpur.


Tuesday, October 27, 2009

Kuasa Minda Boleh Membunuh...?


Sebuah akhbar mendedahkan, sebahagian dari projek sulit tentera Amerika (AS) ialah projek "membunuh dengan menggunakan kuasa minda". Mereka mewujudkan sekumpulan anggota tentera yang membunuh dengan menggunakan kuasa psikik dan bukannya senjata api.

Projek perintis itu yang disokong dengan penyelidikan canggih mahu menggunakan kuasa minda bagi merevolusi kaedah peperangan. Menerusi Projek Jedi, tentera AS mahu menghasilkan anggota tentera yang "ajaib" yang mampu merisik dan membunuh musuh serta mematikan bom nuklear dengan menggunakan kuasa minda mereka.

Menurut seorang anggota pasukan khas yang terlibat didalam Projek Jedi, Sarjan Glenn Wheaton, tentera AS turut melakukan penyelidikan dan eksperimen kuasa minda bagi menghasilkan askar yang boleh berjalan menembusi dinding dan menjadi halimunan.

Penggunaan kuasa paranormal itu bermula apabila tentera AS mendapat maklumat bahawa Rusia giat membangunkan program senjata psikik mereka sendiri yang melibatkan lebih empat puluh institut paranormal negara itu.

Mereka dilihat bakal membuka lembaran baru didalam teknologi ketenteraan.

Wednesday, October 21, 2009

Sihir Jin Tengkorak Tiga Beranak...


Pernah satu ketika dulu saya dihubungi oleh seorang pakcik yang mengadu sudah seminggu mengalami masalah tidak boleh tidur. Dia meminta saya merawat beliau di rumahnya di sekitar Kuala Lumpur.

Pakcik H adalah seorang peniaga ikan di Kuala Lumpur. Beliau mempunyai jadual tidur yang tersendiri. Kalau tak silap saya, beliau akan ke pasar borong seawal pukul tiga atau empat pagi untuk mendapatkan bekalan ikan. Dia benar-benar terganggu dan tertekan dengan gangguan atau masalah tidak boleh tidur ini, kerana ianya menyebabkan badannya teramat letih, fikiran terlalu kusut dan hati yang tidak tenteram.

Sebenarnya kediaman Pakcik H berhampiran dengan sebuah pusat rawatan alternatif. Kebetulan, perawat pusat rawatan tersebut ialah sahabat saya. Setahu saya kaedah rawatannya adalah berasaskan kaedah Rawatan Islam yang juga menggunakan bacaan ayat-ayat al-quran. Tetapi pakcik H tidak berminat untuk mendapatkan rawatan disitu, dengan alasan bacaan-bacaan ruqyah perawat tersebut dibaca dengan amat perlahan seperti berbisik dan kadangkala perawat itu seperti tidak membaca apa-apa pun. Saya agak, mungkin pakcik H terpengaruh dengan kata-kata mereka yang tidak suka dengan perawat tersebut.

Pada saya, tiada masalah samada kita hendak membaca ruqyah dengan bacaan yang kuat, perlahan, berbisik atau sekalipun kita membacanya didalam hati. Saya sendiri jika sudah terlalu ramai pesakit dan letih meruqyah, maka saya akan membacanya secara perlahan saja. Kadangkala saya juga hanya membaca ruqyah didalam hati, dan ada waktu-waktu tertentu saya hanya menggunakan isyarat tangan saja untuk merawat. Yang penting perawat tahu apa yang mereka lakukan.

Bagi saya jika kita ragu-ragu dengan kaedah-kaedah rawatan perawat-perawat tertentu, kita perlu bertanya terus kepada perawat tersebut dengan cara yang hikmah dan bijaksana. Tidak adil bagi kita untuk memberi komen dan menghukum tentang sesuatu yang kita tiada ilmu mengenainya. Dan tambah tidak adil lagi apabila kita menyebarkan komen-komen yang tidak berasas itu kepada orang lain, buat tambah saham dosa je.

