Thursday, April 22, 2010

Amalan Salah Undang Jin Pendamping - Part 1


Akhir-akhir ini saya tak reti nak cerita apa dah… walaupun ada banyak kisah-kisah pengalaman semasa merawat… saya tak tahu nak pilih kisah yang mana satu… nak cerita apa ye?...


…Oleh kerana minggu lepas saya ada merawat kes gangguan akibat amalan salah. Maka saya rasa eloklah saya berkongsi kisah tersebut.


Ada sesetengah ilmu-ilmu dan amalan-amalan seperti ilmu persilatan, ilmu kebatinan, pengasih, kebal, ilmu gagah, ilmu ghaib, pendinding diri, pelaris perniagaan, ilmu tenaga dalam dan lain-lain ilmu yang dipelajari dan diamalkan oleh masyarakat kita menyimpang dari syari’at islam dan mengundang kehadiran jin pendamping. Kebiasaannya masalah jin pendamping ini tidak diketahui oleh si pengamal kecuali setelah berlaku beberapa perkara yang menimbulkan masalah didalam kehidupan mereka.


Masalah-masalah yang biasa dihadapi oleh mereka yang terlibat dengan amalan salah ialah panas baran dan sensitif yang keterlaluan, gila isim, selalu bergaduh, rezeki yang tersekat-sekat, rumah tangga porak peranda, mental dan emosi yang tidak stabil, ada juga sehingga melibatkan kehilangan bayi didalam perut isteri yang mengandung.


Kebanyakan mereka yang tertipu dengan amalan-amalan yang menyimpang ini adalah mereka yang berhajat untuk mendapat kehebatan di dunia dengan jalan yang singkat.


Tipu daya yang halus dan licik ini pula dikaburi dengan syarat-syarat amalan yang selari dengan hukum syara’ seperti tidak boleh tinggal solat waktu, tidak boleh minum arak, tidak boleh berjudi dan berzina, serta lain-lain perkara yang jika kita lihat secara mata kasar ianya adalah sangat baik kerana itu adalah perkara-perkara yang diwajibkan didalam agama.


Sebenarnya, pengamal ilmu-ilmu tersebut telah mensyirikkan Allah swt tanpa mereka sedari. Ketaatan yang mereka lakukan seperti menjaga solat lima waktu, tidak minum arak, tidak berjudi dan tidak berzina itu sebenarnya mereka lakukan semata-mata untuk melaksanakan syarat-syarat ilmu yang dipelajari. Dalam erti kata lain mereka melakukan perkara-perkara ketaatan bukan kerana Allah, tetapi kerana ilmu-ilmu keduniaan tersebut.


Setelah mereka menerima atau mengamalkan amalan-amalan tersebut maka bermulalah satu episod hitam didalam kehidupan. Mereka mendapat teman karib yang baru yang kita namakan sebagai jin pendamping.


Ada seorang sahabat saya yang mempelajari “silat gerak”. Diantara kaedah amalannya adalah dengan mengucap dua kalimah syahadah, beristighfar, dan kemudian berdoa kepada Allah swt untuk memberinya gerak-gerak silat yang dihajatinya. Kemudian dia hanya membiarkan pergerakan tubuh badannya bergerak sendiri sambil berzikir Allah..Allah..Allah…


Apa yang menariknya dia boleh melakukan apa juga gerak silat yang dihajatinya di dalam keadaan sedar, dan apabila dia hendak berhenti cukup hanya dengan berniat dihati., kemudian pergerakan tersebut akan berhenti sendiri.


Perkara ini agak memeranjatkan saya, kerana secara zahirnya kaedah amalan tersebut tidak ada apa-apa yang salah dari segi hukum syara’. Dan setahu saya memang ada ilmu silat gerak yang tidak dipengaruhi atau dicampuri oleh jin-jin pendamping yang menggunakan kaedah atau kaifiat sebegitu.


Perkara ini terbongkar apabila sahabat saya itu mengikuti kursus rawatan islam disebuah pusat perubatan. Sewaktu sessi praktikal tiba-tiba dia bersilat tanpa kawalan. Pergerakan silatnya tidak dapat ditahan-tahan walaupun dia didalam keadaan sedar dan masih sempat tersenyum.


Pada minggu yang lalu dia meminta saya memeriksa dirinya samada jin pendamping itu masih ada atau tidak. Setelah melakukan pemeriksaan, saya dapati saki baki jin-jin tersebut masih ada. Dan apa yang saya dapati, ada seekor jin yang menjadi ketua disebalik jin-jin pendamping yang lain.


Saya ajar sahabat saya itu satu kaedah untuk melihat diri batinnya sendiri. Setelah mencuba beberapa kali, akhirnya dia dapat melihat wajah sebenar disebalik masalahnya selama ini. Wajah yang hampir serupa dengan wajahnya tetapi kelihatan sangat garang dan bermata merah… Siapakah itu…?


Sahabat saya ini ada mengikuti kursus rawatan yang saya anjurkan baru-baru ini, insyaAllah dia mampu menghapuskan semua gangguan-gangguan tersebut. Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan beliau.