Thursday, October 27, 2011

Persatuan Pengamal AuraMetafizik - Program khidmat dan Ziarah Ulama'

Bismillahirrahmanirrahim, Segala puji bagi Allah s.w.t yang telah melimpahkan nikmat iman dan islam kepada kita, serta telah memilih kita untuk lahir sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, Nabi junjungan dan harapan naungan kasih sayang di dunia dan di akhirat.

Syukur ke hadrat Ilahi, dengan izinNya, Persatuan Pengamal AuraMetafizik telah mengadakan program khidmat dan ziarah ulama' di Pondok Rasah, Negeri Sembilan. Kami telah berpeluang untuk bertemu dengan guru dan pembimbing rohani kami, Tuan Guru Syeikh Mohd Faiz Bin Syeikh Ahmad Bin Syeikh Muhammad Sa'id Al-Linggi.

Banyak sungguh pengalaman-pengalaman rohani sepanjang kami di sana, yang tidak dapat saya tuliskan. Moga-moga Allah s.w.t melimpahkan kurniaNya agar kami tetap istiqomah didalam jalan beramal untuk mengharap redhoNya. Selesai kami menziarahi Tuan Guru Syeikh Faiz, tiba-tiba hujan renyai-renyai halus... kehalusan rembasan hujan ketika kami turun dari rumah Tuan Syeikh membuat kami terpaku seketika... Yakin kami, inilah petanda rahmat Allah s.w.t...


Kami meneruskan perjalanan untuk menziarahi Kompleks Maqam Tuan Syeikh Muhammad Sa'id Al-Linggi, perjalanan mengambil masa lebih kurang 15 minit sahaja dari rumah Tuan Guru Syeikh Mohd Faiz. Dipertengahan jalan, tiba-tiba hujan begitu lebat, sehingga saya berkata-kata didalam hati, "bagaimana nak ziarah maqam kalau hujan lebat begini..". Namun saya berserah kepada ketentuan Allah, moga-moga niat baik kami dipermudahkan Allah.

Setibanya kami di kompleks maqam, satu perkara yang tidak terduga telah berlaku, hujan yang lebat tadi tiba-tiba secara serta merta berhenti. Pelik.. tapi benar... adakah ini kebetulan...? atau Allah nak menambahkan keyakinan kami...

Syukur ke hadrat Allah s.w.t, dengan berhentinya hujan maka dapatlah kami menziarahi kompleks maqam Tuan Syeikh Muhammad Sa'id dengan selesa...


Saya dan Dr Jamaluddin (Pengasas Akademi AuraMetafizik)


Gambar kenangan Persatuan Pengamal AuraMetafizik di Kompleks Maqam Tuan Syeikh Muhammad Sa'id Al-Linggi

Tuan Syeikh Muhammad Sa'id Al-Linggi - Tokoh Ulama Silam


Al-marhum Tuan Syeikh Muhammad Sa’id bin Tuan Syeikh Jamaluddin al-Linggi , seorang ulama dan guru Tariqah Ahmadiah Idrissiah di Negeri Sembilan. Allahyarham kembali menemui Allah pada 12 Rabiulawal dalam usia 62.

Allahyarham Tuan Syeikh Muhammad Sa’id merupakan seorang guru pengembang Tariqah Ahmadiah Idrissiah, bukan sahaja di negerinya (Negeri Sembilan) tetapi di seluruh Malaysia termasuk juga beberapa buah negara di rantau ini seperti Indonesia, Pattani, Singapura dan Kampuchea.

(Tariqah Ahmadiah diasaskan oleh al-Sultan as-Salatin Tuan Syeikh Sayyid Ahmad bin Idris dan telah diperkembangkan amalannya melalui muridnya iaitu Tuan Syeikh Sayyid Ibrahim Ar-Rashid dan kemudian kepada murid beliau pula iaitu Tuan Syeikh Sayyid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi.)