Sememangnya pesakit mempunyai hak untuk bertanya, kerana pesakit yang bijak akan memastikan kaedah rawatan yang dilakukan tidak sekali-kali menyalahi hukum syara’. Perawat juga harus telus dan memberi serba sedikit penerangan kepada pesakit tentang kaedah-kaedah rawatan mereka. Ini adalah untuk mengelakkan fitnah dan prasangka yang bukan-bukan terhadap perawat. Komunikasi amat penting didalam rawatan. Bagi saya ianya amat membantu merawat pesakit dari sudut mental dan emosional.

Tiga hari sebelum dia menghubungi saya, pakcik H berjumpa dengan seorang bomoh untuk mendapatkan rawatan. Menurut bomoh tersebut, pakcik H terkena gangguan sihir dari seorang lelaki hindu yang baru mempelajari sihir. Menurut bomoh itu lagi, lelaki hindu itu tidak berniat untuk mengenakan pakcik H, tetapi entah bagaimana lelaki hindu itu mungkin tersilap hantar dan terkena pada pakcik H.

Jin sihir tersebut berupa tiga tengkorak anak beranak. Satu tengkorak besar merupakan ibu jin dan dua lagi tengkorak yang lebih kecil merupakan anak-anak jin tersebut. Pakcik H tidak bercerita dengan lebih lanjut bagaimana bomoh tersebut melakukan rawatan, dia cuma mengatakan rawatan tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah tidur yang dihadapinya.

Setelah sampai dirumahnya, saya diminta agar merawat pakcik H didalam bilik beliau. Saya mulakan rawatan dengan bacaan al-fatihah dan beberapa bacaan ayat-ayat quran yang lain. Tidak sampai lima minit saya lihat pakcik H sudah mula merapu. Saya menggunakan kaedah “dialog perangkap” untuk memastikan itu adalah jin yang menganggu pakcik H. Ternyata benar, ada tiga jin tengkorak yang agak kuat dan liat. Jin tersebut juga cuba mengelirukan saya dengan berlakun seolah-olah yang berkata-kata itu adalah pakcik H.

Jin-jin tersebut mengaku bahawa tuan mereka baru mempelajari ilmu sihir dan tersalah menghantar sihir lalu terkena pakcik H. Tetapi dalam masa yang sama juga jin-jin itu agak keberatan untuk keluar dan meninggalkan pakcik H. Sambil membebel jin-jin itu cuba bertindak ganas dan melakukan isyarat seperti hendak bersilat dengan saya.

Di luar bilik, isteri pakcik H agak risau kerana mendengar keadaan di dalam bilik rawatan riuh seperti orang yang bergaduh. Dia menjenguk ke dalam bilik, saya beri isyarat padanya keadaan adalah terkawal dan meminta ia supaya bertenang.

Saya menggunakan kaedah pasung dan jurus untuk menentang jin-jin tersebut. Tiba-tiba mereka terdiam tidak berkata apa-apa. Saya tanya kepada mereka, mengapa terdiam. Jin itu menjawab, “macamana aku tak diam, abis tu dah kena jurus…”.

Saya hairan, bagaimana jin tersebut tahu saya menggunakan kaedah jurus padahal saya melakukannya dengan diam-diam. Ini bermakna dia sudah cedera, patutlah dia dah berhenti membebel. Kalau tidak mulutnya tak berhenti-henti nak bercerita dan merapu. Akhirnya jin tersebut menyerah kalah dan ingin keluar, cuma mereka tidak tahu ke mana arah yang hendak dituju selepas ini.

Saya mencadangkan jin-jin tersebut pergi ke kawasan hutan dan tinggal bersama monyet-monyet di hutan. Mereka bersetuju, dan perkara ini kemudiannya disahkan oleh pakcik H, menurutnya sewaktu saya mengarahkan jin-jin tersebut keluar, pakcik H ternampak banyak monyet-monyet berkeliaran di satu kawasan hutan.

Saya merawat pakcik H dalam tiga sessi rawatan, dan Alhamdulillah ketiga-tiga jin tengkorak anak beranak itu bersetuju keluar dengan izin Allah. Selepas itu pakcik H sudah boleh tidur seperti biasa.

Tuesday, October 13, 2009

Mengapa Kita Digalakkan Berbekam...?

