Sunday, June 13, 2010

Gangguan Yang Tersembunyi... (Gangguan Nafsu Part 2)


Nafsu Lawwamah ialah tingkatan nafsu yang lebih baik dari nafsu ammarah. Nafsu lawammah ini bersifat mengkritik dirinya sendiri. “Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri)” (Al-Qiyaamah : 2).

Mereka yang bermaqam atau berada pada nafsu lawwamah ini bersifat mencela kesalahan dirinya sendiri, merasa bersalah dan segera memohon keampunan Allah.

Walaupun nafsu lawwamah ini lebih baik kedudukannya dari nafsu ammarah, ianya masih mempunyai sifat-sifat yang buruk, seperti ‘ujub (bangga dan takjub dengan kebaikan diri sendiri), ria’, suma’ah (memperdengarkan kebaikannya kepada orang dengan tujuan mendapat pujian).

Keburukan nafsu lawwamah ini agak tersembunyi dari pandangan mata kasar. Tetapi, bagi sesiapa yang telah melalui dan melepasi nafsu lawwamah ini, dengan mudah dia dapat mengenal kepalsuan-kepalsuannya.

Apabila manusia yang bermaqam pada nafsu lawwamah ini diberi hidayah oleh Allah s.w.t, bertemulah ia dengan jalan yang sebenar menuju Allah, kemungkinan ia akan dipertemukan dan dibimbing oleh guru yang mursyid.

Samada dengan cara awam atau khusus, ia akan dibimbing bagaimana untuk mensucikan hatinya untuk mencapai peringkat yang lebih baik dari nafsu lawwamah. Dengan amalan-amalan zikrullah, membaca Al-Quran, berpuasa, solat dan lain-lain lagi, insyaAllah hati dapat dibersihkan dan dipertingkatkan ke peringkat nafsu mulhamah.

Diriwayatkan dari Anas ibn Malik r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda, “ orang yang bertaubat dari dosa adalah seperti orang yang tidak berdosa, dan jika Allah mencintai seorang hamba nescaya dosa tidak melekat pada dirinya”

Taubat adalah merupakan tingkat pertama diantara tingkatan-tingkatan maqam yang di alami oleh ahli sufi.

Telah berkata Al-Arifin Imam Al-Muhtadin Qutb Da’irah At-Taqdis Asy-Syeikh Ahmad Ibn Idris, “ Selagi insan itu masih sibuk dengan hal-hal keduniaan dan urusan-urusan yang dapat melalaikannya daripada Allah s.w.t, maka keadaannya adalah seperti orang yang berjunub.

Oleh itu apabila dia ingin berdiri dihadapan Allah s.w.t hendaklah dia membersihkan dirinya terlebih dahulu daripada al-janabah (hadas besar) dengan air, dan dia membaca doa berikut : -

(terjemahan maksud doa tersebut) –

Ya Allah, bersihkanlah daku daripada setiap hadas besar, dan daripada setiap hadas kecil, dan daripada setiap kegeringan (yakni penyakit yang berat), dan daripada setiap penyakit, dan daripada setiap dosa, dan daripada setiap maksiat, dan daripada setiap kelalaian, dan daripada setiap kegelapan, dan daripada setiap hijab, dan daripada setiap terputusnya hubungan, dan daripada setiap kejahatan, yang telah Engkau bersihkan daripadanya nabiMu Muhammad s.a.w secara zahir dan batin, wahai Tuhan Pengatur sekelian alam”.

p/s : Doa ini juga boleh dibacakan kepada air mandian untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan fizikal, mental, emosional atau spiritual.