Monday, November 1, 2010

Berdialog Dengan Jin Penyanyi...


Sekembali saya dari Program Kursus Perawat Advanced di Sabah, saya menerima panggilan telefon bertalu-talu dari pesakit untuk mendapatkan rawatan, namun saya terpaksa menolak untuk melakukan rawatan buat sementara waktu kerana saya merasakan diri ini tidak berapa sihat.


Sukar untuk saya jelaskan pada mereka yang bertanya, ada satu perasaan yang tidak berapa selesa untuk saya melakukan kerja-kerja rawatan untuk beberapa hari ini. Namun, syukur kehadrat Ilahi, hari ini saya kembali berasa segar dan sihat, insyaAllah saya akan kembali merawat bermula hari ini.


Sudah lama juga saya tidak menulis tentang kisah-kisah rawatan. Nak tulis pasal apa pulak ye…? Ermmm… kali ini saya akan menceritakan kisah pengalaman saya merawat jin yang tidak mahu keluar dari tubuh badan pesakit.


Satu ketika dulu saya merawat seorang pesakit wanita yang mengalami masalah emosi yang tidak stabil, dia juga selalu mengalami kesan-kesan lebam dikaki tanpa sebab, berasa berat dibahagian bahu dan belakang, kerap mengalami sakit kepala dan sering merasa benci apabila mendengar bacaan ayat-ayat Al-Quran.


Seperti biasa saya memulakan rawatan dengan beristighfar, bersyahadah, membenteng diri dan berdoa kepada Allah swt agar proses rawatan ini dipermudahkan Allah swt. Saya berpegang kepada pesan guru saya, macamana hebat sekalipun seseorang itu, tanpa bantuan Allah semuanya hanyalah sia-sia dan boleh menjuruskan seseorang itu kepada tipu daya syaitan semasa rawatan.


Sewaktu saya membaca ayat-ayat ruqyah, tiba-tiba jin didalam badan pesakit tersebut ketawa sambil menyanyi-nyanyi, tidak berapa jelas lagu apakah yang dinyanyikan oleh jin tersebut, tetapi kedengaran seperti sebuah lagu berbahasa cina. Saya minta kepada jin tersebut agar keluar dari tubuh badan pesakit dan mengancam untuk menyiksanya. Namun jin tersebut tidak mengendahkan amaran saya, dia masih menyanyi dan terus menyanyi.


Dengan tidak berlengah lagi, saya menggunakan beberapa teknik rawatan untuk menyiksa jin tersebut, berbagai-bagai teknik telah saya lakukan dari teknik siksaan tahap biasa sehingga lah ke teknik jurus, tapi seolah-olah pukulan saya macam tidak mengena pada rawatan kali ini. Jin tersebut seolah-olah memang tahan sakit dan tidak menunjukkan reaksi mahu mengalah.


Malas bertarung lagi, saya pun guna teknik lain… Tiba-tiba saya terlintas satu idea… saya berkata kepada jin tersebut… “Wahai Jin yang cantik rupawan, wajah engkau sungguh cantik, suara pun sedap mendayu-dayu, tak pernah aku tengok jin secantik engkau dan jin yang mempunyai suara semerdu engkau” . Jin tersebut menjawab, “memang la, aku memang cantik dan suara aku memang sedap”… Jawapan jin tersebut memberi tanda bahawa dia dah masuk perangkap saya… Inilah "teknik menipu jin".


Saya berkata lagi, “ Wahai Jin yang cantik jelita, aku cadangkan kau pergi ke kelab malam di bandar, kerana di sana tentu ramai yang meminati engkau, tambahan pula suara engkau yang merdu itu pasti akan memikat ramai orang di kelab malam tersebut”.


Jin itu terdiam seolah-olah berfikir, kemudian dia berkata lagi “iye lah.. iye lah, engkau tak suka aku kat sini aku pergi kelab malam la ye.. sekarang aku keluar”… menakjubkan… jin tersebut benar-benar keluar dan setelah itu pesakit merasakan badannya ringan dan tidak lagi berat seperti sebelum ini…


Punyalah saya susah-susah menyiksa jin tersebut, dia tetap tidak mahu keluar, namun hanya dengan secebis “ayat power” je, jin tersebut cair kerana tidak tahan pujian dan setuju untuk keluar. Kisah ini mungkin nampak macam cerita lucu, namun ada banyak I’tibar yang boleh kita perolehi dari cerita ini. Semoga terhibur sambil belajar.