Ketokohan dan ketinggian ilmu Tuan Syeikh Muhammad Sa’id sebenarnya tidak perlu dipertikaikan lagi. Masyarakat yang sezaman dengannya tahu mengenai itu semua. Malahan, kehebatan itu masih lagi disebut-sebut sampai ke hari ini, walaupun Allahyarham telah meninggalkan kita lebih setengah abad.

Sememangnya, Allahyarham bukan calang-calang orang. Dikatakan bahawa guru beliau tidak kurang 50 orang dan beliau juga pernah belajar agama di negara-negara Timur Tengah seperti Mesir, Makkah dan juga Madinah.

Ulama besar yang menjadi guru kepada Allahyarham adalah Tuan Syeikh Sayyid Muhammad bin Ahmad ad-Dandarawi iaitu murid kanan kepada Tuan Syeikh Sayyid Ibrahim al-Rashid yang berasal dari Sudan kemudian mangkat di Maa’la di Makkah. Tuan Syeikh Muhammad Sa’id telah menyambung bai’ah Tariqah Ahmadiah terus dari gurunya, iaitu Tuan Syeikh Muhammad ad-Dandarawi.

Dalam usahanya menyebarkan ajaran Islam dan Tariqah Ahmadiah Idrissiah, Almarhum telah memilih Ampangan Seremban sebagai pusatnya.

Sebagai seorang yang mengasihi Allah, merindui dan sentiasa menyintai Allah, melalui zikirnya, solatnya dan pada setiap gerak geri kehidupannya, Tuan Syeikh Muhammad Sa’id dianugerahi Allah dengan bermacam-macam kelebihan dan keistimewaan.

Antara kelebihan dan keistimewaan yang terdapat pada Almarhum Tuan Syeikh Muhammad Sa’id ialah beberapa koramah. Misalnya beliau boleh menyelam dalam air seberapa lama yang beliau mahu, tanpa menggunakan bantuan oksigen dan sebagainya.

Pernah terjadi keganjilan ini dan disaksikan oleh orang ramai. Ketika itu beliau mahu menyeberang Sungai Kelantan tatkala di tebing sebelah bandar Kota Bharu. Kebetulan perahu (motor bot) yang hendak ditumpang itu penuh. Tuan empunya motor bot tidak membenarkan Allahyarham naik kerana takut karam apabila muatan terlebih.

Oleh yang demikian Allahyarham tidak jadi naik motor bot itu. Tuan empunya motor bot itu terus menghidupkan enjin dan mengemudikan motor botnya. Sesampai saja di tebing sebelah sana, alangkah terperanjat mereka melihat Sidi Syeikh Muhammad Sa’id telah pun berada di tebing itu. Rupa-rupanya sebaik sahaja motor bot itu bergerak, Sidi Syeikh Muhammad Sa’id terus terjun ke dalam sungai dan dalam sekelip mata saja beliau sudah berada di tebing sana tanpa dibasahi setitik air pun.

Satu lagi kelebihan Almarhum adalah bersahabat dengan buaya. Terdapat satu sungai di negeri Kedah yang tidak digunakan oleh sesiapa pun kerana buaya di dalam sungai itu sungguh garang. Suatu hari dalam perjalanan, Tuan Syeikh Muhammad Sa’id merasa letih dan mahu mandi. Beliau berhajat untuk mandi di sungai itu tetapi dilarang oleh penduduk kampung tersebut. Namun kerana mahu mandi juga, Allahyarham tidak mempedulikan larangan itu. Beliau terus terjun ke dalam sungai itu dan beberapa ekor buaya yang dikatakan garang mengelilinginya. Digosoknya buaya itu seekor demi seekor. Orang kampung yang tadi cemas mula kehairanan dengan melihat kejadian itu.

Sememangnya Tuan Syeikh Muhammad Sa’id menpunyai banyak kisah-kisah koramah. Satu lagi kisah yang berlaku ke atasnya ialah ketika Allahyarham dan anak muridnya sedang dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur untuk berdakwah. Matahari saat itu sungguh terik, menjadikan semua ahli rombongan panas dan dahaga. Air yang hendak diminum sudah kehabisan. Salah seorang ahli rombongan itu ada membawa cerek kosong yang tidak berair.

