Thursday, March 3, 2011

Jin Saka Bertarung Dengan Jin Sihir...



Bismillahirrahmanirrahim… Segala Puji bagi Allah swt pada setiap pandangan dan kerlipan mata, pada setiap turun naik nafas dan pada setiap apa jua perkara yang diliputi oleh ilmu Allah swt.

Sudah masuk tiga minggu saya tidak menulis untuk blog saya. Ini adalah kerana saya agak sibuk dengan urusan merawat dan kursus-kursus rawatan. Kebetulan pagi semalam wartawan dari akhbar mingguan perdana dan majalah wawancara datang menziarahi saya, sambil menemuramah saya berkenaan dengan perihal rawatan, maka saya merasa terpanggil untuk menyambung kembali penulisan tentang kisah-kisah rawatan yang baru setelah sekian lama tidak menulis.

Satu ketika dulu saya merawat pesakit di luar negara. Khidmat saya diperlukan untuk merawat sekeluarga yang mengalami masalah sihir dan saka yang berpanjangan. Salah seorang dari pesakit saya adalah seorang makcik yang berumur dalam lingkungan akhir 50an. Beliau mengalami bermacam-macam masalah seperti sakit kepala yang berpanjangan, kerap merasakan ada sesuatu bergerak-gerak didalam perut, walaupun beliau sudah membuat rawatan pemeriksaan dengan doktor pakar di hospital, namun doktor gagal mengesan sebarang penyakit didalam perutnya.

Beliau juga sudah hampir enam tahun tidak dapat melakukan ibadah solat dengan sempurna, beliau hanya solat diatas kerusi dan beliau tidak dapat sujud dengan sempurna sepertimana orang lain. Ini adalah kerana beliau merasakan kesakitan yang amat sangat di pinggang dan lutut ketika beliau ingin sujud didalam solat.

Seperti biasa sessi rawatan saya mulakan dengan bacaan istighfar dan syahadah, serta ayat-ayat suci Al-Quran.Tiba-tiba kepala pesakit seolah-olah bergegar, rupa-rupanya jin saka merasakan kesakitan yang amat sangat dengan bacaan ruqyah yang saya bacakan tadi. Jin saka mengaku bahawa gangguan pada pesakit selama ini adalah akibat dari perbuatannya dan juga dari perbuatan segerombolan jin-jin sihir dari tanah seberang. Jin-Jin sihir ini sangat ganas dan mereka lah yang telah duduk didalam perut pesakit sehingga pesakit selalu merasakan pergerakan-pergerakan luarbiasa didalam perutnya. Jin-jin sihir ini juga bertindak menghasut emosi pesakit agar menjadi seorang yang terlalu sensitif dan panas baran.

Kemudian saya bertanya kepada jin saka tersebut dia duduk dibahagian tubuh badan pesakit yang mana. Jin saka mengaku dia duduk di kawasan sendi, pinggang dan lutut, asbab dari itu pesakit tidak dapat menunaikan solat dengan sempurna. Jin saka juga mengaku pada mulanya dia bersekongkol dengan jin-jin sihir yang mengganggu pesakit, kononnya dengan harapan jin-jin sihir itu dibawah takluknya dan mengikut segala perintahnya. Rupa-rupanya jangkaan jin saka itu salah, segerombolan jin sihir itu dari sehari ke sehari beranak pinak dan bertambah ramai menghuni tubuh badan pesakit. Ini menyebabkan jin saka hilang kuasa sebagai ketua yang menguasai tubuh badan pesakit.

Saya mengarahkan Ketua jin sihir didalam tubuh badan pesakit agar berdepan dengan saya. Diizin Allah swt Ketua Jin Sihir tersebut timbul dengan riak muka yang penuh sombong dan angkuh, bersila dengan lagak seorang pahlawan. Saya meminta Jin tersebut keluar bersama-sama dengan kuncu-kuncunya dari tubuh badan pesakit. Jin sihir tersebut dengan angkuh menolak permintaan saya, Jin sihir dengan bangganya mengatakan tiada siapa pun yang dapat merawat pesakit kerana mereka sudah berkampung didalam tubuh badan pesakit sekian lama.

Bila saya tanyakan apa tujuan jin sihir itu mengganggu pesakit, Jin sihir itu mengatakan bahawa tuan mereka sakit hati dengan pesakit, kerana pesakit seorang yang sangat berjaya didalam hidup. Sebelum ini pesakit bahagia dengan keluarganya, pesakit tidak pernah bergaduh, pesakit juga selalu berjaya didalam apa jua bidang yang diceburinya. Itu menyebabkan tuan mereka melakukan sihir untuk memusnahkan pesakit dan keluarganya. Saya menganjurkan kepada Jin sihir tersebut agar bertaubat dan kembali kepada Allah, saya nyatakan padanya bahawa perbuatannya tidak diredho Allah swt dan perbuatan mereka ini akan dihitung dihadapan Allah swt. Namun Jin sihir itu hanya tersenyum kambing, ini adalah kerana jin tersebut berkepala kambing :-)

Saya tanyakan juga perihal jin saka yang dari asalnya sudah lama berada didalam tubuh badan pesakit. Ketua Jin sihir itu ketawa terbahak-bahak, sambil menggelarkan jin saka sebagai si bodoh, jin sihir itu mengatakan bahawa jin saka pesakit juga dibawah takluk mereka. Jin saka itu sudah lemah dan tidak berdaya untuk melawan apa-apa lagi.

