Tuesday, April 26, 2011

Bacaan Ruqyah Syar'iyyah Tidak Memberi Bekas...?



Alhamdulillah, segala puji bagi Allah swt yang telah mengeluarkan cahaya dari kegelapan dan yang telah mengeluarkan kegelapan dari cahaya... Syukur ke hadrat Yang Maha Menyembuhkan, saya semakin pulih, suara pun dah keluar, cuma sekali dengar suara saya ada macam ala-ala Ramli Sirap sikit, serak2 basah... walaubagaimanapun saya sudah mula kembali merawat pada hari ini.

Baru-baru ini saya dihubungi oleh seorang sahabat yang ingin kan penjelasan berkenaan dengan maksud "bacaan ayat ruqyah tidak memberi bekas".

Sahabat saya ini adalah seorang perawat yang merawat dengan menggunakan bacaan ayat-ayat suci al-quran yang sekarang ini dikenali sebagai rawatan ruqyah syar'iyyah. Dia keliru apabila ada diantara sahabat-sahabat beliau yang mengatakan dan menekankan bahawa ayat yang dibaca tidak memberi bekas, oleh yang demikian dia terfikir, jadi untuk apakah tujuan dia membaca ayat-ayat ruqyah syar'iyyah untuk merawat pesakit.

Kita kembali kepada asas... Apakah maksud Ruqyah? Ruqyah didalam bahasa 'Arab yang bermaksud Jampi. Apakah syarat-syarat Jampi? Ulama'-ulama' mentafsirkan, diantara syarat-syarat jampi adalah ianya terdiri dari ayat-ayat Allah (Al-Quran) dan asma'ullah (nama-nama Allah), diketahui makna dan jelas tujuan membacanya. Dan ber'iq'tiqod bahawa ruqyah tersebut tidak memberi bekas tetapi Allah lah yang memberi bekas.

Apakah ini bermaksud jika kita membaca ayatul qursi kita akan mengatakan bahawa ayatul qursi itu tidak memberi bekas? Bagi mereka yang "memandang" Allah swt itu "jauh", maka mereka akan mengatakan ayatul qursi itu tidak memberi bekas, kerana mereka tidak nampak kesinambungannya.

Tetapi bagi mereka yang memandang Allah itu tiada jarak dan tiada antara, dan bagi mereka yang memahami bahawa "wanakhnu aqrobu ilaihi min hablil warid" - "Allah itu lebih dekat dari urat leher kamu", maka mereka akan memahami bahawa Zat dan Sifat tidak bercerai.

Maka apabila dikatakan bahawa ayatul qursi itu Kalamullah yang bersifat qodim, maka tidak boleh lah kita katakan bahawa ayatul qursi itu tidak memberi bekas, kerana Zatullah dan Sifatullah tidak bercerai jua akannya.

Siapa kata bacaan ayat tidak memberi bekas? Dengan izin Allah saya boleh buktikan bahawa kata-kata nista, umpatan dan cacian walaupun dalam hati boleh memberi bekas dan memberi kesan apatah lagi kata-kata yang di zahirkan. Apatah lagi bacaan ayat-ayat Quran, dan perkara ini selalu saya buktikan dihadapan peserta-peserta kursus rawatan anjuran saya.

Berbekas tetap berbekas, berkesan tetap berkesan tinggal lagi qadha dan qadar Allah swt sahaja yang tidak dapat hendak kita pastikan. Wahai mereka-mereka yang mengambil jalan hakikat semata-mata... tidak bermakna manis yang anda rasai kalau tiada bekasnya... Allah swt telah menjadikan Rasulullah s.a.w sebaik-baik contoh dan ikutan. Ikuti lah syari'at yang telah diajar oleh baginda. Iman itu bertelanjang dan pakaiannya adalah taqwa.

Adakah mereka-mereka yang menekankan "bacaan ruqyah syar'iyyah tidak memberi bekas" itu secara tidak langsung hendak mengatakan bahawa rawatan dengan ruqyah syar'iyyah itu low class? Ingat tuan-tuan, kita semua akan dipertanggungjawabkan diatas apa yang kita katakan, sampaikan dan lakukan... apatah lagi kalau kata-kata kita itu menjadi ikutan orang ramai... berhati-hatilah...