Tiba-tiba Allahyarham mengambil cerek tersebut dan meminta ahli rombongan itu berhenti rehat untuk minum air. Masing-masing berasa hairan, dari mana guru mereka itu hendak mendapatkan air. Tetapi oleh kerana Allahyarham suruh berhenti, maka masing-masing pun berhenti. Allahyarham mengambil cerek kosong itu dan lantas menuangnya, dengan izin Allah keluar lah air dari cerek yang kosong itu, dan perkara ini telah disaksikan oleh semua ahli rombongan itu dengan hairan sambil seorang demi seorang minum dari cerek itu sehingga puas.

Selain dari dikurniakan oleh Allah beberapa kelebihan dan keistimewaan yang jarang didapati oleh orang lain, Tuan Syeikh Muhammad Sa’id juga merupakan seorang dari ahli kashifeen, di mana beliau boleh mengetahui sesuatu yang ghaib.

Kebolehan Allahyarham ini terbukti bila suatu ketika, tiga orang pergi berjumpa dengan Tuan Syeikh Muhammad Sa’id untuk bertanya beberapa masalah. Kebetulan saat itu waktu Maghrib telah tiba. Tuan Syeikh Muhammad Sa’id terus menunaikan solat berjemaah bersama tiga orang pemuda itu.

Selepas berwirid dan berdoa, belum sempat tiga orang pemuda itu mengajukan pertanyaan, Tuan Syeikh Muhammad Sa’id terus menjawab soalan-soalan yang hendak dikemukakan satu persatu. Mendengar penjelasan itu, ketiga orang pemuda itu kehairanan kerana Allahyarham tahu akan soalan dan masalahnya.

Demikianlah kelebihan ilmu yang Allah kurniakan kepada kekasihnya yang mengembangkan Tariqah Ahmadiah Idrissiah itu.

Walaupun Tuan Syeikh Muhammad Sa’id telah meninggal dunia lebih satu abad, tetapi segala ilmu yang diajar dan diturunkan kepada anak-anak muridnya terus berkembang dan diamalkan.

Berkat itu semua menyebabkan nama ulama itu masih segar dalam jiwa seluruh umat Islam di negara ini, apalagi kepada mereka yang mahu menghampirkan diri kepada Allah melalui jalan-jalan yang khusus seperti pengamalan amalan tariqah dan tasawwuf.

Kesinambungan ilmu Allahyarham diibaratkan seperti sungai yang terus mengalir. Dan terbukti, beberapa orang anak-anak Allahyarham serta cucu-cucunya telah mewarisi ilmu yang dimiliki beliau.

Boleh dikatakan semua anak-anak Allahyarham muncul sebagai ulama dan menjadi guru. Antara anak-anak Allahyarham yang turut menjejaki langkahnya ialah Tuan Syeikh Abdullah , Tuan Syeikh Ahmad (Mufti Negeri Sembilan yang pertama) , Tuan Syeikh Mansor , Tuan Syeikh Muhammad Nur ,Tuan Syeikh Mahdi , Tuan Syeikh Ibrahim, Tuan Syeikh Rashid dan Tuan Syeikh Hamid. Namun, kesemuanya telah meninggal dunia.

Kini, usaha dakwah, menyebarkan dan memimpin Tariqah Ahmadiah Idrissiah ini di sambung oleh cucu-cicit Almarhum Tuan Syeikh Muhammad Sa'id Al-Linggi...

Al-Fatihah...

Wednesday, October 26, 2011

Ustaz!!! Saya tak boleh masuk pejabat... badan saya terbakar!!!


Satu ketika dulu, saya pernah diminta oleh seorang wanita untuk "memagar" pejabat barunya di Cheras. Wanita tersebut adalah seorang yang agak berjaya dalam bidang perniagaan dan berkongsi syarikat barunya ini dengan teman lelakinya.