Darah yang kotor menyebabkan ketahanan badan kita merosot, toksemia (keracunan darah) menjadi kronik dan kuman menyerang tisu kita yang paling lembut.

Di dalam darah dan tisu kita terkumpul toksin yang secara perlahan-lahan menghakis kecergasan badan kita. Jikalau kita tidak membuang toksin tersebut dalam tempoh tertentu, timbunan toksin akan membesar sehingga badan kita tidak dapat bertahan lagi dan kita akan jatuh sakit.

Sistem pertahanan di dalam badan kita hilang kawalan dan kemungkinan kita akan diserang oleh penyakit koronari, barah, hipertensi, penyakit buah pinggang, angin ahmar, lelah, artritis, rheumatism dan lain-lain penyakit yang berbahaya.

Keracunan darah sudah menjadi masalah besar dalam masyarakat moden dan menjadi penyebab kepada banyak kesakitan, penderitaan dan kerugian sumber manusia.

Pengaliran darah bersih yang tidak terhalang dan tenaga kecergasan adalah faktor penting kesihatan. Jikalau terdapat terlalu banyak kotoran toksin di dalam badan kita ia mengakibatkan terjadinya stasis darah ataupun penakungan darah dan ini menghalang kelancaran perjalanan tenaga dan darah di dalam badan kita, menyebabkan ketidakselesaan dan penyakit yang serius.

Dalam keadaan hari ini dimana terdapatnya penyakit jantung, barah, angin ahmar, penyakit buah pinggang, hipertensi, arthritis, rheumatism dan lain-lain lagi yang sentiasa bertambah, kita seharusnya memberikan perhatian yang lebih kepada Rawatan Kaedah Bekam sebagai langkah pencegahan terhadap penyakit yang berbahaya ini supaya kehidupan menjadi lebih sihat dan baik.

Berbekam ialah suatu kaedah yang dirumuskan untuk menggalakkan pembersihan darah melalui kulit. Melalui kaedah ini kita boleh mengeluarkan kotoran toksin daripada darah.

Bagi kaum lelaki, selain dari berurut, berbekam adalah satu rawatan tambahan yang efektif untuk melancarkan perjalanan darah dan membantu merawat pelbagai jenis masalah dan penyakit.

Tidak ketinggalan juga pada kaum wanita yang ingin berbekam, kami ada menyediakan Pembekam Wanita. Sila hubungi kami di talian 013-3239822 untuk temujanji rawatan.

Friday, October 9, 2009

Berita Baik !!!... Pembekam Wanita Untuk Wanita...



Berbekam adalah sunnah Rasulullah saw, tambahan pula ianya sangat digalakkan untuk kesihatan. Sebagaimana yang kita tahu, berbekam terbahagi kepada dua iaitu bekam angin dan bekam darah.

Darah bertanggungjawab keatas penghantaran zat-zat dan oksigen kepada setiap sel didalam tubuh badan kita dan ia juga membawa keluar bahan buangan metabolisme daripada sel untuk perkumuhan didalam buah pinggang dan paru-paru.

Pengaliran sel darah putih, enzim dan faktor pelalian amat penting kerana ianya bertugas mencari dan memusnahkan benda-benda asing. Darah yang kotor tidak mampu untuk menjalankan tugas ini.

Ini boleh mengakibatkan ketahanan badan kita merosot, keracunan darah menjadi kronik dan kuman menyerang tisu kita yang paling lembut. Di dalam darah dan tisu kita terkumpul toksin yang secara perlahan-lahan menghakis kecergasan kita. Kerana itulah Bekam Darah adalah satu kaedah yang berkesan untuk membantu merawat masalah ini.

Walaupun berbekam adalah sunnah Rasulullah saw, jangan pula disebabkan kita terlalu mengejar perkara yang sunnah atau mengejar fadhilatnya sehingga kita melakukan perkara yang dilarang oleh agama. Mengapa saya kata begitu...?

