Sunday, July 25, 2010

Gangguan Yang Tersembunyi... Gangguan Nafsu Part 4



Nafsu Muthmainnah ialah nafsu atau jiwa yang tenang. Jiwa yang mendapat petunjuk dan keredhaan Allah swt. Jiwa yang mempunyai potensi untuk mendapat maqam para wali. wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai” (Al-Fajr : 27 & 28).


Didalam perjalanan hidup menempuh tingkatan-tingkatan nafsu terdapat berbagai-bagai pengalaman yang akan dilalui, seumpama lautan samudera yang luas. Perasaan-perasan yang halus, singkapan-singkapan alam ghaib, ilmu-ilmu ladunni yang dianugerahkan Allah, dan berbagai tipuan-tipuan yang teramat halus dan lebih halus daripada tipudaya nafsu ammarah, lawwamah dan mulhamah.


Pada peringkat nafsu muthmainnah dan keatas, Allah swt akan menguji cinta dan kasih hambaNya. Mereka-mereka yang mengaku menyintai Allah swt akan diuji dengan berbagai-bagai ujian yang lebih berat dari yang sebelumnya. Hanya hati yang tulus ikhlas, dan rahmat Allah sajalah yang dapat menyelamatkan mereka.


Ketakutan dan kerisauan para kekasih-kekasih Allah ini bukanlah pada neraka-neraka yang membakar, bukannya kehilangan haruman syurga, sungai susu dan madu yang mengalir. Bukannya kehilangan peluang untuk minum dari bejana-bejana emas atau terlepas pandang dari bidadari-bidadari syurga.


Yang mereka kejar dan dambakan hanyalah semata-mata wajah Allah swt, keredhaan Allah swt, pada setiap detik dan perkara. Sehinggakan jika mereka lalai sesaat dari mengingati Allah swt, mereka menuduh diri mereka kafir. Mereka akan berduka cita seperti dukacita seorang ibu yang kehilangan anak.


Diantara sifat-sifat yang timbul pada nafsu muthmainnah ini ialah, sentiasa bersyukur, kuat beribadat, menahan marah, bijaksana, bersikap benar (siddiq), amanah. Hati mereka sentiasa didalam keadaan zikrullah. Mereka senang dengan ibadat-ibadat sunat. Mereka merasa gelisah jika melalaikan solat.


Mereka amat membenci sesuatu kerana Allah dan menyukai sesuatu kerana Allah. Hati dan jiwa mereka sentiasa didalam bimbingan Allah. Banyak rahsia-rahsia ilmu yang dititipkan kehati mereka. Mereka memandang setiap perkara dengan pandangan hakikat (sebenar) dan mata hati. Doa mereka kebiasaannya dimakbulkan Allah swt.


Diantara hijab-hijab atau tipuan-tipuan yang dialami oleh peringkat nafsu ini ialah, godaan-godaan pembukaan hijab ilmu dan alam ghaib. Ada ketikanya alam semesta bagai berinteraksi dengan mereka, dan mereka pun mengetahui perkhabaran-perkhabaran ghaib.


Yang menjadi masalahnya ialah penyamaran-penyamaran jin dan syaitan, yang kadangkala menyusup masuk kealam mimpi dan memberitakan berita-berita fitnah dan sangkaan. Kadangkala bukan sahaja di alam mimpi, di alam nyata ini pun para jin dan syaitan itu cuba menipu atau mengganggu mereka.


Kemungkinan mereka akan diuji dengan dua bentuk ujian, iaitu dalam bentuk kesusahan seperti Nabi Ayyub a.s atau kesenangan seperti Nabi Sulaiman a.s.


Pelbagai ilmu berbentuk ladunni dicurahkan kepada mereka. Jika mereka sibuk melayan ilmu-ilmu itu semata-mata, maka mereka akan disesat dan dilalaikan. Jika mereka kagum dan ta’jub dengan pembukaan-pembukaan alam ghaib semata-mata, kemungkinan besar mereka akan terkandas disitu.