Menurut wanita tersebut, tiga bulan sebelum ini, bangunan itu pernah di sewa oleh sebuah syarikat, tetapi khabarnya ada pelbagai perkara-perkara pelik yang berlaku. Kadangkala terdengar bunyi perabut diseret di waktu malam, ada beberapa orang pekerja sebelum ini melihat lembaga budak-budak kecil berlari-lari di bilik stor yang gelap, namun apabila ditegur budak-budak tersebut hilang begitu saja. Ada juga beberapa kejadian pekerja kerasukan di bangunan tersebut.

Entah mengapa, pada mulanya saya agak berat hati untuk menunaikan permintaan wanita tersebut, namun oleh kerana wanita tersebut bersungguh-sungguh beberapa kali menelefon meminta bantuan saya, maka akhirnya saya bersetuju untuk "memagar" kawasan pejabat tersebut.

Saya memilih khamis malam jumaat untuk temujanji saya ke pejabat tersebut, setibanya saya di sana, kelihatan wanita tersebut dan teman lelakinya sudah menunggu saya di pintu masuk.

Tanpa melengahkan masa saya memulakan kerja-kerja "memagar", sambil berdoa dan memohon kepada Allah agar pejabat tersebut dilindungi dari sebarang gangguan atau kejahatan jin dan manusia. Bangunan pejabat tiga tingkat itu saya "pagarkan" setingkat demi setingkat. Apa yang saya dapati cuma sebuah bilik di tingkat dua dan bilik stor di tingkat tiga sahaja mengalami gangguan "ringan".

Tiada perkara-perkara yang pelik sepanjang proses "memagar" dijalankan. Setelah selesai, saya memohon diri untuk pulang. Wanita tersebut dan teman lelakinya juga beredar pulang.

Keesokan harinya, saya dihubungi oleh wanita tersebut. Dengan nada yang kelam kabut wanita tersebut mengadu, "Ustaz, kenapa ni ustaz? pagi ni, saya dan teman lelaki saya cuba masuk ke dalam pejabat, tiba-tiba saya rasa pijar satu badan, panas tak terhingga, saya rasa macam nak pengsan, teman lelaki saya juga tiba-tiba jadi panas baran, mendengus tidak tentu arah, tubuh badan rasa bagai dibakar.... apa ustaz dah buat pada pejabat kami?, kami tak boleh masuk dalam pejabat sendiri".

"Ehh... saya buat apa pulak pada pejabat kamu? bukan ke malam tadi saya dah "pagarkan" seluruh kawasan tu.., tak pe laa, biar saya scan tengok apa yang sebenarnya yang berlaku...", kata saya kepada wanita tersebut.

Inilah kali pertama terjadi dalam hidup saya, orang mintak "pagar" premis perniagaan, akhirnya tuan punya premis yang tak boleh masuk... Sambil memejamkan mata saya memohon petunjuk dari Allah s.w.t apa sebenarnya yang menghalang wanita tersebut dan teman lelakinya dari masuk ke pejabat... Tiba-tiba... perlahan-lahan kelihatan wajah wanita tersebut timbul dalam bayangan, dan wanita itu dikelilingi oleh beberapa ekor jin ular dan beruk yang membelit dan memaut tubuh badannya... "ooohhhhh!!!! patut la tak boleh masuk, ada jin sihir berpaut", bisik saya didalam hati.

Kemudian saya mengalihkan pula pandangan batin kepada teman lelaki wanita tersebut, sekaligus kelihatan bayangan manusia berbadan harimau, dan bermacam-macam lagi jenis jin pendamping yang melindungi tubuh lelaki tersebut...., "Errmmmm... ada jin pendamping, amalan salah, upah bomoh jadi bodyguard, patut laa terbakar masuk dalam pejabat sendiri yang saya dah pagar dengan "Pagar Kalimah Haq"..., saya mengomel sendirian...

Oleh kerana minggu tersebut saya ada urusan rawatan di Singapura, maka saya minta wanita tersebut bertemu dengan pelajar saya untuk mendapatkan rawatan. Syarat yang saya kenakan pada dia dan teman lelakinya adalah bertaubat dan buang semua amalan-amalan ilmu salah yang pernah diambilnya dahulu... moga-moga asbab dari kejadian itu mereka kembali ke jalan yang diredha Allah s.w.t dan tidak lagi mengamalkan amalan-amalan khurafat...

