Sunday, August 1, 2010

Perawat Islam Hantar Jin Kepada Pesakit...!!!

Dah lama saya tak menceritakan kisah-kisah rawatan… baru-baru ini saya dihubungi oleh seorang sahabat yang merangkap student saya… beliau sudah mula merawat pesakit walaupun secara sambilan… beliau meminta pendapat saya tentang satu kes rawatan dimana jin pesakit yang dirawatnya mengaku bahawa dia dihantar oleh seorang perawat Rawatan Islam yang dikenali ramai.


Jin tersebut juga memberitahu kononnya sahabat saya ini mempunyai dua jin pendamping yang membantunya didalam rawatan. Keyakinan sahabat saya sudah mula goyang… adakah benar beliau mempunyai jin pendamping…?


Oleh kerana beliau tidak berpuas hati dengan kenyataan jin tersebut, beliau meminta pesakit itu bertemu dengan seorang perawat lain yang boleh dikatakan mempunyai kemampuan “scanner tahap gaban”… Namun jawapan yang diterima masih sama, jin tersebut mengaku yang dia dihantar oleh perawat Rawatan Islam yang dikenali ramai itu.


Akhir-akhir ini saya juga menerima kes-kes yang agak sama syntomnya, yakni jin yang mengganggu pesakit memberitahu dia dihantar oleh perawat yang merawat pesakit sebelum ini….


Beberapa bulan sebelum ini saya juga mendapat berita yang agak memeranjatkan, dimana seorang perawat Rawatan Islam yang terkenal dibelasah oleh keluarga pesakit, kerana semasa sessi rawatan dijalankan jin pesakit mengeluarkan kenyataan bahawa jin tersebut dihantar oleh ahli keluarga pesakit itu sendiri.


Akibat dari berasa tidak puas hati dan merasakan diri di fitnah, ahli keluarga pesakit tersebut nekad untuk mengurung perawat tersebut pada sessi rawatan yang seterusnya dan membelasah perawat tersebut, dan kejadian ini sampai menjadi kes polis.


Sebelum-sebelum ini, sahabat-sahabat saya mencadangkan agar saya menceritakan kisah dimana satu masa dulu saya pernah difitnah oleh jin yang mengganggu pesakit… Tetapi saya tidak berapa setuju kerana cerita tersebut adalah kisah-kisah lama yang saya tidak mahu ingat lagi… bagi saya, biarlah kisah tersebut ditelan masa begitu sahaja…


Namun begitu, apabila cerita-cerita jin pesakit memfitnah perawat ini semakin berleluasa, maka saya terpanggil untuk berkongsi juga cerita lama tersebut dengan pembaca sekelian. Semoga kisah tersebut dapat dijadikan I’tibar untuk kita semua didalam menangani fitnah-fitnah yang ditabur oleh jin-jin yang mengganggu pesakit ketika rawatan.


Satu masa dulu, ketika itu rawatan ruqyah syar’iyyah tidak difahami seperti sekarang, masyarakat kurang terdedah dengan kaedah ruqyah syari’yyah… Ketika itu rancangan expose mistik pun belum ditayangkan lagi di astro.


Macam-macam kes yang saya terima ketika itu, kes sihir, santau, saka, masalah suami isteri dan macam-macam kes lagi…. Ada diantara pesakit yang kerasukan ketika diruqyah, ada kes-kes yang sebelumnya terpendam, menjadi terbongkar akibat kaedah rawatan ruqyah syar’iyyah yang saya lakukan…


Hendak dijadikan cerita, satu hari saya ke majlis kenduri yang diadakan oleh pesakit saya, kebetulan ada beberapa orang pesakit saya yang lain juga hadir di majlis tersebut. Semasa majlis sedang berlangsung, tiba-tiba pesakit saya kerasukan.