Ramai kaum wanita yang datang mendapatkan khidmat berbekam dengan isteri saya menceritakan mereka amat gemar berbekam tetapi oleh kerana pembekam wanita agak sukar dicari, maka sebelum-sebelum ini ada diantara mereka terpaksa mendapatkan khidmat pembekam lelaki.

Pada pandangan saya ini adalah amat tidak sesuai, kerana boleh menimbulkan macam-macam fitnah samada kepada pembekam ataupun wanita yang dibekam. Ini adalah kerana kebanyakkan point-point bekam adalah terletak pada aurat bagi seorang wanita.

Namun kebiasaannya, apabila kaum wanita mengetahui atau telah menjumpai seorang pembekam wanita, maka mereka tidak akan sama sekali pergi mendapatkan khidmat bekam dari pembekam lelaki.

Bagi kaum wanita yang ingin berbekam kami ada menyediakan Pembekam Wanita. Sila hubungi kami di talian 013-3239822 untuk temujanji rawatan.



Wednesday, October 7, 2009

Kasih Kepada Allah...


"Wahai orang-orang yang beriman!, Sesiapa diantara kamu berpaling tadah dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan pula suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasih kepada-Nya, kaum yang bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas terhadap orang kafir, mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah dan mereka pula tidak takut dengan celaan orang yang mencela....." (al-Maidah :54)

Kata-kata imam al-Syafi'e, "Kamu melakukan maksiat, sedangkan kamu cintakanNya. Bagiku ini memang perkara aneh. Sekiranya kamu benar-benar menyintaiNya, nescaya kamu taatkanNya, ini kerana orang yang bercinta akan menurut sahaja kehendak kekasihnya."

Petikan dari kitab Da'irah al-ma'arif al-Islamiah; "Orang yang mendakwa dengan dakwaan al-Hulul dan al-Ittihad adalah tidak diperakui oleh ulama' yang muhaqqiq dikalangan para sufi. Sepertimana fuqaha' juga tidak bersetuju dalam soal itu".

Tidak ada diantara Allah dengan hambanya sebarang hubungan kecuali semata-mata sifat 'ubudiyyah daripada hamba dan sifat uluhiyyah daripada Allah.

Dan tidak ada pada hamba satu pun daripada sifat uluhiyyah dan tidak ada pada Allah satu pun daripada sifat 'ubudiyyah.

Hulul - diambil daripada asal perkataannya iaitu memasukkan sesuatu kedalam sesuatu yang lain dan yang dimaksudkannya disini, Allah itu masuk ke dalam badan (jisim) manusia. Tidak boleh beranggapan begitu kerana Allah Maha Tinggi dan Maha Agung.

Ittihad - dimaksudkan dengan Allah itu bersatu dengan hambanya. i'tiqad sebegini boleh membatalkan aqidah. Ittihad hanya boleh berlaku pada sesuatu yang sama taraf, tidak boleh berlaku diantara Qadim (Sedia ada) dengan Hadis (sifat baru). Setinggi manapun seseorang manusia itu telah sampai ke kemuncak ketinggian, kerohanian dan kesucian hati, namun mereka tidak akan dapat menghapuskan sama sekali unsur-unsur kemanusian yang dimilikinya.

Abu Yazid al-Bustami berkata "Allahuakbar itu bermaksud, Allah itu Maha Besar untuk di qiaskan dengan manusia atau Maha Besar untuk diqiaskan dengan yang lain dan Maha Besar untuk difahami oleh pancaindera."

Monday, October 5, 2009

Mengapa Jin Gangguan Kebal Dengan Bacaan Ruqyah..?


Tentu ramai yang tertanya-tanya mengapa ada diantara jin-jin tidak terkesan dengan cd ruqyah atau bacaan ruqyah. Walhal ada diantara pesakit yang mendengar cd ruqyah setiap hari dari pagi hingga ke petang.

Diharap jangan pula ada yang nakal selepas ini mengambil kesimpulan, perawat yang menggunakan kaedah ruqyah syar’iyyah didampingi jin.

Sesiapa yang mengamalkan mendengar cd ruqyah syar'iyyah sebagai terapi, boleh teruskan mendengarnya, cuma apa yang penting kita tidak boleh bergantung kepada cd semata-mata, berjumpalah dengan perawat untuk rawatan susulan.