Thursday, October 20, 2011

Dan di dalam diri kamu... tidakkah kamu perhatikan...

وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا. فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا . قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا . وَقَدْ خَابَ مَن دَسَّاهَا
Dan demi jiwa dan penyempurnaannya, maka kepadanya diilhamkan jalan kefasikan dan ketaqwaan, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikannya dan celakalah orang yang mengotorinya.”

Wednesday, October 19, 2011

Kursus Perawat Intensif & Perawat Advanced - 22hb & 23hb Oktober 2011



Bismillahirrahmanirrahim..

Untuk makluman, Kursus Rawatan Islam - Perawat Intensif Dan Kursus Perawat Advanced (Secara Personal guide) akan diadakan pada 22hb dan 23hb Oktober 2011 (Sabtu dan Ahad), jam 9.00 pagi, di Taman Keramat Kuala Lumpur, penyertaan adalah sangat terhad kepada 4 orang peserta sahaja.

Kursus Perawat Intensif dan Perawat Advanced boleh diambil sekaligus. Sila hubungi saya segera untuk sebarang pertanyaan lanjut dan penyertaan.

Wassalam

Tuesday, October 18, 2011

Gambar Kursus Rawatan Islam Di Bekenu, Sarawak

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah dengan puji-pujian yang tidak terhingga dan tidak terkata, dan dengan barakah dan cahaya Nabi junjungan Rasulullah s.a.w, dengan izin dan limpah kurniaNya maka Kursus Rawatan Islam di Bekenu, Miri Sarawak dapat dijalankan dengan jayanya.

Terima kasih tidak terhingga juga kepada pihak-pihak yang telah bertungkus lumus berusaha untuk menjayakan kursus ini. Kepada Ustaz Idris, Ustaz Idham dan kepada semua peserta-peserta kursus, kejayaan ini adalah asbab dari kesungguhan anda semua.

Kursus kali ini diserikan lagi dengan program pengukuhan rohani yang bertujuan untuk memantapkan unsur-unsur kerohanian didalam diri peserta. Moga-moga ilmu yang disampaikan itu dapat memberi manfaat kepada diri, keluarga dan masyarakat serta dapat memacu kita menuju kejayaan di dunia dan di akhirat.

InsyaAllah jika diizinkan Allah s.w.t kita akan bertemu di lain kali...

Di sini saya sertakan gambar-gambar semasa kursus sebagai tatapan peserta sekelian, insyaAllah gambar yang lebih banyak akan saya uploadkan di facebook saya nanti...

wassalam









SESSI PRAKTIKAL





ORANG KUAT MIRI - USTAZ IDRIS


BACAAN DOA PENUTUP OLEH USTAZ IDHAM


SELAMAT DATANG KE ALAM RAWATAN :-)

Thursday, October 13, 2011

AturCara Kursus Rawatan Islam Di Bekenu, Miri - 15 & 16 Okt 2011


Bismillahirrahmanirrahim

Untuk Makluman kepada para peserta yang telah berdaftar untuk menghadiri Kursus Rawatan Islam di Bekenu, Miri, Sarawak pada 15 dan 16 Oktober ini, disini saya nyatakan aturcara program tersebut secara ringkas.



15/10/2011

7.45am - Pendaftaran

8.00am - Kelas Bermula

9.30am - Minum Pagi

12.00pm - Makan Tengahari Dan Solat Zohor

1.15pm - Sambung Kelas

3.30pm - Solat Asar

4.00pm - Sambung Kelas

5.00pm - Bersurai


MAJLIS PENGUKUHAN ROHANI AKAN DIADAKAN SELEPAS MAGHRIB, SILA BAWA KUPIAH ATAU SONGKOK BAGI PESERTA LELAKI DAN TELEKUNG BAGI PESERTA WANITA. *** SESSI INI TIDAK WAJIB, TETAPI SANGAT DIGALAKKAN UNTUK PESERTA KURSUS***


Jadual pada 16/10/2011 akan diberitahu pada hari pertama kursus.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh hubungi saya di 013 3239822. Moga-moga kursus ini dapat memberi manfaat yang besar kepada para peserta untuk kejayaan di dunia dan diakhirat.