Ketika itu saya hanya memerhatikan dari jauh ada beberapa orang sedang mengerumuni pesakit tersebut. Rupa-rupanya, jin didalam pesakit tersebut sedang sibuk bercerita dengan semua orang bahawa jin itu adalah milik saya, dan jin tersebut mengganggu pesakit tanpa saya sedari….


Kata jin tersebut, “Aku Azrin… dia tak sedar selama ni aku menjadi jin dampingan dia ketika dia merawat”… hadirin yang mendengar kata-kata jin tersebut sudah mula memandang saya dengan pandangan yang serong.


Ada diantara mereka disitu yang kononnya mempunyai pengetahuan tentang ilmu rawatan, tanpa segan silu turut sama bersekongkol dengan jin tersebut memfitnah saya, kononnya ilmu yang saya bawa adalah ilmu sesat yang menarik jin.


Mereka fitnah saya lagi katanya pesakit suka berjumpa dengan saya kerana saya ada jin pengasih, yang menyebabkan pesakit-pesakit menjadi sayang kepada saya… Macam-macam lagi fitnah yang dilemparkan, insyaAllah saya akan bawa kes ini di akhirat nanti untuk pengadilan di mahkamah Robbul Jalil…


Ketika itu saya masih boleh bersabar, saya telan semua fitnah-fitnah tersebut berseorangan sehinggakan ahli keluarga saya juga terpalit sama dengan bahang-bahang fitnah tersebut.


Ketika kejadian itu berlaku, saya cuma teringatkan satu senjata, iaitu “sumpah mubahalah”, sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal saya sudah terfikir untuk mengajak mereka semua yang termakan fitnah jin dan manusia-manusia yang hasad tersebut untuk melakukan “sumpah mubahalah”.


Alhamdulillah, ada juga diantara mereka yang simpati dengan saya dan tidak mempercayai kata-kata fitnah itu mententeramkan keadaan yang kecoh itu.


Saya tidak panik apabila jin tersebut mengeluarkan kenyataan “ Aku Azrin…”, saya faham ini adalah tipudaya jin tersebut yang cuba menjatuhkan saya, oleh kerana jin tersebut tidak dapat menyerang saya dengan cara fizikal, dia cuba menjatuhkan maruah saya dihadapan orang ramai dengan harapan mental dan emosional saya akan terganggu dan ini akan melemahkan tugas-tugas rawatan saya di kemudian hari…


Secara spontan saya tanya kembali kepada jin tersebut, “baiklah, jika benar engkau adalah Azrin, jika benar engkau adalah jin daripada aku, siapa nama mak aku…?” …. Jin tersebut terdiam…, kemudian saya tanya lagi… “berapa no kad pengenalan aku ?…”, jin itu mula buat cerita lain untuk mengalih perhatian, dan apabila saya mengancam untuk menyiksa jin tersebut, dia menuduh saya suka melakukan kekerasan pada golongan jin… kreatif sungguh jin tersebut.


Mengapa saya bertanya sedemikian…? Untuk makluman pembaca, kebiasaanya jin yang dihantar oleh seseorang, mengetahui serba sedikit latarbelakang dan beberapa maklumat peribadi tuannya. Apabila saya bertanya seperti itu dan jin tersebut terdiam, maka jelaslah jin tersebut hanya menipu.


Kesimpulannya para pembaca sekelian, berhati-hatilah ketika berdialog dengan jin, jangan mempercayai kata-kata mereka, kebanyakannya hanyalah dusta… Hanya perawat dan mereka yang berpengalaman sahaja yang boleh mengesan penipuan jin seperti itu…


Kerana itulah saya tekankan pada semua student-student saya pada setiap kursus Rawatan Islam yang saya anjurkan, “BERDIALOG DENGAN JIN BUKANLAH SATU KEUTAMAAN, TETAPI IANYA ADALAH SATU TEKNIK YANG KEBIASAANNYA AKAN DITEMPUH OLEH MEREKA YANG MERAWAT”.


Oleh itu, berhati-hatilah...