Saya beri amaran terakhir sebelum saya melakukan serangan keatas puak-puak jin sihir itu, namun dengan angkuh dan sombong jin sihir itu mencabar saya untuk bertarung dengan mereka. Saya katakan pada Ketua jin sihir bahawa saya tak mahu bertarung dengan mereka tetapi untuk membuktikan bahawa Allah itu Maha Berkuasa, dengan izin Allah saya akan arahkan jin saka yang sudah terlalu lemah dan tidak berdaya apa-apa itu untuk memusnahkan mereka. Ketua jin sihir itu ketawa terbahak-bahak sambil mengejek-ngejek saya.

Dengan izin Allah saya arahkan jin saka didalam tubuh badan pesakit untuk memusnahkan semua jin-jin sihir didalam tubuh badan pesakit, jin saka yang tadinya asyik mengomel dan mengumpat jin-jin sihir, terus menggeletar ketakutan, nampak sangat jin saka itu memang benar-benar takut dengan jin-jin sihir tersebut. Saya beritahu jin saka itu agar jangan takut dan tadahkan tangannya. Dengan izin Allah saya alirkan tenaga kuasa halilintar ke tangan jin saka tersebut semoga dengan kuasa tersebut jin saka dapat menentang dan menghapuskan jin-jin sihir yang terlalu banyak didalam tubuh badan pesakit.

Tiba-tiba jin saka tegap berdiri sambil tertawa, jin saka mengatakan bahawa sekarang dia berkuasa, sekarang dia kuat, sekarang tiada siapa pun yang dapat mengalahkannya. Rupa-rupanya tenaga kuasa halilintar yang telah saya alirkan tadi telah meresap masuk kedalam diri jin tersebut dan ini menjadikan kekuatannya berlipat kali ganda. Kelihatan Jin saka itu seolah-olah memakan sesuatu dan mengunyah-ngunyah sambil ketawa, sebenarnya jin saka sedang bertarung dan sedang memakan semua jin-jin sihir didalam tubuh badan pesakit.

Saya hanya mendiamkan diri sambil memerhatikan gelagat jin tersebut. Ermmm… persoalannya sekarang… Adakah saya menggunakan jin untuk mengeluarkan jin.? Jawapannya …Ya dan Tidak… sebenarnya saya sedikit pun tidak bergantung dengan jin saka tersebut, dengan izin Allah saya boleh saja untuk menyedut keluar jin-jin sihir yang ada didalam tubuh badan pesakit. Tapi maklum lah.. kalau rawatan simple sangat nanti orang tak percaya… pasal tak dramatik.. pasal nanti tak de dialog rawatan jadi tak menarik… J Saya gurau je.. ini hanyalah teknik rawatan tidak ada kena mengena dengan merawat menggunakan jin. Jika ada sebarang kemusykilan sila bertanya terus dengan saya, jangan bertanya di kedai dobi… J saya bergurau lagi…

Setelah jin saka tersebut selesai memakan jin-jin sihir didalam tubuh badan pesakit, jin saka itu dengan wajah bangga dan angkuh menyatakan bahawa sekarang dia dah kuat, sekarang dia dah ada kuasa, dan sekarang tiada siapa lagi yang dapat mengganggunya… Ermm.. Nampak sangat jin ni dah lupa daratan.. Saya katakan pada jin saka sekarang ini sudah tiba masanya dia keluar dan saya akan tarik balik kuasa yang telah saya pinjamkan padanya tadi… Jin saka terus tertawa dan asyik mengatakan “Aku kuat..aku kuat..”, tanpa melengahkan masa saya terus menarik kuasa yang ada pada jin saka tersebut, dengan izin Allah jin saka itu terus lemah dan menangis tersedu-sedu, sambil berkata “ aku dah lemah.. aku dah lemah..” sambil tersenyum saya mengarahkan jin saka tersebut untuk keluar buat selama-lamanya… Jin saka itu setuju untuk keluar buat selama-lamanya…

Alhamdulillah… Segala puji bagi Allah swt yang telah memudahkan segala urusan saya semasa sessi rawatan tersebut, dan apa yang membuatkan saya terharu, pada malam itu juga pesakit telah dapat melakukan ibadah solat dengan sempurna, pesakit boleh bersujud sepertimana hamba-hamba Allah yang lain bersujud ketika melakukan solat. Segala puji bagi Allah… Segala puji bagi Allah…