Sunday, February 21, 2010

Saka Mertua Mengganggu Anak & Menantu - Part 2


Satu hari wanita tersebut datang lagi untuk satu temujanji rawatan yang lain, kali ini dia membawa anak-anaknya yang mengalami masalah gatal-gatal yang kronik terutamanya di celah-celah telinga dan leher. Seperti biasa saya memulakan rawatan dengan bacaan asas ayat-ayat ruqyah. Anak wanita tersebut baru berumur sembilan tahun, gatal-gatal yang bermula di cuping telinga telah merebak sehingga ke celah-celah leher.

Dengan tak semena-mena tangan budak tersebut bergerak-gerak dengan pergerakan yang amat luar biasa, budak tersebut menangis kesakitan, dia merasakan ada sesuatu yang mengalir keluar dari bahu ke hujung jari-jari tangannya.

Setelah disoal siasat jin tersebut mengaku bahawa ia adalah jin saka dari nenek sebelah bapanya. Ini bermaksud, saka itu kepunyaan ibu mertua wanita tersebut. Bila diperiksa semua adik-beradik budak tersebut mempunyai jin saka termasuklah bapanya, yakni suami kepada wanita itu.

Setelah rawatan ke atas budak itu berakhir, saya beralih pula kepada ibunya. Kali ini saya menggunakan kaedah “travel” untuk melihat masalah di rumah mereka. Rupa-rupanya ada barang sihir yang telah ditanam di halaman rumah. Setelah saya bacakan ayat-ayat ruqyah, kelihatan barang sihir itu terangkat sendiri dari dalam tanah, timbul keatas dan kemudian hancur serta hilang.

Ada beberapa pasu bunga yang telah ditanam dengan pokok kunyit juga tertanam barang-barang sihir. Wanita itu memberitahu bahawa pokok kunyit tersebut ditanam oleh ibu mertuanya. Yang menjadi tanda tanya, setiap rumah anak-anaknya dia akan tanam beberapa pasu pokok kunyit.

Saya periksa pula di bahagian dalam rumah satu persatu, ada ramai “makhluk” yang tidak di undang menghuni beberapa tempat di dalam kawasan rumah. Yang menyorok bawah katil pun ada… yang bersembunyi dalam almari baju pun ada…

Semuanya berjaya di hapuskan dengan izin Allah. Yang peliknya kebanyakan dari makhluk-makhluk tersebut menyerupai seorang perempuan tua. Perempuan tua itu meraung dan merayu-rayu kepada seorang lelaki tua agar menolongnya, tetapi lelaki tua tersebut tidak dapat berbuat apa-apa. Adakah itu juga gambaran ibu mertua wanita tersebut…?

Setelah selesai memeriksa kawasan rumah, saya periksa pula suami wanita tersebut, kelihatan ada ikatan kain kuning yang di ikat di kemaluan suaminya. Wajah suaminya juga kelihatan sangat tidak sihat. Dengan izin Allah, saya putuskan ikatan tersebut. Tiba-tiba wajahnya bertukar menjadi ceria dan sihat. Apakah dengan putusnya ikatan sihir tersebut, hubungan mereka suami isteri akan kembali normal…?

Kita tunggu sambungan kisah seterusnya nanti…