Sunday, July 25, 2010

Gangguan Yang Tersembunyi... Gangguan Nafsu Part 4



Nafsu Muthmainnah ialah nafsu atau jiwa yang tenang. Jiwa yang mendapat petunjuk dan keredhaan Allah swt. Jiwa yang mempunyai potensi untuk mendapat maqam para wali. wahai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhai” (Al-Fajr : 27 & 28).


Didalam perjalanan hidup menempuh tingkatan-tingkatan nafsu terdapat berbagai-bagai pengalaman yang akan dilalui, seumpama lautan samudera yang luas. Perasaan-perasan yang halus, singkapan-singkapan alam ghaib, ilmu-ilmu ladunni yang dianugerahkan Allah, dan berbagai tipuan-tipuan yang teramat halus dan lebih halus daripada tipudaya nafsu ammarah, lawwamah dan mulhamah.


Pada peringkat nafsu muthmainnah dan keatas, Allah swt akan menguji cinta dan kasih hambaNya. Mereka-mereka yang mengaku menyintai Allah swt akan diuji dengan berbagai-bagai ujian yang lebih berat dari yang sebelumnya. Hanya hati yang tulus ikhlas, dan rahmat Allah sajalah yang dapat menyelamatkan mereka.


Ketakutan dan kerisauan para kekasih-kekasih Allah ini bukanlah pada neraka-neraka yang membakar, bukannya kehilangan haruman syurga, sungai susu dan madu yang mengalir. Bukannya kehilangan peluang untuk minum dari bejana-bejana emas atau terlepas pandang dari bidadari-bidadari syurga.


Yang mereka kejar dan dambakan hanyalah semata-mata wajah Allah swt, keredhaan Allah swt, pada setiap detik dan perkara. Sehinggakan jika mereka lalai sesaat dari mengingati Allah swt, mereka menuduh diri mereka kafir. Mereka akan berduka cita seperti dukacita seorang ibu yang kehilangan anak.


Diantara sifat-sifat yang timbul pada nafsu muthmainnah ini ialah, sentiasa bersyukur, kuat beribadat, menahan marah, bijaksana, bersikap benar (siddiq), amanah. Hati mereka sentiasa didalam keadaan zikrullah. Mereka senang dengan ibadat-ibadat sunat. Mereka merasa gelisah jika melalaikan solat.


Mereka amat membenci sesuatu kerana Allah dan menyukai sesuatu kerana Allah. Hati dan jiwa mereka sentiasa didalam bimbingan Allah. Banyak rahsia-rahsia ilmu yang dititipkan kehati mereka. Mereka memandang setiap perkara dengan pandangan hakikat (sebenar) dan mata hati. Doa mereka kebiasaannya dimakbulkan Allah swt.


Diantara hijab-hijab atau tipuan-tipuan yang dialami oleh peringkat nafsu ini ialah, godaan-godaan pembukaan hijab ilmu dan alam ghaib. Ada ketikanya alam semesta bagai berinteraksi dengan mereka, dan mereka pun mengetahui perkhabaran-perkhabaran ghaib.


Yang menjadi masalahnya ialah penyamaran-penyamaran jin dan syaitan, yang kadangkala menyusup masuk kealam mimpi dan memberitakan berita-berita fitnah dan sangkaan. Kadangkala bukan sahaja di alam mimpi, di alam nyata ini pun para jin dan syaitan itu cuba menipu atau mengganggu mereka.


Kemungkinan mereka akan diuji dengan dua bentuk ujian, iaitu dalam bentuk kesusahan seperti Nabi Ayyub a.s atau kesenangan seperti Nabi Sulaiman a.s.


Pelbagai ilmu berbentuk ladunni dicurahkan kepada mereka. Jika mereka sibuk melayan ilmu-ilmu itu semata-mata, maka mereka akan disesat dan dilalaikan. Jika mereka kagum dan ta’jub dengan pembukaan-pembukaan alam ghaib semata-mata, kemungkinan besar mereka akan terkandas disitu.


Mereka leka dan lalai pada ilmu dan alam ghaib sebagaimana lalai dan lekanya mereka yang bernafsu ammarah pada harta kekayaan dunia ini. Ada diantara mereka yang mendapat kelebihan-kelebihan tertentu, seperti boleh mengubat orang-orang yang sakit, meramal perkara-perkara yang belum terjadi, dapat berhubung dengan makhluk-makhluk alam ghaib seperti jin, orang bunian dan lain-lain lagi.


Jika pembukaan-pembukaan ilmu dan alam ghaib ini dapat mengganggu tujuan dan matlamat sebenar perjalanan mereka menuju Allah, maka mereka akan dikategorikan dalam kategori mereka-mereka yang tersingkir dari Hadhrat Allah. Kekasih Allah yang sebenar ialah mereka yang tidak ta’jub dan tertipu dengan apa pun, mereka hanya mahukan Allah, menuju Allah, bersama Allah, setiap detik yang mereka dambakan hanyalah Allah swt.


