Tuesday, July 6, 2010

Saya Ke Brunei Pula...

Sepatutnya kisah ini saya paparkan pada minggu lepas, tetapi akibat dari kesuntukan masa baru hari ini saya berpeluang berkongsi dengan para pembaca sekelian.


Belum lagi selesai Kursus Rawatan Islam di Limbang, pada hari terakhir seawal jam tiga petang beberapa orang penduduk setempat yang berhajat untuk mendapatkan rawatan menunggu saya di dewan kuliah. Sebenarnya malam pertama saya di Limbang lagi saya sudah mula merawat pesakit-pesakit yang memerlukan bantuan… Saya bercadang untuk terus ke Brunei selepas selesai kursus, nampak gayanya, masih ada tugas yang perlu diselesaikan selepas ini.


Sewaktu sessi praktikal dijalankan, pesakit yang duduk didalam bilik kuliah tiba-tiba kerasukan, menjerit-jerit tidak keruan. Saya yang sedang memimpin peserta membaca ruqyah hanya membiarkan sahaja pesakit tersebut terpekik terlolong. Ramai juga yang berubah muka bila mendengar pekikan sedemikian, mungkin terkejut atau panik, wallahua’lam.


Situasi sedemikian adalah biasa sewaktu kursus rawatan di jalankan. Kadangkala jin gangguan tidak suka kursus sebegini diadakan, maka mereka akan cuba untuk menggagalkan, mengalih perhatian atau membuatkan program kursus tergendala. Kerana itulah saya buat selamba saja. InsyaAllah saya boleh menjangkakan tahap-tahap gangguan yang serius atau tidak. Jika saya sendiri panik dan terus mengadap pesakit maka tentulah terbantut kelas praktikal yang sedang berjalan.


Selesai pengijazahan, sessi bergambar dan minum petang, sessi merawat hanya bermula hampir jam 06.30 petang. Saya yang memang sudah keletihan, tambahan pula saya tidak berapa sihat sepanjang saya di Sarawak.


Kebetulan masih ramai peserta-peserta kursus yang menunggu untuk melihat saya merawat, jadi saya meminta bantuan dari peserta-peserta untuk membantu saya terutamanya untuk menarik jin2 didalam tubuh badan pesakit. Pesakit yang kerasukan berdialog dalam bahasa Kedayan, memang saya tidak faham bahasanya, maka terpaksalah menggunakan khidmat jurubahasa.

Rawatan demi rawatan dijalankan, dan sessi merawat hanya selesai lebih kurang jam 08.30 malam. Saya, En Idris dan Haji Emran bergegas ke Brunei.


Haji Emran salah seorang peserta kursus rawatan yang juga warganegara Brunei dengan berbesar hati membawa kami melawat Negara Brunei dan menziarahi masjid-masjid serta tempat-tempat menarik di Brunei. Alhamdulillah, seronok sungguh kami di Brunei, Negara yang mendaulatkan Agama Islam.


“Al Islam yaq’lu wala yuq’la ‘alaih” Islam itu yang paling tinggi/mulia dan tidak ada yang lebih tinggi/mulia daripadanya.

Gambar didalam Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam. Dibelakang saya ini adalah kelambu kaabah yang dihadiahkan oleh kerajaan Arab Saudi kepada kerajaan Brunei.