Mereka leka dan lalai pada ilmu dan alam ghaib sebagaimana lalai dan lekanya mereka yang bernafsu ammarah pada harta kekayaan dunia ini. Ada diantara mereka yang mendapat kelebihan-kelebihan tertentu, seperti boleh mengubat orang-orang yang sakit, meramal perkara-perkara yang belum terjadi, dapat berhubung dengan makhluk-makhluk alam ghaib seperti jin, orang bunian dan lain-lain lagi.


Jika pembukaan-pembukaan ilmu dan alam ghaib ini dapat mengganggu tujuan dan matlamat sebenar perjalanan mereka menuju Allah, maka mereka akan dikategorikan dalam kategori mereka-mereka yang tersingkir dari Hadhrat Allah. Kekasih Allah yang sebenar ialah mereka yang tidak ta’jub dan tertipu dengan apa pun, mereka hanya mahukan Allah, menuju Allah, bersama Allah, setiap detik yang mereka dambakan hanyalah Allah swt.


Mereka-mereka yang tersingkir dari Hadhrat Allah ini terbahagi kepada tiga. Yang pertama ialah mereka yang tergoda dan tertipu dengan ujian-ujian tersebut, dan keAkuan (ego) mereka bertambah-tambah.


Sifat-sifat ria’, takabbur dan ‘ujub mereka juga bertambah-tambah, adakalanya mereka ini terkeliru diantara wujud Allah dan wujud makhluk, sehingga mereka mengatakan wujud mereka itu adalah wujud Allah semata-mata. Dan dengan pengakuan yang sedemikian, mereka melanggar hukum-hukum syara’, tidak menghormati Rasulullah saw, mereka tidak mengakui syariat yang dibawa oleh nabi Muhammad saw.


Segala kelebihan-kelebihan yang terzahir pada mereka ialah dengan bantuan jin dan syaitan. Mereka mengaku diri mereka wali Allah, padahal mereka ini adalah wali nafsu mereka sendiri, jin dan syaitan.Yang menjadi bahayanya ialah apabila mereka mula mengajak manusia masuk kedalam perkumpulan mereka. Inilah yang dikatakan “Sesat lagi Menyesatkan”.


Mengapakah ini berlaku….? Padahal pada permulaannya mereka ini mengatakan niat dan tujuan mereka semata-mata kerana Allah. Kemungkinan yang pertama sekali ialah mereka ini tidak dibimbing oleh guru yang mursyid, amalan-amalan zikir mereka pula mungkin diambil dari buku-buku tanpa merujuk dengan mana-mana guru yang mu’tabar.


Amalan-amalan mereka bercampur-aduk dengan amalan-amalan yang menyeru khadam-khadam sesuatu ayat atau jin. Merasakan diri serba cukup, merasakan batas ilmu itu hanyalah pada apa yang mereka telah capai sehingga merasakan diri mereka telah sampai pada tujuan. Yang mereka dapat hanyalah istidraj. Tertipulah mereka semata-mata. Ada diantara mereka yang mengaku sebagai Imam Mahadi, ada yang menjadi gila, ada yang mengaku mempunyai kerajaan langit, malahan ada diantara mereka yang mengaku menjadi Nabi dan Rasul. Semoga Allah swt membimbing setiap zarah rohani dan jasmani kita agar selamat sampai ke Hadhrat keredhaan Allah swt.


Golongan kedua yang tersingkir dari Hadhrat Allah ini ialah mereka yang tergoda dan tertipu dengan ujian-ujian tersebut, namun dengan rahmat Allah swt, dengan barakah Rasulullah saw, dengan barakah guru yang mursyid dan amalan-amalan zikir yang bersambung dengan Rasulullah saw, mereka itu diselamatkan Allah. Dengan izin Allah, melalui berbagai-bagai cara mereka akan tersedar. Akhirnya mereka akan dipimpin dan dibimbing kembali menuju redha Allah s.w.t.


Golongan ketiga yang tersingkir dari Hadhrat Allah ini ialah mereka yang tergoda dan tertipu dengan ujian-ujian tersebut. Namun begitu, tertipu dan tergodanya mereka ini adalah sebagai pengajaran dan pengalaman dalam menempuh jalan menuju Allah. Mereka jatuh dan bangun kembali, mereka jatuh dan bangun kembali.


