Saturday, June 5, 2010

Gangguan Jin Atau Gangguan Nafsu...?


Ada diantara pesakit yang agak agresif apabila menghubungi saya melalui telefon, bercakap dengan nada yang kasar, dan tiada tanda-tanda menghormati orang lain. Padahal mereka baru pertama kali bercakap dengan saya. Kalau dah namanya ada gangguan memang begitulah, percakapan dan tutur kata menyakiti perasaan orang lain tanpa di sedari. Asyik melihat kesalahan orang lain tanpa menghitung kesilapan diri sendiri.

Walaubagaimanapun kita tidak boleh menyalahkan gangguan jin seratus peratus, Allah swt mengurniakan akal yang sempurna kepada manusia, akal jugalah yang membezakan diantara manusia dengan haiwan. Oleh itu kita perlu hitung diri sendiri adakah setiap gangguan yang terjadi adalah akibat dari gangguan jin atau gangguan nafsu diri sendiri.

Insan diamanahkan untuk mentadbir dan memakmurkan kehidupan dunia. Roh dan jasad yang saling mengenal seharusnya mengetahui batas-batas yang perlu dijaga diantara jasad dan roh. Jasad ada hak yang harus dipenuhi dan roh pula ada hak yang perlu dipenuhi.


Berbekalkan akal dan nafsu, insan seharusnya dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya terhadap keputusan dirinya sendiri. Akal itu seumpama mizan atau timbangan. Menilai dan menganalisa perkara-perkara yang baik dan yang buruk, manakala nafsu perlu dididik dan diperintah dengan hukum-hukum Allah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.


Nafsu itu bangkit dari unsur-unsur jasad yakni, tanah, air, api dan angin. Secara asalnya nafsu itu bersifat dengan sifat-sifat yang merosakkan, mengajak kepada kejahatan, tidak pernah puas dan membesarkan wujud (Ego) dirinya. Melalui kupasan ulama’-ulama’ muktabar yang terdahulu, secara asasnya nafsu ini mempunyai tujuh peringkat-peringkat yang berlainan.


Setiap Insan berkemungkinan bermaqam atau turun-naik pada peringkat-peringkat nafsu tersebut.


Nafsu Ammarah adalah tahap nafsu yang paling rendah ianya sentiasa mengajak kepada kejahatan.


“sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan…” (Yusuf :53).


Mereka yang bermaqam atau bersifat dengan nafsu ammarah, hatinya tidak pernah puas. Cenderung dan menyokong kepada perbuatan maksiat, samada melalui perbuatan, kata-kata atau hati. Suka berbalah, berdebat, mencaci, mengadu-domba, membuat fitnah, bakhil, tamak, panjang angan-angan, sombong, takabbur, hasad dengki, berdendam, khianat dan banyak lagi.


Mereka inilah syaitan-syaitan yang bertopengkan manusia. Lebih bahaya lagi jika mereka ini menjual beli ayat-ayat dan hukum Allah. Mereka tahu halal dan haram, tetapi disebabkan kepentingan peribadi, mereka menukar hukum-hukum Allah tersebut mengikut hawa nafsu mereka.


Kerana itulah pentingnya penyucian hati. Mereka-mereka yang berilmu juga tidak terkecuali dari mempunyai nafsu ammarah. Ini adalah kerana ilmu yang tidak dapat merubah hati untuk tunduk kepada Allah adalah sia-sia. Seharusnya, lagi tinggi ilmu seseorang itu maka lagi tinggi adabnya.


“… Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis” (Maryam:58)


Mereka yang solat juga tidak terlepas dari kemungkinan bersifat dengan nafsu ammarah, ini adalah kerana mereka melakukan solat dengan gerak dan bacaan semata-mata tanpa mendalami ilmu solat dan menghayatinya.


Seharusnya hendaklah kita beribadat seolah-olah kita melihat Allah, jika belum dapat penghayatan yang sedemikian yakinlah bahawa Allah sentiasa melihat kita. Inilah yang dinamakan dengan “Ihsan”.


Solat yang benar dapat mencegah perbuatan yang keji dan mungkar, sebaliknya solat yang lalai akan mendapat balasan neraka.


“Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya” (Al-Maa’uun 4&5).


Apabila manusia yang bermaqam pada nafsu ammarah ini diberi hidayah oleh Allah s.w.t, dan ia menggunakan akal dengan sebaik-baiknya. Maka terbukalah hatinya untuk memperbaiki dirinya yang telah jauh sesat. Dengan bertaubat pada Allah, melakukan ibadat-ibadat wajib dan sunat, hati dapat dibersihkan dan nafsu ammarah tadi akan meningkat kepada "nafsu lawwamah".


Bersambung...