Wassalam

Sunday, October 9, 2011

Kursus Rawatan Islam - 15hb & 16hb Oktober, Di Bekenu, Miri masih di buka...


Bismillahirrahmanirrahim

Untuk Makluman para pembaca sekelian, khususnya warga Sarawak, Sabah dan Brunei, penyertaan untuk Kursus Rawatan Islam di Bekenu, Miri pada 15 dan 16 Oktober ini masih dibuka. Kepada sesiapa yang berminat sila hubungi saya,Ustaz Azrin atau Ustaz Idris atau Ustaz Idham dengan segera.

Kepada peserta-peserta yang pernah menyertai Kursus Rawatan Islam yang saya anjurkan sebelum-sebelum ini, jika anda berminat untuk menyambung Kursus Tahap Perawat Advanced, sila hubungi saya awal, insyaAllah kita boleh aturkan masa untuk kita adakan Kursus Perawat Advanced di Miri, semasa saya berada di sana nanti.

Buat persediaan dan perancangan awal, jangan merancang di akhir-akhir waktu. Ingat lah pesan saya, mencari ilmu sebegini adalah satu perjuangan. Ada macam-macam dugaan dan halangan, terutamanya bagi mereka yang ada masalah gangguan. Bulatkan hati, tekad dan semangat, ikhlaskan niat masing-masing, banyakkan berdoa, insyaAllah Allah s.w.t akan permudahkan segala urusan kita.

Percayalah cakap saya, niat yang ikhlas akan membuatkan anda berjaya menembusi setiap dugaan dan cabaran untuk mencari ilmu.

Teringat kisah sewaktu zaman saya menimba ilmu dulu... nak pergi jumpa guru, tayar motor pancit sampai tiga kali di lebuharaya, namun itu semua tak mematahkan semangat saya.. bila tak ada kenderaan sendiri saya naik bas ke rumah guru.. enjin bas terbakar.. saya teruskan jugak... ilmu punya pasal saya sanggup bersengkang mata hingga jam 3-4 pagi mengadap guru... itu belum kisah saya di uji guru dengan macam-macam ujian untuk melihat kesabaran saya...

Bermacam-macam dugaan, cabaran, suka dan duka yang saya tempuh sepanjang saya mencari ilmu. InsyaAllah, saya tidak pernah berhenti belajar, selagi hayat dikandung badan, saya bersedia untuk belajar, dan saya tidak pernah malu untuk mengatakan yang saya "tidak tahu"...

Sekarang mungkin zaman dah berubah, nak cari ilmu pun mudah, ada yang boleh diambil menerusi internet, ada yang boleh hadir terus kursus intensif. Dalam masa sehari dua sudah boleh mencedok ilmu yang kalau dulunya mengambil masa bertahun-tahun untuk mendapatkannya...

Tapi... apa yang kurang?.... yang kurang mungkin adalah sentuhan peribadi seorang guru kepada anak murid,.... yang kurang mungkin adab seorang murid kepada seorang guru. Malahan ada diantara segelintir murid, apabila telah tegap berdiri sendiri, mereka bertindak mencerca gurunya yang lama, mencerca ilmu-ilmu yang dipelajarinya dahulu.

Mungkin ilmu yang dipelajarinya itu adalah sekadar ilmu asas, tetapi renungkanlah, setinggi mana pun bangunan yang dibina, yang paling penting adalah asasnya... tanpa asas anda tidak akan ke puncak... tanpa hari ini anda takkan menemui hari esok...

Kepada sesiapa yang berminat untuk menimba ilmu, kuatkanlah tekad dan semangat anda... ANDA ADALAH APA YANG ANDA FIKIRKAN... jika anda berkehendak anda akan ikhtiarkan seribu daya, tetapi jika anda memang tidak mahu anda akan berikan seribu alasan....