Wednesday, January 13, 2010

Jin Saka Hantar SMS Ugutan...



Pernah satu ketika dulu saya menerima sms dari jin saka seorang pesakit. Tentu hairankan… bagaimana jin boleh hantar sms…? Sebenarnya jin saka itu adalah jin seorang pesakit yang saya rawat sebelum ini. Pesakit ini pernah datang berjumpa dengan saya untuk merawat sakit bisa-bisa badan yang dialaminya sekian lama.

Diawal-awal sessi rawatan saya memberitahunya bahawa dia ada masalah saka. Tetapi pesakit tersebut tidak mempercayainya. Menurut pesakit itu, memang dulu dia pernah mengalami masalah gangguan jin saka, tetapi dia telah mendapatkan rawatan dengan seorang bomoh di kampungnya. Menurutnya lagi, jin saka itu telah diberi santapan pulut kuning dan lain-lain makanan yang telah dihanyutkan ke laut sebagai tanda memutuskan perjanjian saka.

Saya memberitahu pesakit bahawa jin saka itu menipu. Sebenarnya jin saka itu hanyalah menyembunyi dan mendiamkan diri. Dalam masa yang sama, tanpa disedari jin saka itu menganggu pemikiran dan emosi pesakit tersebut supaya sentiasa bergaduh dengan suaminya.

Semasa sessi rawatan, jin pertama yang keluar adalah jin sihir. Setelah saya menguatkan lagi bacaan ruqyah barulah timbul jin saka didalam keadaan terpaksa. Jin saka ini amat memarahi saya kerana telah membongkar rahsianya yang selama ini bersembunyi didalam tubuh pesakit.

Jin saka itu mencabar saya untuk bertarung satu sama satu. Dia memberi syarat bahawa dia hanya mahu berurusan dengan saya seorang dan mahu ahli keluarganya yang lain supaya keluar dari bilik rawatan.

Saya tidak melayan permintaan jin tersebut dan terus bertindak menikam kakinya. Pesakit tiba-tiba rebah. Rupa-rupanya jin tadi sudah melarikan diri…

Setelah itu barulah ahli keluarga pesakit mempercayai bahawa masalah gangguan saka pada pesakit masih belum selesai. Saya bekalkan pesakit dengan air rawatan untuk mandi dan minum.

Setelah seminggu berlalu, tiba-tiba saya menerima SMS dari pesakit. Tetapi saya berasa pelik kerana SMS tersebut agak kasar.

“Aku nak beri amaran pada kau, jangan campuri urusan aku. Aku akan tarik dia sedikit demi sedikit sehingga dirinya dapat kutakluk sepenuhnya. Dia adalah milikku”… macam dialog dalam cerita Pontianak Harum Sundal Malam la pulak...

Saya tak ingat apa yang saya balas sebab kisah ni dah lama sangat dah… Seingat saya habis la kredit handphone RM5 berbalas-balas sms dengan jin saka tu... ada ketikanya jin saka tu siap bersyair-syair lagi...

Apa yang saya nak cuba sampaikan disini adalah, ini menunjukkan bahawa pesakit telah dikawal sepenuhnya oleh jin saka untuk menghantar SMS tersebut. Ketika SMS itu dihantar, saya percaya pesakit sedang berada di pejabat. Tanpa disedari oleh rakan-rakan sekerjanya, jin tersebut berjaya berlakun dihadapan orang ramai bahawa dia adalah diri pesakit yang sebenar.

Beberapa hari selepas itu saya mendapat tahu bahawa jin tersebut menyamar sebagai pesakit dan mengajak suaminya bersama anak kecil mereka untuk beriadah dan bermalam di sebuah hutan simpan. Ketika mereka di sana sekali lagi saya menerima SMS dari jin saka pesakit.

Katanya “Aku telah berjaya membawa mereka jauh dari engkau dan kini aku hanya menunggu masa yang sesuai untuk menghapuskan mereka dan menakluk dirinya buat selama-lamanya..hahaha…” siap gelak lagi dalam SMS…

Tanpa membuang masa saya pukul jin saka tersebut dari jauh, dan pesakit tiba-tiba terjatuh. Pesakit yang tersedar, menelefon saya dan memberitahu bahawa dia tidak sedar bagaimana dia boleh mengajak suaminya bersama anak mereka untuk bermalam dihutan simpan ini. Ketika itu tiada pengunjung lain yang beriadah di hutan simpan tersebut, hari juga sudah hampir malam dan adalah amat mustahil untuk mereka keluar dari kawasan tersebut pada ketika itu.

Apabila malam tiba, jin saka menzahirkan dirinya melalui pesakit dan cuba menikam suami pesakit dengan pisau. Mujur ketika itu suaminya sedar dan sempat merampas pisau dari tangan pesakit. Berbekalkan ilmu yang serba sedikit dipelajarinya, suami pesakit meruqyah pesakit dan berjaya menyedarkan pesakit. Alhamdulillah, apa yang saya tahu mereka berjaya keluar dari kawasan hutan itu pada keesokan harinya.

Saya tidak tahu apa yang terjadi pada mereka selepas itu, kerana pesakit dan suaminya telah berpindah ke Sabah beberapa minggu selepas kisah ini berlaku.

Oleh itu berhati-hatilah dengan siapa anda berkawan, dengan siapa anda berbual dan dengan siapa anda ber-SMS mungkinkah ianya manusia atau mungkinkah ianya jin yang telah menguasai manusia secara keseluruhan… fikir-fikirkan…