Dan apabila saya katakan, kebiasaannya jin-jin gangguan berada selari dengan frekuensi minda separa sedar pesakit, jangan pula ada yang mengambil kesimpulan dengan mengatakan belajar tentang minda separa sedar itu mendedahkan diri pada serangan jin.

Bila kita mempelajari ilmu minda kita akan dapat tahu minda itu terbahagi kepada beberapa bahagian, kerana itulah "minda sedar" amat penting bagi kita untuk menapis perkara-perkara yang baik dan buruk.

Ada sesetengah orang tidak menggunakan "minda sedar"nya dengan sebaik mungkin, selalu melakukan satu-satu perkara dengan membuta tuli, samada dari segi perbuatan mahupun kata-kata, kesudahannya dia meletakkan kesalahan itu pada takdir Allah, ada yang keliru mengatakan itulah af'al Allah jadi tidak ada penyesalan padanya apabila perbuatannya itu menyusahkan atau menyakiti orang lain atau menceroboh hak-hak orang lain. Padahal dia tidak menggunakan akal yang dikurniakan Allah kepadanya dengan sebaik mungkin. Orang yang sebegini minda separa sedarnya telah dikelirukan oleh syaitan.

Saya rasa semua orang tahu bahawa perkara yang paling asas didalam kehidupan kita ialah pergantungan yang sebenar-benarnya hanya kepada Allah swt.

Jadi… apakah kita hanya cukup dengan berserah…? Sudah tentu tidak… pergantungan kepada Allah ada banyak peringkat. Diantaranya pergantungan peringkat orang awam, orang yang khusus, dan orang yang khusus diantara yang khusus… Kita perlu tahu dan kenal kepada siapa kita bergantung. Adakah pergantungan kita hanya sampai kepada asma’Nya (namaNya) atau hanya pada KalamNya… …? Kerana itulah selain dari beramal, kita perlu belajar dan mendalami ilmu agar kita tahu apa yang kita lakukan.

Walaubagaimanapun, tidak kira samada orang awam atau orang khusus, selagi kita beriman kepada Allah, insyaALLAH bantuan Allah pasti bersama kita. Cuma apa yang ingin saya sarankan ialah kita semua perlu mendalami ilmu agama supaya kita lebih mengenal diri dan hidup ini.

Saya berpendapat semua perawat yang beragama Islam, samada perawat-perawat yang melabelkan kaedah Rawatan mereka sebagai Kaedah Rawatan Islam mahupun yang tidak, semuanya faham tentang asas rawatan.

Dan pada pandangan saya, semua perawat-perawat faham bahawa Rawatan Islam bermaksud rawatan yang dijalankan oleh seorang hamba Allah yang beragama Islam yang menjadikan Al-Quran dan sunnah Rasulullah saw sebagai pegangan dan syi’ar.

Selain dari itu ia juga menggunakan kaedah, teknik dan petua yang tidak bercanggah dengan Agama Islam, yang mentauhidkan Allah swt dan tidak menggunakan jin sebagai khadam suruhan. Dalam erti kata yang lain Rawatan Islam tidak tertakluk semata-mata kepada set-set bacaan ruqyah syar’iyyah yang disusun oleh pusat-pusat rawatan tertentu.

Atas dasar pemahaman inilah maka saya amat berlapang dada dengan apa jua kaedah rawatan selagi ianya jelas tidak mensyirikkan Allah swt. Dan saya sentiasa merasakan diri saya serba kekurangan dan terlalu banyak lagi yang saya perlu pelajari. Atas dasar pemahaman ini jugalah saya tidak dapat berkompromi dengan mereka-mereka yang berfikiran sempit dan jumud didalam mentafsir kaedah, teknik dan petua didalam rawatan serta suka menghina ilmu orang lain.

Saya amat menyanjungi semua guru-guru yang bertanggungjawab mendidik saya samada guru-guru tadika, guru-guru sekolah rendah, guru-guru sekolah menengah, guru-guru kolej, apatah lagi guru-guru perubatan, guru-guru agama dan guru-guru serta Mursyid Thoreqat yang mendidik dan membimbing saya hingga menjadi seorang insan yang dapat memimpin diri saya sendiri dan keluarga serta dapat memberi sumbangan kepada masyarakat selagi saya terdaya.

