Tuesday, October 5, 2010

Jin Saka Tukang Urut Halang Syahadah Ketika Nazak...


Ini adalah kisah seorang sahabat seperguruan saya yang tinggal di selatan tanah air… Kami selalu bersama menyertai majlis-majlis zikir Thoreqat Ahmadiah Idrissiah di Negeri Sembilan…


Satu hari saya berpeluang untuk berbicara dengannya tentang aktiviti beliau di masa lapang. Menurutnya, dia selalu masuk ke hutan untuk berburu dan adakalanya beliau bersama-sama dengan kumpulan seorang perawat yang terkenal di tanahair masuk ke hutan untuk berburu sebagai hobi.


Dia juga menceritakan kemahirannya dalam bidang urutan. Menurut beliau ada seorang hamba Allah yang mempunyai masalah bongkok bertahun-tahun, puas sudah berubat di merata tempat tetapi masih tidak menunjukkan tanda-tanda kesembuhan. Diizin Allah swt, dengan hanya sekali urut sahaja, hamba Allah itu sudah boleh berjalan dengan tegak seperti biasa. Maka heboh lah satu kampung yang sahabat saya ini pandai dan handal merawat.


Saya cuba juga meminta agar beliau sudi mengajarkan saya kaedah-kaedah urutan beliau. Tetapi dengan spontan beliau menjawab, tak boleh… ini adalah dari keturunan…


Mendengar jawapan beliau saya hanya mampu terdiam… Dalam hati saya berkata, “ilmu keturunan…?... saka…?”,,, saya biarkan sahaja persoalan tersebut habis disitu saja.


Hampir setahun yang kemudian saya mendengar khabar bahawa sahabat saya itu sedang sakit dan nazak. Tetapi yang menjadi persoalannya ialah beliau tidak dapat mengucapkan dua kalimah syahadah, selawat dan apa-apa kalimah Allah tidak dapat beliau sebut. Seolah-olah mulut beliau terkunci untuk melafazkan sebutan-sebutan yang sebegitu. Padahal kalau dilihat dari kehidupan beliau sebelum ini, beliau adalah seorang yang sangat menjaga hal-ehwal agama, mustahil akhir hayat beliau begini…


Mujurlah ahli keluarga beliau dengan segera memanggil seorang sahabat saya yang lain, yang juga seorang perawat. Setelah diperiksa, rupa-rupanya ada seekor jin saka yang ada bersama sahabat saya itu. Jin saka itulah yang selama ini berperanan sebagai dampingan dan membantu beliau selama beliau mengurut. Dan perkara ini langsung tidak disedari oleh sahabat saya itu…


Jin saka itulah yang menghalang sahabat saya untuk mengucap dua kalimah syahadah sejak ia jatuh sakit.


Setelah perawat tersebut mengikhtiarkan untuk mengeluarkan jin tersebut, baru lah sahabat saya itu boleh mengucap dua kalimah syahadah, boleh berselawat dan boleh membaca ayat-ayat suci Al-Quran. Dan sahabat saya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir beberapa jam selepas itu..


Al-Fatihah untuk muslimin dan muslimat di seluruh dunia…