Setiap kali mereka jatuh, mereka mempelajari sesuatu yang baru. Mereka menempuh jalan Allah dengan ilmu dan amal, ada diantara mereka melalui guru yang mursyid dan ada juga diantara mereka berguru dengan diri mereka sendiri. Perlu diingatkan bahawa mereka yang menempuh jalan menuju Allah ini perlu berguru, amatlah jarang mereka yang menempuh jalan Allah ini tanpa guru dan selamat sampai. Sebagaimana ditamsilkan malaikat Jibrail a.s mengajar Rasulullah saw, begitulah contoh yang perlu kita ikuti, yakni berguru.


Apabila manusia yang bermaqam pada nafsu mutmainnah ini diberi hidayah oleh Allah swt, maka berkekalan dan istiqamahlah ia pada zikrullah dan syuhud kepada Allah serta ibadat-ibadat yang lain. Menetap ia pada benci dan berpaling pada segala bentuk kemungkaran dan maksiat, bertambah lembut hatinya. Bertambah mantap jiwanya dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt. Bertambah-tambah pula kecintaannya kepada Allah dan Rasul. Maka insyaAllah, meningkatlah maqam nafsunya pada nafsu Radhiah.

Monday, July 19, 2010

Perhatian!!! Email address saya telah diceroboh!!!


Assalamu’alaikum… untuk perhatian para pembaca sekelian, email address saya : ustaz_azrin@yahoo.com telah diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Pengganas tersebut telah menggunakan email saya untuk mempromosikan website-website yang tidak ada kena mengena dengan saya.


Oleh itu saya memaklum kan kepada semua, saya tidak pernah menghantar sebarang email untuk mempromosikan mana-mana website atau mempromosikan apa-apa perniagaan / pelaburan. Saya juga tidak pernah menghantar email kepada sesiapa untuk meminta apa-apa sumbangan samada berupa wang tunai, cek atau berbentuk urusniaga online.


Saya telah mengambil beberapa langkah tertentu untuk memastikan perkara ini tidak berulang dimasa akan datang. Sekiranya pada masa akan datang email saya masih diceroboh, berkemungkinan saya akan menukar email address kepada yang lain.


wassalam

Wednesday, July 14, 2010

Bertemu Perawat Otai...


Semalam saya bertemu dengan seorang sahabat seperjuangan yang juga boleh saya kategorikan sebagai perawat otai dan berpengalaman didalam bidang rawatan serta alam ghaib. Pertemuan tersebut memang sudah lama dirancang untuk saya menadah ilmu beliau yang bagi saya tidak ternilai dengan wang ringgit. Pengalaman suka dan duka beliau didalam perjuangan mencari ilmu dan merawat dikongsi bersama.


Ilmu demi ilmu yang dicurahkan beliau kepada saya tanpa ada rasa sifat keAkuan atau bangga diri. Sikap sebegini adalah sikap sebenar seorang yang boleh saya panggil sebagai guru. Selesai urusan menadah ilmu saya perlu kembali ke Kuala Lumpur, sedih sungguh saya hendak meninggalkan sahabat (merangkap guru) saya ini, perasaan syahdu tidak dapat dibendung lagi ketika kami berpisah petang semalam.


Saya adalah seorang pencinta ilmu. Selagi hayat dikandung badan, insyaAllah saya akan terus mencari ilmu, belajar dan terus belajar. Dan apa yang pasti, semakin saya belajar, semakin saya merasakan diri ini serba lemah, serba kekurangan dan serba tidak tahu, kerana ilmu Allah terlalu luas.


Saya berasa pelik apabila ada seorang hamba Allah yang melenting apabila saya menggunakan email “azrin_aurametafizik.com”. Dia memaksa saya agar tidak menggunakan email tersebut semata-mata kerana ada perkataan “aurametafizik”, padahal dia tidak pernah belajar atau bertanya tentang ilmu aurametafizik yang ada pada saya. Jahil sungguh manusia ini…


Saya juga pelik kerana ada diantara perawat yang membenci saya kerana perkataan aurametafizik atau energy medicine yang saya tulis dididalam profile saya diblog ini. Padahal dia tidak pernah belajar atau bertanya kepada saya apakah ilmu aurametafizik atau energy medicine yang saya pelajari itu. Kebencian yang timbul itu hanyalah berdasarkan pembacaannya di internet dan dengar-dengar dari sumber-sumber yang bersifat cemburu atau iri hati.


