Sunday, April 4, 2010

Menyerang Balas Ahli Sihir...


Sudah lama saya tak menulis tentang kisah-kisah rawatan. Maklumlah… saya agak sibuk dengan tugas-tugas merawat dan mengadakan kursus…. Kali ini saya nak kongsi kisah yang agak lain sikit dari kisah-kisah yang sebelumnya. Semoga kisah ini menjadi i’tibar bagi sesiapa yang suka mengamalkan perbuatan sihir.


Satu ketika dulu saya didatangi oleh seorang wanita yang mengadu dirinya terkena perbuatan sihir. Dia mengesyaki sihir tersebut adalah angkara jiran dihadapan rumahnya yang kononnya bersaka dan menggunakan saka tersebut untuk menyerang sesiapa yang tidak sehaluan dengannya.


Saya menasihati wanita tersebut agar tidak mengesyaki yang bukan-bukan. Tetapi wanita tersebut bermati-matian mempertahankan dakwaannya, menurutnya lagi perkara ini turut disahkan oleh anak dan suami jirannya itu.


Seperti biasa saya memulakan rawatan dengan bacaan ruqyah, dan berlakulah babak-babak pertarungan dengan jin saka merangkap jin sihir. Saat-saat sebeginilah sangat sesuai untuk seorang perawat mengasah skill-skill peperangan atau “test power”. Dan inilah kali pertama saya menggunakan “Teknik Serangan Zikir Alam Semesta”. Hasilnya sangat-sangat memberangsangkan.


Didalam rawatan ini juga saya membuat keputusan untuk menyerang ahli sihir yang terbabit. Kebiasaannya, jarang saya melakukan serang balas, tetapi pada hari tu “signal” dah sampai… saya pun tidak melepaskan peluang keemasan… dengan izin Allah saya melancarkan serangan demi serangan kepada tuan empunya jin tersebut.


Beberapa hari kemudian saya mendapat panggilan dari pesakit wanita tersebut. Dia memberitahu bahawa jiran dihadapan rumahnya yang menghantar sihir tersebut sudah meracau-racau dan separuh gila. Adakah ini akibat dari serangan balas yang saya lakukan tempoh hari…? Wallahua’lam.


Seminggu kemudian pesakit wanita itu menelefon saya lagi, beliau mendapat tahu dari suami ahli sihir itu yang mereka pergi berjumpa bomoh untuk berubat. Menurutnya lagi bomoh tersebut tertanya-tanya dan cuba mencari siapakah yang menyerang ahli sihir itu. Kemungkinan bomoh tersebut ingin melakukan serang balas pula.


Asas rawatan saya adalah menyerahkan diri bulat-bulat kepada Allah… “Wama romaita iz romaita wala kinnallaha roma” (…bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar, tetapi Allahlah yang melempar… – Surah Al-Anfaal ayat 17).


Kalau benar bomoh tersebut nak melakukan serangan balas… cubalah serang Allah swt...