Monday, November 30, 2009

Urut Tradisional Melayu - rawatan warisan nusantara...

Mengurut adalah cara utama yang digunakan untuk memulihkan urat saraf menurut rawatan Melayu tradisional. Mengurut atau urut, dikenali dengan berbagai-bagai istilah, seperti picit, gosok, gonyoh, dan sebagainya.

Mengurut dilakukan ke atas seseorang yang sakit gangguan saraf, sama ada yang melibatkan seluruh badan, kaki, tangan atau sebagainya, terutama urat saraf dan otot untuk mengurangkan kesakitan dan ketegangan yang dilakukan secara berulang-ulang.

Mengurut melibatkan sentuh dua anggota badan, iaitu antara perawat (tukang urut) dengan pesakit. Pada kebiasaannya, tukang-tukang urut menggunakan anggota-anggota tertentu untuk mengurut, seperti tangan dan kaki. Walaupun demikian hanya bahagian-bahagian tertentu daripada anggota tangan dan kaki digunakan.

Semuanya ini bergantung kepada bahagian-bahagian yang diurut. Kebanyakan tukang urut menggunakan anggota tangan untuk mengurut, seperti ibu jari, tapak tangan, hujung jari, lengan dan siku.

Pada kebiasaannya rawatan pemulihan urat saraf menurut kaedah mengurut seluruh badan, dilakukan ke atas orang yang mengalami sakit lenguh-lenguh badan kerana penat bekerja, sakit pinggang,lumpuh separuh atau seluruh badan (stroke / angin ahmar).

Manakala mengurut yang dilakukan terhadap anggota tertentu dilakukan ke atas mereka yang mengalami sakit gangguan saraf, seperti sakit lemah tenaga batin, kebas, bengkak urat peranakan, lumpuh separuh badan, lumpuh mata atau mulut, sakit perut, sakit kepala dan sakit tengkuk.

Bagi kaum lelaki yang ingin berurut , saya menyediakan Perkhidmatan Urut Tradisional Melayu , untuk urut satu badan , urut persediaan berkahwin , urut pulih tenaga batin , Urutan Perubatan untuk masalah seperti sakit kepala atau migrain , sakit pinggang , sakit lutut , stroke atau lumpuh dan lain-lain masalah urat saraf.

Sila hubungi saya di talian 013-3239822 untuk temujanji rawatan.

Berita Baik!!!.. Bekam Untuk Lelaki Dan Wanita…

Bekam adalah satu kaedah rawatan yang dirumuskan untuk menggalakkan pembersihan darah melalui kulit. Melalui kaedah ini kita boleh mengeluarkan kotoran toksin daripada darah.

Kaedah ini bebas daripada sebarang pantang larang, adat istiadat dan kesilapan. Bekam juga adalah sejajar dengan kehendak masyarakat moden. Bekam adalah selamat, hampir tiada kesakitan, tidak berbahaya namun amat berkesan untuk menghapuskan kesakitan.

Dengan berbekam juga, kita boleh mengembalikan fungsi fizikal dalam pencegahan dan penyembuhan penyakit. Melalui kaedah bekam kita dapat membuang kotoran toksin di dalam pembuluh darah dan otot di bawah kulit.

Dalam jangkamasa panjang, kaedah rawatan bekam dapat membaik-pulih tubuh badan kita secara beransur-ansur dan membuahkan kesihatan yang optimum, dengan itu bekam dapat menyumbang kepada pencegahan penyakit untuk jangkamasa pendek dan jangkamasa panjang..

Bagi kaum lelaki, selain dari berurut, berbekam adalah satu rawatan tambahan yang efektif untuk melancarkan perjalanan darah dan membantu merawat pelbagai jenis masalah dan penyakit.

Tidak ketinggalan juga pada kaum wanita yang ingin berbekam, kami ada menyediakan Pembekam Wanita. Sila hubungi kami di talian 013-3239822 untuk temujanji rawatan.

Saturday, November 28, 2009

Menangani Masalah Sihir Yang Berulang-Ulang...

Ramai perawat yang menelefon saya untuk berkongsi-kongsi pengalaman disamping bertukar-tukar pendapat. Bagi saya ini adalah satu suasana yang sihat. Jika ahli sihir boleh bergabung untuk menyihir mangsa, mengapa perawat-perawat Islam tidak boleh bersatu dan saling tolong menolong diantara satu sama lain.