Sejak dari bangku sekolah lagi saya berguru dari satu guru ke satu guru, sehinggalah saya bertemu dengan guru saya yang mursyid. Selagi hayat dikandung badan saya akan sentiasa merendah diri untuk mencari dan menadah ilmu dari satu guru ke satu guru yang lain. Saya tidak malu untuk belajar kepada siapa saja walaupun orang itu lebih muda dari saya.

Ada yang salah sangka dengan mengatakan saya meninggalkan guru yang lama dan pergi kepada guru yang baru, ini adalah tidak benar sama sekali. Tidak kira guru saya yang lama ataupun yang baru mereka tetap guru saya sampai bila-bila. Prinsip saya berguru biar beribu, mursyid hanya satu.

Saya kagum dengan guru-guru perubatan yang benar-benar ikhlas didalam mengajar dan berkongsi ilmu, mereka amat berlapang dada apabila ada perbezaan pendapat, mereka juga menggalakkan RND dan pencarian ilmu yang berterusan.

Baru-baru ini saya menziarahi blog seorang sahabat yang juga seorang perawat yang dikagumi ramai. Saya suka membaca kisah-kisah pengalamannya semasa merawat dan juga kupasan-kupasan ilmu beliau.

Tetapi saya agak terkilan kerana ada seorang hamba Allah yang mengenali saya dan saya juga amat mengenalinya, memberi komen yang berunsur fitnah pada salah satu posting di situ.

Komen yang diberinya itu seolah-olah ingin melaga-lagakan saya dengan perawat tersebut. Bukan itu saja, dia juga mengatakan hobi saya ialah "SUKA BUAT PESAKIT KERASUKAN". Sekiranya hamba Allah itu terbaca posting ini, nasihat saya untuk hamba Allah itu, hentikanlah kerja-kerja mengadu domba dan melaga-lagakan orang. Sekiranya anda tidak mampu untuk memberi manfaat kepada masyarakat, maka DIAM itu adalah sumbangan yang terbaik.

Saya rasa segala persoalannya telah saya jawab melalui email sehingga dia tidak menjawab lagi, tetapi kemudian dia cuba beralih topik dengan menyerang peribadi saya pula. Saya pun hairan, apa lagi yang orang-orang sebegini mahu dari saya.

Tidak saya nafikan ada segelintir hamba Allah yang mengaku diri mereka perawat samada perawat yang memakai imej bomoh, kiyai, ustaz, tok guru atau apa saja imej mengambil kesempatan di atas kesusahan pesakit. Tetapi janganlah disebabkan kenakalan mereka yang segelintir ini maka semua perawat-perawat alternatif dianggap sama. Tidak adil sekiranya kita merumuskan kesesatan atau kebenaran satu-satu perkara itu berdasarkan bacaan-bacaan di internet semata-mata.

Selagi kita hidup di muka bumi ini, tidak kira samada orang awam, orang khusus, wali Allah, perdana menteri, orang thoreqat, orang yang taat mahupun orang yang maksiat, orang islam mahupun orang yang kafir, bomoh, ustaz, kiyai atau sesiapa saja, semuanya akan di uji Allah swt.

Sebagaimana pesakit-pesakit diuji Allah dengan masalah, gangguan dan kesakitan begitu juga para perawat yang tidak terlepas dengan berbagai ujian ketika merawat. Ujian yang akan memberi kita satu ilmu dan pengalaman yang baru, ujian-ujian yang akan mematangkan diri.

Maka beruntunglah mereka yang sentiasa berfikir, mengambil i’tibar dan memperbaiki diri pada setiap zarah detik kehidupan.

wassalam

Sunday, October 4, 2009

Jin Suka Dengar Cd Ruqyah...

video


Video yang telah diedit diatas, merakamkan tentang kisah jin-jin yang suka mendengar cd ruqyah.