Saya sangat-sangat berlapang dada didalam perbincangan ilmu. Sifat jumud, sempit pemikiran dan menyalahkan perkara yang kita tidak ada ilmu tentangnya adalah satu sikap yang hanya merugikan diri sendiri. Apatah lagi apabila kita membathilkan (menyalahkan) ilmu yang haq (benar), hanya semata-mata kerana kita mengikut andaian sendiri atau kerana kita terikut-ikut dengan cakap-cakap orang lain.


Oleh kerana sikap saya yang suka mencari ilmu dan belajar dengan semua orang, ada diantara mereka yang boleh saya kategorikan sebagai nakal, telah mengambil kesempatan ini untuk kepentingan populariti politik diri sendiri. Orang ini mengakui saya pernah belajar dengan beliau dan ilmu yang saya amalkan sekarang ini adalah diperturunkan dari beliau.


Kata-kata sebegini sedikit sebanyak telah mempengaruhi beberapa hamba Allah dan telah menimbulkan persepsi yang agak negatif terhadap diri saya. Walaupun ianya belum sampai ke peringkat serius, namun saya rasa perkara sebegini perlu dijelaskan bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang ramai.


Baru bermula 19 tahun yang lalu (rasa macam baru…?), saya belajar dan menuntut ilmu dari ramai guru, dan akan meneruskan perjalanan mencari ilmu ini insyaAllah sehingga ke akhir hayat. Mesej saya untuk sahabat yang nakal ini jelas, anda tahu tahap ilmu yang anda kongsikan bersama saya dan pada saya label “guru” itu membawa maksud yang sangat-sangat saya muliakan dan hormati.


Saya tidak pernah mengamalkan ilmu yang anda kongsikan kepada saya kerana saya ada kaedah saya tersendiri, dan saya tidak pernah mengajar peserta-peserta kursus saya ilmu yang telah anda kongsikan kepada saya. Jadi tidak perlulah anda memberitahu semua orang bahawa saya adalah anak murid anda dan tidak perlu anda kempen pada semua orang supaya pergi belajar dengan saya dengan alasan ilmu yang ada pada saya itu andalah yang mengajarkannya.


Sebenarnya sudah terlalu lama hendak saya ketengahkan perkara ini, namun saya hanya mengambil sikap berdiam diri kerana memikirkan perkara sebegini tidak perlu diperbesar-besarkan, tetapi apa yang saya lihat, makin saya diamkan makin banyak desas-desus yang timbul yang melibatkan nama saya.


Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada anda kerana pernah berkongsi ilmu dengan saya, tetapi saya minta maaf kerana saya tidak dapat mengiktiraf anda sebagai guru sebagaimana saya mengiktiraf perkataan “guru” kepada guru-guru saya yang lain.


Salah satu sebab lagi mengapa saya mengetengahkan hal ini adalah kerana, saya tidak mahu “sejarah hitam anda yang dulu" terpalit kepada saya dengan kenyataan-kenyataan kepentingan populariti politik anda.


Ganas ke cerita saya kali ini…? Saya minta maaf.. saya terpaksa berterus terang agar orang ramai tidak keliru…. Jangan ambil hati ye… anda tetap sahabat yang saya hormati…

Tuesday, July 6, 2010

Kursus Perawat Advanced Di Alor Setar Dan Gunung Jerai 02hb-04hb Julai 2010

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt dengan puji-pujian yang banyak lagi berkekalan sebagaimana Dia memuji diriNya sendiri dengan puji-pujian tersebut.

Syukur diatas segala nikmat-nikmat Allah swt, dengan kesyukuran yang bersesuaian dengan kebesaranNya, keindahanNya, kesempurnaanNya, keagunganNya dan kekuasaanNya pada setiap pandangan mata dan turun naik nafas.

Selawat serta salam keatas nabi junjungan Muhammad saw dan keatas keluarga baginda sebanyak makhluk ciptaan Allah swt dan sebanyak bilangan keluasan ilmuNya.