Diantara soalan-soalan yang kerap dibincangkan adalah berkenaan dengan masalah sihir yang berulang-ulang. Pada pandangan saya, kadangkala mereka yang mengalami masalah sihir yang berulang-ulang ini mempunyai masalah saka atau jin asyik (jin yang menyintai / mendampingi manusia). Biasanya saya akan selesaikan masalah saka dan jin asyik terlebih dahulu , sebelum saya menyerang jin-jin sihir. Itupun setelah saya pastikan kekuatan dalaman pesakit sudah agak pulih dan kuat, barulah saya merawat masalah sihir.

Diantara kaedah untuk merawat kekuatan dalaman, pesakit perlu beramal dengan amalan-amalan khusus. Lain orang, lain dos amalannya, tak semuanya sama. Ada diantara perawat yang meminta pesakit beramal dengan amalan yang berat-berat, sedangkan pesakit itu selalu meninggalkan solat fardhu, dan selalu berada di dalam maksiat. Jadi kalau boleh, kita scan terlebih dahulu, apa dos amalan yang sesuai dengan masalah pesakit.

Cerita mengenai scan ini pun selalu diperbincangkan. Ada perawat yang boleh scan, ada yang belum berkemampuan. Dan scan ini pula ada peringkat-peringkatnya. Ada yang hanya dengan merasa tetapi tidak nampak. Ada yang mengetahui melalui lintasan hati. Ada pula yang sudah boleh nampak tetapi tidak tahu hendak buat apa.

Ada diantara mereka, menilai ilmu seseorang perawat dengan kemampuan scan-nya. Jika perawat itu tak boleh scan, maka perawat itu dikatakan tidak bagus. Dan jika perawat itu boleh scan maka perawat itu dikatakan terlebih aula. Ada yang berpendapat, kemampuan scan adalah perkara pertama yang perlu dipelajari oleh perawat sebelum mempelajari perkara-perkara lain berkenaan dengan rawatan. Pada saya... apa pun boleh... yang penting tidak melanggar syara'.

Ada juga diantara masalah gangguan yang berterusan adalah akibat dari keengganan pesakit sendiri untuk melepaskan ilmu-ilmu salah yang diamalkannya. Samada dengan cara terang-terangan mahupun dengan sembunyi-sembunyi. Mereka yang sebegini, akan saya nasihatkan dengan apa yang termampu, selebihnya terserah kepada mereka, "tepuk dada, tanya jin anda..."

Sahabat saya yang juga seorang perawat Islam dari timur tengah, pernah menelefon saya dan bertanya samada boleh atau tidak kita membalas kembali kezaliman ahli sihir atau mereka-mereka yang sewaktu dengannya. Pada saya tumbangnya seorang ahli sihir, mungkin boleh menyelamatkan beratus atau beribu insan yang tidak bersalah. Jadi pada saya, terpulanglah pada mereka yang berkemampuan untuk melakukannya. Ukurlah baju dibadan sendiri. Cuma nasihat saya... " berhati-hati di jalanraya"...

Monday, November 23, 2009

Kursus Kuasa Minda Untuk Menjana Tenaga Dalam


Baru-baru ini ada seorang sahabat yang meminta saya mengadakan kursus yang khusus untuknya iaitu Kursus Kuasa Minda. Sebenarnya silibus ini adalah sangat penting sebagai asas untuk kita mengaktifkan dan mempertingkatkan tenaga dalaman. Ia juga membantu meransang perkembangan deria keenam atau sixth sense.

Semasa kursus dijalankan sahabat saya itu agak kehairanan bagaimana kisah-kisah contoh yang saya berikan banyak yang ada kena mengena dengan kisah hidupnya, mungkin beliau risau saya scan dirinya… :-)

Cerita pasal scan ni, teringat saya pada satu kisah. Pernah seorang wanita menelefon saya meminta saya scan suaminya yang bermasalah. Macam-macam soalan yang ditanya mengenai suaminya. Adakah suaminya itu menyayanginya… adakah suaminya masih ingin kembali kepadanya… adakah suaminya itu ada perempuan lain… dan berbagai-bagai soalan sensitif yang tak patut saya tulis di sini...

Kadangkala saya serba-salah untuk menjawab soalan-soalan yang sebegini, kerana jika tidak kena gaya cara menjawab, mungkin nampak macam tukang tilik atau tukang tenung. Mungkin jawapan itu boleh dijadikan panduan, tetapi ianya tidak harus diterima bulat-bulat sehingga boleh mendatangkan fitnah. Kerana ada yang tidak dapat bersabar dengan pendedahan yang diberi sehingga mereka menyerang pihak ketiga.