Satu hari saya didatangi oleh seorang sahabat bersama dengan isterinya. Mereka mempunyai sebuah kedai menjual buku-buku agama termasuklah cd-cd agama dan cd rawatan islam iaitu cd bacaan ruqyah syar’iyyah.


Menurut isterinya, dia mendengar cd ruqyah tersebut setiap hari di kedainya. Bermula dari dia buka kedai di sebelah pagi sehinggalah dia menutup kedai di sebelah malam, cd ruqyah itu sentiasa di pasang di kedainya. Ini menyebabkan walaupun semasa dia tidak memasang cd ruqyah tersebut, bacaan ayat-ayat ruqyah tetap sentiasa terngiang-ngiang di telinganya.


Dia mengadu kepada saya bahawa dia selalu terbau asap di dalam kedainya, kadangkala sehingga dia mengalami sesak nafas kerana bau asap yang cukup tebal. Yang menghairankan, pekerja-pekerjanya tidak pernah tercium bau asap di dalam kedai tersebut sebagaimana yang dialaminya. Dia juga mengadu setiap kali dia menjual cd ruqyah, badannya terasa bisa-bisa. Saya rasa ini adalah serangan balas puak-puak jin yang tidak suka dia membantu mereka-mereka yang mengalami gangguan jin.


Saya memulakan rawatan dengan bacaan ruqyah, pada mulanya pesakit tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Kemudian saya mencuba kaedah travel.


Sebelum saya didedahkan dengan teknik "travel", saya ada melalui beberapa pengalaman dimana beberapa orang pesakit saya ketika dirawat ternampak berbagai-bagai perkara, seolah-olah seperti sedang menonton television.


Pernah satu ketika saya menyedut keluar jin-jin dari tubuh pesakit, dan dia nampak jin-jin yang disedut keluar itu tertarik seolah-olah disedut oleh angin taufan. Ketika itu, saya tidak tahu apa yang dilihat oleh pesakit itu juga dapat saya gunakan didalam rawatan seperti didalam teknik travel.


Ketika saya hendak melakukan travel ke kedai pesakit, tiba-tiba mata pesakit terkedip-kedip. Sebelum ini, sudah dua kali saya mengalami pengalaman yang serupa ketika melakukan kaedah travel semasa rawatan, apa yang saya dapati, seolah-olah kaedah travel ini juga boleh menjadi satu perangkap kepada jin yang cuba bersembunyi di tubuh pesakit. Ini adalah kerana, kebiasaannya jin-jin gangguan berada selari dengan frekuensi minda separa sedar pesakit, ketika pesakit cuba mengakses frekuensi minda separa sedarnya untuk melakukan travel ketika itulah cross line berlaku.


Saya harap para pembaca tidak pening kepala dengan posting kali ini, dan saya rasa para perawat dapat memahami apa yang saya cuba sampaikan, saya alu-alukan komen para perawat dan para pembaca supaya penemuan-penemuan sebegini dapat dimanfaatkan di dalam rawatan apabila ia diperlukan.


Setelah saya dapati jin mula menunjukkan kehadirannya, maka saya membatalkan kaedah travel dan saya terus berinteraksi dengan jin tersebut dan mengarahkannya untuk keluar.


Terdapat tujuh jin pada tubuh pesakit. Diantaranya enam jin islam dan satu jin kafir. Keenam-enam jin Islam itu mengaku bahawa mereka suka kepada pesakit kerana pesakit ini selalu mendengar cd ruqyah, dan mereka juga suka mendengar bacaan ruqyah tersebut. Setelah saya menasihati jin-jin tersebut akhirnya mereka bersetuju untuk keluar dan berjanji untuk tidak menganggu pesakit lagi.


Tetapi ada satu lagi jin kafir yang tidak mahu keluar, setelah disoal siasat rupa-rupanya jin kafir tersebut juga suka mendengar cd ruqyah dan tertarik untuk bersama-sama dengan keenam-enam jin Islam tadi. Jin kafir itu ingin masuk Islam dan mahu mengikut jin-jin Islam tadi. Setelah mengucapkan dua kalimah Syahadah, jin kafir itupun keluar.

Alhamdulillah.