Dengan izin dan limpah kurnianya, berjaya dan selesai sudah kursus Perawat Advanced yang diadakan di Dewan Muzium Balai Seni Negeri, Alor Setar, Kedah pada hari pertama 02hb Julai, manakala pada hari kedua dan ketiga, yakni 03hb dan 04hb Julai, kursus tersebut dilanjutkan pula dengan “program outdoor” di Gunung Jerai.


Kursus Perawat Advanced adalah kursus yang sangat berlainan jika dibandingkan dengan kursus perawat intensif. Pada kursus ini, peserta bukan sahaja diajar tentang kaedah rawatan yang baru, termasuklah men-diagnos penyakit melalui kaedah scanning peringkat advanced, tetapi pelbagai lagi kaedah, ilmu dan amalan untuk memantapkan kekuatan dalaman seseorang.


Ramai diantara perawat-perawat senior yang tidak bersetuju dan menentang apabila kursus-kursus rawatan berkonsep intensif selama sehari atau dua hari diadakan oleh beberapa perawat termasuklah saya. Dengan alasan kursus dua hari tidak cukup untuk seseorang itu menjadi perawat.


Memang benar kursus intensif sehari atau dua hari tidak mencukupi untuk seseorang itu benar-benar menceburkan diri didalam bidang rawatan secara serius, saya sendiri menghabiskan masa berbelas tahun untuk pengisian diri sebelum menjadi seorang perawat.


Tetapi ini tidak lah bermakna seseorang itu terpaksa mengambil tempoh yang terlalu lama baru layak untuk merawat. Sesiapa pun boleh merawat asalkan ada kemahuan dan mahu belajar. Perlu kita ingat sessi pembelajaran adalah berterusan dan tidak tamat di bilik kuliah sahaja. “Pengalaman yang dilalui adalah guru yang sejati”…. (macam lirik lagu kumpulan Spring la pulak…) Ini akan dilalui oleh semua orang samada perawat senior mahupun perawat junior.


Oleh itu, pesan saya kepada semua peserta-peserta kursus, beramal lah dengan ilmu yang dipelajari, beramal lah mengikut kemampuan masing-masing. Ilmu yang tidak diamalkan seumpama gunung yang didaki tiada puncaknya. ( mentang-mentang baru turun gunung jerai… J )


Dengan meminjam kata-kata iklan barangan elektrik, “Barangan yang baik tidak memerlukan kata-kata yang indah”… J itulah ungkapan yang mampu saya ucapkan untuk menggambarkan betapa bermaknanya kursus Perawat Advanced ini walaupun penyertaan peserta agak terhad, kerana kursus ini hanya sesuai untuk mereka yang benar-benar serius didalam mencari dan menghargai ilmu sahaja.


Kepada yang ingin hadir tetapi terhalang oleh tugas-tugas tertentu, saya doakan semoga anda semua dapat hadir pada kursus sebegini di lain waktu.


Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang terlibat bagi menjayakan Kursus Perawat Advanced ini.


Tahniah untuk kesemua peserta, terutamanya peserta wanita yang begitu tabah dan mempunyai semangat yang tinggi untuk bersama-sama menyertai “program outdoor” di Gunung Jerai.


Akhir kata, saya berpesan dan berharap kepada semua yang menyertai kursus ini, peliharalah ilmu tersebut dengan sebaik mungkin, dan gunakanlah ia semata-mata untuk tujuan kebaikan. Semoga ilmu yang dikongsi dapat dimanfaatkan untuk kebaikan diri, keluarga dan masyarakat.


