Friday, August 13, 2010

Mengapa Pening Dan Demam Di Awal Ramadhan...?


Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak, Selamat menjalani ibadah puasa, semoga kita dipermudahkan untuk beramal soleh dan semoga Allah swt menerima segala amalan-amalan kita dibulan yang mulia ini.


Saya ada menerima beberapa panggilan, yang bertanyakan tentang masalah pening-pening dan demam semasa menjalani ibadah puasa. Adakah ini gangguan biasa atau luarbiasa…? Ikutilah penerangan berikut…


Puasa adalah cara penyembuhan semulajadi yang paling tua pernah diketahui yang diamalkan oleh manusia. Ada puasa yang menahan diri dari memakan sesuatu jenis makanan untuk jangka pendek dan ada pula puasa dengan menahan diri daripada semua makanan dan minuman untuk tempoh tertentu.


Bagi orang yang tidak pernah berpuasa, ada yang berpendapat bahawa puasa itu membahayakan.


Menurut pendapat ulama’ sufi, nafsu manusia terdedah kepada menyintai kebendaan dan keduniaan yang akan menyebabkan timbulnya banyak penyakit. Oleh itu puasa adalah satu cara untuk mengawal dan menghapuskan nafsu yang melampau tersebut.


Pada kebiasaannya, penyakit selalu terjadi disebabkan kurang pencernaan atau penghadaman makanan. Semasa berpuasa, kerja yang biasa dilakukan untuk tugas penghadaman itu dikurangkan. Dengan ini dapat membiarkan badan membuang perkara-perkara yang tidak berguna dan memperbaiki kerosakan akibat dari cara pemakanan yang tidak sihat sebelum ini.


Kesan dari proses tersebut ialah, berkemungkinan seseorang itu akan mengalami panas badan dan rasa demam. Panas ini diperhalusi menjadi suatu bentuk yang dapat dibuang oleh badan. Kebiasaannya pembuangan sisa-sisa yang tidak berguna itu terjadi melalui lima bentuk krisis penyembuhan (healing crisis) iaitu hidung berhingus atau berdarah, muntah-muntah, cirit-birit, berpeluh dan buang air kecil.


Apa yang berlaku disini ialah, badan manusia itu membuang benda-benda sampingan (toksid) atau beracun yang berbahaya dan berlebihan disebabkan penghadaman yang luar biasa dan tidak sempurna.


Kadangkala “healing crisis” ini berlaku pada hari pertama sehingga hari keempat berpuasa. Sakit kepala berdenyut-denyut, mungkin demam sedikit, berpeluh-peluh dan gejala-gejala sepertinya menunjukkan bahawa tubuh badan manusia itu sedang didalam proses pembaikan dan pembetulan.


Kebanyakan orang yang tidak tahan menghadapi kesukaran dan kesakitan ini terus memakan ubat-ubatan yang berunsur bahan kimia. Malangnya pengambilan ubat-ubatan sebegini menghapuskan serta-merta proses penyembuhan semulajadi dari tubuh badan itu sendiri.


Ibadah puasa telah diwajibkan oleh Allah swt kepada hamba-hambanya sebagai satu rahmat kepada manusia. Berpuasa bukan sahaja menjaga kesihatan badan tetapi juga membentuk rohani yang mantap dan menundukkan hawa nafsu.