Mereka-mereka yang tersingkir dari Hadhrat Allah ini terbahagi kepada tiga. Yang pertama ialah mereka yang tergoda dan tertipu dengan ujian-ujian tersebut, dan keAkuan (ego) mereka bertambah-tambah.


Sifat-sifat ria’, takabbur dan ‘ujub mereka juga bertambah-tambah, adakalanya mereka ini terkeliru diantara wujud Allah dan wujud makhluk, sehingga mereka mengatakan wujud mereka itu adalah wujud Allah semata-mata. Dan dengan pengakuan yang sedemikian, mereka melanggar hukum-hukum syara’, tidak menghormati Rasulullah saw, mereka tidak mengakui syariat yang dibawa oleh nabi Muhammad saw.


Segala kelebihan-kelebihan yang terzahir pada mereka ialah dengan bantuan jin dan syaitan. Mereka mengaku diri mereka wali Allah, padahal mereka ini adalah wali nafsu mereka sendiri, jin dan syaitan.Yang menjadi bahayanya ialah apabila mereka mula mengajak manusia masuk kedalam perkumpulan mereka. Inilah yang dikatakan “Sesat lagi Menyesatkan”.


Mengapakah ini berlaku….? Padahal pada permulaannya mereka ini mengatakan niat dan tujuan mereka semata-mata kerana Allah. Kemungkinan yang pertama sekali ialah mereka ini tidak dibimbing oleh guru yang mursyid, amalan-amalan zikir mereka pula mungkin diambil dari buku-buku tanpa merujuk dengan mana-mana guru yang mu’tabar.


Amalan-amalan mereka bercampur-aduk dengan amalan-amalan yang menyeru khadam-khadam sesuatu ayat atau jin. Merasakan diri serba cukup, merasakan batas ilmu itu hanyalah pada apa yang mereka telah capai sehingga merasakan diri mereka telah sampai pada tujuan. Yang mereka dapat hanyalah istidraj. Tertipulah mereka semata-mata. Ada diantara mereka yang mengaku sebagai Imam Mahadi, ada yang menjadi gila, ada yang mengaku mempunyai kerajaan langit, malahan ada diantara mereka yang mengaku menjadi Nabi dan Rasul. Semoga Allah swt membimbing setiap zarah rohani dan jasmani kita agar selamat sampai ke Hadhrat keredhaan Allah swt.


Golongan kedua yang tersingkir dari Hadhrat Allah ini ialah mereka yang tergoda dan tertipu dengan ujian-ujian tersebut, namun dengan rahmat Allah swt, dengan barakah Rasulullah saw, dengan barakah guru yang mursyid dan amalan-amalan zikir yang bersambung dengan Rasulullah saw, mereka itu diselamatkan Allah. Dengan izin Allah, melalui berbagai-bagai cara mereka akan tersedar. Akhirnya mereka akan dipimpin dan dibimbing kembali menuju redha Allah s.w.t.


Golongan ketiga yang tersingkir dari Hadhrat Allah ini ialah mereka yang tergoda dan tertipu dengan ujian-ujian tersebut. Namun begitu, tertipu dan tergodanya mereka ini adalah sebagai pengajaran dan pengalaman dalam menempuh jalan menuju Allah. Mereka jatuh dan bangun kembali, mereka jatuh dan bangun kembali.


Setiap kali mereka jatuh, mereka mempelajari sesuatu yang baru. Mereka menempuh jalan Allah dengan ilmu dan amal, ada diantara mereka melalui guru yang mursyid dan ada juga diantara mereka berguru dengan diri mereka sendiri. Perlu diingatkan bahawa mereka yang menempuh jalan menuju Allah ini perlu berguru, amatlah jarang mereka yang menempuh jalan Allah ini tanpa guru dan selamat sampai. Sebagaimana ditamsilkan malaikat Jibrail a.s mengajar Rasulullah saw, begitulah contoh yang perlu kita ikuti, yakni berguru.


Apabila manusia yang bermaqam pada nafsu mutmainnah ini diberi hidayah oleh Allah swt, maka berkekalan dan istiqamahlah ia pada zikrullah dan syuhud kepada Allah serta ibadat-ibadat yang lain. Menetap ia pada benci dan berpaling pada segala bentuk kemungkaran dan maksiat, bertambah lembut hatinya. Bertambah mantap jiwanya dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt. Bertambah-tambah pula kecintaannya kepada Allah dan Rasul. Maka insyaAllah, meningkatlah maqam nafsunya pada nafsu Radhiah.