“Kemanisan kejayaan diakhir kisah melupuskan sejuta kedukaan disepanjang perjalanan”. ( perghh!!! Bermadah la pulak… J )



GAMBAR-GAMBAR KURSUS PADA HARI PERTAMA


Sessi teori yang tersangat penting…


Sessi Praktikal Merawat Diri Sendiri

Memulihkan Tenaga Pesakit…


Sessi Penyampaian Sijil


Melangkah setapak kehadapan… Kursus Perawat Advanced…

Selamat ber-amal…

Gambar Kursus Perawat Advanced - Hari Kedua dan Ketiga Di Gunung Jerai

Pemandangan dari puncak Gunung Jerai, kelihatan sawah padi terbentang luas


Perjalanan dari puncak gunung menuju ke tempat penginapan, merentas trek hutan


Berehat sebentar melepaskan penat…



Bersantai sambil berbincang


Kelas malam dan praktikal di rumah penginapan Gunung Jerai.. ada yang berkelambu je … tak pe… perawat santai…


Bergambar sebelum merentas hutan pada hari ke tiga



Belakang air terjun tu ada gua tempat orang bertapa…


Gambar ni kalau dibesarkan, insyaAllah akan nampak pelbagai makhluk di sekitarnya… banyak nya makhluk bulat-bulat…..


Makhluk spesis apa pulak ni…?



Trek yang sangat curam…



Bahagianya dah sampai ke kaki gunung… Hilang semua keperitan merentas hutan…


InsyaAllah berjumpa lagi di program yang akan datang…

Saya Ke Brunei Pula...

Sepatutnya kisah ini saya paparkan pada minggu lepas, tetapi akibat dari kesuntukan masa baru hari ini saya berpeluang berkongsi dengan para pembaca sekelian.


Belum lagi selesai Kursus Rawatan Islam di Limbang, pada hari terakhir seawal jam tiga petang beberapa orang penduduk setempat yang berhajat untuk mendapatkan rawatan menunggu saya di dewan kuliah. Sebenarnya malam pertama saya di Limbang lagi saya sudah mula merawat pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan… Saya bercadang untuk terus ke Brunei selepas selesai kursus, nampak gayanya, masih ada tugas yang perlu diselesaikan selepas ini.


Sewaktu sessi praktikal dijalankan, pesakit yang duduk didalam bilik kuliah tiba-tiba kerasukan, menjerit-jerit tidak keruan. Saya yang sedang memimpin peserta membaca ruqyah hanya membiarkan sahaja pesakit tersebut terpekik terlolong. Ramai juga yang berubah muka bila mendengar pekikan sedemikian, mungkin terkejut atau panik, wallahua’lam.


Situasi sedemikian adalah biasa sewaktu kursus rawatan di jalankan. Kadangkala jin gangguan tidak suka kursus sebegini diadakan, maka mereka akan cuba untuk menggagalkan, mengalih perhatian atau membuatkan program kursus tergendala. Kerana itulah saya buat selamba saja. InsyaAllah saya boleh menjangkakan tahap-tahap gangguan yang serius atau tidak. Jika saya sendiri panik dan terus mengadap pesakit maka tentulah terbantut kelas praktikal yang sedang berjalan.


Selesai pengijazahan, sessi bergambar dan minum petang, sessi merawat hanya bermula hampir jam 06.30 petang. Saya yang memang sudah keletihan, tambahan pula saya tidak berapa sihat sepanjang saya di Sarawak.


Kebetulan masih ramai peserta-peserta kursus yang menunggu untuk melihat saya merawat, jadi saya meminta bantuan dari peserta-peserta untuk membantu saya terutamanya untuk menarik jin2 didalam tubuh badan pesakit. Pesakit yang kerasukan berdialog dalam bahasa Kedayan, memang saya tidak faham bahasanya, maka terpaksalah menggunakan khidmat jurubahasa.

Rawatan demi rawatan dijalankan, dan sessi merawat hanya selesai lebih kurang jam 08.30 malam. Saya, En Idris dan Haji Emran bergegas ke Brunei.


Haji Emran salah seorang peserta kursus rawatan yang juga warganegara Brunei dengan berbesar hati membawa kami melawat Negara Brunei dan menziarahi masjid-masjid serta tempat-tempat menarik di Brunei. Alhamdulillah, seronok sungguh kami di Brunei, Negara yang mendaulatkan Agama Islam.


“Al Islam yaq’lu wala yuq’la ‘alaih” Islam itu yang paling tinggi/mulia dan tidak ada yang lebih tinggi/mulia daripadanya.

Gambar didalam Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam. Dibelakang saya ini adalah kelambu kaabah yang dihadiahkan oleh kerajaan Arab Saudi kepada kerajaan Brunei.