Monday, February 1, 2010

Saka Mertua Mengganggu Anak & Menantu - Part 1





Kasih Ibu membawa ke syurga, Kasih ayahanda berkorban nyawa… ungkapan sedemikian selalu kita dengar apabila membicarakan tentang kasih seorang ayah dan ibu. Kisah kali ini adalah berkenaan dengan keruntuhan rumahtangga akibat dari campurtangan ayah dan ibu mertua yang bersaka menggunakan sihir, semata-mata kerana ingin menakluk anak dan menantu supaya sentiasa mengikut telunjuk mereka.

Satu masa dulu, saya didatangi oleh seorang wanita yang mengadu tentang masalah rumahtangga. Hubungan sulit suaminya selama ini terbongkar apabila beliau menjumpai sepit rambut yang tidak dikenali didalam keretanya. Setelah puas berbincang suami isteri, akhirnya si suami bersetuju untuk meninggalkan teman wanitanya. Namun, yang menjadi masalah sekarang, si suami tidak dapat melupakan teman wanitanya itu, dan keadaan ini benar-benar mengganggu fikiran dan emosinya. Bak kata orang, makan tak lena, mandi tak kenyang, tidur tak basah… :-)

Sewaktu meneliti borang pesakit, saya lihat ada beberapa tanda-tanda gangguan serius yang terdapat pada wanita tersebut. Saya melakukan pemeriksaan dan rawatan untuk mengenal pasti punca-punca gangguan. Sewaktu sessi rawatan jari jemari pesakit bergerak laju tanpa kawalan. Tiba-tiba wajah pesakit berubah, ia seperti berada didalam ketakutan. Menurut pesakit, sewaktu saya membaca ayatul Qursi, beliau nampak seorang wanita yang sangat-sangat dikenali terbakar dengan teruk. Saya tanya siapa wanita tersebut, pesakit menjawab “dialah Ibu MertuaKu”… waaa.. macam cerita P.Ramlee ni.. Dalam hati saya berkata “yang kamu lihat itu adalah Jin Ibu MertuaMu”

Serangan demi serangan saya lakukan, pesakit masih nampak gambaran tersebut seperti sedang menonton television. Ibu mertuanya yang terbakar teruk tumbang dan hilang dengan tiba-tiba.. kemudian timbul lagi wajah ibu mertuanya.. kali ini dengan memek muka yang lebih garang dan ganas.. namun diizinkan Allah terbakar juga jin yang berupa ibu mertua pesakit.

Selang seminggu pesakit datang dengan membawa suaminya pula untuk pemeriksaan. Sewaktu sessi rawatan dijalankan, suami beliau kerasukan, tetapi Alhamdulillah semua jin-jin yang mengganggu memberi kerjasama untuk keluar.

Dua hari selepas itu saya mendapat panggilan dari wanita tersebut, ia memberitahu suaminya membuat pengakuan bahawa semasa sessi rawatan dijalankan dia nampak ibunya terbakar dan terpekik terlolong dengan jelas. Cuma dia tidak mahu berterus terang dengan saya, kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa yang dilihatnya itu adalah ibunya sendiri.

Sepanjang sessi rawatan saya tidak pernah memberi komen tentang apa yang mereka nampak. Mungkin benar, mungkin tidak. Yang penting adalah untuk menyelesaikan masalah. Tetapi yang menjadi persoalannya, apa kaitan ibu mertua wanita itu dengan masalah rumah tangga yang dihadapinya…?

Sessi demi sessi rawatan dijalankan, rahsia yang selama ini terpendam telah mula terbongkar satu persatu. Apakah yang berlaku seterusnya..? InsyaAllah bersambung di kisah yang akan datang…