Saya teringat kata-kata seorang ulama’ sufi yang terkenal, ibn Atha’illah ;

“Siapa yang dapat melihat rahsia-rahsia manusia padahal ia tidak meniru sifat rahmat Allah, maka pengetahuan itu menjadi bala bagi dirinya, dan sebab untuk tibanya bahaya bagi dirinya sendiri.”



Hari Ini Kursus Esok Jadi Superman...


Ada diantara mereka yang menelefon saya menanyakan tentang kursus-kursus rawatan, tahap-tahap dan kelebihan-kelebihannya. Untuk makluman, setiap pertanyaan akan saya jawab dengan “berlapik”.

Bagi saya ilmu yang saya ada bukan untuk dikempen-kempen seperti pilihanraya. Bak kata pepatah iklan barangan elektrik... “BARANGAN YANG BAIK TIDAK MEMERLUKAN KATA-KATA YANG INDAH”.

Ada juga yang bertanya “ hari ini saya kursus esok saya dah boleh merawat ke..?”. Pada pandangan saya, siapa-siapa pun boleh merawat, kanak-kanak yang berumur empat tahun pun boleh merawat. Tetapi adakah kita suka untuk menjadi “perawat instant”, macam mee segera. Boleh dimakan selepas dua minit. Tetapi kalau dibiarkan melebihi masa ia akan kembang dan sudah tidak enak lagi.

Ada juga yang bertanya “ hari ini saya kursus esok saya dah boleh kasyaf ke? Dah boleh pukul orang dari jarak jauh ke? Dah boleh tangkap dan ikat jin ke?”… Pada saya elok juga dia bertanya, sebab saya boleh betulkan tanggapannya yang sukakan ilmu-ilmu instant atau segera ini.

Walaupun ilmu-ilmu yang diajar semasa kursus mempunyai berbagai-bagai kelebihan yang menarik dan "menjolok mata". Namun saya akan tetap mengatakan itu semua berlaku dengan izin Allah. Ini adalah i’tiqad dan adab kita kepada Allah swt. Jika anda makan ubat, adakah anda mengatakan ubat itu sebagai penyembuh..? sudah tentu tidak… jadi, adakah kita tidak perlu makan ubat… sudah tentu tidak… Adakah jika hari ini anda menanam benih, esok anda sudah memetik buahnya..? wallahu’alam.

Pada saya didalam proses pembelajaran “keikhlasan” adalah sangat penting. Samada keikhlasan pelajar mahupun keikhlasan pengajar.

Saya hanyalah seorang manusia biasa yang mengajar mereka yang berkeinginan sekadar yang termampu. Di dalam yang saya tahu.. banyak lagi perkara yang saya tidak tahu. Bukankah ilmu Allah itu luas. Saya sendiri masih suka untuk belajar dan menambah ilmu.

Tuesday, November 17, 2009

Amalan Ayat Tujuh - Untuk Pelbagai Masalah




Ayat ini biasanya dikenali dengan panggilan Ayat Tujuh. Ianya merupakan gabungan dari ayat-ayat Al-Quran yang terdiri dari beberapa surah. Jika anda mencetak ayat ini untuk diamalkan, pastikan kesemuanya mempunyai tujuh ayat, kerana imej diatas mempunyai dua bahagian.

Kebiasaannya saya menganjurkan mereka-mereka yang tertekan dengan masalah-masalah duniawi untuk mengamalkan Ayat Tujuh ini selepas solat subuh dan selepas solat maghrib, atau sebelah siang sekali dan malam sekali.

Menurut ulama’-ulama’ yang mu’tabar, barangsiapa yang mengamalkan ayat ini, tiada kuasa seseorang itu memberi mudharat kepadanya. Dan sekiranya jikalau tertutup langit dan bumi sekalipun, insyaALLAH terlepas ia dengan izin Allah swt.

Barangsiapa mengamalkan membacanya di pagi dan petang, insyaALLAH akan merasa aman sentosa daripada segala kebinasaan dan terpelihara daripada pedaya musuh dan bala dengan izin Allah.

InsyaALLAH juga Allah akan memudahkan rezekinya, dipanjangkan umur, terpelihara dari gangguan jin, syaitan, fitnah dan dikasihi hamba-hamba Allah serta dimudahkan atau dikabulkan segala apa yang dicita-citakannya.

