Wednesday, July 14, 2010

Bertemu Perawat Otai...


Semalam saya bertemu dengan seorang sahabat seperjuangan yang juga boleh saya kategorikan sebagai perawat otai dan berpengalaman didalam bidang rawatan serta alam ghaib. Pertemuan tersebut memang sudah lama dirancang untuk saya menadah ilmu beliau yang bagi saya tidak ternilai dengan wang ringgit. Pengalaman suka dan duka beliau didalam perjuangan mencari ilmu dan merawat dikongsi bersama.


Ilmu demi ilmu yang dicurahkan beliau kepada saya tanpa ada rasa sifat keAkuan atau bangga diri. Sikap sebegini adalah sikap sebenar seorang yang boleh saya panggil sebagai guru. Selesai urusan menadah ilmu saya perlu kembali ke Kuala Lumpur, sedih sungguh saya hendak meninggalkan sahabat (merangkap guru) saya ini, perasaan syahdu tidak dapat dibendung lagi ketika kami berpisah petang semalam.


Saya adalah seorang pencinta ilmu. Selagi hayat dikandung badan, insyaAllah saya akan terus mencari ilmu, belajar dan terus belajar. Dan apa yang pasti, semakin saya belajar, semakin saya merasakan diri ini serba lemah, serba kekurangan dan serba tidak tahu, kerana ilmu Allah terlalu luas.


Saya berasa pelik apabila ada seorang hamba Allah yang melenting apabila saya menggunakan email “azrin_aurametafizik.com”. Dia memaksa saya agar tidak menggunakan email tersebut semata-mata kerana ada perkataan “aurametafizik”, padahal dia tidak pernah belajar atau bertanya tentang ilmu aurametafizik yang ada pada saya. Jahil sungguh manusia ini…


Saya juga pelik kerana ada diantara perawat yang membenci saya kerana perkataan aurametafizik atau energy medicine yang saya tulis dididalam profile saya diblog ini. Padahal dia tidak pernah belajar atau bertanya kepada saya apakah ilmu aurametafizik atau energy medicine yang saya pelajari itu. Kebencian yang timbul itu hanyalah berdasarkan pembacaannya di internet dan dengar-dengar dari sumber-sumber yang bersifat cemburu atau iri hati.


Saya sangat-sangat berlapang dada didalam perbincangan ilmu. Sifat jumud, sempit pemikiran dan menyalahkan perkara yang kita tidak ada ilmu tentangnya adalah satu sikap yang hanya merugikan diri sendiri. Apatah lagi apabila kita membathilkan (menyalahkan) ilmu yang haq (benar), hanya semata-mata kerana kita mengikut andaian sendiri atau kerana kita terikut-ikut dengan cakap-cakap orang lain.


Oleh kerana sikap saya yang suka mencari ilmu dan belajar dengan semua orang, ada diantara mereka yang boleh saya kategorikan sebagai nakal, telah mengambil kesempatan ini untuk kepentingan populariti politik diri sendiri. Orang ini mengakui saya pernah belajar dengan beliau dan ilmu yang saya amalkan sekarang ini adalah diperturunkan dari beliau.


Kata-kata sebegini sedikit sebanyak telah mempengaruhi beberapa hamba Allah dan telah menimbulkan persepsi yang agak negatif terhadap diri saya. Walaupun ianya belum sampai ke peringkat serius, namun saya rasa perkara sebegini perlu dijelaskan bagi mengelakkan kekeliruan kepada orang ramai.


Baru bermula 19 tahun yang lalu (rasa macam baru…?), saya belajar dan menuntut ilmu dari ramai guru, dan akan meneruskan perjalanan mencari ilmu ini insyaAllah sehingga ke akhir hayat. Mesej saya untuk sahabat yang nakal ini jelas, anda tahu tahap ilmu yang anda kongsikan bersama saya dan pada saya label “guru” itu membawa maksud yang sangat-sangat saya muliakan dan hormati.


Saya tidak pernah mengamalkan ilmu yang anda kongsikan kepada saya kerana saya ada kaedah saya tersendiri, dan saya tidak pernah mengajar peserta-peserta kursus saya ilmu yang telah anda kongsikan kepada saya. Jadi tidak perlulah anda memberitahu semua orang bahawa saya adalah anak murid anda dan tidak perlu anda kempen pada semua orang supaya pergi belajar dengan saya dengan alasan ilmu yang ada pada saya itu andalah yang mengajarkannya.


Sebenarnya sudah terlalu lama hendak saya ketengahkan perkara ini, namun saya hanya mengambil sikap berdiam diri kerana memikirkan perkara sebegini tidak perlu diperbesar-besarkan, tetapi apa yang saya lihat, makin saya diamkan makin banyak desas-desus yang timbul yang melibatkan nama saya.


Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada anda kerana pernah berkongsi ilmu dengan saya, tetapi saya minta maaf kerana saya tidak dapat mengiktiraf anda sebagai guru sebagaimana saya mengiktiraf perkataan “guru” kepada guru-guru saya yang lain.


Salah satu sebab lagi mengapa saya mengetengahkan hal ini adalah kerana, saya tidak mahu “sejarah hitam anda yang dulu" terpalit kepada saya dengan kenyataan-kenyataan kepentingan populariti politik anda.


Ganas ke cerita saya kali ini…? Saya minta maaf.. saya terpaksa berterus terang agar orang ramai tidak keliru…. Jangan ambil hati ye… anda tetap sahabat yang saya hormati…