Kesimpulannya, ayat ini lazimnya diamalkan dengan mengharapkan redha Allah swt, dan moga-moga Allah swt melepaskan atau memberi kemudahan dari sebarang kesulitan dan kesusahan.


Monday, November 9, 2009

Tragedi Perpisahan Jin Asyik...




Untuk makluman pembaca, saya telah mendapatkan kebenaran “tuan punya diri” untuk memaparkan video rawatannya ini. Beliau juga membenarkan namanya disiarkan supaya kisah ini lebih dramatik dan paparan video rawatan tersebut lebih difahami oleh pembaca. Saya masih cuba untuk mempertingkatkan kualiti video ini, sekiranya kualiti yang lebih elok sudah siap saya akan paparkannya supaya ianya lebih jelas. Semoga kisah ini memberi pengajaran dan i’tibar untuk kita bersama.

“Jin asyik” dikategorikan sebagai jin yang menyukai, menyintai dan menjadikan manusia-manusia tertentu sebagai idola atau pujaan atau kekasih mereka. Ada diantara kes-kes yang serius sehingga jin-jin itu bersetubuh atau berkahwin dengan manusia sehingga melahirkan anak-anak jin.

Mangsa-mangsa terdiri dari pelbagai latarbelakang, ada diantara mangsa ialah mereka-mereka yang terkenal seperti artis-artis pujaan, wanita-wanita yang suka bersolek berlebih-lebihan dan yang suka mendedahkan aurat, ada mangsa dikalangan orang biasa yang mempunyai sejarah bersaka, ada juga dikalangan orang-orang yang rajin beramal ibadat tanpa berguru.

Jangan terperanjat jika saya katakan ahli-ahli thoreqat juga perlu berhati-hati, kerana ada diantara jin-jin asyik meminati mereka yang kuat berzikir, apatah lagi mereka yang mengaku sebagai ahli hakikat atau ahli ma'rifat, kita perlu banyak meng-islah diri dan berwaspada, kerana itulah apa jua pengalaman rohani dan kedapatan didalam zikir perlu dirujuk kepada guru yang mursyid, dikhuatiri jin-jin yang suka “menolong” ini mengelirukan anda dialam ghaib dan alam rasa, apatah lagi alam rahsia.

Perawat-perawat juga tidak ketinggalan berkemungkinan menjadi idola kepada puak-puak jin yang kagum dengan kejantanan anda bertarung dengan jin-jin gangguan, apatah lagi jika anda suka bersifat ria’ dan ‘ujub. Kesimpulannya sesiapa sahaja boleh terdedah kepada masalah ini.

Kebiasaannya tahap-tahap gangguan yang dihadapi adalah bergantung kepada individu-individu itu sendiri. Kekuatan diri seseorang tidak sama diantara satu sama lain, ada yang lemah dan ada yang kuat. Kekuatan rohani yang lemah, menyebabkan jin-jin yang samseng ini membuli individu-individu tersebut, sehingga ketahap menodai mangsa. Mereka boleh tinggal dan mempengaruhi diri mangsa didalam kehidupan seharian sehingga kadar tujuh puluh peratus malahan boleh mencapai hingga sembilan puluh peratus.

Jika kekuatan diri bertahap sederhana, kemungkinan jin-jin asyik ini dapat mempengaruhi mental dan emosional. Ini boleh menyebabkan kehidupan seharian kadangkala terganggu, apabila fizikal anda lemah emosi menjadi tidak stabil, fikiran kusut dan tidak dapat fokus. Kadangkala jin-jin ini berjaya juga bermastautin didalam tubuh badan mangsa, seperti di kepala, dada, perut, belikat dan lain-lain tempat yang berkemungkinan.

Jika kekuatan diri atau rohani seseorang itu tinggi, berkemungkinan jin-jin asyik yang meminati mereka adalah dikalangan jin-jin yang beretika dan memahami hak-hak asasi manusia, oleh itu jin-jin ini hanya memerhati dari jauh atau mengekori sahaja tanpa mengganggu kehidupan mangsa.

Kebanyakan kes-kes gangguan jin asyik tidak disedari oleh pesakit sehinggalah mereka datang untuk mendapatkan rawatan pemeriksaan. Dan kebiasaannya ini disedari setelah pesakit sudah mula merasakan bahang-bahang masalah dan gangguan yang menimpa mereka.

Diantara sintom-sintom gangguan jin asyik yang biasa ialah, berat jodoh, sentiasa ada halangan didalam perhubungan cinta, pertunangan dan perkahwinan, kerap sakit kepala, kerap mimpi bersama (bersetubuh), kerap mimpi berkahwin, kerap letih lesu dan malas, kerap memarahi dan membenci pasangan, kerap mimpi kanak-kanak atau bayi, bagi yang perempuan kerap mimpi melahirkan anak, ada juga sampai ketahap mangsa dirogol dan dinodai jin, kebiasaannya yang menjadi mangsa adalah kaum wanita.


Kisah kali ini adalah mengenai kisah seorang sahabat saya dari selatan Thailand, Z yang datang berjumpa saya untuk mempelajari kaedah-kaedah rawatan islam. Beliau begitu berminat mengenai hal-hal rawatan, sanggup datang dari jauh untuk bertemu dengan saya. Ketika itu saya baru berpindah ke Kuala Lumpur, barang-barang di dalam rumah pun belum habis dikemas lagi. Namun, tetamu dari jauh itu tetap saya sambut dengan hati yang gembira.

Segalanya terbongkar apabila sessi praktikal bermula. Z yang memang sudah lama inginkan bantuan saya untuk memeriksa keadaannya tidak melepaskan peluang untuk menjalani sessi praktikal sekaligus mendapatkan rawatan dari saya. Beliau mengadu kerap mengalami sakit kepala, sukar tidur malam dan sentiasa resah gelisah tanpa sebab.

Sewaktu pemeriksaan dijalankan, kepala beliau tiba-tiba berpusing-pusing, kemudian Z jatuh dari kerusi dan berguling-guling diatas lantai. Pada mulanya jin-jin gangguan tersebut tidak mahu memberi kerjasama, tetapi setelah dibakar dengan kalimah “Kaaf Ha Ya ‘Ain Sod” barulah jin-jin tersebut mendengar kata. Lapisan pertama dihuni oleh tujuh jin asyik yang mengaku islam.

Jin-jin tersebut mengaku amat sayangkan Z. Hinggakan mereka melutut dihadapan saya meminta supaya saya tidak pisahkan mereka dengan Z. Jika diperhatikan pada paparan video, jin-jin itu juga menangis teresak-esak sambil memegang-megang tubuh Z, ada ketikanya jin-jin tersebut menarik-narik baju Z sambil memanggil-manggil nama Z seolah-olah tidak sanggup berpisah dengannya.

Ramai sahabat-sahabat saya yang tidak sampai hati melihat tangisan jin-jin yang cukup mengharukan itu, namun pada saya kita perlu tegas didalam hal ini, jika tidak “mereka” akan mengawal situasi.

Kaedah yang saya gunakan didalam rawatan ini ialah kaedah pujuk dan dakwah. Didalam rawatan tidak semestinya kita menggunakan kaedah yang kasar dan ganas apabila berhadapan dengan jin, kecuali apabila keadaan memaksa atau perlu. Di awal-awal menceburkan diri dibidang rawatan dahulu, saya tidak mengerti mengapa Syeikh Abdul Wahid Salam Al Bali mengatakan didalam buku karangan beliau “Al Sorimul Battar Fi Al Tasadda Li Sahartil Asyrar” bahawa perlu berinteraksi dengan jin dengan sebaik mungkin.

Tanpa mengendahkan nasihat Syeikh Abdul Wahid maka di awal-awal dahulu saya bersikap garang dan ganas terhadap jin. Sehingga ramai jin-jin yang komplen saya terlalu garang. Walaupun ada bagusnya kita bersikap tegas, garang dan ganas terhadap jin-jin gangguan, namun sikap toleransi dan berbincang dengan cara yang baik juga mempunyai banyak kesan yang positif didalam rawatan. Ada diantara jin-jin yang memang tak makan saman dan siksaan apatah lagi sembelihan, maka cara psikologi dan berbincang dengan cara yang bijaksana dapat menyelesaikan masalah.

Jadi terserahlah kepada perawat-perawat untuk memilih cara yang sesuai untuk berhadapan dengan makhluk-makhluk ini. Tidak semestinya anda perlu sentiasa garang dan tidak semestinya anda perlu sentiasa berlembut ketika bertugas.

Pembongkaran gangguan pada Z tidak habis disitu saja, ada lagi penghuni-penghuni asing pada lapisan-lapisan lain, termasuklah tiga jin islam yang menjaga Z dan beberapa jin kafir yang akhirnya mati disembelih dan dipancung kerana berkeras tidak mahu keluar.

InsyaAllah kisah penghuni jin lapisan seterusnya pada Z, akan saya sambung tidak lama lagi.

Bagi mereka yang merasakan diri mereka sukar dan terhalang mendapat pasangan yang sesuai, selalu rasa diri tidak sekacak atau secantik orang lain, mengalami masalah mental dan emosional yang tidak terkawal atau merasakan tanda-tanda pada kisah kali ini ada pada diri anda maka anda perlu bertanya pada diri sendiri… Apakah anda diminati oleh makhluk yang anda tidak nampak…? Fikir-fikirkan…

Monday, November 2, 2009

Di Culik Ke Istana Jin...


Satu hari saya dihubungi oleh seorang saudara jauh, meminta saya merawat bapanya yang tidak sedarkan diri dan meracau-racau. Pakcik M baru keluar dari hospital akibat kemalangan jalanraya.

Beliau adalah seorang yang agak berahsia orangnya. Sebenarnya dulu pakcik M pernah mendapatkan rawatan dengan saya kerana sakit bisa-bisa badan. Dan semasa rawatan, saya hairan melihat pergerakan aneh tangan Pakcik M, tangannya terangkat-angkat ke atas tanpa kawalan.

Pada pemerhatian saya, Pakcik M ada masalah saka, tetapi apabila saya tanyakan padanya, beliau tidak mengaku dan seolah-olah ingin merahsiakan sesuatu. Sehinggalah pada suatu hari Pakcik M menyatakan hasrat untuk menyerahkan “barang peliharaannya” kepada anaknya yang bongsu. Sejak itu anak-anak Pakcik M sentiasa kerisauan, bimbangkan gangguan saka dari Pakcik M.

Ketika Pakcik M tidak sedarkan diri, meracau-racau seperti orang nazak anak-anaknya menjadi keliru samada perlu mengumpulkan adik-beradik atau tidak. Mereka khuatir anak-anak yang lain tidak dapat menatap wajah Pakcik M buat kali terakhir.

Sebelum itu, anak-anak Pakcik M meminta seorang perawat berdekatan untuk membantu Pakcik M yang tidak sedarkan diri. Tetapi, setelah perawat tersebut berulang-ulang kali membaca ruqyah tetapi tiada tanda-tanda tindak balas, maka perawat tersebut mengandaikan bahawa kemungkinan Pakcik M nazak dan menasihati mereka mengumpulkan ahli keluarga Pakcik M dan bersedia dengan apa juga kemungkinan yang berlaku.

Setelah beberapa jam berlalu, tiba-tiba Pakcik M tersedar dan dia mengadu ada beberapa orang lelaki dan perempuan yang berpakaian bangsawan membawanya berjalan-jalan sehinggalah mereka sampai ke sebuah istana yang besar dan mengajak ia tinggal di situ. Namun, Pakcik M menolak kerana walaupun istana tersebut nampak cantik tetapi berbau busuk.

Selepas beberapa minggu, Pakcik M tidak sedarkan diri lagi dan meracau buat kali yang kedua. Saya yang kebetulan menghadiri seminar perbincangan rawatan islam di kawasan yang berhampiran, bergegas ke rumah Pakcik M.

Apabila sampai, saya dapati Pakcik M di dalam keadaan mata tertutup dan memalingkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Tanpa berlengah, dengan nada suara yang tinggi saya mengarahkan jin-jin yang menculik Pakcik M agar melepaskan beliau, saya mengancam akan menghapuskan mereka sekiranya Pakcik M tidak diserahkan kembali dalam tempoh satu minit.

Jin-jin tersebut terperanjat dan di dalam keadaan panik. Tetapi, masih tidak mahu menyerahkan Pakcik M. Setelah satu minit berlalu, saya pancung mereka satu persatu, dan jin-jin yang dipancung itu menggelepar dan mati. Saki baki jin yang ada bertempiaran lari dan mereka melepaskan Pakcik M dengan serta merta.

Pakcik M tersedar dan melafazkan dua kalimah syahadah. Menurutnya, jika dia lambat diselamatkan, kemungkinan dia tidak dapat kembali lagi, kerana jin-jin tersebut berkeras ingin membawanya ke istana mereka dan mahu Pakcik M tinggal di situ.

Selang beberapa minggu kemudian saya dihubungi oleh Pakcik M yang meminta saya untuk membuang saka miliknya. Akhirnya Pakcik M mengaku juga yang dia memiliki saka…